MELAYU PERLU BANGUN DARI MIMPI - 1/10

MELAYU PERLU BANGUN DARI MIMPI – siri 1/10

Semua bangsa ada jiwanya yang tersendiri. Ada satu semangat yang tak dapat diungkap sepenuhnya dengan hanya susunan kata-kata. Ada perasaan yang unik. Ada rasa tanggungjawab. Ada daya membela. Ada desakan halus untuk memelihara maruah. Ada cetusan fikir tentang darjat dan martabat. Mungkin ada seribu lagi nyawa bagi jiwa bangsa itu.

Bangsa Melayu juga begitu jiwanya.

Kalau terdengar ada perkelahian antara orang Melayu dengan orang bangsa lain, jiwa kita cepat berasa mahu membela. Banyak insiden Melayu membela Melayu tanpa lebih dulu usul periksa pun. Kalau kebetulan terserempak dengan peristiwa kemalangan jalanraya, kebanyakan kita akan bertanya “Melayu ke?”. Kita lebih bersungguh-sungguh membantu jika mangsa kemalangan itu sebangsa dengan kita. Hati kita amat terusik kalau terjumpa orang Melayu yang merempat dan melarat. Simpati pasti membuak-buak. Kalau yang kedana itu bangsa lain, ada juga rasa simpati tetapi tidaklah setaraf rasa pada bangsa sendiri. Itulah realiti jiwa bangsa.

Di sebalik realiti itu, semua bangsa termasuk bangsa Melayu berbalah juga sesama sendiri. Bangsa Arab yang lebih kuat ikatan bangsanya itu pun, berkelahi juga sesama mereka. Melayu pun begitu. Sepanjang sejarah yang ada catatannya, kehidupan bangsa Melayu diwarnai pelbagai krisis antara individu, kelompok atau institusi yang lebih besar seperti daerah dan negeri.

Melayu moden tak pernah ‘satu’ sejak belum merdeka lagi. Ada kelompok kanan dan ada kelompok kiri. Ada yang menentang penjajah dan ada yang bekerja sebagai penjawat awam kerajaan penjajah. Ada Kaum Muda dan ada Kaum Tua. Ada nasionalis, ada islamis, ada liberalis, ada sosialis bahkan ada yang komunis. Orang Melayu tetap satu bangsanya iaitu bangsa Melayu tetapi pemikiran dan hala tuju sentiasa berbeza antara sebahagian dengan yang lain.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Apakah Melayu itu satu sistem hidup atau satu fahaman atau satu idealisme yang boleh dijunjung dan diperjuangkan?

Melayu cuma salah satu bangsa daripada beribu-ribu bangsa yang wujud di dunia. Secara akademik, bangsa Melayu itu cuma satu kumpulan manusia yang susur galur keturunannya berpunca dari nenek moyang yang sama. Ikatan bangsa Melayu adalah ikatan kekeluargaan yang besar.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Asal usulnya, setiap keluarga ada corak kehidupannya yang tersendiri dan berbeza (sedikit atau banyak) dengan amalan kehidupan keluarga lain. Corak dan amalan itu berkembang bersama pembesaran rantaian keluarga itu. Sebahagian daripadanya menjadi amalan bersama. Maka terbentuklah budaya. Budaya sebuah keluarga besar bernama bangsa Melayu. Ada bahasa, upacara, pakaian, makanan, keramaian, permainan, hiburan dan adat istiadat. Di celah-celah corak dan amalan itu, muncullah semangat dan jiwa yang dipupuk sehingga lahir istilah cinta kepada bangsa.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Keris, cokmar, tengkolok, selepang, capal, keronsang dan kebaya hanyalah pakaian. Zapin, gamelan, dondang sayang, dikir barat, kuda kepang dan mak yong hanyalah tari dan nyanyi yang dipersembahkan semasa upacara keramaian. Silat gayong, silat lincah, silat pulut dan silat sendeng hanyalah seni mempertahankan diri. Semua itu hanya sejarah bangsa Melayu. Walau pun masih dipakai, ditari, dinyanyi dan dipencak sehingga hari ini namun sifat kewujudannya kini cuma sebagai kenangan yang dipertahankan. Ia bukan harta yang boleh berkembang dan bukan perkakas yang boleh menjulang martabat bangsa. Cuma janganlah warisan itu hilang begitu saja.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Apakah bangsa Melayu ada kelebihan khas yang meletakkan ia setingkat atau beberapa tingkat lebih tinggi daripada bangsa lain? Bangsa Quraish berbangga dengan kelebihan mereka sebagai keluarga Rasulullah SAW. Bangsa Yahudi berbangga dengan dakwaan memiliki kelebihan IQ dan kecerdasan minda. Bangsa Eropah berbangga dengan kelebihan mendominasi ilmu dan politik dunia moden. Bangsa Melayu ada apa?

Tun Mahathir dalam bukunya Malay Dilemma menyifatkan Melayu sebagai bangsa yang lemah dan lembap. Disebabkan keyakinannya itu juga, dia mengungkapkan kata-kata “Melayu mudah lupa” 40 tahun selepas menulis kitab Malay Dilemma. Apakah Tun Mahathir betul?

Kalau Melayu memang lemah, lembap dan mudah lupa, bagaimana boleh lahir puluhan ribu profesional Melayu yang hebat termasuk Tun sendiri? Maka logiknya Melayu bukan lemah dan lembap kerana faktor bangsa atau keturunannya. Melayu ketinggalan kerana sikap yang terhasil daripada budaya kehidupannya. Melayu lemah kerana memilih untuk lemah. Melayu lembap kerana cuai dan lalai.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? UMNO melaungkan perjuangan bangsa Melayu sejak lebih 50 tahun. UMNO mahu mendaulatkan apa? Mendaulatkan bangsa Melayu? Bagaimana bentuk sebenar kedaulatan bangsa Melayu yang UMNO perjuangkan?

Kalau maksud kedaulatan Melayu itu pada ketuanannya di tanahair ini, memang Melayu sudah mengepalai pemerintahan negara sejak dulu lagi. 5 Perdana Menteri negara ini sejak merdeka hingga kini adalah orang Melayu. Melayu UMNO.

Kalau maksud kedaulatan Melayu itu pada bersinggahsana Raja-Rajanya, memang sampai saat ini baginda semua masih bertakhta di istana. Cuma kuasa Raja-Raja Melayu telah berkurang sedikit setelah dua kali UMNO mengecilkan peranan Raja melalui pindaan Perlembagaan Malaysia.

Ada satu perkara sahaja yang masih ada ruang untuk diperjuangkan iaitu kalau maksud kedaulatan Melayu itu ialah perihal menguasai khazanah tanahair. Bangsa Melayu masih tertinggal jauh berbanding bangsa lain hampir dalam semua bidang. Bangsa lain terus membeli tanah daripada bangsa Melayu yang pandai menjual tanah. Bangsa lain membesarkan perniagaan ketika bangsa Melayu berbondong-bondong gulung tikar. Bangsa Melayu masih tak dapat mengejar bilangan profesional bangsa lain walau pun universiti bertambah banyak. Bangsa Melayu masih ke hulu ke hilir memohon untuk jadi kuli di firma dan syarikat milik bangsa lain.

Apa yang ada pada bangsa Melayu untuk mencapai matlamat perjuangan menguasai khazanah tanahair ini? Bangsa Melayu ada UMNO! Kebanyakan orang Melayu pun memang berada dalam UMNO. Sudah 50 tahun orang Melayu memberikan kepercayaan kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa. UMNO ada kuasa politik. Kuasa itu cukup besar untuk membolehkan bangsa Melayu mendapat kemudahan, peluang dan bimbingan. Kebetulan pula tanahair ini kaya dengan pelbagai sumber. Hasil negara amat besar. Tetapi bangsa Melayu terus tertinggal. Apa masalahnya?

Masalah utamanya ialah UMNO. Parti yang kononnya memperjuangkan nasib bangsa Melayu itu sebenarnya tidak pernah betul-betul peduli tentang bangsa. Rangkai kata ‘bangsa Melayu’ hanya alat untuk mendapatkan kuasa. Masalah yang lebih besar ialah mereka sendiri tidak menyedari hakikat perilaku mereka. UMNO kecil dan UMNO besar itu kebanyakannya masih percaya bahawa mereka telah dan sedang mempertahankan hak bangsa Melayu. Apabila sudah begitu keadaannya maka sukarlah untuk menghentikan keterlanjuran. Payahlah nak memperbaiki keadaan.

Tanyalah pada pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian, nescaya ternyata survival bangsa bukanlah agenda penglibatan mereka dalam politik. Agenda mereka ialah habuan untuk diri dan keluarga. Sambil mengumpul seberapa yang dapat, terpaksa jugalah berkongsi habuan itu dengan rakan-rakan tertentu iaitu sesiapa yang boleh memudahkan misi peribadi yang asal.

Demi kedudukan dalam parti dan habuan untuk diri, Melayu UMNO tak pernah peduli hak atau masa depan bangsa. Hampir 2 juta hektar Tanah Rizab Melayu telah bertukar statusnya dan menjadi milik bangsa lain. Siapa punya angkara? Semua itu adalah hasil perbuatan Melayu UMNO. Bercambah tumbuh premis kediaman dan perniagaan bangsa lain di merata bandar dan pekan bahkan sampai ke kampung-kampung, siapa yang berkuasa memberi laluan? Undang-undang, polisi dan kelulusan adalah ditangan pihak berkuasa. Siapa yang berkuasa? UMNO!

Bangsa Melayu terus tercicir. Orang Melayu masih ramai yang miskin bahkan fakir. Pendapatan isi rumah keluarga Melayu adalah yang paling rendah berbanding bangsa lain. Hampir 40% hutang TEKUN, hutang MARA, hutang Micro Credit, hutang Amanah Ikhtiar dan hutang Ah Long tertunggak tak dapat dibayar oleh peminjam bangsa Melayu. Kebanyakannya ahli UMNO. Sebab apa? Sebab pendapatan terhad! Projek tak berdaya maju. Ruang peluang yang kecil. Bimbingan sekadar melepas batuk ditangga. Siapa yang paling mampu menyelesaikan masalah-masalah ini? Satu-satunya pihak yang boleh menyelesaikannya ialah kerajaan. Siapa yang menguasai kerajaan? UMNO!

Tanyalah pada wakil-wakil rakyat UMNO tentang agenda meningkatkan taraf hidup orang Melayu di kawasan mereka, nescaya terkebil-kebil Yang Berhormat itu nak menjawabnya. Kalau kebetulan teringat, Yang Berhormat akan jawab dengan cerita dana IKS, kemudahan pinjaman, program latihan kemahiran dan satu dua lagi program pembangunan yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian. Program Yang Berhormat sendiri? illek poochik!

Masalah kedua tetapi lebih utama ialah pemikiran orang Melayu UMNO yang kebanyakan. Ahli biasa dan AJK UMNO cawangan. Jiwa UMNO kelompok ini lebih kental daripada pemimpin-pemimpin UMNO. Mati hidup balik pun tetap UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO tahu bahawa pembelaan nasib bangsa bukan agenda UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO tahu pengkhianatan yang dilakukan oleh parti itu terhadap bangsa Melayu. Mereka sendiri pun sebahagian daripada pelaksana pengkhianatan itu. Tetapi perkara itu tak bolehlah diakui apatah lagi diberitahu kepada ahli-ahli biasa yang akan mengundi lagi dalam pilihanraya seterusnya. Perjuangan hak dan kedaulatan bangsa mesti terus dilagukan semerdu mungkin supaya pemimpin boleh terus berkuasa. Ahli biasa cukuplah dengan peruntukan seribu dua sekali sekala.

Bangsa Melayu perlu belajar sifir politik dan kehidupan. Melayu UMNO di kampung-kampung perlu menguasai ilmu hisab atau matematik. Melayu perlu belajar ilmu pentadbiran, ekonomi, undang-undang dan sejarah. Turun naik indeks komposit dan pergerakan nilai tukaran Ringgit-USD serta kaitannya dengan kehidupan kita, juga mesti diambil tahu. Bangsa Melayu perlu ambil tahu bagaimana dan ke mana leburnya berbilion wang rakyat di KWSP dan Tabung Haji. Bangsa Melayu perlu ambil tahu mengapa kediaman resmi Perdana Menteri dan Timbalannya disewa dengan nilai ratusan juta ringgit setahun. Melayu UMNO perlu ambil tahu kekayaan luar biasa anak menantu wakil-wakil rakyat mereka. Selagi ahli biasa UMNO tidak tahu semua perkara ini, maka selagi itulah nasib bangsa Melayu tak terbela dan malang sentiasa.

Comments :

6 comments to “MELAYU PERLU BANGUN DARI MIMPI - 1/10”
Mamamat said...
on 

Salam Ustaz
Ada lagi yang istimewanya Melayu .. kuat dengki dari cari rezeki, kuat amuk tanpa usul periksa dan kuat berfantasia daripada berfakta.
Tulisan ustaz boleh buat tesis PhD ni ..
Tahniah.

Anonymous said...
on 

mana ada ok, tulisan kali ini kurang fakta.hujah bagus termasuk isu dan sejarah.kupasan fakta tak berapa kemas.klu merujuk sesuatu isu tlg ceritakan,bagaimana ruman pm n tpm diputrajaya boleh dikira sewa pula?dan berapa jumlahnya?melibat tabong haji dan wang kwsp,tak ada jumlah dan tarikh.mungkin sy terlepas pandang ,tp pembaca baru mau tau .

cyberboron said...
on 

Tuan mamamat,
ini tesis PhD UniKaLima kulup sakah.

Tuan anonym,
terimakasih, teguran & cadangan bernas. insyaallah saya usahakan supaya ada pautan pada setiap isu yang perlu details dalam siri berikutnya. sekali lagi, terima kasih.

golokperak said...
on 

kebanyakan YB hanya bercerita tentang peruntukan yang akan datang,orang kampung hanya dengar (halua telinga),jenis apa ,untuk apa ,macam mana dan syarat syarat untuk menerima peruntukan kebiasaan tak ada pada orang kampung.Bila peruntukan sampai yang mempunyai cukup syarat terdiri daripada taukeh besar, kronikroni dan sedikit yang terlepas pada org lain.Kebanyakan kroni pun hanya berukkera pada taukeh besar. Perkara ini terjadi kerana YB kurang membuat kajian dan kurang idea untuk memajukan orang kampung.Hinggakan bisnes Yb sendiri 100% dijalankan oleh taukeh besar .Segala program datang dari pusat dan kebisaannya kurang sesuai dng penduduk kampung,kalau mengharapkan program dan idea YB sendiri entah bila dapat dibuat.Gajah putih ,tiada sambutan dari penduduk adalah perkara biasa kita ketahui.Segala program pusat tidak memerlukan YB , kerana ia telah ada pelaksana terdiri dari jabatan kerajaan,Perbezaan ketara kawasan melayu ,cina ,india dari segi pembangunan,lebih ketara kawasan dikuasai pembangkang.Hal ini terjadi kerana Kebanyakan YB bangsa lain rajin mencetuskan idea untuk memajukan kawasan mereka disamping tidak ketinggalan bermesuarat diDUN atau diparliament,berbeza dng YB kita yang menumpukan masa kpd bisnes sendiri.Sampai bila melayu hanya layak menerima PPRT,duit raya,anak ayam,bantuan fakir miskin,tandas curah dan berbagai lagi bantuan kelas tiga di musim pilihanraya.Padahal bantuan besar seperti geran tahunan ,subsidi diesel,pertanian dan pengecualian cukai dimonopoli oleh bangsa lain.

Anonymous said...
on 

nampaknya GOLOKPERAK dah makin tajam.. syabasss
hari2 dok asah belakang golok pun boleh tajam..he he

Anonymous said...
on 

SALAM PERJUANGAN, BENAR TULISAN TUAN INI...KASIHAN MELAYU; DITIPU & DIJAJAH OLEH BANGSANYA SENDIRI...PEMIMPIN UMNO NI CUMA SIBUK DGN $ & PROJEK JE, MANA ADA MASA NAK FIKIR SERIUS PSL NASIB MELAYU2 NI...MEREKA CUMA 'MENGGUNAKAN MELAYU'WAKTU PILIHANRAYA JE..SB NAK UNDI...SB ITU POLITIK SEMPIT KEBANGSAAN INI MESTI KITA ORG MELAYU TINGGALKAN..KITA KEMBALI KEPADA 'AKAR' KITA ORG MELAYU IAITU ISLAM...KEMULIAN KITA BKN KERANA BANGSA KITA, TAPI KERANA ISLAMNYA KITA...KITA MESTI MEMILIH PEMIMPIN YG 'CERDIK'BG MENYELAMATKAN MELAYU..& UMAT KESELURUHANYA..DAN TAK DA PEMIMPIN YG CERDIK MELAINKAN PEMIMPIN 'YG BANYAK MENGINGATI MATI'..KITA KENA PILIH PEMIMPIN YG MENDAHULUI AKHIRAT DR DUNIANYA...MCMANA KITA; UMAT NABI YG AGONG INI BOLEH 'TERPESONG' BGITU JAUH DGN DAKYAH SEMPIT PEWARIS PENJAJAH (UMNO) INI SELAMA NI?...ASTAGFIRULLALLAHALAZZIM!..BALIK KITA TUAN2 ORG MELAYU KPD JATI DIRI KITA IAITU ISLAM...SEMUA DOKTRIN SEMPIT UMNO INI, YG MENGUNCI PEMIKIRAN KITA AKN 'DIBEBASKAN' OLEH ALLAH BILA KITA KEMBALI KPD 'FITRAH' KITA IAITU ISLAM....SEMOGA ALLAH MENYELAMAT KITA SEMUA !! AMINNNN!- TIADA KEMULIAN MELAINKAN DALAM ISLAM! TAKBIR!

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini