APA ISU SEBENAR DI PERAK?

Di atas kertas, kerajaan negeri Perak telah bertukar daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional. Saman DS Nizar di mahkamah tinggi baru bermula. Speaker V Sivakumar bersama Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN telah memutuskan penggantungan Dato' Dr. Zambry dan enam Exco pilihannya. Lapan belas dan dua belas bulan tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Pemuda UMNO telah membuat laporan Polis dan laporan kepada SPRM menuntut supaya Speaker disiasat kerana salahguna kuasa. DS Nizar sudah berangkat meninggalkan kediaman resmi MB manakala Dato' Dr. Zambry telah pun masuk pejabat MB dan selesai mengadakan mesyuarat Exco kali pertama. Judicial review terhadap keputusan aneh SPR menolak perisytiharan kekosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering masih di mahkamah untuk tempoh yang tak dapat nak dijangka.

Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian sebagai Kerajaan Negeri Perak yang sah. Dato' Dr. Zambry juga berulangkali menyebut bahawa perlantikannya sebagai MB oleh DYMM Sultan adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kini ada dua Menteri Besar Perak dalam satu masa. Logiknya, keadaan itu memang tak logik.

Kumpulan awal sembilan demostran Kuala Kangsar telah ditangkap, direman, dan diikat jamin sementara menunggu sebutan kes dan perbicaraan di mahkamah. Kumpulan kedua menyusul seramai tiga orang. Ditangkap di rumah masing-masing, direman dan diikat jamin. Sebutan kes yang dijadualkan pada 20 Februari telah ditangguhkan ke 20 Mac kerana pendakwa masih belum menyerahkan fail pendakwaan ke mahkamah. Dua aktivis PKR dan dua orang bloggers ditangkap dan akan didakwa di bawah akta mesin cetak.

Lebih seratus laporan polis dibuat di seluruh negara oleh UMNO dan persatuan Melayu yang bercirikan UMNO menuntut siasatan dan tindakan pihak berkuasa ke atas DS Nizar, Karpal Singh dan beberapa nama di pihak Pakatan Rakyat kerana menderhaka dan menghina Sultan Perak. Demostrasi halal juga diadakan di merata tempat oleh UMNO dan persatuan yang ada kaitan dengan UMNO, berlatarkan pembelaan hak dan ketuanan Melayu serta Kedaulatan Raja-Raja.

Pemimpin Pakatan Rakyat turun padang hampir setiap hari bertemu orang ramai dan memberikan penerangan tentang isu ini. Istilah rampasan kuasa, kerajaan kudeta, coup de'tat, konspirasi Najib dan bermacam-macam istilah lain berkumandang saban hari. Beberapa nama tiba-tiba menjadi popular termasuk Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim (SUK), Dato' Ahmad Kamal Md Shahid (Penasihat Undang-Undang Negeri), Dato' Seri Panglima Mohd Annuar Zaini (Ahli Dewan Negara Perak) dan Dato' Abd Rahim Mohamad Nor (Setiausaha Sulit DYMM Sultan). Empat nama besar ini dikaitkan sebagai penggerak utama konspirasi rampasan kuasa arahan Najib dan Zahid.

TV, radio dan akhbar perdana yang dikuasai UMNO riuh rendah memainkan isu ini dengan gegak gempita yang memang diramalkan. DS Anwar diperlecehkan dengan misi 916 yang bertukar arah. Karpal pengkhianat negara. DS Nizar penderhaka Raja. Pakatan Rakyat menuju kehancuran. Rakyat telah sedar dan bergerak kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Bukit Selambau dan Bukit Gantang menghangatkan suasana, diikuti Bukit Lanjan yang tiba-tiba muncul menambah luka kepada episod duka. SPRM tumpang sekaki mengintai populariti untuk anugerah taat setia kepada UMNO dengan kes Tan Sri Khalid Ibrahim. Tiga kontena fail kes Khir Toyo hilang dicuri toyol. Selang sehari menyusul kisah yang lebih bogel daripada Elizabeth Wong apabila anakanda kepada Pesuruhjaya SPRM ditangkap di Australia kerana koleksi bahan lucah kanak-kanak bawah umur. Drama ini jadi semakin 'heavy'.

Berbalik kepada krisis di Perak, apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang tersirat disebalik yang tersurat? Besar sangatkah isunya? Berat sangatkah kesnya? Rumit sangatkah krisisnya?

Sebenarnya ini hanyalah fenomena biasa di pentas politik. Gelombang yang lebih besar pernah berlaku sebelum ini seperti Tragedi 13 Mei serta krisis perlembagaan 1983 dan 1993 yang menelanjang dan menghenyak Raja-Raja. Kemudian berlaku ledakan reformasi menyusuli pemecatan DS Anwar daripada kerajaan dan UMNO. Cuma kes bagi krisis terbaru ini adalah kali pertama dalam sejarah Perak. Mungkin kerana itu rakyat merasakannya sebagai suatu yang sangat besar.

Sebagaimana Pakatan Rakyat mahu menumbangkan BN, begitulah juga BN, sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menumbangkan Pakatan Rakyat. Sementelah BN ada senjata yang lebih baik dan lebih banyak untuk menyakiti PR, maka lebih mudahlah misi mereka. Pakatan Rakyat negeri Perak hanya ada seorang MB dan 10 Exco bersama dua setiausaha MB dan dua belas pegawai khas MB/Exco. Dalam kerajaan itu UMNO ada Dato' SUK, Dato' LA, Dato' SU Sulit Sultan, Dato' Panglima Annuar Zaini, pengarah-pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan dan sebahagian besar DO yang bertuankan Barisan Nasional. UMNO juga ada TV, radio dan akhbar harian yang taat setia 24 jam 365 hari setahun melaksanakan segala kehendak dan cita-cita politik mereka. UMNO juga ada Polis, SB, BTN, JASA, KEMAS, FRU, SPR, SPRM dan semua jentera pelaksana/penguatkuasa yang gerak mereka berpada hanya dengan satu petikan jari pemimpin UMNO. Itulah realiti politik Malaysia. Pakatan Rakyat umpama pasukan bolasepak Sekolah Kebangsaan Pangkor yang nak bertarung dengan Manchester United FC.

Isunya cuma BN mahu ambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. By hook or by crook matlamat itu mesti dicapai. Apa jua peluang yang terbuka mesti dimanfaatkan. Kesempatan yang datang tidak harus dilepaskan. Tajol telah usahakan di peringkat awal selepas PRU12 tetapi gagal. Waktu itu Harussani sudah berperanan namun PAS gagal dipujuk. Wang berjuta tidak dipandang oleh YB Pakatan Rakyat.

Pada 20 Ogos 2008, SPRM (ketika itu masih BPR) berjaya melaksanakan tugas memerangkap dua Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak melalui petugas veteran yang bernama Imran. Kejayaan itu adalah aset besar BN untuk meneruskan misi mengambil alih kuasa. Ugutan dan tawaran bersilih ganti datang kepada dua Exco itu. Kalau tak sokong BN, mereka akan disabitkan bersalah di mahkamah dan hilang segala-galanya. Kalau mahu ikut BN, kes mahkamah boleh dirunding penyelesaiannya. Dalam kes bunuh Altantuya, Razak Baginda lagi boleh dibebaskan tanpa bicara, inikan pula kes kecil terima rasuah yang tidak diminta. Selajutnya, Jamaludin dan Osman cuma perlu buka akaun bank di Singapura atau di mana saja asalkan luar negara. Beres.

SPRM telah berjaya menukarkan nisbah kerusi DUN antara BN dan PR daripada 28:31 kepada 30:29. Kedudukan itu sudah cukup untuk BN membentuk kerajaan dengan kelebihan satu kerusi, namun keadaan akan lebih selesa jika kelebihan kerusi itu ditambah satu atau dua lagi. Hee Yit Foong telah menyediakan dirinya untuk jadi sasaran BN sejak awal lagi apabila dia memprotes partinya dalam banyak perkara, daripada tuntutan kerusi exco untuk wanita hingga kepada isu Camry yang tidak diperuntukkan kepada Timbalan Speaker. Kisah pertembungan pendapat yang berlarutan antara Hee dengan Ngeh menambahkan leleh liur BN terhadap OKU itu. BN tidak pernah berhenti mengasak dengan pujuk dan ancam.

Hee menukar nisbah kerusi DUN Perak kepada (BN)31:28(PR) dalam senyap dan tersembunyi. Ngeh dan Nga berjaya diyakinkan bahawa Hee tidak hilang seperti yang dihebohkan. Telefon tak diangkat hanya kerana Hee terlupa membawanya ketika keluar rumah menziarahi kakaknya. Hee tetap bersama DAP! Begitulah skrip mantap yang dibangunkan oleh BN.

Dalam riuh rendah misteri kehilangan tiga ADUN itu, tiba-tiba Dato' Nasa Bota muncul mengejut masuk PKR. Kedudukan kembali (BN)30:29(PR). Guruh yang berdentum di langit menyebabkan Pakatan Rakyat menterbalikkan tempayan untuk menakung hujan yang bakal turun. Malangnya angin yang kuat telah membawa awan berhujan di tempat lain. Ada teori yang menyatakan bahawa Dato' Nasa juga sebahagian dari skrip Dato' Najib. Keterujaan pada hijrah Dato' Nasa melekakan perhatian Pakatan Rakyat terhadap tiga sejoli yang sedang diandam oleh jin beragas BN. Analisis lain mengaitkan SPRM sekali lagi sebagai penyelamat BN. Bapak si lucah di SPRM itu dengan pantas menyediakan fail untuk memasung Dato' Nasa dengan pertuduhan rasuah. Maka Dato' Nasa pun surrender tanpa mempedulikan kekecewaan Datin Umi. Score-board bertukar kembali ke angka (BN)31:28(PR).

Ketika itu Speaker DUN telah memaklumkan kekosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering kepada SPR. Ada surat perletakan jawatan yang telah ditandatangani semasa pembentukan kerajaan pada bulan Mac 2008. Dari segala sudut undang-undang, surat itu sah tetapi SPR terpaksa akur kepada kemahuan bos politiknya iaitu BN lalu mengumumkan tiada pilihanraya kecil di dua kawasan itu. Pakatan Rakyat terjerat lagi.

Pilihan terakhir ialah membubarkan DUN dan mengembalikan kepada rakyat untuk memberikan mandat baru yang lebih jelas, sama ada kepada PR atau kembali kepada BN. DS Nizar mengadap mohon perkenan. Tuanku Sultan bertempoh hingga esok hari. Petang hari yang sama, Najib mengumumkan BN akan membentuk kerajaan di Perak dalam sidang media yang dihadiri tiga sejoli dan Dato' Nasa.

Detik inilah bermulanya krisis. Kecelaruan yang rumit untuk difahami dan sukar dijangkau oleh andaian, analisis dan jangkaan. PR dengan hak dan maruahnya. BN dengan kehendak dan budayanya. Sultan dengan daulat dan survivalnya. Rumit dan celaru.

Krisis boleh dielakkan jika Tuanku Sultan perkenankan permohonan DS Nizar untuk membubarkan DUN. Tamatlah pertikaian tentang siapa yang ada majoriti dalam DUN. Keputusan pilihanraya menentukan sama ada rakyat mahukan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Tuanku selamat daripada 'sembah derhaka' dan sebarang tohmahan. Tiada himpunan di Bukit Chandan. Tiada saman di mahkamah. Tiada demonstrasi UMNO di seluruh negara. Tiada ungkitan sejarah derhaka. Tiada ugutan peliru hidup. Tiada dan tiada.

Misteri krisis ini berlegar di istana. Seluruh dunia tahu kehebatan Tuanku Sultan dan Raja Muda dengan latarbelakang undang-undang dan sains politik peringkat tertinggi dalam kerjaya dan pendidikan. Terasa mustahil keputusan tidak memperkenankan pembubaran DUN dan memperkenankan perlantikan MB baru itu muncul dari pertimbangan normal kedua-dua payung negeri itu. Lalu timbullah pelbagai andaian dan tanggapan.

Rakyat tidak pelik tentang perangai dan budaya UMNO. Sepak terajang politik UMNO sudah ditonton selama lebih 50 tahun. Rakyat sudah khatam malah menghafal strategi dan taktik politik UMNO yang serba boleh itu. Sesama sendiri di dalam UMNO itu pun mereka bercakaran, berbunuhan, rasuah dan saling menjatuhkan maka tentulah lebih dahsyat lagi percaturan mereka dalam perang melawan musuh.

Yang pelik ialah keputusan istana. Keganjilan itu merangsang seribu siasatan oleh rakyat serta mengundang pelbagai tanggapan dan tuduhan. Persepsi negatif yang pertama ialah ugutan Najib berkaitan seorang puteri Tuanku yang menguasai Gamuda. Menyusul kemudiannya tuduhan yang lebih dahsyat iaitu ugutan menyingkirkan Raja Nazrin sebagai bakal Sultan. Ugutan itu dikaitkan dengan kononnya Tuanku sendiri dinaikkan ke takhta melalui rencana Dr. Mahathir walau pun sebenarnya tidak berhak ke atas takhta. Rakyat diberitahu rupanya bonda Tuanku Sultan tidak berdarah raja, maka hak bersinggahsana di takhta sepatutnya berpindah kepada waris yang lain. Begitu juga dengan Permisuri Bainun yang juga bukan berdarah raja. Maka Raja Nazrin kononnya tiadalah berhak bergelar Raja Muda namun mantan Perdana Menteri menyusun segalanya dengan sempurna sehingga tiada siapa berani mempertikaikannya. Najib umpama mengacukan pistol ke kepala Tuanku dan berkata "sama ada Tuanku mengikut apa yang patek mahu atau Raja Nazrin tidak akan menaiki takhta". Dipetik daripada artikel Accept Najib Or Lose The Throne (DI SINI).

Pelbagai dakwaan yang berlegar di mulut rakyat sekarang ini memang sukar dipercayai dan tidak dapat disahkan ketulenannya, namun keganjilan titah dan perkenan istana telah mengundang semua bualan itu. Jika benar begitu maka malanglah bumi tercinta ini dan hancurlah nasib seluruh warganya di tangan Najib dan UMNO yang durjana. Jika bukan begitu siratannya maka apalah agaknya yang tersemat di minda Tuanku?

Terdapat juga analisis yang merumuskan bahawa drama berat ini adalah cara Tuanku nak mengajar Najib dan UMNOnya. Lantaran itulah Tuanku berpesan kepada DS Nizar dengan membacakan ayat Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Allah bersama dengan hambanya yang sabar". Kegelojohan UMNO perlu ditangani dengan teliti dan sempurna. Menentang UMNO secara terbuka memang bahaya. Risikonya terlalu besar berdasarkan rekod kesanggupan UMNO menderhakai Raja tanpa sedikit pun rasa hormat dan belas. UMNO ada pengalaman dan kemahiran memanipulasi semua jentera kerajaan dan seluruh rakyat bangkit menentang istana bermula daripada perderhakaan Dato' Onn Jaafar hingga kepada penderhakaan Abdullah Badawi, Idris Jusoh dan Shahidan Kasim. Juaranya sudah tentulah Mahathir Mohamad dengan kejayaan melucutkan immuniti sekelian Raja-Raja melalui pindaan perlembagaan.

Analisis itu meyakini kebijaksanaan Tuanku Sultan sementelah kepakaran Tuanku adalah di bidang perundangan. Tuanku amat arif betapa UMNO yang kepingin sangat untuk berkuasa itu, tak akan aman dengan perkenan yang dipaksakan itu. Tuanku tahu sempadan kuasanya berhubung lantik dan lucut memanda Menteri Besar negerinya. Oleh kerana UMNO itu jenis bantah yang tak boleh ditegah maka Tuanku turuti dahulu kemahuan mereka. Tuanku arif betapa DS Nizar boleh membawa kes ini ke mahkamah tanpa melibatkan istana. UMNO perlu jawab dan pertahankan diri tanpa boleh bersandar kepada Tuanku lagi. Tuanku juga amat arif peruntukan Undang-Undang Tubuh tentang Speaker. UMNO terlupa hal itu kerana kemaruk yang tak tertahan lagi. Biarkan ... biarkan! Biar UMNO layari ombak ganas dan lautan bergelora yang mereka sendiri menempahnya. Tuanku akan tersenyum puas di jendela istana. Kalau UMNO masih mahu bicara soal maruah, mereka akan merafak sembah mohon perkenan agar dipulangkan mandat ini kepada rakyat jelata. Pohon Tuanku membubarkan DUN.

Krisis ini besar tetapi isunya sedikit saja. Puncanya UMNO tamak kuasa. Tongkat bernama kuasa itu telah berjasa kepada mereka berpuluh tahun lamanya. Dengan kuasa, mereka boleh hidup senang lenang menjarah harta negara dan kederat rakyat. Hilang kuasa menjadikan mereka tak keruan gila. Itulah puncanya.

Pertikaian yang menjadi nyawa krisis ini juga sedikit saja. Perdebatan dan rujukan ke mahkamah hanya berkaitan Fasal 16(6), 16(7), 18(2)(a), 18(2)(b), 36A(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Krisis ini akan panjang tempohnya jika UMNO terus angkuh terhadap undang-undang dan takut kepada undi rakyat. Jika UMNO memang jantan dan percaya sokongan rakyat masih gagah bersama mereka, ayuh bubarkan DUN dan turun bertarung di gelanggang. Kalau jantan!

Comments :

7 comments to “APA ISU SEBENAR DI PERAK?”
Prof. Era Pasca said...
on 

gua amik ini celita aaaa....

singamaraja said...
on 

Salam,

Kalau ikut undang-undang PR menang,, PR betul yang salah adalah BN,soal siapa masuk campur itu tidak penting sebab ikut manapun penyelesaian tetap ikut undang-undang, jika tidak maka rakyat akan mula jangan ikut undang-undang

Neo said...
on 

Salam.. saya sokong jika tindakan Sultan itu utk mengajar Umno secara berhemah.. ye la, mcm budak2, lagi dilarang, makin dibuat..jadi, walau apa impaknya selepas ini, Umno kena bersedia la, sbb PR takkan menyerah kalah...Allahuakbar!

basement syndicate? said...
on 

salam.. memang aku setuju menda ni. tapi ada lagi perkara besar yang perlu diambil kira.
faktor masa...
peralihan kuasa...
mesti ada strategi yang dibuat.
BN pun tak kan nak berdiam diri je..
aku risau la...

afya said...
on 

salam. segalanya yang berlaku adalah dengan keizinan Allah. marilah kita dekatkan lagi diri dengan Allah. semoga Allah beri jalan penyelesaian dalam kemelut politik sekarang. marilah kita berdoa pada Allah. Allah kasihkan pada hambanya yang memohon padaNya. Satu lagi cadangan marilah kita hadiahkan bacaan surah Fatihah kepada mereka yang khianat semoga hati mereka terbuka kembali menerima perjuangan Islam. mudahan terbongkarlah segala penyelewengan yang mereka lakukan. semoga mereka insaf. Niatkan hadiah bacaan surah fatihah itu untuk menegakkan kebenaran. yakinlah pada kekuasaan Allah. kajilah sejarah nabi. nabi sentiasa mendoakan kesejahteraan walaupun mereka yang menentang perjuangan nabi. saya yakin mereka yang belot akan membongkar segala kecurangan mereka. terimalah dengan hati yang tenang. bertindaklah segera. kita sama sama hadiahkan bacaan Al-fatihah dan berdoalah semoga mereka yang khianat kembali menegakkan kerajaan yang hak. segalanya yang baik datangnya dari Allah.. yang silap kelemahan saya sendiri.

afya said...
on 

seluruh umat Islam di Malaysia dan merata dunia. hadiahkan bacaan Al-fatihah kepada mereka yang telah khianat merampas kerajaan Perak dan berdoa semoga mereka kembali ke jalan yang benar dengan membongkar segala kecurangan mereka. semoga PR dapat berkuasa kembali dan Islam kembali kuat. niatkan semoga Allah bukakan hati mereka untuk kembali. Al fatihah...

Hasnor said...
on 

alahuakbar, bersatulah umat muhammad kearah keadilan dan kebenaran. Allah akan senentiasa bersama orang yang sabar. Kebenaran akan muncul bersama mereka yang berserah dan redha.... inshallah..

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini