SEMBAH DERHAKA MEMANDA BENDAHARA

Sedutan Ucapan Ketua Pembangkang

Membahas Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

pada 25 Februari 2009.


Merujuk kepada perenggan 21 Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong

mengenai Keluhuran Perlembagaan:


Setelah setengah abad merdeka, Tuanku masih merasa perlu mengulangi gesaan agar rakyat memahami semangat Perlembagaan.


Sila rujuk preamble dalam pemasyhuran Perlembagaan yang diisytiharkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957:


“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan, berdasarkan demokrasi cara Parlimen.


Tiga perkara utama yang menjadi asas kepada pemasyhuran Perlembagaan adalah:


- keutamaan Raja-Raja Melayu,

- hak asasi dan kebebasan rakyat,

- sebuah negara aman makmur yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Perlembagaan.


UMNO ditubuhkan kerana mempertahankan institusi Raja, tetapi sejak tahun 80an kekuatan dan kuasa Raja dihakis oleh UMNO sendiri. Pada 18 Januari 1993, dalam ucapan di Parlimen, Perdana Menteri ketika itu menyebut:


“Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah satu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja dengan cara ini raja tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negara diri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.


Apakah kenyataan dan ayat terakhir itu tidak menghina Institusi Raja?


Kita menyokong pindaan itu dengan maksud mempertahankan kuasa Raja mengikut Perlembagaan dan selebihnya kuasa itu wajar dipulangkan kepada rakyat.


Bukan seperti apa yang berlaku sekarang, iaitu kuasa yang diambil dari Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dihadiahkan kepada pemimpin-pemimpin politik yang boleh bertindak lebih rakus seperti terbukti di sepanjang pemerintahan UMNO.


Bagi orang yang mencanangkan soal derhaka kepada Raja, sila rujuk semula sejarah Melayu. Sorot semula kisah si Kitol yang celaka bersama rakan konspirasinya Raja Mendaliar, seperti tercatat dalam teks klasik Sejarah Melayu. Akibat hasutan dan fitnah si Kitol bersama konspirasi Raja Mendaliar yang kaya melimpah ruah, akhirnya Laksamana termakan umpan lalu menyampaikan fitnah kepada Sultan bahawa Bendahara menderhaka. Sultan mengambil keputusan membunuh Bendahara dan seisi keluarga kecuali Tun Fatimah.


Rekayasa cerita ini adalah sama dengan kisah yang berlaku di Perak Darul Ridzuan. Muncul kembali si Kitol dan Raja Mendaliar moden. Ada yang terang dan ada yang berselindung.


Retorik ‘derhaka! derhaka! derhaka! itu hanya untuk melindungi pekung rasuah jenayah yang dilakukan. Orang yang mengaut kekayaan berbilion ringgit menjadi pejuang, yang miskin kerdil menjadi penderhaka. Sejak bila Sejarah Melayu mengajar kita begitu?


Menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak:


Saya berpendapat tindakan saman terhadap kerajaan negeri yang tidak sah itu adalah perlu, tetapi tidak perlu saman Tuanku Sultan. Yang Berhormat Bukit Gelugor memilih untuk menegur saya, dan ia dijadikan isu besar oleh Yang Berhormat Batu Pahat, kerana dalam tradisi dan budaya UMNO, Perdana Menteri tidak boleh ditegur. Tetapi dalam budaya Pakatan Rakyat, saya ditegur agak garang juga oleh singa Bukit Gelugor ini tetapi saya anggap sebagai teguran yang baik. Saya boleh menerimanya dan tidak ada masalah bagi saya. Kesepakatan dalam Pakatan Rakyat tidak sama seperti budaya dalam UMNO dan Barisan Nasional.


Dalam UMNO, apa yang diperintah oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri macam fatwa nabi semuanya. Itu sebabnya UMNO jadi rosak, punah dan tidak berani bangun untuk membuat teguran.


Sementara saya berbeza pendapat dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor mengenai soal menyaman Tuanku, saya menentang keras percubaan menghina beliau, menafikan hak beliau dan mengugut beliau untuk ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Beginikah caranya kita berunding? Kalau tidak setuju, berhujahlah


Dalam isu di Perak, Dato’ Seri Nizar berulang kali merujuk kepadada buku Governance Constitution Monarchy yang ditulis oleh Paduka Seri Sultan Perak yang kebetulan dikirim kepada saya semasa saya di penjara. Antara lain Tuanku menyebut tentang Constitution of Monarchy Rule of Law and Good Governance, dengan katanya:


under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of Parliament. His role is purely formal”.


Kita bertindak berdasarkan hujah Paduka Seri Sultan Perak sendiri. Apa yang derhakanya?


Perbuatan menghina atau memaki hamun istana perlu ditegur. Tetapi mengapa ditujukan hanya kepada kes Kuala Kangsar sahaja? Mengapa kita tidak tegur apabila ahli-ahli UMNO di Terengganu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dengan istilah yang paling kesat seperti diberitakan dalam akhbar?


Oleh kerana Institusi Raja ini dikaitkan dengan sejarah dan budaya Melayu, maka kitab-kitab klasik yang berkaitan harus disingkap semula.


Bukhari Al-Jauhari menulis di dalam kitab berjudul ‘Tajul Salatin Mahkota Segala Raja’(diterbitkan di Acheh sekitar tahun1603). Kata Bukhari Al-Jauhari:


“Sesungguhnya Allah Taala menitahkan akan adil dan ihsan dan barang siapa daripada Raja-Raja yang tiada dua peri ini padanya, tiada dapat dibilang Raja adanya”.


Tulisan ini bermaksud menasihati Raja. Orang yang menasihati Raja itu mengingatkan Raja-Raja. Apakah kenyataan ini kenyataan derhaka? Tidak!


Kenyataan ini tercerna dari perasaan kasih untuk mempertahankan Institusi Raja, bukan untuk mendukung semua keterlanjuran.


Kitab Hikayat Hang Tuah, bab 15, menceritakan kisah Bendahara Paduka Raja bertindak menyalahi keputusan Sultan Melaka ketika itu. Bendahara adalah seorang yang sangat taat kepada Raja. Tetapi dia tahu apa yang sebenarnya berlaku pada Hang Tuah. Apabila Tuanku Sultan menitahkan supaya Hang Tuah dibunuh, Bendahara memutuskan untuk tidak membunuh Tun Tuah lalu menyembunyikan di Hulu Melaka.


Inilah Bendahara yang pintar. Dalam sejarah Hang Tuah, Bendahara dianggap bijaksana. Ketika Raja terkenangkan Tuah di saat Jebat menderhaka, Bendahara Paduka Raja memohon sembah derhaka,”Ampun Tuanku, sembah derhaka patik sembahkan”. Bahasa sebegitu dibolehkan kerana ia bukan bermakna derhaka. Orang yang menjerit “Nizar derhaka” sebenarnya tidak faham istilah bahasa. Inilah masalah UMNO yang tidak faham.


Sembah derhaka Bendahara Paduka Raja bukan derhaka seperti Hang Jebat, malah sikap Memanda Menteri itu menyelamatkan keadaan. Karya klasik Melayu Hang Tuah itu sarat dengan contoh pembentukan peribadi dan kebudayaan kita, kemahiran pelbagai bahasa, penampilan ketokohan yang berani, handal, taat dan bijak.


Menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak:


Tiada salahnya menyebut ketuanan rakyat. Bila disebut begitu, tidak timbul langsung soal menghina Raja. Raja Melayu itu Raja rakyat Malaysia bukan Raja orang Melayu sahaja. Raja Melayu itu berdaulat atas takhta, pelindung rakyat Malaysia semuanya. Perkara ini diterima dan diiktiraf sama ada dalam Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Saya ada bukti yang ditandatangani bersama oleh Parti Keadilan, DAP dan PAS tentang mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu.


Kisah Mamanda Menteri itu ada persamaan dengan Edmund Burke yang berselisih pendapat dengan Thomas Paine penulis The Rights of Man. Pemikiran Burke tercurah dalam karya Reflections on French Revolution. Saya suka mengulang bicara tentang prinsip ini kerana media UMNO telah hilang pertimbangan lantaran takutkan kemaraan rakyat. Mereka menggunakan isu derhaka tetapi tidak melihat kepada isu yang pokok.


Saya tetap pertahankan hak Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah di Perak dan rakan-rakannya untuk mencabar Menteri Besar kerajaan haram yang baru dan rakan-rakannya di mahkamah. Ini cara kita, iaitu melalui proses mahkamah. Kita bukan derhaka, kerana sembah derhaka seperti yang dilakukan oleh Bendahara Paduka Raja itu adalah untuk menyelamatkan keadaan.

Comments :

1
golokperak said...
on 

NO CDMMENT

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini