KOLEKSI PENDERHAKAAN UMNO


KOLEKSI PENDERHAKAAN UMNO

BUKTI UMNO PENDERHAKA SEBENAR !


* derhaka Ghazali Jawi *

* derhaka Dato' Onn & keluarga *

* krisis perlembagaan 1983 *

* krisis perlembagaan 1990 - 1993 *

* derhaka 2008 *




Selayang pandang kemelut Perak


Istilah ‘Sembah derhaka’ bukan bermaksud ‘menderhaka’ dalam konteks menentang dan memberontak terhadap Raja. Ia adalah ‘sembah sopan lagi beradab’ yang termaktub dalam adat istiadat dan budaya Melayu.


Mainan istilah ini hanyalah angkara UMNO demi hajat politik yang songsang dan tak beretika. UMNO tergamak berdiri di belakang Raja dan menolak baginda ke hadapan agar berkelahi dengan rakyat jelata.


Setelah berjaya memangsakan Raja, UMNO terus merosakkan imej istana di mata dan di hati rakyat jelata melalui provokasi media cetak dan elektonik yang mereka kuasai. UMNO berlagak mempertahankan Raja dengan mencerca rakyat yang dilabelkan sebagai penderhaka. Sebenarnya pertembungan itu ciptaan UMNO. Rakyat dirangsang supaya mengherdik istana. Apabila istana terguris, UMNO melompat jadi juara sembah taat dan sembah setia yang penuh pura-pura. Matlamat menghalalkan cara. Divide and rule. Itulah cara UMNO.


UMNO Penderhaka Sebenar - UMNO tipu Sultan - Ghazali Jawi enggan letak jawatan MB (1974 - 1977)


UMNO terlupa kisah penipuan dan derhaka mereka kepada Sultan Perak selepas pilihanraya umum Ogos 1974. Ketika itu Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengemukakan nama Ghazali Jawi untuk diperkenankan menjadi Menteri Besar. Sultan Idris Shah II enggan memberi perkenan kerana Ghazali Jawi telah ditangkap atas tuduhan rasuah sewaktu kali pertama menjadi Menteri Besar Perak pada tahun 1960.


Perlantikan Menteri Besar Perak tertangguh hingga bulan September 1974. Tun Razak melantik Ishak Tadin menjadi perunding untuk menyelesaikan krisis antara Sultan Idris Shah dengan Ghazali Jawi.


Ishak Tadin memujuk Sultan dengan mengatakan bahawa Tun Razak memohon Baginda melantik juga Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar tetapi lantikan itu hanya untuk tempoh dua tahun sahaja. Selepas tempoh itu Sultan boleh melantik ADUN lain sebagai MB. Akhirnya Ghazali Jawi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 4 September 1974.


Dua hari selepas Ghazali Jawi mengangkat sumpah, Sultan memanggil Mokhtar Petah mengadap Baginda di Istana Tambun, Ipoh. Mokhtar Petah memaklumkan kepada Sultan bahawa tiada termaktub dalam Perlembagaan yang Sultan boleh melantik seorang Menteri Besar untuk dua tahun sahaja. Apabila maklum akan hal itu, Sultan amat kesal dan terkilan kerana UMNO telah memperdaya Baginda dengan janji yang tidak mungkin boleh ditunaikan.


Setelah berlalu tempoh dua tahun, Ghazali Jawi tidak mahu berundur. Oleh itu Sultan membangkitkan janji Perdana Menteri mengenai tempoh jawatan Ghazali yang dipersetujui sebelum perlantikannya.


Ghazali Jawi dan pemimpin UMNO Perak menyanggah titah Sultan dengan berkata “Tidak ada dalam perlembagaan Negeri Perak bahawa Sultan melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Menteri Besar selama dua tahun sahaja”.


Pergerakan Pemuda UMNO berkeras dengan pendirian:


“Sultan Perak mempunyai hak memberi perkenan melantik seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah diperkenankan perlantikan itu, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan Menteri Besar supaya meletakkan jawatan.”


“Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, adalah hak Presiden UMNO.”



Krisis itu berlarutan sehingga tahun 1977. Oleh kerana tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk menyingkirkan Ghazali Jawi maka Sultan telah bernazar selagi Ghazali Jawi tidak meletak jawatan, Baginda akan terus menyimpan janggut, jambang dan misai serta tidak akan menandatangani sebarang surat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sultan tidak bekerjasama dengan MB dan Exco Kerajaan selama dua tahun.


Pada tahun 1977, Ghazali Jawi melepaskan jawatannya atas kehendak Perdana Menteri baru iaitu Tun Hussein Onn. Selepas itu Sultan Idris Shah melantik Dato’ Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh sebagai Menteri Besar baru.


UMNO Penderhaka Sebenar - Derhaka Dato’ Onn


Melayu derhaka hanya muncul setelah lahir UMNO di bumi beradat ini. Di bawah pimpinan UMNO, Melayu jadi kurang ajar dan celupar terhadap Raja sehingga Raja hilang wibawa di mata rakyat. Sejarah membuktikan UMNO berulangkali mengajar rakyat mentertawakan Raja. Namun di celah-celah pengkhianatan itu, UMNO licik dengan lakonan sebagai pahlawan yang membentengi kedaulatan Raja.


Derhaka Melayu moden abad 20 bermula dengan kritikan terbuka Dato’ Onn Jaafar terhadap Sultan Johor (Sultan Ibrahim) pada tahun 1920. Dato’ Onn marah apabila Sultan melelong harta bapanya (Dato’ Jaafar) kerana kegagalan melunaskan hutang negeri Johor ketika memegang jawatan Menteri Besar negeri itu. Sultan Ibrahim murka lalu memecat Dato’ Onn daripada jawatan Menteri Besar dan menitahkan hukum buang negeri ke Singapura pada tahun 1927.


Pada tahun yang sama, abang Dato’ Onn iaitu Dato’ Abdullah Jaafar turut dipecat daripada jawatan Menteri Besar dan dilucut semua gelarannya, diikuti hukuman buang negeri bersama Che’ Dara Jaafar iaitu kakak kepada Dato’ Onn.


Derhaka itu diteruskan oleh Dato’ Onn dengan cara mengkritik dan menghina Sultan Johor sepanjang menjadi Pengarang Warta Malaya di Singapura sekitar tahun 1930.


Dato’ Onn kembali ke Johor pada tahun 1936 dan berjaya mendapat semula kedudukan dalam pentadbiran negeri Johor sehingga dilantik memangku tugas Menteri Besar pada Oktober 1946. Ketika itu Dato’ Onn adalah Presiden UMNO yang pertama.


Pada tahun 1947, Dato’ Onn atas kapasiti Presiden UMNO, telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu yang diisi oleh seorang Melayu bukan dari Istana. Cadangan itu mengakibatkan kemurkaan sekelian Raja-Raja Melayu kerana nyata ia bermaksud meletakkan seorang Melayu bukan Raja di kedudukan lebih tinggi daripada Raja-Raja. Sekelian Raja-Raja terutamanya Sultan Badlishah (Kedah) mengisytiharkan Dato’ Onn sebagai penderhaka.


Isu itu membawa kepada pertembungan terbuka di antara UMNO dengan Raja-Raja Melayu. Kemuncak perbalahan itu ialah serangan UMNO terhadap Sultan Kedah dengan cara menghina baginda semau-maunya pada tahun 1948. Akhirnya Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-Raja Melayu supaya menolak cadangan UMNO.


Selepas itu UMNO meneruskan derhaka yang lebih melampau dalam pelbagai isu. Dato’ Onn berulangkali menuduh Raja-Raja mungkir janji dan tidak bertindak mengikut perlembagaan. Mesyuarat Agong UMNO di Butterworth pada 27 Ogos 1949 telah melemparkan tuduhan bahawa Raja-Raja lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri dan mengabaikan kepentingan rakyat Melayu biasa. UMNO juga menuduh Raja-Raja telah berkomplot dengan British untuk melemahkan UMNO melalui penguatkuasaan larangan berpolitik terhadap pegawai kerajaan bangsa Melayu.


UMNO menderhaka pada tahap paling melampau apabila menuduh Sultan Kedah sebagai ‘kacang lupakan kulit’ dan mengugut untuk menggerakkan rakyat menamatkan sistem pemerintahan beraja. Sultan Kedah kemudiannya bercadang mengharamkan UMNO di negerinya manakala Sultan Johor memaksa Dato’ Onn meletak jawatan Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949.


UMNO menderhaka kepada raja seawal umurnya yang masih bayi di zaman Presiden yang pertama lagi.


UMNO Penderhaka Sebenar - Krisis Perlembagaan 1983


Pada 1 Ogos 1983, UMNO membentangkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan 1983 di Parlimen dan diluluskan secara tergesa-gesa. Ia melibatkan 22 pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, termasuk 3 perubahan besar yang menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu;


Pertama - menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan Yang DiPertuan Agong bagi sesuatu rang undang-undang sebelum boleh digazetkan sebagai undang-undang. Sebaliknya, ia memperuntukkan bahawa, jika Yang DiPertuan Agong tidak memberi perkenan baginda dalam tempoh 15 hari, baginda hendaklah dianggap telah memperkenankannya, dan undang-undang tersebut boleh dikuatkuasakan.


Kedua - memperkenalkan peruntukan selari yang menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan Sultan untuk undang-undang negeri.


Ketiga - memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada Yang DiPertuan Agong kepada Perdana Menteri, yang tidak terikat untuk mendengar nasihat dari sesiapapun. (Untuk rekod, sebelum pindaan ini dibuat pun, Yang DiPertuan Agong hanya bertindak mengisytiharkan darurat berdasarkan nasihat jemaah menteri).


Setelah berbincang dengan Raja-Raja yang lain, Yang DiPertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan ( pindaan ) itu. Raja-Raja Melayu bertegas bahawa rang undang-undang itu bercanggah dengan Artikel 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ’tiada undang-undang yang secara langsung memberi kesan kepada kemuliaan, maruah dan keistimewaan Raja-Raja Melayu’ boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-raja.


Raja-Raja Melayu juga faham sepenuhnya implikasi perundangan apabila perkenan DiRaja untuk sesuatu undang-undang dihapuskan. Ini bermakna, apabila ahli-ahli Parlimen telah mengundi untuk menghapuskan sistem beraja, Duli-duli YMM Sultan tidak ada kuasa untuk menghalang mereka.


Pindaan itu telah mencetuskan krisis perlembagaan yang parah. UMNO menganjurkan siri rapat umum menghentam Raja-Raja di seluruh Negara dan telah meletakkan kedudukan Raja di pandang amat hina oleh rakyat. RTM dan TV3 menyiarkan bermacam-macam cerita perihal kezaliman Raja-Raja Melayu. Filem dan dokumentari yang menonjolkan kezaliman Raja-Raja disiarkan berulangkali sepanjang tempoh krisis itu.


Akhbar-akhbar kawalan UMNO menyiarkan gambar pentas DiRaja di Stadium Merdeka digunakan oleh jurugambar untuk merakam perlawanan bolasepak, dengan tujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa Raja sudah tidak perlu dihormati lagi.


UMNO menggunakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengarahkan sekatan penyiaran berita (press blackout) tentang rang undang-undang (pindaan) perlembagaan itu. Walaupun berita mengenai kelulusan rang undang-undang itu disiarkan, tetapi kandungannya tidak dimaklumkan rakyat. Langkah itu ditentang hebat oleh Lim Kit Siang ketika perbahasan di Parlimen.


Sepanjang 2 bulan berikutnya tiada sebarang laporan berhubung undang-undang itu media massa, tetapi suara mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu tetap kedengaran di kalangan rakyat peringkat bawahan.


Aliran (sebuah pertubuhan) mengeluarkan satu kenyataan mengutuk rang undang-undang (pindaan) perlembagaan tersebut dan menyifatkan pindaan yang dicadangkan itu membuka pintu kepada salahguna kuasa.


"Perdana Menteri diketahui sebagai seorang personaliti politik yang banyak terlibat dalam konflik dan kompromi politik kepartian. Tiada mekanisme perlembagaan yang dapat memastikan Perdana Menteri tidak akan menggunakan kuasa mengisytiharkan darurat untuk menindas mana-mana musuh politiknya."


"Sememangnya mustahil untuk menghalang seorang PM yang bernafsu besar dari bertukar menjadi 'supremo' selepas sesuatu darurat diistiharkan pada masa depan."


Rakyat Malaysia secara umumnya hanya menyedari krisis itu selepas Oktober 1983 apabila Dato’ Senu Abdul Rahman mengedarkan satu surat kutukan ke atas pindaan-pindaan tersebut. Ini diikuti oleh Tunku Abdul Rahman yang ingkar kepada sekatan berita JPM dengan menulis bantahannya di akhbar The Star.


Gordon P. Means dalam buku bertajuk 'Malaysian Politics : the Second Generation' telah menyatakan " Banyak pihak yang tertekan disebabkan isi kandungan pindaan itu dan perangai konfrontasi yang digunakan oleh UMNO terhadap Raja-Raja Melayu."


Krisis ini menjadi bukti UMNO adalah penderhaka kepada Raja-Raja Melayu yang tiada tolok bandingnya. Mujur UMNO sudah tiada majoriti 2/3 di parlimen. Jika mereka masih memiliki majoriti itu, penggubalan akta baru yang memberi kesan lebih teruk kepada Institusi Raja mungkin berlaku lagi. Tidak mustahil jawatan Yang DiPertuan Agong akan tinggal sejarah sahaja kerana amukan UMNO.


Namun begitu jika tersepit, UMNO cukup licik bersandar kepada Raja-Raja Melayu untuk melepaskan diridaripada masalah yang dihadapi. Ketika UMNO mengalami kemerosotan sokongan rakyat akibat pertambahan kecenderungan sokongan kepada PAS, mereka cuba menggunakan Majlis Raja-Raja untuk mengharamkan penggunaan nama Islam pada semua parti-parti politik. Mujur Raja-Raja tidak menerima desakan UMNO itu.


Dulu, kini dan selama-lamanya - inilah wajah sebenar UMNO. Sejarah akan tetap menceritakan perkara sebenar walau pun UMNO cuba membohonginya.




UMNO Penderhaka Sebenar - Krisis Perlembagaan 1990 - 1993


Selepas kalah teruk di Kelantan dalam pilihanraya umum 1990, UMNO sekali lagi bertembung dengan Raja-Raja. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1991, pemimpin dan perwakilan UMNO menghamburkan kritikan-kritikan yang pedas, tajam , kurang ajar dan tidak beradab terhadap Raja-Raja melayu.


Istana Kelantan dihentam secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN. Raja-Raja negeri lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan termasuk menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan pelbagai kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran. (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m/s 13).


Ahli MT UMNO, Ibrahim Ali mengetuai demontrasi di hadapan Bangunan UMNO Kelantan membantah Sultan yang dituduh melibatkan diri dalam urusan politik sehingga mengakibatkan kekalahan UMNO. Antara sepanduk yang dijulang ketika demostrasi itu tertulis kata-kata penghinaan:


“Hei Smail (Sultan Ismail Petra) kalu berani masuklah politik …, Anis (Raja Perempuan) di atas Smail di bawah”


Dalam Perhimpunan Agung UMNO, Dato’ Alwi Che Ahmad (Ketua Penerangan UMNO Kelantan) memberi amaran kepada Sultan Kelantan agar jangan mencampuri urusan politik.


Media kawalan UMNO menyiarkan berita bergambar tentang tindakan Sultan Kelantan melarikan kereta Lamborghini Diablo milik baginda dari stor simpanan kastam.


Seterusnya UMNO menggerakkan usaha besar-besaran menghina dan memalukan Raja-Raja Melayu dengan tujuan mendapatkan sokongan bagi meminda perlembagaan persekutuan dan negeri-negeri dalam hal yang berkaitan dengan keistimewaan tertentu Raja-Raja.


UMNO Selangor pimpinan Mohd Mat Taib telah menetapkan resolusi empat perkara untuk dikemukakan dalam Perhimpunan Agong UMNO 1991:


Pertama - Menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dan menyenaraikan semua harta, tanah dan projek yang telah diluluskan kepada Raja sama ada secara langsung atau melalui 'Kapitan Cina'.


Kedua - Meminta Presiden UMNO supaya bertindak tegas atau memecat mana-mana ahli exco atau wakil rakyat yang hipokrit dan bermuka-muka sedangkan mereka terlibat menghasut Raja-Raja untuk kepentingan diri sendiri.


Ketiga - Meminda perlembagaan supaya kuasa mutlak melantik Menteri Besar, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri adalah dalam bidang kuasa pucuk pimpinan parti yang memerintah, iaitu bukan dalam bidang kuasa Raja-Raja.


Keempat - Memberi mandat dan sokongan penuh kepada Presiden UMNO dalam menghadapi dan mengetuai isu Raja-Raja Melayu secara umumnya, samada menerusi pindaan perlembagaan atau apa juga langkah yang perlu.


Pada 18 Januari 1993 UMNO membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang bertujuan menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu.


Berikut adalah petikan sebahagian daripada butiran ucapan Perdana Menteri (UMNO) ketika membentangkan Rang Undang-Undang tersebut:


Perenggan 3. “ .... semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.”


Perenggan 7. “ .... selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapok di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas Negara. ”


Perenggan 9. “ .... Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan. “


Perenggan 21. “ .... sama ada dengan pindaan atau tidak, maka rang undang-undang itu akan menjadi undang-undang yang sah dalam jangkamasa 30 hari (Perkara 66(4) Perlembagaan) walaupun tidak ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. ”


Perenggan 25. “ .... dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku. “


Perenggan 50. “ .... Penulis ini menyatakan, dengan izin, `All intelligent Malay leaders ought now seriously to give most profound and careful thought to the question whether the time has not ar- rived when the Malay Royalty (I mean the Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves altogether`. “


Perenggan 51. “ .... Jika pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia tidak mungkin wujud semula pada tahun 1993 jika Raja-Raja tidak dihalang daripada melakukan perbuatan- perbuatan yang tidak diingini? ”

Perenggan 52. “ .... Raja yang sedar akan tahu bahawa perbuatan tidak menghiraukan perasaan dan pandangan masyarakat akan menyebabkan rakyat akhirnya menyingkirkan Raja, bahkan menghapuskan Sistem Beraja. Inilah yang berlaku di negara- negara lain yang sekarang menjadi republik. “


Majlis Raja-Raja meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut. Keputusan itu tidak disenangi oleh UMNO. Berikutan penangguhan itu, pemimpin UMNO menyerang istana dengan mendedahkan salah laku Raja-Raja dan anggota Kerabat DiRaja hampir semua negeri. UMNO mengulangi taktik mengaibkan Raja-Raja seperti yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. TV, radio dan akhbar diheret mencerca istana setiap masa. Raja-Raja tidak berpeluang mempertahankan diri kerana mereka tidak menguasai media. Kelebihan itu digunakan oleh UMNO untuk mengasak Raja-Raja supaya segera menandatangani rang undang-undang perlembagaan (pindaan) yang telah diluluskan di Parlimen itu.


Siri perhimpunan haram diadakan di seluruh negara untuk menunjukkan sokongan rakyat terhadap kemahuan UMNO. Rapat umum raksaksa di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka tercatat dalam sejarah sebagai medan paling hebat mencaci Raja-Raja Melayu.


UMNO Kelantan bertindak menghina Sultan dengan amat dahsyat. Pada 29 April 1993, Annuar Musa mengetuai perarakan dari Kuala Lumpur ke Kelantan membawa Tengku Ibrahim Petra (sepupu kepada Sultan Kelantan) dan mengadakan upacara pertabalan Tengku Ibrahim sebagai Sultan Kelantan yang baru. Majlis pertabalan itu diadakan dengan matlamat menunjukkan kuasa UMNO kepada rakyat dan Sultan.


Ketika Program SEMARAK di Lubok Jong Pasir Mas, Tan Sri Mohamed Yaacob memimpin perarakan ke istana dan menyerahkan memorandum mendesak Sultan Kelantan turun daripada takhta.


Shahidan Kassim turut menghina Sultan Kelantan dengan kenyataanya “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta” dan “saya ada bukti Ismail Petra tak layak”. (Berita Harian 11 Jun 1993)


Sepanjang Perhimpunan Agong UMNO 1993, hampir semua pembahas telah mengecam Raja-Raja dan mendesak supaya kekebalan Raja-Raja dihapuskan. Kecaman dan penghinaan itu disambut dengan sokongan lebih seribu perwakilan yang hadir. Seorang perwakilan daripada Bahagian Raub iaitu peguam Zainal Abidin Ahmad telah berucap membantah usul itu. Malangnya dia di’boo’, dimarahi, dikutuk dan dicap sebagai pengkhianat lalu diusir keluar daripada dewan persidangan.


Selepas perhimpunan itu, UMNO meneruskan langkah menghina Raja-Raja tanpa rasa belas kasihan dan di luar adat budaya Melayu. Media kawalan UMNO menyebarkan kisah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan menyimpan minuman keras di istana baginda, menjelang perlantikan baginda sebagai Yang DiPertuan Agong. Langkah memalukan bakal Yang DiPertuan Agong itu bertujuan memberi tekanan kepada baginda berhubung krisis cadangan pindaan perlembagaan menghapuskan imuniti Raja-Raja.


Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Mohd Mat Taib lebih biadap lagi apabila tergamak bertindak ‘kahwin lari’ dengan Tengku Puteri Zahariah, anakanda Sultan Selangor. Sultan Sallahuddin Abdul Aziz amat terluka dengan biadab dan derhaka boss UMNO Selangor itu. Dalam satu siaran berita TV, apabila ditanya oleh wartawan tentang Menteri Besar itu, Tuanku menjawab “Kalau bagi kat Mamat tu habislah dengan-dengan saya kena pindah kat Pulau Ketam”. Jawapan itu cukup menyerlahkan kekecewaan baginda terhadap Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu.


Sultan Pahang turut dimalukan oleh media kawalan UMNO. Baginda digambarkan sebagai seorang Sultan yang mempunyai harta kemewahan melampau dan membazir, kerana baginda mempunyai kapalterbang peribadi ketika itu. Gambar kapal terbang itu disiarkan dalam hampir semua media kawalan UMNO.


Sultan Johor dimalukan dengan pendedahan pelbagai tuduhan dan skandal melibatkan baginda dan beberapa orang kerabat baginda. Antaranya, kisah Tengku Majid memukul penjaga gol pasukan hoki Perak selepas satu perlawanan di SUKMA 92. Tengku Majid ketika itu mewakili pasukan hoki Johor. Berita itu dipaparkan dengan penuh sensasi atas kehendak UMNO.


UMNO mengenakan tekanan yang cukup dahsyat kepada Sultan Johor sehingga baginda terpaksa membubarkan Pasukan Timbalan Setia Negeri iaitu pasukan askar peribadi yang sejak lama berkhidmat kepada baginda.


Sultan Terengganu, Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Syah telah diugut oleh UMNO untuk diturunkan dari tahta dengan menggunakan Tengku Ali. Dengan sokongan UMNO, Tengku Ali mengemukakan tuntutan di mahkamah agar dikembalikan takhta Sultan kepadanya dengan dakwaan pemecatan beliau sebagai Sultan pada zaman pemerintahan Jepun adalah tidak sah. Kes itu akhirnya ditolak oleh mahkamah.


Beberapa orang menteri UMNO turut mendedahkan skandal pemilikan harta oleh Raja-Raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada Raja tertentu. Turut didedahkan bahawa tiap-tiap Sultan telah ditawarkan 100,000 unit saham Telekom.


Pada 10 Disember 1993, UMNO mengemukakan usul khas di sidang Dewan Rakyat mengenai kes Douglas Gomez yang telah dicederakan oleh Sultan Johor di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Pendedahan yang mengaibkan Sultan Johor itu dilakukan untuk memberi tekanan kepada Raja-Raja supaya tidak menentang cadangan pindaan Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan oleh UMNO.


Shahidan Kassim mendedahkan keburukan keluarga Sultan Johor dengan dakwaan melakukan 23 kes penganiayaan ke atas rakyat termasuk memukul, mencedera dan merogol sejak tahun 1972. Keburukan semua Sultan didedahkan secara terang-terangan.


Selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh UMNO, Mahkamah Khas Raja-raja Melayu ditubuhkan untuk membolehkan Raja-Raja diambil tindakan undang-undang oleh sesiapa saja. Peristiwa ini berjaya menghakis martabat dan keagungan Raja-Raja yang asalnya bebas daripada sebarang kuasa untuk dikenakan tindakan undang-undang.


Kelantan yang dikuasai PAS adalah satu-satunya negeri yang mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu ketika itu.


UMNO Penderhaka Sebenar - Derhaka 2008


Pada 23 Mac 2008, UMNO mengadakan demonstrasi di perkarangan Sri Iman, kediaman resmi Menteri Besar Terengganu, menentang keputusan istana tidak memperkenankan pelantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Mereka menyanggah Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Antara slogan pada kain rentang yang disediakan oleh UMNO ialah “Kami Nak Idris, Natang! (binatang)” yang disiarkan secara meluas oleh TV.



Kes yang hampir sama turut berlaku di Perlis apabila Raja Perlis tidak mahu memperkenankan perlantikan Menteri Besar yang dinamakan oleh Presiden UMNO iaitu Shahidan Kasim. Raja berkenan melantik Dr. Mat Isa Sabu. Shahidan Kassim memboikot majlis angkat sumpah Dr. Isa sebagai Menteri Besar. Pertembungan di antara UMNO dan Istana berlaku selama dua minggu dengan pelbagai kenyataan derhaka oleh pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Istana Perlis.


Comments :

4 comments to “KOLEKSI PENDERHAKAAN UMNO”
Anonymous said...
on 

selama iman tiada bertakhta di hati dan amal tidak meghiasi peribadi maka syaitan laknatuLlah yang menguasai jiwa..,itulah umno yang asas perjuangannya adalah ASSABIYAH..aku pernah berada dalam majlis umno (hanya sekali dan aku rasa ini bukan tempat aku).majlis yang meloyakan..asabiyah yang melampau,sekaligus menafikan KHALIQ dan ALIM nya ALLAH menciptakan pelbagai kaum dan bangsa di maya pada ini..so lets spread those above facts to all malaysians. make them know the truth..salute cyberboron.

Anonymous said...
on 

itu semua ada hikmah...bukan semua raja baik.......umno sah tak baik.

tamangemilang said...
on 

penuh dengan fakta..

umno oh umno , tunggu masa nak jatuh gedebuk saja

noris said...
on 

bagus cyberboron..

umno perosak bangsa..

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini