DISKUSI MEMECAH KARAT FIKIR UMNO

... ok, berehat sekejap daripada mencari dan mengulas berita. Kebanyakan kita memang sukakan isu. Lagi panas, lagi baik. Lebih gempaq, lebih bagus. Kita suka filem aksi ala filem Jacky Chan. Sehinggakan dalam politik dan kehidupan sebenar ini pun, kita tertunggu-tunggu yang meletup-letup dan ganas ... sesekali berehatlah.

foto pinjam dari blog Less Emotion Will Clear A Confused Mind yang juga dipinjam dari blog CoreyisLive

Aku percaya kita patut banyakkan berdiskusi tentang penyelesaian yang lebih real. Kita dah tahu puncanya. Kita kenal penjenayahnya. Kita arif siapa mangsanya. Kita nampak akibat jangka panjangnya. Kita percaya kalau kawan-kawan dan kaum keluarga kita dapat diselamatkan daripada pemangsa-pemangsa yang dah membiulkan pemikiran mereka, insyaallah kebangkrapan nilai dan budaya yang sedang meraja di tanahair ini dapat disembuhkan.

Aku dah bincangkan hal ini dalam posting bertajuk 'brahma menipu paria celaru', 'perang ini memang seni - dalam gawat ada damai', 'kuliah subuh 4 februari', 'ke mana kita selepas kuala terengganu?', 'kad kuning untuk kerajaan perak', 'betul ke kita ni kerajaan?', 'si perak bangkit men'tengin'kan aku', 'cambah fikir II' dan 'cambah fikir I'.

Kita perlu masuk gelanggang. Betul-betul turun padang. Banyak komen dari tempat duduk penonton tak ada gunanya. Banyak syarah dan banyak syok berteori pun tak ada faedahnya. Hajat besar usaha kecil memang sia-sia. Dentum seguruh kandung sehabuk. Cukup! Cukup!

Perihal busuknya UMNO dari kepala sampai ke ekor dah kita maklumi sehabis-habisnya. Jahat. Skandal. Zalim. Tipu. Fitnah. Memperbodohkan rakyat. Rakus. Rasuah. Tak tau malu. Semuanya kita dah khatam. Bukti bukan setakat enam kotak tapi enam kapal. Cukup! Cukup!

Seburuk mana pun yang kita dapat sifatkan tentang UMNO, peti undi masih UMNO kuasai walau pun dah mula kurang beratnya. Majoriti orang Melayu yang resminya Islam itu masih pangkah UMNO kecuali di Kelantan. Selagi Melayu masih begitu otaknya maka selagi itulah kita tenggelam timbul tak keruan. Malaysia makmur aman bahagia selamat sejahtera yang kita nak bina akan kekal sebagai cita-cita. Tak sampai ke mana.

Aku bukan lemah semangat. Bukan kecewa. Jauh sekali berputus asa. Aku lontarkan fikir ini dengan maksud mengajak kawan-kawan semua mengatur dan mengorak langkah pendekar. Matching siku-siku dan kuda-kuda. Pantas tepis dan tempur. Menepis menang, memukul pun menang. Kilas cepat, tuju tepat dan tiada ralat.

UMNO menakluk rakyat dengan sorong tarik kebendaan. Harta dan wang yang tak seberapa itu telah berjaya digunakan untuk menindik hidung Melayu UMNO kampung selama lebih 50 tahun. 'Benda' menjadi ikatan. Apakan daya, memang itulah resam manusia. Mudah terpedaya dengan umpan yang sedikit sehingga tergadai kekayaan yang banyak. Melayu UMNO kampung yang dapat tanah Felcra 6 ekar akan sembah UMNO sampai mati. Melayu UMNO yang sekadar berjawatan AJK cawangan akan mengenang budi kerana dapat pergi rombongan ke Langkawi atau Putra Jaya dua tiga kali. Melayu UMNO kampung yang dapat bantuan tukar bumbung rumah pun sanggup mempertahankan UMNO sampai ke titisan darah yang terakhir. Apakan daya, itu realiti yang terbentang di depan mata kita.

Aku percaya kita boleh pelajari pelbagai pilihan kaedah menembusi minda dan jiwa manusia termasuk manusia Melayu UMNO dengan menggali catatan sejarah. "Sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa meniti arus angkara" dendangan Ramli Sarip boleh ditimbang untuk mengetuk minda.

Rasulullah berdepan dengan mentaliti Quraisy jahiliah yang lebih kurang parahnya dengan mentaliti UMNO. Tiga belas tahun pra-hijrah adalah episod pilu penerimaan dakwah Nabi. Tak berapa kerat manusia yang ditakdirkan mendapat hidayah Allah. Namun sedikit jumlah yang menyambut reformasi ketuhanan bawaan Nabi itu adalah penyokong yang high quality. Sedikit tapi mantap. Sedikit tapi tulen. Marhaen berjiwa bangsawan.

Modus operandi Nabi unik, pelbagai, berstrategi, sistematik, well organised, viable, credible dan macam-macam lagi yang muluk-muluk belaka sifatnya. Ada terbuka, ada bersembunyi. Ada ceramah umum, ada sentuhan secara peribadi. Ada pujuk, ada ancam. Ada puji, ada caci (kalau geng BPN minta dalil, aku boleh bagi). Seru orang besar, seru orang kecil. Ada marah, ada simpati. Dan macam-macam lagi.

Ramai orang Yathrib (Madinah) menerima Islam sebelum Nabi sampai ke bumi hijrah itu. Bagaimana? Tiga empat tahun sebelum hijrah, Nabi fokus berdakwah kepada orang luar yang datang ke Mekah sewaktu musim haji. Dakwah Nabi tersusun rapi. Orang Yaman, Taif, Syam, Yathrib ada dalam senarai kerja Nabi. Satu demi satu ditemui dan di seru. Akhirnya warga Yathrib sambut seruan Nabi sehingga termeterai Bai'ah Aqabah 1 dan Bai'ah Aqabah 2 pada tahun ke 11 dan 12 kenabian. Sebaik saja berhijrah pada tahun ke 13 kenabiannya, Nabi bertapak dengan pantas di Yathrib sehingga bandar itu menjadi Madinatun Nabi yang tertegak Islam sebagai way of life yang berdaulat.

Begitu sajakah kisahnya? Tidak sekadar itu. Kalau kita selak kitab seerah helaian demi helaian, di setiap cebisan kisah Rasul, ada isyarat dan ilmu yang hebat tentang teknik, pendekatan, strategi, gaya, cara, sistem, perisai dan senjata untuk memenangi hati manusia dan menangkis serangan. Yahudi yang sengaja menyakiti Nabi dengan sampah yang dihimpun di laman Nabi, akhirnya memeluk Islam kerana Nabi terus-terusan menyantuninya. Umar al-Khattab yang dalam perjalanan untuk menyakiti Nabi, akhirnya jadi Muslim pada hari yang sama selepas berhenti dirumah adiknya kerana terdengar bacaan surah Taahaa. Ketika masuk ke rumah tempat Nabi berkumpul dengan sahabat-sahabatnya, Nabi menyambut Umar dengan menyekak bahagian pakaian di lehernya dan mengangkatnya hingga terjulang dengan kata "apa yang kamu mahu?". Najasyi yang pekat kristiannya tiba-tiba mengalir air mata apabila diceritakan kandungan Quran tentang Isa alaihissalam. Abu Sufian yang jawatannya umpama Naib Presiden UMNO akhirnya memeluk Islam ketika Fathu Makkah setelah Nabi mengumumkan namanya dan rumahnya sebagai salah satu tempat yang dijamin selamat untuk penduduk Mekah berlindung di dalamnya. Dan banyak lagi kisah-kisah yang lain ...

Apa yang patut kita lakukan untuk menembusi minda Melayu UMNO terutama kelompok yang paling ramai iaitu UMNO di kampung-kampung. Kelompok inilah yang membekalkan nyawa kepada UMNO Dato' dan UMNO Tan Sri di Putra Jaya. Melayu yang tak pernah dan tak mungkin ada cita-cita untuk bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO. Yang ada dalam fikiran mereka hanyalah bantuan dan peruntukan yang UMNO jaja sepanjang masa.

Aku yakin kalau kita fokus kepada kelompok ini insyallah kita boleh cepat berjaya. Kalau kita serius menetapkan tanggungjawab petugas-petugas kita kepada sejumlah sasaran yang khusus di keliling terdekat masing-masing, kita boleh tembusi minda Melayu UMNO dengan jayanya. Tetapi tidaklah ia semudah yang ditutur. Walau pun seorang petugas hanya bertanggungjawab untuk penetrate minda 5 hingga 10 sasaran namun bekalnya mestilah cukup. Cara, bahan, masa, kekerapan, asas menilai penerimaan, upaya menyerap bangkangan atau serangan, skill memujuk, bijaksana memecah kebuntuan, pantas divert kekusutan hujjah dan seribu satu seni tempur minda mestilah dimahirkan.

Satu perkara lagi yang wajib kita fikirkan pelaksanaannya sesuai dengan persekitaran dan keupayaan kita ialah pendekatan kebajikan. Parti pimpinan Recep Toyyeb Erdogan di Turki dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia boleh dijadikan model. Kita patut akui bahawa kita agak ketinggalan dalam hal ini berbanding parti rakan kita di dua negara itu. Sementelah UMNO lebih upaya menonjolkan usaha kebajikan berbekalkan kelebihan kewangan sebagai parti yang menguasai kerajaan pusat. Tapi itu bukan alasan. Hati manusia sentimental dengan kebajikan yang melambangkan ambil berat dan kasih sayang. Tidak semestinya dengan wang berjuta!

... ok, diskusi ini aku hentikan sekejap. insyaallah akan bersambung lagi ...

Comments :

0 comments to “DISKUSI MEMECAH KARAT FIKIR UMNO”

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini