Cambah Fikir : Pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak - apa PERISAI dan SENJATAnya?

Pendek cerita, aku memang nak pertahankan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak bertuah aku ni. Aku juga yakin penuh bahawa ramai lagi yang sejiwa dengan aku. Kerajaan ini masih merangkak membina sentuhan keramat. Masih banyak kekurangan. Masih banyak kelemahan. Masih banyak ‘slow’.


Namun kayuhan 9 bulan setakat ini telah membuktikan bahawa kerajaan inilah yang terbaik pernah dimiliki oleh warga Perak. Prestasi 9 bulan kerajaan Pakatan Rakyat telah mengatasi prestasi 50 tahun kerajaan BN/UMNO Perak.


Walau di sana sini terdengar ada jiwa tergoda dan tangan tergatal dek cobaan bernama ‘kuasa’, namun prinsip masih berjaya dijunjung oleh majoriti pemimpin dan ahli ketiga-tiga parti DAP/PKR/PAS. Qarun, Hamman, Mugabe, Imelda, Kamaludin, Baginda, Rosmah dan Khairi tak berjaya lahir dari kandung parti-parti Pakatan Rakyat ini. Alhamdulillah.


Muktamad! Kerajaan ini wajib dipertahankan.


Persoalannya ..... BAGAIMANA?


Aku lontarkan tajuk dan bahasan pendek ini untuk mendapatkan idea dan cadangan daripada sekelian warga maya khususnya rakan-rakan BloggersNetwork@Perak.


Tuan puan dijemput untuk menggerudi dan mencungkil naik buah fikir bernas yang bermahligai dalam jiwa dan minda tuan puan sekelian. Lontarkan di ruang komen blog ini. Kalau bahasan tuan puan berbentuk proposal paper yang proper atau blue-print terperinci berstatus perlu dirahsiakan, sila kirimkan ke email aku.


Aku minta idea dan cadangan ini secara serius. Bukan hanya nak berseronok suka. Idea kita sedang ditunggu oleh kengkawan yang resmi mengurus negeri. Buah fikir kita akan diangkat ke sidang yang selayaknya untuk diacu cuba kesesuaiannya. Insyaallah jika aplikasi idea itu boleh beres dari segenap sudut, ia akan dilaksanakan.


Idea tentang apa?


Jawabannya : idea tentang MAKLUMAT.


Kerangkanya begini ...


Setakat ini ahli dan penyokong DAP/PKR/PAS masih terus setia menyokong dan menghargai kerajaan Pakatan Rakyat Perak secara umum. Namun begitu, ramai juga yang mula menyoal kenapa begini, kenapa tidak begitu, bila nak buat ini, kenapa belum laksana itu dan beberapa bentuk soalan lain lagi.


Setakat ini majoriti BUKAN ahli dan BUKAN penyokong DAP/PKR/PAS terutamanya ahli parti-parti komponen BN masih kekal cinta setia mereka kepada BN. Kajian saiz kecil menunjukkan hanya tidak lebih daripada 5 peratus ahli/penyokong UMNO yang mula jinak dan ada potensi awal untuk beralih angin. Tak sampai 5 Peratus. Itu pun baru ada ‘alamat sughro’ (tanda kecil / tanda awal). Belum confirmed lagi tukar kapal.


Setakat ini warga Perak tak berparti atau yang selalu diistilahkan sebagai golongan ‘atas pagar’ juga masih tercegat di atas pagar itu. Dari atas pagar itu sepatutnya mereka kini sudah boleh membuat penilaian. Yang sebelah sana pernah jadi kerajaan. Yang sebelah sini pun dah jadi kerajaan. Sekira-kiranya mereka patut dah nampak kerajaan mana yang lebih handsome. Tapi mereka masih tak mau turun dari pagar. Rupa paras dan lenggok gaya Kerajaan Pakatan Rakyat masih belum mencairkan hati dan minda mereka untuk jatuh cinta.


Kenapa begitu jadinya?


Ada banyak dajjal yang jadi penyebab. Dajjal utamanya ada 3.


Dajjal 1


Performance kita sendiri tak berapa ok. Kerajaan, jabatan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan parti-parti kerajaan perform tak cukup cun.


Aku tak kata kerajaan ni tak buat kerja. Aku tak kata kerajaan ni buat kerja tak betul. Aku tak kata kerajaan ni mengabaikan tugas atau menyeleweng.


Aku juga faham bahawa penampilan kerajaan ini jadi canggung kerana pelbagai kerenah dan sabotaj di pihak kakitangan yang bantah dan kekok dengan budaya baru yang diperkenalkan.


Statement aku adalah dari sudut pandang panel juri dan penonton sebuah pementasan. Juri dan penonton tak peduli soal you tak sempat nak well prepared kerana dua hari demam. Juri tak peduli soal costume yang you order tak sampai sehingga masa you nak muncul di pentas. Penonton tak peduli soal juruteknik tersilap petik suis sehingga menyebabkan asap yang patut muncul dari bawah pentas tetap tak muncul.


Pokoknya juri dan penonton tak dapat enjoy persembahan you. Nyanyi dan tari you macam hampeh!


Dajjal 2


Fitnah oleh BN melalui media cetak dan elektronik perdana.


Syaitan dan iblis yang original boleh berehat dan bercuti. TV 1, TV 2, TV 3, TV 7, TV 8, TV 9, Utusan Melayu, Berita Harian, STAR, Kosmo dan lain-lain akhbar utama berjaya melaksanakan misi syaitan iblis dengan lebih cemerlang daripada syaitan iblis yang ghaib itu sendiri.


Dajjal 3


Pengurusan maklumat awam kita terlalu lemah.


Rakyat tak dapat maklumat yang cukup tentang apa yang kerajaan telah, sedang dan akan buat. Kalau ada pun hanyalah maklumat versi media iblis. Maklumat dari sumber resmi melalui saluran resmi dan saluran parti hanya sedikit. Kabur dan tidak terperinci. Kadang-kadang bercanggah antara satu dengan yang lain.


Warga Perak yang ada kemudahan capaian internet mungkin dapat maklumat yang lebih sedikit. Tapi berapa peratus rakyat perak yang ada kemudahan ini?


Di kampung aku ada 478 buah rumah. Hanya 14 buah rumah yang ada kemudahan internet. 464 rumah masih tak kenal internet. Daripada 14 keluarga pengguna internet itu, 12 adalah orang kuat PAS, 1 keluarga UMNO totok dan 1 lagi keluarga pagar ruyong.


Pendek cerita, kita perlu menyalurkan maklumat jenis bukan maya kepada sebahagian besar warga Perak yang masih tak kenal langit.


Bahan cetak (majalah, risalah dan buku) mesti diperbanyakkan. Maklumat elektronik seperti VCD mesti diperbanyakkan. Ceramah dan taklimat mesti digiatkan dan ditambah nilai dengan element yang lebih menarik dan memikat.


Cabaran urus-tadbir maklumat ini ialah urusan mengedar/menyalur supaya bahan-bahan itu sampai kepada sasaran. Kalau dicetak 30 ribu naskhah risalah tetapi hanya 5 ribu yang sampai ke sasaran, maka lebih baik tak payah buat. Begitu juga kalau 30 ribu naskhah itu sampai kepada ahli dan penyokong kita sahaja – orang UMNO dan pagariyyin tak terima pun ... lebih baik peluk bantal, tak payah susah-susah menaip.


Okey. Cukup dulu lontaran awal sebagai pembuka perbincangan. Insyaallah aku akan edit dan tambah lagi ramuan resepi perbincangan ini.

Comments :

2 comments to “Cambah Fikir : Pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak - apa PERISAI dan SENJATAnya?”
Dr. Abdul Wahab Arbain said...
on 

Salam,
Beberapa cadangan telah disalurkan. Beberapa lagi sedang menyusul. Ada juga beberapa program yang tunggu pelaksanaan. Cuma waktu kita amat sempit. Banyak yang hendak ditangani. Saya sendiri, bukan saja jauh, tapi kurang sihat.
Saya juga menyusun untuk tarbiyah dan tamrin BloggersNetwork@Perak. Tapi uslubnya tak sama dengan PAS. Tarbiyah dan tamrin amat penting untuk ke medan atau ke dalam gelanggang. Membina diri dari aspek kewangan dan keupayaan juga penting. Pergerakan fizikal memerlukan kewangan; dan pengisian program memerlukan keupayaan. Sekadar niat dan lagak saja tanpa prasarana (rukun & syarat), kita akan ke mana.
Wassalam.

Anonymous said...
on 

salam ustaz,

pokok pangkalnya zaman skang ni..bukan maklumat tp DUIT....ini je ...cuba bgtau saya sapa yg nak nafi benda ni?

cam mana2 komen yg sy bg kat blog lain...yg utama adalah HATI..sebab sebusuk2 bangkai busuk lagi HATI manusia kalau tak jaga,,..ikhlaskan hati..mohon keampunan..itu yg pasti..:D
insyaallah berjaya dunia dan akhirat..

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini