Strategi Akhir PR & BN

updated - Sambil dok menaip tiba-tiba muncul kejutan baru. Najib Piem baru umum tarik balik penggantungan Harakah dan Suara Keadilan. 13 tahanan ISA dibebaskan. Inilah namanya strategi saat akhir. Kejutan perubahanlah kononnya. Tapi PR jangan pandang sebelah mata. Di belakang Piem baru tu ada mantan Piem yang skill Machiavellinya mantap. Awas!

updated #2 - Kisah benar di Permatang Raja. PR insyaallah dapat tambahan satu undi gara-gara UMNO buat police report bendera tumbang. Alkisah UMNO pacak bendera di kawasan laluan lembu. Maka diredahlah sang lembu akan bendera saka bangsa. Mengamuklah hulubalang gerombolan lalu dilaporkan pada mata-mata, tanpa diketahui rupa-rupanya tuan lembu penyokong mereka. Setelah dimarahi, berkatalah tuan lembu dengan kecewa "selama hari ni aku dok pangkah dacin, kali ni aku tak mau dah!" Berjasa juga lembu pada Pakatan Rakyat.

Tak banyak yang boleh berubah dalam 4 hari terakhir ini. Pengundi Bukit Gantang telah mula mencari maklumat sejak beberapa hari selepas kematian almarhum YB Hj. Roslan Shahrom. PR dan BN juga telah menghebahkan pelbagai maklumat sejak itu. Pendek kata proses pembentukan sikap pengundi telah berjalan lebih dari sebulan. Hari ini kebanyakan mereka sudah ada keputusan siapa nak diundi pada 7 April.

Kain pemidang, bendera, papan iklan, poster dan risalah tinggal hanya sebagai penyeri suasana. Kalau pun seri itu ditambah lagi, seakan tak mungkin ada hasil yang baru.

Ceramah yang mega dan extravaganza pun sama juga. Hasil baru tak mungkin ada. Ia sekadar boleh mengukuhkan azam yang telah sedia terbentuk.

Tempur yang berkesan di saat akhir ini lebih kepada yang sulit-sulit atau kejutan yang dahsyat. Pemain politik machiavelli akan gunakan saat ini untuk tipu-daya dan fitnah bersaiz besar. Inilah masanya untuk menipu dengan pembohongan XXL. Inilah masanya untuk memfitnah dengan fitnah dahsyat yang tinggi nilai kejutannya. Inilah masanya menagih simpati dengan lakonan air mata selautan. Inilah masanya mengugut dengan ancaman sehebat c4. Inilah masanya menyogok dengan rasuah yang ditukar nama kepada hadiah. Hujan jutaan ringgit sanggup diturunkan dari langit kawalan iblis. UMNO pakar tersohor dalam bab ini.

Pakatan Rakyat wajib fokus kepada prioriti. Simpanlah gendang perang. Ketumbukan lawan tinggal sepuluh langkah di depan. Ini masanya menghunus pedang dan menggenggam perisai sekuat mungkin. Mata mesti liar. Tangan mesti pantas. Kuda-kuda mesti dipasak mencengkam.

Pasukan tengah, mengasak. Pasukan kiri, mengepung. Pasukan kanan, memintas. Pasukan rahsia, menghitung saat mencipta kejutan maut.

Penceramah UMNO kata PR dah kehabisan modal. Rakyat kini bersama Barisan. Penceramah PR kata UMNO jauh tertinggal. Keputusan 7 April dah diketahui hari ini. Ahli Parlimen P.59 yang baru ialah DS Nizar. Semua orang suka dendangkan lagu lama. Lakonan zaman pentas bangsawan hikayat Melayu Deli. Sudah-sudahlah. Ini zaman IT dan nano technology. Sadiq Segaraga dan Ismet Ulam Raja dah lama mati.

Kalau UMNO nak menang, tinggalkanlah pentas sorak. Turun ke tanah rata. Kalau PR nak menang, switch-off pembesar suara turun berbisik di tepi telinga nenek tua yang hampir tuli. Tak perlu cerita hebat gah gegak gempita. Bercerita sambil beri hormat lebih power dari menguntum ayat minta dihormat.

Sehari dua ini isu panas rancak berlegar. Nizar ada girlfriend. Ismail duta ke Danok. Nizar jabat tangan amoi. Ismail sugar daddy. Nizar main cash tiga puluh ribu. Ismail 5 kali disiasat BPR/SPRM. PR buat police report dakwa UMNO terbitkan risalah seolah-olah PR yang buat. UMNO pun buat police report dakwa PR cetak risalah seolah-olah UMNO yang buat. Katun sungguh!

Bagi UMNO, Nizar ada girlfriend adalah isu panas. Betul atau tak betul kesah itu tak jadi hal. Dua keping gambar Yong tu beredar merata ceruk. Boleh tahan juga. Kalau betul-betul DS Nizar ada hajat nak jadikan Yong itu suri kedua dalam hidupnya, ramai yang tolong aminkan. Bagi UMNO, harap-harap pengundi rasa jijik pada Nizar bila dapat tahu dia ada buah hati baru. Hebahan yang UMNO sifatkan sebagai pancungan maut itu turut membutirkan nama dan tempat kerjanya. Kata UMNO, Yong tu kerja di sebuah sekolah berasrama. Bila diperiksa laman web sekolah tu, tak ada pula guru atau kakitangan yang namanya sama macam dalam hebahan UMNO. Bila ditenung foto-foto guru dan kakitangan sekolah yang ada dalam web tu, tak ada pun yang seiras wajah Yong yang diedar oleh UMNO. Hentam saja la labuuuu!

Bagi PR, risalah sexual harrasment calon BN memang panas. Kata orang risalah tu dicetak oleh musuh politik Mail Pian dalam UMNO Bahagian Bukit Gantang. BN kata PR yang buat risalah tu. Mana satu yang betul entahlah. Pada pagi hari penamaan calon, ada macam-macam banner isu DANOK di merata simpang jalan. Nama timangan yang terbaru bagi Mail Pian ialah Mail Danok atau Duta Danok. Kandungan risalah X itu memang dahsyat. Ada puan R, puan H dan puan A. Wow! ramainya. Mail Pian awal-awal lagi dah nafikan semua tuduhan itu. Mail Pian kata dia tak mahu berkempen dengan cara menyerang peribadi lawan. Tak baik menyerang hal peribadi. Maksudnya pihak lawan janganlah serang peribadi Mail Pian! Kalau ketawa cara albanjari, bunyinya wakakakakakaka!

Mulai hari ini UMNO dendangkan lagu 'perubahan'. PM yang naik takhta pagi tadi akan turun membawa semangat baru. Semangat perubahan. Muhyidin Yasin dah pandai minta maaf sikit-sikit. Belajar mengakui kesilapan. Musa Hasan pun dah tumpang semangkuk. Irama Altantunya halal didendangkan semula tapi kesian Ketua Polis Daerah Taiping kerana terpaksa jadi mangsa. Lagi seekor kambing hitam. Musa Hasan kata KPD Taiping melakukan kesilapan apabila mengeluarkan larangan menyentuh isu Altantunya dan Istana dalam kempen. Musa kata nak sebut apa pun tak apa, asal jangan fitnah dan jangan menyebabkan huru hara.

Kalau nak menang, UMNO mesti cepat-cepat bersihkan nama Mail Pian. Kalau boleh, minta tolong Hamid Albar arahkan Jabatan Imigresen padam rekod Mail Pian keluar masuk ke Danok. Lepas tu bawalah passport tu keliling kampung. Tunjuk pada orang kampung Mail Pian tak pernah pi Siam. Arahkan Mat Said SPRM bakar fail siasatan terhadap Majlis Perbandaran Manjung ketika Mail Pian jadi setiausahanya dulu. Lepas tu Mat Said boleh buat sidang media menafikan Mail Pian pernah disiasat. Beres!

PR pun belum layak untuk over-confident. Sejarah pilihanraya Malaysia mencatatkan banyak kejutan saat akhir. Jangan lupa isu salib di tengkolok yang Tengku Razaleigh pakai. Jangan lupa ratusan juta duit taukeh judi terbang masuk ke dalam poket pengundi pada malam terakhir sebelum mengundi. Jangan lupa video klip keganasan yang muncul di kaca tv di hari-hari terakhir menjelang pilihanraya.

PR jumpa surat setiausaha UMNO Bukit Gantang panggil ketua cawangan ambil duit. Namanya 'peruntukan petugas'.

A. Ahli UMNO seisi rumah : RM 1,000
B. Penyokong UMNO seisi rumah : RM 500
C. Pemuda / Wanita / Puteri : RM 100 setiap hari
D. Minyak kereta : RM 100 setiap hari
E. Minyak motosikal : RM 50 setiap hari

Muhyidin Yasin menafikan kesahihan surat dan kesahihan isi surat itu. Dah lapor pada polis pun. Mestilah kena nafikan. Kalau tak nafi sakitlah badan. Pelik kalau UMNO mengaku surat itu betul. Hakikatnya, hanya orang UMNO tertentu saja yang tahu benar atau tidaknya. Pemerhati hanya mampu tolong kira jumlah besarnya sahaja. Kalau undi Melayu UMNO ada 10 ribu. Satu keluarga 4 orang. Ada 2500 keluarga. Katakan ada 2000 keluarga ahli UMNO dan 500 keluarga penyokong UMNO. 2000 X RM 1,000 = RM 2 juta. 500 X RM 500 = RM250 ribu. Katakan ada 1000 sahaja petugas Pemuda/Wanita/Puteri. 9 hari X RM 100 = RM 900. Maka 1000 petugas X RM 900 = RM 0.9 juta. Minyak kereta 1000 petugas / 4 = 250 kereta X RM 100 = RM 25 ribu X 9 hari = RM 225 ribu. Minyak motosikal kira RM 100 ribu cukuplah. Jumlah besarnya RM 3.475 juta. Belanja orang besar dan segala macam logistik cerita lainlah.

Tak kesahlah UMNO nak belanja banyak mana pun. Cuma ada tandatanya pada peruntukan RM 1,000 untuk ahli UMNO seisi rumah dan RM 500 untuk penyokong UMNO seisi rumah. Bolehkah dikategorikan peruntukan itu bukan rasuah? Kalau bukan rasuah, apa nama barunya. Hadiah? Atau upah berkempen? Atau upah memangkah?


Comments :

3 comments to “Strategi Akhir PR & BN”
Anonymous said...
on 

Sudah dijangka beberapa taktik UMNO akan diperturunkan dalam siri PRK kali ini. Persoalanya, mengapa harus 3 April 2009 tahanan ISA dibebaskan?Bukankah dari dulu lagi sepatutnya?Atau jika PM 6 benar-benar ingin berubah mansuhkan ISA, bersihkan badan kehakiman, jadikan pihak berkuasa bebas dari mana-mana pengaruh politik. Berikan ruang media secukupnya untuk pakatan menyampaikan maklumat kepada awam. Barulah rakyat benar-benar menghargainya. Tetapi sayang, apa yang dihajati rakyat hanya tinggal impian.

Oleh itu, wahai rakyat yang bakal mengundi. Pilihlah pemimpim kawasan anda yang berwibawa, bertanggungjawab, dan yang penting memiliki sifat kepimpinan semula jadi. Jadikanlah ini ukuran dalam pemilihan anda. Ingatlah, warisi anak-anak kita bumi Malaysia yang aman damai, jangan biarkan mereka membenci kita kerana kesilapan kita. Kerana merekalah yang bakal menghuni bumi Malaysia kelak..

Selamat mengundi 2 Bkt, 1 Btg

priory of jenin said...
on 

member aku dapat beras, gula 1-2 kampit semalam. dari umno la. porah.

Anonymous said...
on 

He...he.... Kalau PR tak menang elok sangat la lembu itu dikorbankan....

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini