Ampun Tuanku beribu Ampun. Sembah patek mohon diampun. Dengan sepenuh rendah diri patek sembahkan warkah ini ke bawah Duli Tuanku demi kesejahteraan tanahair tercinta yang berpayung di bawah naungan Tuanku.
Ampun Tuanku. Titah Tuanku sewaktu membuka sidang Parlimen pagi tadi telah menyentuh banyak perkara yang menuntut perhatian patek-patek sekelian sebagai rakyat jelata. Sebagaimana titah Tuanku, negara ini berdiri wujudnya di atas perlembagaan yang termaktub dengan nyata. Adalah menjadi kewajiban sekelian rakyat jelata agar menjunjung perlembagaan itu dalam semua langkah dan tindakan. Hanya dengan yang demikian itulah mudah-mudahan beroleh kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Ampun Tuanku. Kebelakangan ini banyak terjadi perkara-perkara yang menggugat kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Sekelian rakyat jelata telah sekian lama tertekan dan tidak aman daripada penyalahgunaan amanah dan pengkhianatan mandat oleh pembesar-pembesar negara yang tidak mempedulikan undang-undang dan perlembagaan.
Ampun Tuanku. Patek percaya bahawa adalah Tuanku juga amat maklum akan perilaku pembesar-pembesar negara dan negeri-negeri. Mereka itu telah berlaku tidak adil terhadap sebahagian rakyat jelata yang tidak sependapat dengan mereka. Patek mewakili jutaan rakyat jelata memohon agar sudilah kiranya Tuanku mencemar Duli menjenguk patek-patek sekelian yang sedang dianiaya oleh pencabul undang-undang dan perlembagaan itu lantaran Tuanku jualah yang telah perkenankan mereka untuk mentadbir patek-patek sekelian.
Ampun Tuanku. Adapun pembesar-pembesar negara daripada pertubuhan politik yang bernama Barisan Nasional itu, kelihatannya sudah tidak langsung mengambil peduli akan hak patek-patek sekelian dalam kerangka demokrasi berparlimen yang menjadi asas perjalanan negara. Mereka telah menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan oleh sekelian rakyat jelata. Patek percaya betapa Tuanku amat maklum bagaimana mereka memperalatkan juzuk-juzuk pentadbiran negara seperti SPRM, SPR, PDRM, JPN dan lain-lain, demi mencapai hajat politik mereka walau pun secara tidak adil dan tiada saksama.
Ampun Tuanku. Patek dengar perkhabaran Tuanku tentang akan berundurnya Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi daripada amanah sebagai Perdana Menteri pada penghujung bulan Mac nanti. Ampun Tuanku, kerisauan patek sekelian adalah pada pengganti yang diura-urakan akan menduduki tempat tertinggi pengurusan negara itu, iaitu Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Pada fikiran patek sekelian, amat merbahayalah negara ini jika Dato' Seri Mohd Najib menjadi Perdana Menteri.
Ampun Tuanku. Tidaklah boleh patek menghukum sesiapa pun atas apa jua tuduhan melainkan mahkamah jua yang berhak menentukannya. Namun begitu, perilaku Dato' Seri Mohd Najib telah masyhur dalam pengetahuan sekelian rakyat jelata walau pun tiada mahkamah yang telah menghukumkannya. Ampun Tuanku, rakyat dapat merasakan betapa ada tangan-tangan ghaib yang mengatur rencana sehingga tiadalah dapat pelaku-pelaku kesalahan dari kalangan pembesar itu dibawa ke muka pengadilan. Justeru itulah maka ramai benar pembesar yang terlepas daripada sebarang hukuman walhal mereka adalah penjenayah sebenar.
Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah patek harap diampun. Patek memohon agar dapatlah kiranya Tuanku tiada memberi perkenan jika yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak itu memohon perkenan perlantikannya sebagai Perdana Menteri pada awal bulan April nanti. Patek percaya tiadalah sesiapa pun yang akan engkar terhadap keputusan Tuanku jika sekalipun Tuanku tidak memberikan perkenan kepada Mohd Najib untuk menjadi Perdana Menteri. Sekelian mereka itu sejak dua minggu yang lalu gegak gempita menjunjung kasih dan menyembah ikrar taat setia kepada Tuanku serta kepada sekelian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja dan Sultan. Mereka yang daripada pertubuhan bernama UMNO itu telah berikrar untuk mempertahankan kedaulatan Tuanku dan Duli-Duli Yang Maha Mulia seluruhnya.
Ampun Tuanku. Patek percaya bahawa Tuanku amat maklum perihal terpalitnya nama Mohd Najib dengan misteri pembunuhan warga Mongolia yang bernama Altantuya Shaaribuu. Walau pun di kala ini orang lain yang sedang dibicarakan di mahkamah, namun telah masyhurlah seantero dunia akan kaitannya dengan Mohd Najib. Ampun Tuanku. Perihal tidak terheret Mohd Najib ke muka pengadilan, kelihatan ianya berpunca daripada tangan-tangan ghaib yang patek tintakan di awal warkah ini.
Ampun Tuanku. Kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan sejak dua minggu yang lalu, adalah juga berpunca daripada kehendak politik yang rakus dan tamak oleh yang bernama Mohd Najib itu juga. Patek merasa sangat hiba apabila Mohd Najib tergamak memperdaya Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk tidak memperkenankan pembubaran DUN dan menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan Menteri Besar, seterusnya memberi perkenan untuk perlantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru. Ada pun perdayaan itu telah mengakibatkan kekeruhan hubungan antara Istana dan rakyat jelata.
Ampun Tuanku. Pada firasat patek, jika diperkenankan Mohd Najib menjadi Perdana Menteri, nescaya porak peranda dan binasalah tanahair tercinta ini. Sejauh ini pun, Istana dan rakyat jelata masing-masing telah menjadi mangsa kepada percaturan politik Mohd Najib dan pertubuhannya iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Rakyat kecewa. Istana murka. Mohd Najib ketawa.
Ampun Tuanku. Akhir kalam, patek sekali lagi dengan sepenuh jiwa dan raga, merayu ke bawah Duli Tuanku, mohon diperkenankanlah sembah patek pacal yang hina ini.
Daulat Tuanku.
apa sudah jadi madani!?
-
*SUAMI MATI KERANA MEMPERJUANGKAN KEDAULATAN NEGARA!?*
*WALAUPUN SUAMI BERJASA, *
*UNDANG-UNDANG TETAP UNDANG-UNDANG*!?
*BELUM ADA PINPINAN SABAH YANG ...
3 days ago
sebagai rakyat negeri perak (wpun tak menetap dan bekerja di perak ..lahir je kat sana ) ...hurmmm sedey betul baca pasal politik negeri perak....pendapat saya....Dato Seri Ir Nizar tuh org yang paling layak memimpin perak...berbanding dengan yang terbaru ini...jangka masa 11 bulan terlalu singkat untuk membuktikan kemampuan serta perubahan yang bakal dilakukan....berbanding dgn barisan nasional yang berkurun bertapak...berabad bertapa kat negeri perak...dari saya kecik sampai besar...so..pendapat saya...Najib tuh selayaknya tidak dihormati sbb dia tidak pernah menghormati rakyat,,,dia hanya pk diri dia , bini dia.... semoga Sultan Perak mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat ..bukan la meragui ..hak rakyat biar rakyat yang putuskan ....amin
hamba yang hina ini juga memohon agar tuanku, dapat meyusun semula badan badan berkanun di tanah air ini, agar tidak memyebelahi sesetengah pihak sahaja, kalaulah semua ini dapat tuanku betulkan inssyallah bumi malaysia ini akan aman .