Bengkak Pipi @ 1 Muharram

Assalamualaikum semua rakan taulan metromaya!

Aku dah pohon keampunan dari Yang Maha Berkuasa atas cuai-culas yang mungkin mengkreditkan dosa pada aku.

Posting penyambung bicara di subuh 3 Muharram ini aku mulakan dengan MAAFKAN AKU wahai mana-mana yang berkenaan.

Nombor wahid ... maafkan aku duhai abang Mat (MSK). Gitu juge lah aku pohonkan daripada pra-maya dan semua J-Pemaya.

Aku gagal hadir meeting kat KK tanpa beri notis. Tumpang sekaki rasa pedas cili yang abang Mat tenyeh kat dua exco kita yang tak rajin hadir meeting parti tu.

Sebelum aku terima surat tunjuk sebab, baik aku jawab dulu. Gini ceritanya ...

Balik dari program kat Ipoh 26 Disember bersama abang Mat tu, aku tumpor. Kaw2 punya tumpor. Gusi tua aku buat hal akibat gigi berlubang yang tak dicabut2. Tengah malam 27 Disember muka aku dah gemuk sebelah. Pipi labuh mata sepet. Kepala nyut2 sebelah kanan. MasyaAllah sakitnya. Kalau kira hukum sebab-akibat, itulah padahnya tabiat main tak kesah dengan penjagaan gigi ketika awal remaja dulu. Korang pun nampak pagar kat depan aku tu ada terowong. Itu kat depan ... kat belakang? malas cerita lah.

Harap2 ManjungMari ada petua baru untuk aku dan rakan2 lain yang ada problem lebih kureng aku.

28 Disember aku dah layak jadi pelakon filem 'alien' atau mungkin 'zombi'. Aku intai sekali dua kat cermin ... alamak! aku sendiri pun nampak lain macam benor. Macam tu ke rupa aku? Bermimpikah aku? Tidak! Memang aku lah tu! he he he berdrama la pulak.

29 Disember / 1 Muharram aku terus di atas tilam mengadap TV. Tonton sambutan maal hijrah sampailah istiadat pemakaman Yam Dipertuan Besar NS. Mujurlah permaisuri dan putera puteri aku tak jemu2 memicit2 badan aku yang lenguh terlentang 3 hari. Tak jemu juga menyuapkan moi ke mulut aku yang boleh buka sikit je. Puteri sulong aku yang dah 3 hari balik ke kampusnya kat Bangi pun berulangkali pukui telepon bertanya khabar. Alhamdulillah ... Yang cerita panjang lebor bab isteri & anak2 ni bukannye ape .. saje nak bagi motivasi kat sape2 yang belum kawin tu ... eh, matcomot dah kawin ke .. & janda bakaq apa habaq?

Gitu lah kisah 1 Muharram aku kali ini.

30 Disember aku gagahkan memandu Camry Saga 2.3 minus 1 kebanggaan aku tu membawa anakanda aku yang nombor 4 ke Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah kat Kampung Gajah. Nak ambik result PMR. Sepanjang perjalanan balik, putera aku tu tak berapa gamak nak beralih memandang muka aku sebab tak dapat 9A. Cuma ada habuan 7A je. Sebenornye aku okey je. tak marah pun. Tak sedih pun. 7A kira okey lah.

Yang aku sedih ...

JANGAN MUSNAHKAN JIWA ANAK-ANAK INI !!!!!!!!

Kat dinding luar pejabat sekolah tu dipamerkan senarai penuh calon + keputusan setiap matapelajaran. Ada lebih kurang 10 nama dipadam keputusan mereka tanpa dipadam nama. Dihujung garisan hitam tebal yang memadam keputusan2 tu, ditulis RM240.00, RM 170.00, RM310.00 dan beberapa jumlah lain.

Rupa2nya pelajar2 tu tak menyelesaikan bayaran yuran tahun 2008 sama ada yuran asrama, yuran komputer dan lain2.

ALAHAI CIKGU-CIKGI!!!!!! Tolonglah jangan buat macam tu. Kalau ye pun begitu peraturan resminya, toksah la main padam2 dan tulis jumlah duitnya macam tu. Apa salahnya kalau tak dipamirkan langsung keputusan penuh itu. Student boleh terus mendapatkan slip keputusan di pejabat atau di dewan. Kat luar dewan lekat notis besar "CALON2 PMR DIMINTA MENJELASKAN TUNGGAKAN YURAN 2008 SEBELUM MENGAMBIL SLIP KEPUTUSAN"

Kalau tulis macam tu, mak bapak dah boleh faham. Pelajar2 tu pun faham. Bahkan sebenarnya perkara tu dah pun dimaklumkan kepada pelajar sebelum cuti akhir tahun yang lalu.

Sebak dada aku. Confirmed gugur sebutir dua air mata aku ketika menyedari PADAMAN itu. Melompat2 mesin analisis dalam minda aku ... Ah! bagaimanalah agaknya perasaan pelajar2 tu ketika melihat keputusan mereka dipadam dicelah2 nama kawan2 lain yang tak dipadam ... apalah agaknya denyut rasa hati kecil mereka terhadap ibubapa mereka yang tak menyelesaikan bayaran yuran persekolahan mereka sedangkan mak bapak kawan2 lain okey je ... ADUH!!!! tak berdaya untuk aku andai2kan.

Tak berdaya langsungkah bijakwan2 dan pandaiwan2 yang mentadbir dan mengajar di sekolah itu untuk menghitung-rasa kebarangkalian2 yang boleh menjejaskan perasaan pelajar2 itu.

Oh! ke mana hilangnya roh persaudaraan ansar-muhajirin yang menunjangi episode Hijrah? Maal-Hijrah? Awal Muharram? Seakan tiada erti bagi ummat zaman ini.

Okey. Nanti aku sambung cerita politik. Bengkak pipi aku dah surut. Kita bengkakkan pula muka makhluk2 politik yang memegang tongkat sakti tetapi shakhtipoodah! chiit!

Baca Sepenuhnya..

Betul ke kita ni KERAJAAN?

Pagi ini aku tak peduli. Lantaklah orang nak kata apa pun. Aku tak peduli walau ramai UMNO baca tulisan aku ini. Aku tak peduli kalau orang PAS atau orang PKR kata aku ni membuka pekung di dada. Lantaklah apa pun penilaian korang pada aku.

Aku terpanggil untuk meluahkan apa yang sungguh-sungguh aku rasakan dalam diri aku. Luahan ini bukan setakat rasa hati. Otak aku pun dah luluskan untuk aku luahkan rasa meluat @ getik yang meronta-ronta lebih kurang sebulan lamanya.

Betul ke kita ni KERAJAAN. Kerajaan Pakatan Rakyat, bukan kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan yang dikuasai oleh parti-parti yang nak mendaulatkan rakyat. Yang anti-kronisme dan anti-nepotisme. Kerajaan yang betul-betul nak bangunkan rakyat. Kerajaan yang sungguh-sungguh nak meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerajaan yang prihatin. Good governance ape entah macam yang Kit Siang selalu cakap. Kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan yang takutkan azab Tuhan di akhirat. Kerajaan yang tak sanggup melengah-lengahkan apa jua keperluan rakyat. Kerajaan yang berintegriti. Kerajaan yang credible. Yang amanah. Sehingga tak tertulis - banyaknya prinsip dan gagasan yang kita kita junjung dan kita janjikan kepada rakyat.

Setakat ini memang kerajaan Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional sama ada di Perak atau di empat negeri yang lain. Kelantan memang telah sah membuktikan perbezaan itu.

Luahan aku ini merujuk khusus kepada negeri Perak.

Terus terang aku isytiharkan bahawa aku dan lebih sejuta rakyat Perak masih belum dapat merasakan perbezaan ketara antara kerajaan sekarang dan kerajaan dulu melainkan dalam beberapa perkara yang sedikit jumlahnya.

Janganlah engkorang ulangi cerita hebatnya MB Nizar, duit seribu untuk yang masuk universiti, tanah untuk sekolah cina dan sekolah agama, rm sejuta untuk orang miskin waktu harga minyak naik hari tu dan tiga empat cerita yang lain tu. Semua tu aku akui dan ucap syabas. Tapi jadi kerajaan bukanlah untuk buat beberapa perkara itu saja.

Aku bercakap bagi pihak majoriti rakyat terutama di kampung dan yang daif di bandar. Yang dapat beberapa barangan keperluan plus sedikit duit melalui peruntukan sejuta waktu minyak naik tu cuma empat lima orang satu kampung. Yang dapat seribu ringgit dermasiswa masuk U pun hanya empat lima orang satu kampung. Yang masih tak dapat apa-apa, beratus atau beribu orang jumlahnya dalam satu kampung.

Projek? projek apa yang ada. Kalau projek repair jalan kampung dan cuci parit, itu projek biasa. Kerajaan dulu pun repair. Kerajaan dulu pun cuci.

Bantuan untuk orang miskin menjelang aidil fitri dan deepavali? Kerajaan dulu pun bagi. Bahkan tahun ini dua kerajaan bagi bantuan. Kerajaan negeri bagi, kerajaan pusat pun bagi.

Rakyat ucap terima kasih kerana repair jalan, cuci parit dan bagi bantuan raya. Tapi itu bukan projek yang melibatkan rakyat terbanyak.

Rakyat letih menunggu ketibaan projek yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup. Projek yang dapat memangkin pertambahan income. Projek yang memudahkan laluan pembinaan diri sebagai usahawan berdaya maju, petani moden dan penternak jaya.

Bajet dah dua bulan dibentangkan. Perinciannya tetap tak turun ke ribaan rakyat. DO tak cerita apa-apa, ADUN tak cerita, penghulu tak tahu, ketua kampung tersengeh sumbing dan JKKK haram tak tau apa. Ketua Bahagian PKR dan YDP PAS Kawasan pun tak tahu apa-apa juga.

Janganlah rasa maklumat dalam Citra Perak tu dah cukup. Kalau setakat macam tu dah boleh jadi kerajaan, cannibal yang menghukum rebus Pak Long albanjari, Taib Landak, Dugong Darat & usin cenangau tu pun layak jadi kerajaan.

Pleaaaaaaaaaaase! Tolonglah beri maklumat yang secukupnya.

Yang sekian juta untuk pertanian tu, apa pecahan-pecahannya. Berapa untuk itu dan berapa untuk ini. Apa projek yang dah siap diputuskan oleh kerajaan dan berapa agihan peruntukan kepada projek tu. Berapa pulak baki peruntukan yang boleh dipohon oleh rakyat melalui proposal paper yang dikemukakan. Kalau boleh rakyat memohon - kepada siapa nak dipohon. Macam mana caranya. Melalui jabatan mana. Berapa hadnya. Siapa yang layak. Individu boleh ke? atau hanya syarikat yang layak. Apa syaratnya. Bla bla bla bla bla .......

Pleaaaaaaaaaaase! Tolonglah ceritakan pada kami rakyat jelata.

Citra Perak laporkan kenyataan MB tentang nak lahirkan 300 penternak. Ternak apa? Lembu? Kambing? Arnab atau Dhab? Berapa peruntukan untuk tujuan tu? Siapa sasarannya? Budak hujung kampung aku yang bela lembu di atas tanah kerajaan tu boleh dapat apa-apa bantuan atau kemudahan ke? Bujang tua kampung sebelah yang bela ayam organik 100 ekor tu boleh dapat apa-apa peluang ke? Atau peruntukan dan kemudahan tu hanya untuk penternak sedia ada yang bersaiz M dan L saja?

Pleaaaaaaaaase! YB Umar Abdul Aziz, YB Jose Rizal, YB Mahatma Ghandi ... habaq mai apa-apa maklumat yang patut.

Ops! ada orang bagi salam. nak mai hantaq komisyen apa-apa kot!

......... bersambung petang nanti.

Baca Sepenuhnya..

Cambah Fikir III : DEPM ganti DEB?

DEPM : Dasar Ekonomi Pokok Mempelam.
DEB : Dasar Ekonomi Baru.

Dasar Ekonomi Pokok Mempelam GANTI Dasar Ekonomi Baru.

Petang kelmarin aku singgah pekena kopi Radix kat Nisrin Tomyam. Di meja hujung di bawah pokok mempelam ada Jid Cengkoi, Mat Mata Semilang, Joey Pak Chin, Mat Do'diaq & Ji Gali. YB2 ADUN berlima tu tengah bincang macam mana sepatutnya kampung aku dibangunkan. Menarik. Aku rasa patut untuk tumpang sekaki. Bukan sembang kosong.

Jid Cengkoi mengeluh tentang budget nak register anak2 sekolah minggu depan. Campur tolak darab bahagi, purata RM250 seorang anak sekolah rendah & RM700 seorang anak sekolah menengah berasrama. Jid Cengkoi ada 3 anak sekolah rendah & 2 anak sekolah menengah berasrama. 250 x 3 campur 700 x 2. Jumlahnya RM2150. "Mana nak ghobek?" kata Jid Cengkoi.

Abang Mat Mata Semilang tokok lagi serabut Jid Cengkoi. "Tu hang tak kira lagi belanja yang nak kena keluaq tiap2 hari. Hang kira tengok, berapa sebulan. Yang sekolah rendah pagi bawak seringgit pegi SK & petang bawak lima kupang pegi sekolah agama. Seringgit setengah sehari. Duit tuisyen dua tiga puluh ringgit sebulan. Duit tu duit ni macam2 lagi. Yang sekolah menengah tiap2 bulan wajib balik. Tambang sekali balik puluh-puluh ringgit. Duit poket lain cerita."

Aku faham luahan abang Mat Mata Semilang. Anak dia setakat ni semua sekali bersekolah asrama & akhirnya masuk universiti. Yang dah terima ijazah pun 4 orang. Yang dok tengah mengaji di universiti ada lagi. Yang dok sekolah menengah pun ada lagi. Aku faham sangatlah susah payah dia menyediakan belanja pendidikan anak-anak. Tabik spring!

Mat Do'diaq mencelah, "Tak boleh ka kita cari jalan bagi bantuan untuk setiap anak kampung yang nak masuk sekolah awal tahun. Kalau kita bagi untuk sekolah rendah satu kepala RM100 & sekolah menengah satu kepala RM150, kira okey la. Walau pun tak selesai sepenuhnya kos pendaftaran tapi dah ringan la. Kalau SK kampung kita ni, jumlah yang betui2 anak kampung kita lebih kurang 300 orang. Kalau seorang RM100, total RM30,000. Yang sekolah menengah pun lebih kurang 300 juga. Total RM45,000. Campur rendah dan menengah RM75,000."

Aku usik sikit, "Mana nak cari?". Mat Do'diaq cepat2 jawab "tu la yang aku ajak pikiaq ni!".

Ji Gali masuk daun, "Saya pikiaq takat tu belum cukup. Lagi baguih kalau kita boleh usahakan bantuan untuk kos tuisyen & lain2 program kecemerlangan akademik. Saya punya congak, kalau kita boleh bagi RM70 satu kepala, kira dah okey la. 500 budak sekolah kali dengan 70 ringgit, jumlah RM35,000."

Aku usik lagi, "Tujuh puluh lima ribu tambah tiga puluh lima ribu ... RM105,000. Macam mana kita nak cari?"

Sambil hembuih asap Suria, Joey Pak Chin panjangkan topik tu ke satu sudut lain. "Kita bagi sekali saja boleh la. Tak kan tiap2 tahun kita nak kena bagi macam tu. Untuk jangka panjang kita kena bagi pancin, jangan bagi ikan."

"Macam mana tu?", aku usik lagi.

Dipendekkan cerita, rumusan sidang petang kelmarin tu, beginilah adanyaaa .......

Di kampung aku ada 478 keluarga.

87 keluarga nelayan
7 keluarga guru
23 keluarga kakitangan kerajaan & agensi kerajaan
6 keluarga businessmen/contractor Melayu saiz besar sikit
85 keluarga businessmen/contractor China saiz besar sikit
43 keluarga usahawan kecil
4 keluarga staff Lumut Power Plant
11 keluarga buruh Lumut Power Plant
31 keluarga pekerja am kilang kecil, kedai dan bengkel
31 keluarga buruh ladang
46 keluarga buruh pelbagai sektor
32 keluarga kerjaya tak tetap
44 keluarga petani & penternak saiz kecil
28 keluarga pesara

Projek cadangan ....

Projek Laman Hijau - semua rumah yang ada laman luas sikit - 254 keluarga

Projek bengkel proses hasil laut - 20 keluarga.
Projek bengkel proses makanan ringan & kueh mueh - 20 keluarga.
Projek bengkel kraftangan - 10 keluarga.
Projek bengkel jahitan - 5 keluarga.
Projek ternakan kambing - 5 keluarga.
Projek ternakan ayam kampung - 10 keluarga.
Projek ternakan akuakultur - 10 keluarga.
Projek pertanian tanaman kontan - 30 keluarga.
Projek keusahawanan catering - 4 keluarga.
Projek keusahawanan 'tukang rumah' - 5 keluarga.

119 keluarga terlibat dengan projek2 di atas (tak termasuk projek Laman Hijau)

Kemudahan WIFI di lokasi strategik.

Perlindungan Takaful Kelompok - semua keluarga.

Kata Jid Cengkoi ..... "Kita kena mobilize semua kemampuan & kontek yang kita ada. Nak bagi plan kita tu jadi kenyataan memang la mencabar. Tapi bukan la susah sangat kalau betui pakat & betui caranya .... JKKK pegi hinggut Exco2 yang berkenaan" - Exco Pertanian, Exco Pembangunan Usahawan, Exco Agama (untuk urusan bantuan Baitul Mal), Exco Kebajikan, Exco Hal Ehwal Wanita." (sebenarnya Agama, Kebajikan & Hal Ehwal Wanita - exco yang sama).

Aku sambut, "JKKK mesti baguih dalam hal pengurusan maklumat yang berkaitan. Pegi la deal dengan Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Haiwan, LKIM, MARDI, FAMA & semua jabatan/agensi yang berkaitan."

Kata Abang Mat Mata Semilang, "Lebih kurang 200 keluarga memang dah okey depa punya income. Kalu 119 keluarga tu berjaya, maknanya dah lebih 300 keluarga yang beres. Tak payah bantu apa2 lagi masa depan. Tinggal 100 keluarga lebih sikit saja. Pelan2 kita bangunkan depa pulak, insyaallah dua tiga tahun punya plan, boleh selesai semua keluarga. Satu dua family yang memang sendiri tak mau bangkit tu, tak dapek den nak nolong eh."

Joey Pak Chin mencelah, "Masalahnya ... macam mana kita nak dapat maklumat tentang peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Bajet 2009 untuk pertanian & pembangunan usahawan banyak mana? Pecahan atau agihannya macam mana? Kita nak dapatkan peruntukan2 yang berkenaan tu macam mana? Apa prosedurnya? Apa syaratnya? Kita nak kena mohon ka atau kerajaan yang akan turun cari kita?"

Kata Mat Do'diaq, "Hat ni la yang kita kena selesai betui2. Jangan jadi macam zaman Barisan. Dengaq peruntukan juta-juta. Mana dia pi mampuih pun tak tau la. Kita nak ambik sekupang pun tak boleh."

Kata Ji Gali, "Kerajaan kena turun mai. Habaq mai kat rakyat bagi betui2. Jangan dok main sidang media saja. Bawak keluaq kertas mai. Habaq perabih apa yang patut. Nak pakai Camry ka apa ka, hangpa punya pasai la. Ni rakyat nak bayaq tambang bas sekolah dok penin ni. Mai tengok sama."

Lain macam bunyi ayat Ji gali tu. Tapi aku nampak kesungguhan di sebalik sengehnya.

Wallahu a'lam.

Baca Sepenuhnya..

ha ha ha! Perak Bangkit men'TENGIN'kan aku

Seronok juga dapat mengusik blogger UMNO. Melompatnya boleh tahan.

Aku faham tak ada gunanya berdebat dengan sebahagian besar UMNO yang berkeliaran di alam langit ni. Kalau tak silap aku, UmmiAnni ada pesan jangan layan provokasi si Perak Bangkit. Tapi memang dah perangai manusia, makin dilarang makinlah nak dibuat.

Sebelum ni aku tak pernah singgah pun di blog maki hamun si Perak Bangkit tu. Dek kerana UmmiAnni larang maka aku pun teringin la nak jenguk blog tu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Aku baca tulisan bertajuk KINI PENYOKONG PR MULA NAK FAHAM KEJAHATAN DAP. Ringkas pointnya:

- Melayu penyokong PR wajib bangkit tentang REGIM DAP ... demi maruah agama dan bangsa.
- tapi Melayu PR gerenti tak berani bangkit.
- bukan sebab tak ada 'teloq' tapi kerana jawatan/pangkat/rasuah/wang.
- babi makin banyak diternak ... sebab DAP yang power kat Perak. Melayu PR pun makan duit babi.
- isu beli Camry ... belanja banyak ... rakyat tak setuju.
- YB Ngeh Ko Ham bagi rasuah kat SO mana entah untuk dapatkan 1000 ekar tanah nak diberi kepada sekolah cina.
- YB Kula tak buat kerja. Ipoh semakin kotor sebab lori sampah tak jalan.

posting itu di akhiri dengan perenggan ini :

Seperti biasa nanti PB akan diserang lagi penyokong PR dengan perkataan fitnah, fitnah dan fitnah. Namun sebenarnya siapakah yang berjuang demi kebenaran? Anda tahu dan Tuhan Allah juga tahu?

----------------------------------------------------------------------------------------------

Begitulah adanya ......

Lepas tu aku pun gatal tangan menaip komen ini :

----------------------------------------------------------------------------------------------

agak2nye sape la yg buleh kite harapkan untuk jadi kerajaan ye? nak bagi PR, cina pulak yg berkuase. nak bagi BN, lebih kurang itu juge.

PB punye pendapat cemane ye?

nak bagi pade selain BN & PR, tak ade pulak parti-parti lain yang buleh menang. penin .. penin!

agak2 PB kalau menang balik BN pada PRU 13 nanti, buleh ke tak ade kandang babi di Perak ni. kalu tak silap teman, kandang babi yg bersepah sekarang ni pun, wujudnye pada masa kerajaan BN.

agak2 PB kalau kite dapat ngalahkan PR ni, buleh ke tak ade arak merate kedai. kalu tak silap teman, kedai arak merate2 sekarang ni, wujudnya masa zaman kite merintah dulu. cemane ye?

agak2 PB kalau kite dapat merintah balik, buleh ke kite ambik balik tanah beratus ribu ekar yang kite dah luluskan pada tokeh cine utk buat macam2 selame kite ade kuase dulu.

buleh ke gamaknye, kite tukorkan bandor dan pekan di perak kite ni, jadi kedai2nye milik orang melayu belake. teman teringin benor nak tengok kite orang melayu ni menguasai premis2 perniagaan.

bile teman tanye orang, tau le teman, rope2nye lebih kurang 90 persen kolam udang yg ade sekarang ni - cina yg punye. Bos2 UMNO kite le yg meluluskannye masa kite ade kuase dulu. rasuah tak rasuah teman tak tau le.

harap2 bile kite dapat merintah balik besok, dapat le kite melayu kan balik harte bende perak yang udoh kite beri pada cina sepanjang 50 tahun dulu.


-----------------------------------------------------------------------------------------------

Sebenornye saje le teman nak ngusik. Teman tau bukannye ade pekdah ape pun. Tapi nak ngusik juge. Saje test.

Hari ini aku singgah sekali lagi, nak tengok kot2 si Perak Bangkit tu respon komen aku. Fullamak! dia respon dengan satu posting khas. Kira OK juga lah aku ni ... he he he! Perasan la pulak.

Postingnyer bertajuk MENJAWAB CUCU JANGGUT MERAH YANG TENGIN!

Di'TENGIN'kannya aku. HA HA HA HA HA HA HA!

-------------------------------------------------------------------------------------

Begini isinya :

cucu janggut merah said...

agak2nye sape la yg buleh kite harapkan untuk jadi kerajaan ye? nak bagi PR, cina pulak yg berkuase. nak bagi BN, lebih kurang itu juge.

PB punye pendapat cemane ye?

nak bagi pade selain BN & PR, tak ade pulak parti-parti lain yang buleh menang. penin .. penin!

Jawapan PB

Pertama, jangan penin dan kurangkan tengin.

Kedua, cuba buat anjakan paradigma di kotak pemikiran.

Ketiga, Masih ingat tak tawaran Bang Tajol dahulu?

PAS boleh lenyek DAP dan masih lagi jadi MB di Perak. Boleh begitu. Tapi PAS tak nak. Sebab apa tak nak? Dulu Perak diperintah oleh BN dan diterajui UMNO. Kini Perak diterajui DAP.

Nampak lagi ke tak?
Perak diterajui DAP. D.A.P.

Maknanya, sekarang arak, seks, judi dan babi akan bertambah beribu-ribu lemon. Dulu memang Cina dapat jugak kek tapi sekarang depa dapat beribu-ribu lagi kek. Macam-macam nak disapunya.

Itulah yang membuatkan Melayu lagi nak Marah! Hangin la satu badan tengok tingkah buruk DAP tu! Takkan inipun susah nak paham!

Boleh tak buang DAP. Jawapanya boleh! Sekarang pun boleh! Cara nak didik UMNO dan PAS ialah kedua-duanya mesti duduk dalam satu kerajaan. Boleh ker tak boleh? Sudah tentu boleh! Sekarang boleh! Sekarang dah logik!

Tapi PAS sombong! Dulu kenapa tak ajak? PRU lepas PAS mana ada kerusi camna nak ajak. 99 dulu? PAS pun tak nak.

Aku akan lebih respek Nik Aziz kalau dia nampak benda ni. Tapi sungguh kecewa aku, dia pun tengin sama. Memang dia ada sedikit kelebihan ilmu agama, tapi ilmu siasah taklah cekap sangat. Mufti Perak lagi bagus pandangan siasahnya.

Tak payah pun tunggu PRU13, Muslimin boleh jadi tuan. Boleh pun. Nizar boleh jadi MB. Dan Tajol boleh jadi Abang kpd Nizar menasihatinya? Kecewa aku sungguh-sungguh. Kenapa tak buat juga?

Rumusan aku satu saja. PAS terlalu sombong dan belagak nak mampus. Bukalah mata dan bukalah hati anda. Ubah cara pemikiran sikit. Jangan ingat bila orang tak suka PR tu semuanya UMNO belaka.

Nasihat kepada penyokong PR. Kuasa ini Allah yang punya.


-------------------------------------------------------------------------------------

Selayang pandang rumusan aku ..... :

Standard IQ, EQ & PQ pendokong UMNO sama ada si Perak Bangkit atau yang lain-lain tergambar pada posting itu zahir dan batinnya. Zahir yang GABRA dan batin yang GHAPLA JINGGA (ghaflah). Zahir yang BODOH dan batin yang SOMBONG. Dicantumkan menjadi BODOH SOMBONG atau JAHIL MURAKKAB atau DOUBLE STUPID (istilah rekaan aku).

Dalam masa yang sama species ini terus bersangka2 tentang Allah. Mereka bermain2 dengan kononan bersandar kepada Allah seperti "siapakah yang memperjuangkan kebenaran? anda tahu dan Tuhan Allah juga tahu" dan "nasihat kepada penyokong PR. kuasa ini Allah yang punya".

Wujudnya manusia jenis ini sebenarnya telah pun diberitahu oleh Rasulullah SAW dalam hadith "...... dia tak tahu bahawa dia tak tau, dan dia itu lah orang JAHIL MURAKKAB, maka binasalah dia". Bunyi bahasa arabnya ".... laa yadri annahu laa yadri, wa hua jaahilun murakkabun, fa tahlik".

Seruan aku .....

Ayuh kita perah akal mencari teknik dan pendekatan mujarab untuk memberikan penerangan kepada golongan sebegini yang tidak berdunia dengan alam maya iaitu manusia UMNO yang berselerak ratusan ribu malah mungkin juta jumlahnya di serata pelosok bandar dan kampung.

Kelangsungan kerajaan PR di negeri Perak dan kemenangan lebih besar yang kita hajatkan amat bergantung kepada keupayaan kita menembus masuk ke kotak fikir dan denyut sanubari golongan ini.

Pikio yeob pikio!

Baca Sepenuhnya..

Cambah Fikir II : Macam Mana Nak Ubati 'SUMMUN BUKMUN UMYUN - FAHUM LA YA'QILUUN'

Anonymous PAS Perlih said...

PAS Perak mengaku MB nya berani kerana sembelih lembu korban! Ayah aku dah sembelih beratus lembu la woi! Hangpa kena pikir bahawa Cina dok sembelih hangpa tu bukan kat tengkuk aje malah kat halkum! Tanah habih bagi kat Cina! Pekak sungguh hangpa ni woi, nama saja bangsa Melayu tapi akai tak dak. Walaupun UMNO teruk, tapi depa ni ada sifat sayang Islam dan Melayu! Hangpa ni nak juai habis negeri dan maruah!

December 13, 2008 12:48 PM

Aku quote komen mangkuk ni daripada ruang komen sebuah artikel di ABOdaily.

Ada beberapa point yang berasak main di fikiran aku tentang komen ini. Jom kita selami jiwa dan aqal budi si pengomen yang berkunun nama 'PAS Perlih' ini. Bukan hal nak jawab kepada mangkuk sebijik tu tapi hal nak mengubati ratusan ribu manusia yang setalam dengan mangkuk tu di seluruh Malaysia.

Kalau hal nak jawab, memang macam2 boleh kita jawab. Mungkin begini ...

Woi! kami bukan nak bandingkan MB Perak dengan ayah hang atau tok wan hang. Mana ada standard! MB Pakatan Rakyat berbanding MB BN laa. MB kami reti sembelih lembu qurban. MB hangpa reti mentekedaghah lembu saja.

Kalau ayah hang tu sama kepala hotak dengan hang, naya la lembu yang dia kerat tengkok tu. Habis jadi bangkai. Hang pulak makan bangkai.

Cuba hang tunjuk mai, mana dia tanah yang kami dah bagi habih kat cina tu? Awat ... yang cina dok ada tanah merata bandaraya, pekan, ladang, gunung dan bukit la ni ... kerajaan Pakatan Rakyat ka yang bagi? Awat la hang benak sangat. Dah la benak, buta perut pulak tu!

Hang kata UMNO sayang Islam dan Melayu. Ptuih! Yang tarik balik bantuan perkapita SAR tu bukan UMNO ka? Yang halang enakmen jenayah syariah Kelantan dengan kandungan Hudud tu bukan UMNO ka? Yang luluskan pertukaran status ratus ribu ekar tanah Rezab Melayu pasai nak bagi kat cina sepanjang 50 tahun tu bukan kerajaan UMNO ka? Yang bodo piang pi bagi jadi kerusi Melayu di Parlimen tinggai sikit & minoriti tu bukan UMNO ka?

Awat la hang bengap sangat mangkuk woi!

Tu la pasai ... mak - pak - tok nek - tok nyang hangpa ni masa nak bekesah bagi jadi keturunan hangpa hari tu, depa tak baca bismillah dan tak reti baca doa minta lindung dari setan. Tu la yang beranak keluaq species macam hangpa ni. Spesies UMNO!

Rajin la sikit mengaji. Banyak-banyak la menyiasat. Yang sebenaqnya pekak tu, hang la. Dah la pekak, buta pulak. Bukan takat buta mata, sekali dengan buta perut.

Ini sekadar contoh kalau kita nak jawab secara emosi, sama macam mangkuk tu juga.

Aku lebih suka untuk menganalisis kategori minda dan jiwa yang ditunjukkan oleh komen itu sebagai mewakili kepala hotak sekelian ahli dan pendokong UMNO.

Kepala Hotak 1

Sokong Pakatan Rakyat (PR) = Cina berkuasa
Di negeri kerajaan PR = Banyak tanah dah diluluskan kepada kaum Cina
Melayu yang jadi MB & Exco di negeri PR = Boneka dan Pak Turut Cina semata-semata
Sokong PR = Gadai maruah bangsa
Sokong PR = Jual hak bangsa

Kepala Hotak 2

UMNO di akui 'teruk' dengan maksud 'corrupt' dan banyak skandal.
-TAPI-
UMNO pejuang dan pembela nasib Melayu
UMNO juga mempertahankan Islam

------------------------------------------------------

Perkara besar yang berasak-asak di fikiran aku ialah ... macam mana nak betulkan persepsi yang sangat songsang itu. Apa ubatnya. Bagaimana nak menyediakan ubat itu. Berapa banyak sukatan dosnya. Bila nak diberi. Macam mana nak diambil - ditelan, dikemam atau disapu?

Seni-rawat inilah urusan yang paling penting untuk difikirkan. Pinjam kata-kata Sun Tzu "hence under no circumstances can it be neglected".

Aku tak nampak barah otak yang semacam itu boleh dirawat dengan ubat seperti contoh komen balas yang aku rekacipta di atas. Sesekali mungkin ayat samseng perlu dibalas dengan ayat samseng yang seumpama dengannya. Itu pun kalau di ruang maya. Kalau di kedai kopi, mungkin akhirnya kita ke hospital dan ke balai polis.

Macam mana ya?

Standard pemikiran majoriti pendokong UMNO memang sah lebih kurang saja macam pemikiran pengomen di ABOdaily tu.

Aku yakin kecelaruan fikiran UMNO ini dah sampai ke kategori SUMMUN BUKMUN UMYUN FA HUM LA YA'QILUUN seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam kitabNya.

Pekak, bisu dan buta, lalu dengan sebab itu mereka tak mampu berfikir (tidak mengerti).

Kalau itu rumusannya, maka kita perlu bertindak menerangkan dan memahamkan fakta sebenar tentang realiti hak, nasib serta maruah Melayu. Bagaimana?

Rasulullah SAW berpesan "berkomunikasilah dengan manusia sesuai dengan tahap pemikiran mereka" (khaatibun naas 'ala qadri 'uquulihim).

Lagi pesanan Rasul SAW "bahasa badan adalah lebih fasih daripada bahasa pertuturan" (lisaanul haal afsohu min lisaanil maqaal).

Mai kita pakat pikiaq!

Baca Sepenuhnya..

Bush Kena Ambush!!


Tajuk asal video ini ialah GW Bush vs David Carradine. Selang-seli antara adegan sebuah filem David Carradine dengan kejadian Bush kena baling kasut ketika sidang media di Baghdad.

Alamak! syok juge tengok video ni.

Tapi si pembunuh itu bukan jenis yang mampu sedar diri walau dimalukan bagaimana sekali pun. Tak taulah pulak kalau Allah mentaqdirkan pengganas handalan itu akhirnya bertaubat.

Walau pun syok tapi aku tak lah seronok sangat berlakunya adegan menarik tu. Hampir pasti si wartawan itu akan kena belasah teruk. Kasut pun lesap sepasang. Kalau dia ada anak bini, maka menangislah mereka seminggu dua bahkan mungkin setahun dua. Kesian.

Kesan balingan itu? ... entah. Mungkin Obama boleh beringat-ingat tentang polisi dan tindakannya berhubung Islam dan Timur Tengah apabila berumah di Rumah Putih nanti. Mungkin juga tak ada apa-apa kesan pun.

Namun aku tak blamed wartawan tu. Barangkali dia ada alasan kukuh untuk bertindak begitu. Barangkali ramai sanak saudaranya yang dah jadi tanah angkara Bush si pengganas. Mungkin juga waktu itu dia hilang pertimbangan selepas mendengar ucapan bush yang penuh sinis dan memperbodohkan warga Iraq dan umat Islam. Wallahu a'lam.

Moga pembesar-pembesar UMNO/BN dapat menimba sedikit ilmu daripada peristiwa ini. Janganlah teruskan kezaliman. No to ISA! No to lain-lain akta Draculla yang menghimpit rakyat.

Baca Sepenuhnya..

Cambah Fikir : Pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak - apa PERISAI dan SENJATAnya?

Pendek cerita, aku memang nak pertahankan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak bertuah aku ni. Aku juga yakin penuh bahawa ramai lagi yang sejiwa dengan aku. Kerajaan ini masih merangkak membina sentuhan keramat. Masih banyak kekurangan. Masih banyak kelemahan. Masih banyak ‘slow’.


Namun kayuhan 9 bulan setakat ini telah membuktikan bahawa kerajaan inilah yang terbaik pernah dimiliki oleh warga Perak. Prestasi 9 bulan kerajaan Pakatan Rakyat telah mengatasi prestasi 50 tahun kerajaan BN/UMNO Perak.


Walau di sana sini terdengar ada jiwa tergoda dan tangan tergatal dek cobaan bernama ‘kuasa’, namun prinsip masih berjaya dijunjung oleh majoriti pemimpin dan ahli ketiga-tiga parti DAP/PKR/PAS. Qarun, Hamman, Mugabe, Imelda, Kamaludin, Baginda, Rosmah dan Khairi tak berjaya lahir dari kandung parti-parti Pakatan Rakyat ini. Alhamdulillah.


Muktamad! Kerajaan ini wajib dipertahankan.


Persoalannya ..... BAGAIMANA?


Aku lontarkan tajuk dan bahasan pendek ini untuk mendapatkan idea dan cadangan daripada sekelian warga maya khususnya rakan-rakan BloggersNetwork@Perak.


Tuan puan dijemput untuk menggerudi dan mencungkil naik buah fikir bernas yang bermahligai dalam jiwa dan minda tuan puan sekelian. Lontarkan di ruang komen blog ini. Kalau bahasan tuan puan berbentuk proposal paper yang proper atau blue-print terperinci berstatus perlu dirahsiakan, sila kirimkan ke email aku.


Aku minta idea dan cadangan ini secara serius. Bukan hanya nak berseronok suka. Idea kita sedang ditunggu oleh kengkawan yang resmi mengurus negeri. Buah fikir kita akan diangkat ke sidang yang selayaknya untuk diacu cuba kesesuaiannya. Insyaallah jika aplikasi idea itu boleh beres dari segenap sudut, ia akan dilaksanakan.


Idea tentang apa?


Jawabannya : idea tentang MAKLUMAT.


Kerangkanya begini ...


Setakat ini ahli dan penyokong DAP/PKR/PAS masih terus setia menyokong dan menghargai kerajaan Pakatan Rakyat Perak secara umum. Namun begitu, ramai juga yang mula menyoal kenapa begini, kenapa tidak begitu, bila nak buat ini, kenapa belum laksana itu dan beberapa bentuk soalan lain lagi.


Setakat ini majoriti BUKAN ahli dan BUKAN penyokong DAP/PKR/PAS terutamanya ahli parti-parti komponen BN masih kekal cinta setia mereka kepada BN. Kajian saiz kecil menunjukkan hanya tidak lebih daripada 5 peratus ahli/penyokong UMNO yang mula jinak dan ada potensi awal untuk beralih angin. Tak sampai 5 Peratus. Itu pun baru ada ‘alamat sughro’ (tanda kecil / tanda awal). Belum confirmed lagi tukar kapal.


Setakat ini warga Perak tak berparti atau yang selalu diistilahkan sebagai golongan ‘atas pagar’ juga masih tercegat di atas pagar itu. Dari atas pagar itu sepatutnya mereka kini sudah boleh membuat penilaian. Yang sebelah sana pernah jadi kerajaan. Yang sebelah sini pun dah jadi kerajaan. Sekira-kiranya mereka patut dah nampak kerajaan mana yang lebih handsome. Tapi mereka masih tak mau turun dari pagar. Rupa paras dan lenggok gaya Kerajaan Pakatan Rakyat masih belum mencairkan hati dan minda mereka untuk jatuh cinta.


Kenapa begitu jadinya?


Ada banyak dajjal yang jadi penyebab. Dajjal utamanya ada 3.


Dajjal 1


Performance kita sendiri tak berapa ok. Kerajaan, jabatan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan parti-parti kerajaan perform tak cukup cun.


Aku tak kata kerajaan ni tak buat kerja. Aku tak kata kerajaan ni buat kerja tak betul. Aku tak kata kerajaan ni mengabaikan tugas atau menyeleweng.


Aku juga faham bahawa penampilan kerajaan ini jadi canggung kerana pelbagai kerenah dan sabotaj di pihak kakitangan yang bantah dan kekok dengan budaya baru yang diperkenalkan.


Statement aku adalah dari sudut pandang panel juri dan penonton sebuah pementasan. Juri dan penonton tak peduli soal you tak sempat nak well prepared kerana dua hari demam. Juri tak peduli soal costume yang you order tak sampai sehingga masa you nak muncul di pentas. Penonton tak peduli soal juruteknik tersilap petik suis sehingga menyebabkan asap yang patut muncul dari bawah pentas tetap tak muncul.


Pokoknya juri dan penonton tak dapat enjoy persembahan you. Nyanyi dan tari you macam hampeh!


Dajjal 2


Fitnah oleh BN melalui media cetak dan elektronik perdana.


Syaitan dan iblis yang original boleh berehat dan bercuti. TV 1, TV 2, TV 3, TV 7, TV 8, TV 9, Utusan Melayu, Berita Harian, STAR, Kosmo dan lain-lain akhbar utama berjaya melaksanakan misi syaitan iblis dengan lebih cemerlang daripada syaitan iblis yang ghaib itu sendiri.


Dajjal 3


Pengurusan maklumat awam kita terlalu lemah.


Rakyat tak dapat maklumat yang cukup tentang apa yang kerajaan telah, sedang dan akan buat. Kalau ada pun hanyalah maklumat versi media iblis. Maklumat dari sumber resmi melalui saluran resmi dan saluran parti hanya sedikit. Kabur dan tidak terperinci. Kadang-kadang bercanggah antara satu dengan yang lain.


Warga Perak yang ada kemudahan capaian internet mungkin dapat maklumat yang lebih sedikit. Tapi berapa peratus rakyat perak yang ada kemudahan ini?


Di kampung aku ada 478 buah rumah. Hanya 14 buah rumah yang ada kemudahan internet. 464 rumah masih tak kenal internet. Daripada 14 keluarga pengguna internet itu, 12 adalah orang kuat PAS, 1 keluarga UMNO totok dan 1 lagi keluarga pagar ruyong.


Pendek cerita, kita perlu menyalurkan maklumat jenis bukan maya kepada sebahagian besar warga Perak yang masih tak kenal langit.


Bahan cetak (majalah, risalah dan buku) mesti diperbanyakkan. Maklumat elektronik seperti VCD mesti diperbanyakkan. Ceramah dan taklimat mesti digiatkan dan ditambah nilai dengan element yang lebih menarik dan memikat.


Cabaran urus-tadbir maklumat ini ialah urusan mengedar/menyalur supaya bahan-bahan itu sampai kepada sasaran. Kalau dicetak 30 ribu naskhah risalah tetapi hanya 5 ribu yang sampai ke sasaran, maka lebih baik tak payah buat. Begitu juga kalau 30 ribu naskhah itu sampai kepada ahli dan penyokong kita sahaja – orang UMNO dan pagariyyin tak terima pun ... lebih baik peluk bantal, tak payah susah-susah menaip.


Okey. Cukup dulu lontaran awal sebagai pembuka perbincangan. Insyaallah aku akan edit dan tambah lagi ramuan resepi perbincangan ini.

Baca Sepenuhnya..
 

Komen Pengunjung Terkini