Assalamualaikum. Berikut adalah bab terakhir buku 'Sorotan Lengkap Krisis Rampasan Kuasa Di Perak' yang akan terbit tidak lama lagi.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada msk di perakexpress.com
Madah Rumus Dan Khatam
Rumusan
Rampasan kuasa 6 Februari 2009 di negeri Perak adalah jenayah UMNO paling buruk di abad ini. Politik zaman ilmu dan maklumat ini, tidak sepatutnya dicemari dengan aksi zaman batu yang berteraskan perut dan kemaluan semata-mata. Gelagat politik primitif UMNO lebih sesuai dengan zaman pra-sejarah yang tiada perlembagaan dan tiada undang-undang.
Perlembagaan bukan hanya sekadar perkataan yang tertulis di atas kertas atau kulit kambing. Roh perlembagaan itu ialah nilai kemanusiaan di sebalik maksud biasa perkataan dan ayatnya. Tunjang dan tuju semua perlembagaan di dunia ini ialah keadilan. Tertegak keadilan, bernyawalah perlembagaan. Terburai ia, matilah lembaga.
Perlembagaan tidak salah walau apa pun kata dan susunnya. Manusialah yang berdosa kerana menodainya. Sementelah ia dilembagakan oleh manusia, maka memang bestari manusia memporakperandakan binaannya. Perlembagaan negeri Perak dicabul oleh UMNO dari atas ke bawah, di depan dan belakang, lalu cacamarba seluruh alam.
Krisis ini bermula kerana kemahuan UMNO menukar kerajaan, mengambil alih kuasa sebelum sampai masa yang sepatutnya. Demi hajat yang membara maka UMNO tidak kekok mengetuk dan menggoncang tiang-tiang reput di rumah Pakatan Rakyat. Pujuk dan ugut memang kemahiran UMNO sejak azali. Akibatnya bergoncanglah iman, bertukarlah selera. Jamal, Osman dan Hee gugur di medan juang tetapi bukan sebagai perwira. Gugur mereka gugur pengecut bersama kutukan tujuh belas keturunan sampai kiamat.
Sejarah terus berputar mengulang tayang kisah-kisah makar manusia jahat terbilang. Firaun tidak mencengkam bani Israel dengan kekuatan sebatang tubuh dirinya sendiri. Ada Hamman di sebelahnya sebagai pemusnah agung. Ada Qarun di sisinya sebagai pemodal ulung. Begitu juga sekelian penjarah-penjarah besar sepanjang zaman. Terjunjung mereka ke langit bersebab ampuan sempurna sekelian memanda opportunist.
UMNO memiliki segala-galanya. Angguk SPR tak kira masa. Kalau dikata tiga tambah tiga jawabnya lima, SPR tetap angguk asalkan UMNO yang empunya kata. SPRM lambat siang menjunjung titah. Lima ringgit lebih besar daripada tiga juta US Dollar. Rasuah segunung pun tak apa, kalau UMNO si pelakunya. Kalau musuh UMNO, tak rasuah pun, Imran boleh datang untuk memerangkapnya. Agensi keselamatan lebih sudu daripada kuah. Pantang petik pasti melentik. Pakatan Rakyat berkumpul, istilahnya perhimpunan haram. Kalau Khairi Jamaludin kepala himpun, siap escort dan jaga jalan. Juta kali tak reti undang-undang. 50 tahun speaker halal berbuat apa saja asal sifatnya hal ehwal dewan. Putus speaker pada hal rumahtangga dewannya, tiadalah boleh dia dibawa kemana-mana lagi. Itulah perlembagaan. Tapi kalau dah bangsa tekukur, tak sempat periksa, dah muncul di pintu speaker merekod kenyataan. Cis! Nang bo ti nang kui bo ti kui!
Penutup
Krisis yang sudah terjadi ini boleh ditamatkan melalui langkah dan tindakan penuh sedar semua pihak, tentang semua perkara, sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat, yang nyata dan yang sembunyi, Melayu atau bukan Melayu, baik rakyat mahu pun Raja, tak kira bangsawan atau marhein jelata, Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, di ceruk kampung atau di bandaraya, tua muda, miskin dan kaya.
Kita mesti kembali kepada realiti. Berpijaklah di bumi nyata. Manusia bukan saja ada minda, tetapi ada jiwa. Oleh itu berhentilah daripada langkah sumbang adu nasib di gelanggang politik dengan berpura-pura. Kalau kita terus sanggup mempermainkan hukum dan peraturan yang kita sendiri berikrar mahu menjunjungnya, maka binasalah nusa.
Sekali jadi Jebat, sekali jadi Tuah, kemudian nanti menjadi Jebat kembali. Sampai bila boleh diharap khalayak rakyat akan terus percaya pada cabang lidah dan taut kelingking? Cukuplah! Terlampau banyak masa terbazir hanya kerana nafsu kuasa yang tak sejauh mana kederat layarannya.
UMNO perlu jujur pada diri sendiri. Janganlah laungan bangsa terus dijaja, cuma sebagai guna mengait sokongan rakyat yang sekian lama hidup terhimpit di bumi kaya. Nyanyian hak dan ketuanan yang dilagukan itu, telah rosak iramanya. Kalau benar bagai dikata, kenapa Pulau Mutiara dan Kota Singa terlepas begitu saja? Apakah Hadi Awang dan Anwar Ibrahim yang menggadai kedua-duanya? Kalau sungguh bagai dikata, kenapa 3 juta tanah Rizab Melayu di detik merdeka, kini telah hilang separuh keluasannya? Melayu manakah yang membiarkannya kalau bukan UMNO? Kalau UMNO bijak bestari, kenapa setelah menyambut jubli emas kemerdekaan, bangsa Melayu tetap di belakang dalam segala-galanya? Kalau UMNO ikhlas mencari Al-Ghazali dan Al-Shafie, kenapa ribuan bayi berdarah terperosok di balik timbunan sampah saban hari? Kenapa ribuan Melayu gazali dan Melayu sapie tersadai di tepi longkang dan di bawah jambatan berbekalkan picagari? Kenapa Melayu SAR dan Melayu pondok pengajian perlu bermusafir ke utara dan ke selatan menghulur resit menagih simpati? Itulah jasa UMNO kepada nusa dan bangsa. Demikianlah gigihnya UMNO memertabatkan Melayu!
Mungkin ilham sindiran karikatur ini keterlaluan, namun maafkanlah pemunya ilham ini. Pasti ada ledakan rasa yang tak tertanggung lagi di lubuk jiwanya. Barangkali hampir berputus asa mengharapkan pemimpin bangsa merobah hala, membetulkan haluan. Ah! Kalau juragan UMNO sudah nyanyuk gila belayar entah ke daratan mana, ayuh kita ikat kakinya dengan seketul tembaga dan humban dia jauh ke dasar samudera. Biar kita yang mendayung dan mengibar layar, agar segera tiba ke pengkalan, tidak kepayang dan tidak lemas.
Nyawa krisis ini ialah nafsu. Tulang dan sendinya ialah pujuk dan ancam. Urat sarafnya ialah rasuah dan umpan. Darah merahnya ialah gamak dan sudi. Gamak melompat, sudi berkelahi. Hidup ia memakan Ifrit dan Azazil. Zahirnya cabul, batinnya bacul.
Penawar paling mujarab untuk menyembuhkan barah ini ialah iman. Kembalilah kepada Zat Yang Maha Adil. Pintu keampunan sentiasa terbuka luas di sisiNya selagi belum terbit sang suria di ufuk barat. Dialah Al-Hadi, Pemberi Petunjuk yang tiada selain daripadaNya. Pohonlah hidayah dan kelapangan jiwa terhebat yang hanya ada di sisiNya. Tiada sesat hamba yang ikhlas memohon petunjuk jalan. Tidak luak kekayaanNya dek rahmat yang dianugerahkan kepada hambaNya.
Dalam riuh bualan derhaka, UMNO seperti terlupa pada ‘derhaka perdana’ yang berlangsung sekian lama. Lima puluh dua tahun Melayu merdeka, setelah terlerai pasung Nasrani empat ratus empat puluh enam tahun, yang bermula dengan cengkaman Benggali Puteh. Lima puluh dua tahun UMNO bersinggahsana. Lima puluh dua tahun itu jugalah Kitab dan Sunnah tidak berdaulat di bumi Melayu.
Hudud jadi sendaan sekian lama. Pondok dan madrasah dipandang serong sentiasa. Politik Islam dipandang kolot dan merbahaya. Melayu yang berusaha membentuk budaya hidup peribadi dan tatacara bermasyarakat dengan acuan Islam di Tanah Rendah Sekebun Bunga, bumi Che’ Siti Wan Kembang, 19 tahun di serang dan dihina oleh UMNO. Salah apa? Jahat benarkah Tok Guru Nik Aziz? Hidup berulam rasuahkah Tok Guru itu? Berpoya-poyakah dia? Tersenaraikah anakandanya sebagai jutawan nombor sepuluh terkaya di Malaysia? Mampukah menantunya membeli saham nilai berjuta-juta seperti kisah ECM Libra? Kunjungilah mahligai Tok Guru di rusuk rumah Allah kampung Pulau Melaka. Lihatlah!
UMNO jangan berdalih berpusing memutar fakta seperti sediakala. Hujah berlendir yang diulangtayang sejak puluhan tahun dulu, usah lagi cuba dijual. Ramai Melayu hari ini bukan sekadar Melayu Glokal yang global dan local, namun telah menjadi Melayu bumi dan langit, Melayu duniawi dan ukhrawi. Anak Melayu hari ini sudah kenal Tuhan walau pun UMNO tidak pernah mengajarkannya. Anak Melayu hari ini mahu hidup sebagai hamba Tuhan dan mati pun sebagai hambaNya. Sebiji bola dan sebidang gelanggang bukan umpan yang sesuai dengan olak air zaman ini. Anak Melayu sudah mual dengan silat tempang bapak Melayu dan datuk Melayu jenis UMNO. Sekilas ikan di air, sudah ku kenal jantan betina.
Pusat Islam bukan hujah. Universiti Islam bukan Hujah. Fakulti Islam bukan hujah. Bank Islam bukan hujah. Perbankan Islam bukan hujah. Masjid bukan hujah. Sekolah agama bukan hujah. Mata pelajaran pendidikan Islam bukan hujah. Tabung Haji bukan hujah. Kalau mahu jadikan semua ini sebagai hujah, UMNO boleh berbual sesama sendiri dalam UMNO. Orang lain tak mahu layan. Buang Masa!
Kenapa? Kerana .... apa ertinya ada Pusat Islam dalam keadaan segala bentuk pusat maksiat diberi laluan semau-maunya? Apa gunanya universiti dan fakulti Islam jika disiplin pengajian yang lain langsung tidak dipimpin supaya mempedulikan Islam pada jiwa dan pada praktiknya? Apa ertinya bank Islam sedangkan riba masih dijunjung sebagai teras ekonomi dan kewangan Negara? Apa maknanya ada masjid jika di dalamnya tersekat pengajian dan majlis ilmu? Apa ertinya terbina madrasah jika muallimnya sentiasa dicurigai sebagai pengganas dan anti-establishment? Apa ertinya Bulan Dakwah sedangkan pemimpin Negara pun bertelanjang ke sana ke mari? Apa gunanya Islam Hadhari sedangkan rasuah subur menjadi-jadi?
Justeru itu, Melayu UMNO patut berlapang dada membuka ruang bicara, meneliti hujah dua hala, mencari butiran mutiara. Melayu yang gemilang di era keemasan Melaka dan kerajaan Kedah tua dulukala adalah Melayu taat agama. Melayu cemerlang tanpa UMNO.
Koyak ini masih boleh ditampung-tampal. Bengkok ini masih boleh diluruskan. Tempang ini masih boleh dipapah melangkah. Senget disokong tumangan. Rebah ditarik bangun. Layu disiram segar. Kabur disuluh. Asal mahu dan diizin Tuhan. InsyaAllah.
DAULAT TUANKU!
Patek sekelian bermohon, timbang tiliklah hendaknya Paduka Tuanku, perkenan dipohon, bubarkanlah Dewan Undangan Negeri. Daulat Tuanku!