Agenda Kepimpinan Rakyat - Siapa Yang Betul?

Muktamar PAS Pusat kali ke 55 bermula hari ini. Setakat kelmarin Dewan-dewan Ulama', Pemuda dan Muslimat telah menyempurnakan muktamar tahunan masing-masing. Banyak perkara dah dibincang dan diputuskan. Ada perkara yang biasa saja dan ada yang panas. Memang begitulah lumrah bermuktamar sejak 54 kali sebelum ini.

Seluruh dunia sedang memerhatikan muktamar kali ini khususnya sidang utama yang bermula hari ini. Seluruh rakyat Malaysia rentas kaum silang agama juga prihatin dan penuh minat. Ahli dan penyokong parti-parti gabungan Pakatan Rakyat lebih hebat ambil berat. Ahli dan penyokong PAS teruja dalam cemas. Para perwakilan berdebar-debar untuk menunaikan tanggungjawab berbahas dan mengundi. Semua orang ternanti-nanti keputusan pemilihan saf kepimpinan parti yang akan diketahui besok.

UMNO juga tidak ketinggalan. Media arus perdana sibuk mengulas dan menganalisis pertandingan jawatan tertinggi PAS kali ini khususnya jawatan Timbalan Presiden. Tergambar ada pertembungan besar dalam PAS hari ini. Ada kem ulama' dan ada kem profesional, atau ulama' lawan erdogan. Akhbar online dan blog politik riuh rendah dengan kempen mengempen dan bongkar membongkar. Seolah-olah kelompok pemimpin PAS sedang bergaduh besar merebut kedudukan.

Semua orang atau semua pihak berhujah, mengkritik, memberi pandangan malah mencadangkan supaya undi orang itu atau ini. Sama ada disedari atau tidak, semua orang yang berhujah dalam isu kepimpinan PAS ini sedang memberitahu; "Aku tahu perkara sebenar, aku tahu apa yang telah dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu siapa yang sepatutnya diundi oleh perwakilan dan hujah akulah yang betul. Mana-mana hujah yang berlawanan dengan hujah aku adalah tidak betul belaka."

Antara hujah-hujah yang popular (kategori 1) ialah:

- PAS mestilah dipimpin oleh golongan ulama'.

- Kepimpinan PAS mestilah gandingan antara ulama' dan profesional.

- Kepimpinan PAS pasca PRU12 mestilah berimej rentas kaum dan silang agama.

- Kepimpinan PAS mestilah berimej aktivis yang 'merakyat'dan tahan uji.

- Ulama' perlu diprofesionalkan manakala profesional perlu diulama'kan.

- Pemimpin PAS mestilah dipilih dari kalangan yang pro Pakatan Rakyat.

Antara hujah-hujah popular (kategori 2) ialah:

- Pemimpin pro-muqabalah (dengan UMNO) perlu disingkirkan.

- Kepimpinan PAS perlu dianggotai oleh lebih ramai golongan profesional.

- Bukan ulama' tidak layak menduduki jawatan tertinggi PAS.

- Ulama' atau bukan ulama' sama saja. Yang penting ialah kualiti kepimpinan.

Antara hujah-hujah popular (kategori 3 - panas!) ialah:

- Ustaz Nasharudin Mat Isa pro kerjasama PAS-UMNO.

- Ustaz Nasharudin Mat Isa menipu ketika isu pertemuan dengan pemimpin UMNO.

- TG Hadi Awang bertentangan pendapat dengan TG Nik Abdul Aziz.

- Dato' Husam Musa cemar lumrah pertandingan dalam PAS kerana berkempen berlebihan.

- TG Nik Aziz sokong kumpulan Erdogan.

Antara hujah-hujah popular (kategori 4 - terbakar!) ialah:

- TG Hadi Awang juga pro kerjasama dengan UMNO.

- TG Hadi Awang patut berundur kerana lemah daya fikir dalam hal strategi.

- Ustaz Nasharudin hidup mewah ala UMNO.

- Dato' Husam sombong, ada skandal, membayar blogger upahan dan gelojoh jawatan.

- UMNO sokong Ustaz Nasharudin.

Sebahagian pengulas malah melabelkan pemimpin-pemimpin PAS dengan perkataan yang amat buruk dan lucah termasuk babi, dungu, bengap, bahalol, lembab dan mati pucuk.

Dari satu sudut, ruang mengulas dan mengkritik yang terbuka luas di era teknologi ICT ini amat mendewasakan pentas politik tanahair. Parti dan pemimpin politik terdedah kepada pemantauan dan kritikan semua pihak. Hampir tiada lagi maklumat yang boleh dirahsiakan. Kesilapan pasti mengundang padah.

Forum maya sejuta panel 24 jam sehari sepanjang masa mungkin membuka ruang kepada perwakilan memperincikan sebab terbaik sebelum menentukan nama yang akan diundi.

Dari satu sudut yang lain keghairahan mengulas dan berhujah ini mungkin juga membuka peluang kepada UMNO untuk mengenalpasti kelemahan Pakatan Rakyat secara terperinci. Memang kita tidak mahu mendiamkan kesalahan atau kelemahan yang berlaku dalam parti-parti (PR) kita. Kita tegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Kita serius dengan prinsip keterbukaan. Kita bukan yes man membabi buta kepada pemimpin-pemimpin parti kita. Namun kita ada musuh yang sentiasa menunggu peluang. Profesionalisme tempur politik dan pemikiran strategik menuntut pertimbangan untung-rugi dan penilaian kesesuaian senjata-medan.

Ketidakpuasan hati antara seorang dengan seorang yang lain adalah 'nature'. Apatah lagi dalam perkara yang besar seperti urusan kepimpinan rakyat. Perbezaan pendapat dan sudut pandangan juga adalah fitrah manusia. Bahkan dalam kehidupan haiwan yang satu spesis pun ada perbalahan dan pertikaian. Dalam satu perkara yang khusus, sejarah kemanusiaan membuktikan betapa persepsi, penilaian, pertimbangan dan pendirian manusia sentiasa tidak satu.

Oleh kerana itulah Islam mensyariatkan 'syura' sebagai platform pengurusan masyarakat, sebagai medan menemukan perbezaan dan merumuskan persepakatan. Satu keputusan syura bukanlah hasil persepsi dan pendirian asal yang sama di kalangan semua yang terlibat dalam proses itu. Ia cuma rumusan bagi pandangan dan penilaian yang berbeza.

Begitulah juga prinsip demokrasi. Walaupun syura dan demokrasi tidak sama namun dalam hal menguruskan perbezaan kedua-duanya mempunyai kehampiran. Semua orang atau semua pihak berhak mengemukakan pandangan dan penilaian masing-masing. Perbezaan diperinci dan dibincangkan untuk mencari titik persamaan atau mencari yang lebih baik. Akhirnya diputuskan satu kata sepakat. Keputusan itu berkuatkuasa.

Sama ada dalam sistem syura atau sistem demokrasi, pengurusan perbezaan sudut pandangan itu ada prosedur dan disiplinnya. Proses itu melibatkan seni komunikasi. Kualiti natijahnya sangat bergantung kepada komunikasi yang 'smart'.

Adakah kita berasa damai dan gembira jika anak-anak kita menguruskan perbezaan pandangan 'sesama mereka' dengan penggunaan perkataan babi, bodoh, dungu dan lembab? Apakah kita bahagia jika seorang anak kita menguruskan hujahnya dengan menelanjangkan kesilapan abang, kakak atau adiknya di depan khalayak ramai?

Barangkali perbandingan ini tidak tepat seratus peratus dengan dunia politik dan pengurusan masyarakat. Keluarga hanya sebuah unit masyarakat yang sangat kecil sedangkan kita membincangkan urusan masyarakat umum dan kepentingan yang jauh lebih besar. Namun begitu dalam banyak hal, kes kecil mampu menjadi asas kepada pemikiran berkaitan kes besar.

Penulis menyokong Dato' Husam Musa untuk jawatan Timbalan Presiden. Secara resmi, PAS Kawasan penulis juga mencalonkan Dato' Husam untuk jawatan itu dalam Mesyuarat Agong PAS Kawasan, April lalu. Tetapi penulis tidak sanggup menghentam Ustaz Nasharudin dengan bentuk hentaman yang penuh penghinaan. Sementelah terasa takut dengan butiran Fiqh Ad-Da'wa Wa Al-Baiyinat tentang urusan tuduhan dan pembuktian yang disyariatkan.

WaLlahu A'lam. Ini sekadar persepsi dan pandangan peribadi penulis. Tak mungkin penulis sentiasa 'betul' dalam semua perkara.

Baca Sepenuhnya..
 

Komen Pengunjung Terkini