UMNO Bagi Macam-Macam - Kita Bagi Apa?

Malam kelmarin aku bagi taklimat gerak kerja jentera pilihanraya di salah satu zon dalam kawasan aku. Aku bentangkan plan jalinan persahabatan dengan pengundi secara tersusun. Aku percaya strategi ini mampu membuahkan hasil yang baik. Majoriti kekalahan yang sangat kecil di DUN kami pada PRU12 boleh bertukar kepada menang selesa dalam PRU13 jika gerak kerja ini diurus dan dilaksanakan dengan baik.

Alhamdulillah respons kepada pembentangan itu boleh aku katakan memberangsangkan. Ramai yang mengemukakan soalan dan memberi pandangan. Tak kurang juga yang menyanggah satu dua point yang aku bentangkan. Tapi semuanya positif. Walau pun masih terlalu awal untuk buat unjuran hasil namun aku dapat rasakan ada perkembangan baik yang boleh diharapkan. Kalau aku tak berhenti separuh jalan, plan ini boleh terlaksana dan insyaAllah hasilnya akan dapat dituai.

Cuma dalam banyak-banyak soalan dan pandangan yang dibangkitkan oleh peserta taklimat itu, ada satu yang amat menarik perhatian aku. Seorang bekas ketua kampung (yang baru ditamatkan perkhidmatannya oleh kerajaan rampasan kuasa) bertanya "tak bolehkah PAS menyediakan peruntukan untuk kita berikan sikit-sikit kepada orang ramai macam yang UMNO buat? Sekarang ni UMNO bagi macam-macam kepada orang kampung. Kita tak beri apa pun. Kalau tak boleh bagi banyak macam UMNO, bagi sikit-sikit pun tak apalah juga".

Aku jawab, PAS tak boleh buat macam tu sebab tak ada banyak duit. Tetapi kita tetap berikan sumbangan kepada rakyat dalam kes-kes yang tertentu. Kita bantu orang yang ditimpa musibah sejak dulu lagi. Kita ada tabung kebajikan. Kalau ada keperluan besar untuk membantu mangsa musibah dengan kadar segera, kita lancarkan kutipan derma. Kita juga biasa berikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam peperiksaan dan bantuan kepada pelajar yang nak melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama atau ke IPT. Tetapi bantuan dan sumbangan itu taklah besar.

Kita tak mampu nak berikan sumbangan yang besar nilainya sebab sumber kita terhad. UMNO boleh beri pelbagai jenis bantuan dan nilai yang besar sedikit sebab mereka gunakan duit kerajaan. Duit kerajaan tu duit kita jugalah. Dengan cara memberi bantuan itu juga UMNO dapat tarik sedikit duit tu di pertengahan jalan.

Bekas ketua kampung itu bersungguh-sungguh berhujah kalau kita tak dapat bagi duit pada orang Melayu memang susahlah kita nak menarik sokongan mereka. Sekarang ni riuh rendah merata kampung orang Melayu bersembang tentang bermacam jenis bantuan yang dah diberi dan akan diberi oleh UMNO (sebenarnya oleh kerajaan). Ada bantuan buat rumah (sebuah), rumah mesra rakyat, bantuan membaiki rumah, bantuan bulanan untuk biaya persekolahan anak-anak, bantuan kecemasan, bantuan pelaburan ASM/ASW dan macam-macam lagi. "Kita bagi apa?" kata ketua kampung tu.

Aku tak dapat menafikan kebenaran sebahagian daripada luahan ketua kampung itu. Memang manusia mudah terpengaruh dengan benda. Lebih-lebih lagi manusia Melayu. Melayu cepat rasa terhutang budi, apatah lagi kalau yang berbudi itu menang merancang supaya dikenang dan dibalas. Sejak dulu UMNO memang menggunakan senjata duit dan benda untuk menarik dan mengikat orang Melayu. Bahkan mereka menjadikan duit dan benda sebagai senjata untuk mengugut Melayu. Kalau tidak kerana duit, UMNO dah lama mati.

Tetapi kita tak boleh jadi UMNO. Kita tak mampu bersaing dengan UMNO dari segi saiz sumbangan dan bantuan. UMNO sanggup guna wang rakyat untuk mengumpan sokongan politik. Selain daripada menggunakan duit kerajaan (duit rakyat), UMNO juga disokong oleh tauke-tauke industri judi dan arak. Sebab itu mereka ada banyak duit.

Selain daripada faktor kemampuan itu kita juga ada prinsip yang sangat berbeza dengan UMNO. Kita mengajak rakyat kepada keadilan dan kejujuran. Kita menyeru kepada kesedaran politik yang berasaskan tanggungjawab dan keluhuran. Kesedaran hakiki tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau rakyat bersama kita kerana benda atau wang (rasuah) yang kita berikan, kebersamaan itu bukan atas asas tanggungjawab dan hampir pasti bukan kerana keikhlasan atau keluhuran. Ia tak akan bertahan lama.

Kita perlu terus menyumbang pada kadar kemampuan yang kita ada. Kita perlu tingkatkan usaha menjana keupayaan kewangan supaya semakin lama semakin banyak sumbangan yang mampu kita hulurkan. Namun sumbangan dan bantuan itu mestilah bersebabkan keyakinan tentang tanggungjawab kita sesama insan kerana Allah. Bukan kerana nak memancing undi.

Bila berbincang tentang budi, bukanlah hanya dengan duit sahaja baru dikatakan berbudi. Terlalu banyak perkara lain yang dinilai sebagai budi dalam kehidupan manusia. Tegur sapa yang mesra juga mampu menambat hati. Ringan tulang membantu urusan keramaian adalah budi. Prihatin bertanya khabar juga budi. Pandangan dan nasihat yang membantu penyelesaian masalah juga kerap dikenang sebagai budi. Meminjamkan kemudahan (yang kemudiannya diambil balik) pun dihargai sebagai budi. Membantu pembelajaran anak-anak jiran atau anak-anak rakan sekampung (secara sambilan) adalah budi. Selain contoh-contoh ini, ada ratusan budaya lain yang berstatus budi.

Kalau kita yakin bahawa Melayu di keliling kita hanya akan lebih mudah dibetulkan pendirian politik mereka sekiranya mereka terhutang budi kepada kita, maka berbudilah dengan ratusan pilihan budi yang tak semestinya 'beri wang'. Bina hubungan. Kenalpasti masalah dan keperluan mereka. Analisis kemampuan kita. Pilih kaedah berbudi yang sesuai. Bantulah mereka.

Dalam taklimat aku malam kelmarin, misi berbudi ini aku namakan 'Jalinan Persahabatan Berkebajikan'. Aku percaya kalau setiap ahli PAS (dan PR) menjalin persahabatan berkebajikan ini dengan enam tujuh orang bukan PAS-PR secara tersusun, insyaAllah selepas satu dua tahun mereka tidak lagi anti PAS-PR. Tiga empat orang akan jadi ahli PAS. Syaratnya - ada plan yang jelas, sistematik, dipantau dan dinilai berterusan secara berjadual.

Di kawasan aku sekarang ini ada lebih kurang 1500 ahli PAS. Yang aktif dianggarkan sekitar 800 orang. Kalau selepas dua tahun setiap seorang ada 6 sahabat 'berkebajikan' yang dah terhutang budi, rangkaian besar sahabat-sahabat itu jumlahnya 4800. Ditambah dengan 700 ahli PAS yang kurang aktif, jumlah besarnya 5500 orang. Dalam PRU12 dianggarkan 1500 pengundi bukan Melayu telah memberikan undi kepada PAS. 5500 + 1500 = 7000. Kalau angka ini mampu diperolehi oleh PAS di kawasan DUN kami dalam PRU13 nanti, kita akan menang dengan majoriti 2000 undi.

Tapi, cakap memang senang. Buat tak semudah cakap.


Yang kat bawah ni, sahabat aku kat rumah. PAS junior.




Comments :

7 comments to “UMNO Bagi Macam-Macam - Kita Bagi Apa?”
Anonymous said...
on 

peace! sahabat kecik!..ehehe.

aukauk88.

abgBro said...
on 

nak copy ler gambo dak kecik neh..hehaa

PemudaGagasan said...
on 

Salamz...

Bukan ke ada pemimpin PAS yang kaya raya...terutamanya dari hasil balak...sampaikan bila bercerai, si isteri boleh tuntut sampai RM3 JUTA!

hahahaha

pemanduteksi said...
on 

klu ada pun pemimpin PAS yang kaya raya tapi taklah sekaya pemimpin UMNO..!!!

muraisenja said...
on 

ala comelnya.... anak tuan cyberboron ker???...

Utk tuan cyberboron and the geng terimalah Anugerah Sayap Kehormat Blogger Network Malaysia

PemudaGagasan said...
on 

Salamz...

Tuan Pemandu Teksi,

Perkara pokoknya disini bukanlah nak membandingkan kekayaan pemimpin UMNO dan PAS

Perkara pokoknya adalah berkenaan pemimpin PAS yang kaya, sejauh manakah keikhlasan mereka dalam perjuangan mereka?

Bagaimana mereka sanggup melihat ahli-ahli PAS terpaksa mengemis di sini sana hatta di dalam ruang siber meminta derma dan sumbangan sedangkan mereka sendiri sebagai pemimpin PAS yang kaya hanya duduk sambil menunggu peluang kekayaan yang seterusnya?

Jika benar pemimpin PAS yang kaya itu berjuang untuk Islam, kenapa tidak dicontohi para sahabat Rasulullah yang mengorbankan seluruh harta kekayaan mereka fisabilillah?

Bolehkah Tuan Pemandu Teksi atau pembaca lain membincangkan kepincangan pimpinan PAS yang kaya ini secara terbuka tanpa mengungkit atau membandingkannya dengan pimpinan UMNO yang mungkin memang telah sedia terpincang?

hahahaha

Anonymous said...
on 

Barangkali sumbangannya dah banyakdah untuk Islam. Mana kita tahukan.........

Post a Comment

 

Komen Pengunjung Terkini