ZAMBRY DAN 6 EXCO KUDETA DIGANTUNG

Menteri Besar kerajaan kudeta Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama 18 bulan manakala enam exconya digantung selama 12 bulan.

Keputusan tersebut dibuat oleh jawatankuasa hak dan kebebasan yang bersidang hari ini, yang dipengerusikan oleh Speaker DUN, YB Sivakumar.

Perkembangan terbaru ini akan mengheret Perak kepada satu lagi krisis selepas BN mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.

Dr. Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa itu semalam, berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.

.... malaysiakini

Comments :

0 comments to “ZAMBRY DAN 6 EXCO KUDETA DIGANTUNG”

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini