CONTOH CORAK FIKIR MELAYU UMNO

Berikut (tulisan warna biru) adalah tulisan tungaklangit, seorang penyokong setia UMNO di blog tunjanglangit.blogspot.com. Corak pemikiran dalam tulisan ini mewakili mentaliti sebahagian besar penyokong UMNO yang mengasaskan pendirian mereka berdasarkan fikir dan nilai. Tetapi asas fikir dan nilai itu tersasar daripada fakta yang lengkap atau pemerhatian yang menyeluruh. Kaedah penentuan sikap mereka juga tidak berdiri di atas disiplin ilmu, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen disebabkan sejarah kehidupan dan batas pergaulan.

Akibatnya, pemikiran mereka dijangkiti kontradiksi antara pelbagai sudut pandang yang dijadikan satu set neraca penentuan sikap. Mereka gagal berlaku adil kepada diri sendiri. Mereka sentiasa ada dua pendirian tentang satu perkara. Hitam hari ini boleh jadi putih besok hari. Hijau di sini, biru pula di sana walhal isunya sama saja. Split personality adalah jatidiri mereka yang sebenar.


Analisis ini menyorot bahagian demi bahagian tulisan tungaklangit untuk memperincikan kontradiksi dan salah fikir yang tidak mereka sedari. Mungkin sebahagian sorotan ini berguna untuk gerak kerja memurnikan pemikiran pengundi Melayu kategori ini di Bukit Gantang dan di seluruh negara.


Sorotan ditaip dengan warna hijau tua.


Artikel tungaklangit dari blog tunjanglangit.


1. Sejak kebelakangan ini, ramai ahli UMNO yang tidak puas hati dengan keputusan pemilihan dalam jawatan Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dengan mengambil tindakan keluar dari UMNO. Biarkanlah mereka kerana setiap orang mempunyai pertimbangan sendiri dan keputusan itu adalah hak individu. Untuk saya memperkatakan hal orang lain, tidaklah manis dan layak rasanya.


Apakah pendirian saya?


2. Walaupun ada nama yang tidak selari dengan pendirian saya tetapi tetap terpilih sebagai pemimpin dalam barisan kepimpinan UMNO, namun saya masih tetap sebagai ahli UMNO.


3. Walaupun suatu hari nanti UMNO akan ditalkinkan seperti mana dikatakan oleh rakan dalam parti pembangkang, saya tetap akan bersama UMNO dan tidak sekali-kali akan mendaftarkan diri dengan parti PAS, PKR dan mana-mana parti lain.


Mengapa saya berpendirian begitu?


4. Saya adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Kehidupan saya sekeluarga adalah sederhana yang mengamalkan ajaran Islam sebagai asas kehidupan seharian.


5. Kedua ibubapa juga adalah penyokong UMNO walaupun mereka tidak pernah menjadi ahli UMNO yang sah. Mereka mengajarkan saya sejak kecil lagi supaya tidak mengambil hak orang lain, menghormati orang lain baik dari segi pandangan, pegangan keagamaan atau politik. Pendek kata jangan kita menyusahkan hidup orang dan kalau mampu memberi bantuan, maka hulurkanlah bantuan seikhlas mungkin. Ajaran mereka ini dibawa sehingga saya menjadi apa yang saya ada sekarang.


6. Semasa saya remaja dan jiwa saya menuntut supaya mendekati diri dengan Allah, saya terpengaruh untuk mengikut ceramah agama dari ustaz-ustaz yang ada pada masa itu, tetapi kebanyakan isi ceramah yang dibawa hanya menyentuh tentang keburukan orang lain, kesalahan dan tuduhan terhadap pihak tertentu.


Adakah ini ceramah agama yang saya cari?


7. Setelah diperiksa barulah saya ketahui bahawa ceramah yang saya hadiri dan dengar melalui keset itu adalah ceramah agama dari kepimpinan PAS termasuk Haji Hadi.


8. Dibandingkan dengan ajaran ibubapa saya yang diterapkan sejak kecil seperti di atas menyebabkan saya menjauhkan diri dari unsur seperti yang di bawa oleh ceramah PAS kerana berlawanan dengan jiwa saya.


9. Sejak dari mula penubuhan PAS sehinggalah sekarang, isi ceramahnya meliputi kesalahan orang lain dan memburukkan pemimpin yang tidak mengikut kaedah Islam cara mereka. Mereka menyalahkan orang yang tidak berpakaian Islam ala PAS dan jiwa orang UMNO dikatakan mengikut orang sekular. Ini menyebabkan saya sukar menerima perjuangan PAS yang bertopengkan Islam untuk mencapai cita-cita politik mereka.


10. Bagi saya, saya berpegang teguh kepada ajaran Rasullullah iaitu kasih mengasihani antara makhluk dan menghormati antara satu sama lain. Walaupun kita berlainan fahaman politik, tapi masih ada ruang yang boleh kita usahakan untuk perpaduan bangsa dan agama.


11. Tonggak ini tiada dalam PAS. Bagi pemimpin PAS, mereka meracuni pemikiran pengikut PAS bahawa mana-mana orang yang tidak tunduk dan mematuhi Islam ala PAS maka mereka bukan dalam golongan yang dirahmati Allah.


12. Insiden mengkafirkan orang Islam UMNO, sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan orang UMNO menambahkan lagi kesangsian saya terhadap perjuangan Islam ala PAS ini.


13. Dahulunya PAS mengatakan bahawa kita berjuang atas tiang Islam dan tidak akan berkerjasama dengan golongan bukan Islam sepertimana yang dilakukan oleh UMNO dengan MCA dan MIC. Tapi kini, mereka adalah pelakon yang meludah di atas langit dengan mengadakan Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR yang mana perjuangan dan pegangan mereka ini terang-terang tidak berlandaskan Islam sejati.


14. Perkembangan di sekeliling sejak dahulu hingga sekarang juga membuat saya takut kepada perjuangan PAS samada mereka ini adalah pengamal agama Islam yang mengikuti sunah Rasullullah dan al Quran?


15. Bayangkanlah bagaimana hukumnya jikakalau dalam rumah penyokong PAS digantung gambar pemimpin mereka dan mewarnakan batu nesan dengan warna PAS iaitu hijau.


16. Atas dasar apakah kita mengantungkan gambar pemimpin PAS dalam rumah kalau bukan untuk dihormati dan apa akan berlaku kalau ada orang yang mengoyakkannya? Adakah mereka ini akan marah atau membunuh orang yang mengoyak gambar itu?


17. Penyokong PAS juga tidak mahu bersama kariah UMNO untuk bersama-sama berjemaah dalam saf yang sama sujud menyembah Allah. Pemimpin mereka mengatakan bahawa tidak sah sembahyang di belakang imam orang UMNO?


Apakah pegangan mereka ini benar?


18. Begitulah antara sebab mengapa saya kurang meminati perjuangan PAS dan rela menjadi seorang rakyat yang hanya mendiamkan diri daripada terlibat dalam dakyah politik PAS yang menggunakan Islam sebagai alat memancing undi dalam pilihan raya.


Bagaimana dengan PKR?


19. Kalau PAS yang memperjuangan Islam ala PAS tidak menarik perhatian saya, inikan pula parti rojak mee.


20. PKR adalah pecahan dari UMNO dan kelainannya adalah memberi keahliannya kepada orang bukan Melayu. Kononnya ingin memperjuangkan politik pelbagai kaum.


21. Sebagai Melayu dan beragama Islam, tidak dapat tidak saya tetap mengutamakan perjuangan bangsa dan agama saya terlebih dahulu sebelum orang lain. Dalam masa yang sama saya akan menghormati mereka ini selagi mereka menghormati hak saya. Itu sangat jelas.


22. Demikianlah pandangan peribadi saya.


Analisis


Melayu UMNO kategori ini menolak PAS kerana percaya kepada propaganda UMNO tentang ciri-ciri ekstrim parti Islam itu. PAS didakwa:


1. Suka memburukkan orang dan menuduh orang dengan pelbagai kesalahan. ____ (#6 dan #9 tulisan tungaklangit)

2. Pendekatan itu bercanggah dengan Islam. ____ (#9)

3. Tidak menghormati pihak lain. ____ (#10, #11 dan #12)

4. Mendakwa orang Islam yang tidak menyokong mereka sebagai penentang Islam (tidak dirahmati Allah). ____ (#11)

5. Mengkafirkan orang Melayu penyokong UMNO. ____ (#12)

6. Tak mahu solat dibelakang imam orang UMNO. ____ (#12)

7. Tak mahu makan sembelihan orang UMNO. ____ (#12)

8. Cakap tak serupa bikin. Dulu haramkan kerjasama dengan parti bukan Islam tapi sekarang halal. ____ (#13)

9. Mengajar ahlinya jadi fanatik melampau seperti;

....... mengkafankan jenazah dengan bendera PAS.

....... mewarnakan batu nesan dengan warna hijau.

....... tak mahu sembahyang dalam satu saf bersama orang UMNO.

....... mengagungkan pemimpin secara keterlaluan - contoh, gantung gambar pemimpin bersaiz besar. ____ (#15, #16 dan #17)

10. Memperalatkan agama untuk kepentingan politik. ____ (#9)

11. Menyebarkan dakyah palsu yang memutar belit fakta demi memancing undi. ____ (#18)


PKR dan DAP ditolak oleh orang Melayu kategori ini kerana;


1. Mengancam hak dan kepentingan bangsa Melayu.

2. Merupakan agenda kaum Cina untuk berkuasa di Malaysia.

3. Menggugat kepentingan dan maruah agama Islam. ____ (#13, #19, #20 dan #21)


Selain daripada sebab-sebab dalam tulisan tongaklangit ini, ada beberapa isu lain yang dinisbahkan kepada kedua-dua parti ini, iaitu;


1. PKR adalah parti yang ditubuhkan kerana mempertahankan Anwar Ibrahim.

2. DSAI memang bersalah meliwat. Oleh itu dia tidak layak memimpin bangsa Melayu/Islam.

3. DAP anti Islam.

4. DAP adalah jelmaan parti komunis.


Penyokong UMNO kategori ini tidak mampu membuat perbandingan secara rasional kerana emosi dan sentimen mereka telah dimanipulasi secara terancang oleh propaganda UMNO.


Mereka benci PAS dan PKR kerana kononnya suka menuduh dan memburukkan pihak lain. Dalam masa yang sama segala macam tuduhan, fitnah dan tohmahan jahat yang dihamburkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO terhadap PAS dan PKR diterima sebagai wajar.


Mereka benci PAS kerana kononnya PAS mengkafirkan Melayu UMNO. Malangnya mereka seoalah-olah tidak sedar betapa pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa mendakwa PAS membawa ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Tidakkah 'ajaran sesat' dan 'menyeleweng daripada ajaran Islam' itu sebahagian daripada maksud kafir?


Mereka terus menerus mengeksploit beberapa kes sembahyang dua imam dan enggan makan sembelihan orang UMNO yang berlaku belasan atau puluhan tahun dulu (yang faktanya masih boleh dipertikaikan) sebagai isu untuk membenci PAS. Nilai intelektual mereka seakan pupus kerana gagal melihat orang PAS sehingga kini masih menunaikan solat di masjid-masjid yang imamnya orang UMNO. Mereka juga seakan menipu diri kerana gagal melihat jutaan orang PAS yang hadir ke majlis kenduri-kendara orang UMNO.


Mereka benci PAS kerana cakap tak serupa bikin. Dulu kata tak boleh berpakat dengan parti bukan Islam tetapi sekarang dibolehkan pula. Mereka malas menyelidik fakta sejarah betapa PAS telah bekerjasama dengan parti lain sejak sebelum merdeka lagi, bahkan pada tahun tujuh puluhan PAS pernah bersama-sama dengan UMNO di dalam Barisan Nasional. Jika diminta bukti, pasti mereka tidak mampu mengemukakannya kerana tidak pernah wujud kenyataan atau ucapan resmi pemimpin-pemimpin PAS sejak dulu hingga sekarang yang menyatakan haram bekerjasama dengan parti bukan Islam. Yang haram ialah bekerjasama mempertahankan kezaliman seperti kerjasama UMNO-MCA-MIC dan lain-lain komponen BN.


Mereka benci PAS kerana pengikutnya diajar menjadi fanatik sehingga berlaku kes kain kafan hijau, batu nesan hijau dan potret pemimpin diagung-agungkan. Dua tiga kes yang entah bila dan di mana ianya berlaku itu membutakan mata mereka daripada melihat jutaan kain kafan orang PAS yang masih berwarna putih dan jutaan batu nesan orang PAS yang masih sama dengan nesan orang UMNO. Mereka juga seakan rabun tidak melihat potret pemimpin UMNO bergantungan di merata premis pejabat dan kediaman penyokong UMNO bahkan terpampang pada bill board raksaksa di tengah bandar dan di tepi jalan.


Mereka benci DAP dan kerajaan 5 negeri Pakatan rakyat kerana kononnya mengancam dan menghakis hak orang Melayu. Mata mereka tertutup sehingga gagal melihat jutaan hektar tanah termasuk tanah rizab Melayu yang telah dimiliki oleh orang bukan Melayu sepanjang 52 tahun pemerintahan UMNO. Siapa yang bertanggungjawab? Mereka juga gagal melihat jutaan premis perniagaan dan industri dari bandaraya hingga ke pekan-pekan kecil yang 95% dimiliki oleh orang bukan Melayu. Di bawah pemerintahan parti apa keadaan ini terjadi?


Mereka benci Pakatan Rakyat kerana kononnya PR menderhaka kepada raja-raja Melayu. Neraca IQ mereka turun ke tahap zero kerana gagal mengingati fakta kebiadaban UMNO terhadap raja-raja Melayu sejak belum merdeka hingga kini (baca LINK ini).


Mereka benci DAP kerana kononnya parti itu anti-Islam dan menentang kedudukan Islam sebagai agama resmi negara. Mereka juga mengungkit-ungkit tentangan DAP terhadap hasrat pelaksanaan hukum hudud. Amat melucukan apabila mereka terlupa betapa UMNO lebih dahsyat menentang usaha pelaksanaan hudud di Kelantan pada awal tahun sembilan puluhan, bahkan hingga kini. Mereka lupa sumpah seranah pemimpin UMNO terhadap sekolah-sekolah agama sejak tahun lapan puluhan hingga kepada langkah menarik balik bantuan perkapita SAR. Mereka juga tak perasan kehidupan sebahagian besar keluarga pemimpin-pemimpin UMNO yang serba-serbi tidak Islamik.


Rumusan


Butiran analisis di atas menyerlahkan kontradiksi dalam diri orang Melayu yang setia menyokong UMNO dalam keadaan masih berfikir pada kadar yang sedikit. 20% pengundi UMNO tergolong dalam kumpulan ini. Masih ada harapan untuk kita mengubah pendirian mereka selagi kemahuan berfikir itu dilorongkan ke landasan yang betul. Baki 80% penyokong UMNO terdiri daripada 15% pemimpin pelbagai peringkat dan 65% penyokong tegar yang tidak mencapai piawai berfikir. Dua kumpulan ini amat sukar berubah kerana kepentingan diri dan masalah upaya intelektual.


Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mendampingi, menawan hati dan memberikan penerangan yang sesuai kepada kumpulan 20% itu nescaya semua negeri akan dapat dimenangi. Wallahu A'lam.

Comments :

2 comments to “CONTOH CORAK FIKIR MELAYU UMNO”
EQUILIBRIUM said...
on 

teman cuma pasai dap menolak islam. perkara ini cuma mainan media amno semata2. kalau kita nak tahu wajah sebenar mca mengenai islam bileh lawat website mca. tak ada bezanya mca dan dap dlm hal islam.

media amno takut nak siarkan apa pendirian mca kerana nanti amno tiada modal nak belasah dap. tapi pendirian mca ini teman rasa disarkan oleh media mca dan akhbar cina sbb mereka tak mahu dilihat kalah dgn dap.

tali kasut said...
on 

kadang2, terasa hendak dibiarkan shj penulisan2 sebegini (catatan tongkatlangit) kerana tiadanya hujah yg berdasarkan fakta yg tepat, namun pabila telah menjadi tugas ahli PAS untuk sama2 berdakwah (menyampaikan yg benar dan menegah yg batil), telah menjadi tanggungjawab kita untuk menjawab sebarang rasa ragu2 mereka,memecah batu ego mereka dan menerang jalan penglihatan mereka yg selama ini kabur. InsyaAllah

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini