HINDARI PENYAKIT UMNO

Mulanya aku terfikir ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada drama pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Tetapi istilah itu tak sesuai. Tentu ramai yang mungkin berkata UMNO bukan tempat untuk mempelajari apa pun. Barangkali tiada salahnya kalau aku katakan dalam drama itu ada sesuatu yang boleh dijadikan sempadan oleh Pakatan Rakyat.

Pemuda UMNO terbelah tiga . Khairi menang tetapi tidak mendapat sokongan majoriti. Dia hanya memperolehi 38.48 peratus daripada keseluruhan undi manakala Khir Toyo 32.15% dan Mukhriz 29.37%. Belahan undi hampir sama banyak di antara ketiga-tiga calon.

Insiden selepas keputusan pemilihan itu nyata menunjukkan pemuda UMNO berpecah teruk. Yang kalah tidak sanggup menerima hakikat kekalahan. Mereka memaki hamun Khairi dan penyokong-penyokongnya sehingga tercetus pergaduhan. Sepanjang tempoh pencalonan dan masa berkempen, setiap kem berhabis-habisan mengaibkan pesaing. Mereka saling menuding jari membuka pekung dan memfitnah sesama mereka sedangkan semuanya dalam satu wadah perjuangan (kalau boleh dikatakan perjuangan).

Akibatnya sangat jelas. Organisasi pemuda UMNO akan hancur berantakan. Serang menyerang dan bongkar membongkar pasti menyemarakkan kebencian dan dendam kesumat. Barah permusuhan itu akan membawa maut kepada pemuda UMNO.

Kehancuran seperti inilah yang aku risaukan. Janganlah ia terjadi di dalam mana-mana parti Pakatan Rakyat. Bukan saja dalam mana-mana satu parti, malah ikatan antara tiga parti utama iaitu PKR, PAS dan DAP.

Tugas membina persefahaman ketiga-tiga parti ini sangat mencabar. Asal usul kelahirannya berbeza. Fahaman yang dijunjung juga berbeza. Kaedah dan pendekatan jelas berbeza. Cuma di sebalik perbezaan itu ada beberapa prinsip dan matlamat yang sama. Persamaan itulah yang membuka laluan kepada kata sepakat untuk berjuang dalam satu wadah.

Kalau ada tolak ansur dan hormat menghormati dalam perbezaan yang pelbagai itu, diikuti kesediaan dan kejujuran untuk memupuk persamaan yang ada, insyaAllah pakatan ini akan bertahan lama menempuh getir perjuangan sehingga mencapai kemenangan.

Kalau masing-masing dijangkiti kuman UMNO yang bernama prejudis, sombong, bongkak, memandang rendah terhadap rakan, mementingkan diri sendiri, tamak, lupa diri, khianat dan tidak realistik maka tunggulah saat kehancuran. Jika Pakatan Rakyat juga rebah maka entah bila rakyat akan mengecap keadilan dan kemakmuran.

Aku lontarkan bahan fikir ini demi hasrat rakyat yang tinggi menggunung. PKR, PAS dan DAP wajib memupuk persefahaman yang masih muda ini sehingga subur membesar tegak ke langit. Kekuatan tidak akan lahir daripada ikatan yang bermuka-muka. Kejayaan tidak akan tercapai dengan persepakatan yang longgar dan prejudis.

Yang ada kelebihan janganlah mengungkit-ungkit kekurangan rakan. Yang ada kekurangan janganlah menafikannya dan membohongi diri. Yang ada kelebihan, bantulah rakan yang kekurangan. Yang ada kekurangan, usah malu meminta bantuan. Yang membantu janganlah sombong dan memperkecilkan sumbangan rakan. Yang perlu dibantu janganlah angkuh menafikan kelemahan diri.

Walau pun yakin banyak tugasan yang telah kita lakukan, mungkin kesannya tak sebesar mana bagi kemenangan yang dicari. Walau pun nampak hanya sedikit peranan rakan, mungkin hasilnya lebih besar daripada hasil usaha kita yang banyak itu. Jika beginilah minda pemimpin dan petugas semua parti dalam Pakatan Rakyat, detik kemenangan pasti sangat hampir.

Setakat ini persefahaman antara kita (tiga parti) telah berkembang. Banyak jurang perbezaan yang berjaya dirapatkan. Beberapa asas persamaan prinsip dan matlamat juga dapat disuburkan. Hubungan semakin serasi dan tidak kekok lagi. Pada dasarnya kita tetap tiga parti namun langkah dan hala tuju semakin hampir menjadi satu.

Harus diingat, mempertahankan pencapaian jauh lebih sukar daripada mengusahakannya. Begitulah juga halnya pada persepakatan ini. Di sebalik tautan yang dicapai, ada pagar yang masih memisahkan kita. Ada isu yang kita masih kurang berjaya menyelesaikannya. Ada ego yang masih belum bercerai dari jiwa kita. Ada saki baki prejudis yang sukar dikikis. Ada realiti yang masih belum mahu diakui oleh sebahagian dari kita.

Tugas kita ialah memecahkan pagar, menyelesaikan semua isu yang masih berbangkit, menceraikan ego dari jiwa kita dengan talak tiga, mengikis habis daki prejudis, berpijak dibumi nyata dan berdiri di atas realiti. Tercapai misi ini, berkuburlah UMNO-BN, berdaulatlah keadilan dan kemakmuran di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Comments :

4 comments to “HINDARI PENYAKIT UMNO”
Prof. Era Pasca said...
on 

salam…
mintak ambil perhatian dan tindakan kepada petualang agama ini.. lupakan sebentar parti anda.. please.. sebab ia dari MALAYSIA.. link nye..
http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/03/petualang-agama-baginda.html
http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/02/bangsat-yang-menghina-islam.html
POLIS ambil tindakan… kami nak rejam mereka sampai mati..

Anonymous said...
on 

Emmmm...kalau belajar ngan UMNO...
ibarat...anak murid belajar ngan
cikgu yg kencing berdiri sambil berlari

Unknown said...
on 

UMNO hanya memperdayakan kaum melayu, memainkan isu perkauman & agama. lagu-lagu seperti melayu tertindas, agama islam diancam, telah dinyanyikan selama 50 tahun. padahalnya, dia yang memerintah selama ini and boleh menggunakan segala kuasa kuasa agensi kerajaan untuk memlaksanakan segala rancangan. 52 tahun dah, melayu masih tertindas??? saya betul betul hairah siapa yang sebenarnya mengindas melayu.

kaum melayu patutlah sedar bahawa di bawah pemerintahan UMNO, walaupun diberi 400 tahun lagi, melayu tidak mungkin jadi gagah dan kuat. malang, mereka akan sentiasa merasa dirinya tergugat dan tiada kepercayaan pada diri sendiri kerana inilah teknik UMNO untuk membodohkan melayu supaya mereka terpaksa sentiasa bergantung pada mereka.

tibalah masanya untuk melayu mecuba parti yang lain membangunkan bangsa, negara and agama.

pemanduteksi said...
on 

DAP 1000x lebih baik dari UMNO.. aku x pernah dengar pemimpin dan ahli DAP didakwa kerana rasuah. Malah DAP juga lebih cemerlang rekodnya berbanding PKR...!

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini