Mahkamah Putuskan Nizar Boleh Cabar Kesahihan Zambry

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan DS Nizar dibenarkan mencabar kesahihan Dato' Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak. Hakim Abdul Aziz Abd Rahim bersetuju bahawa kes yang dikemukakan oleh DS Nizar berhak diberi laluan untuk mendapatkan penghakiman mahkamah. Ketika mengumumkan keputusan itu, Hakim Abdul Aziz memperakui bahawa permohonan DS Nizar tiada kaitan dengan sebarang unsur remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah seperti dakwaan pasukan peguam yang mewakili Jabatan Peguam Negara dan Dr. Zambry.

Hakim Abdul Aziz menjelaskan perintah 'quo warranto' yang dipohon oleh DS Nizar merupakan salah satu penyelesaian untuk menentukan keabsahan perlantikan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar dalam keadaan DUN tidak dibubarkan dan Nizar tidak meletak jawatan.

Pasukan peguam yang mewakili Dr. Zambri diingatkan bahawa DS Nizar telah menghadap Sultan dan memohon pembubaran DUN. Pembubaran yang dipohon akan disusuli dengan pilihanraya negeri. Langkah itu boleh menyelesaikan kebuntuan berkenaan status pihak yang memiliki majoriti (jelas) dalam DUN.

"Malangnya Sultan enggan memberi perkenan membubarkan DUN dan kemudiannya responden (Dr. Zambry) dilantik sebagai Menteri Besar baru", kata Hakim Abdul Aziz.

Seterusnya Hakim merujuk kepada Fasal XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Menurut Hakim, Fasal itu memperuntukkan hanya 4 keadaan yang menyebabkan jawatan Menteri Besar menjadi kosong termasuk Menteri Besar itu sendiri meletak jawatan. "Tetapi Nizar tidak meletak jawatan kerana tidak berlaku usul undi tidak percaya terhadapnya di dalam persidangan DUN", kata Hakim Abdul Aziz.

Sementara itu, Hakim Abdul Aziz berkata kedua-dua belah pihak telah bersetuju bahawa tiada pertikaian berhubung keengganan Sultan membubarkan DUN. Pemohon dan Peguam Negara bersetuju bahawa Sultan memiliki kuasa 'prerogative' untuk berbuat demikian.

Kata Hakim Abdul Aziz, " Fakta yang berbangkit ialah pemohon (DS Nizar) mempersoalkan status keabsahan tindakan responden (Dr. Zambry) mengisi jawatan Menteri Besar itu. Adakah ia sah atau tidak (mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak)? Penentuan di peringkat ini ialah bagi memastikan sama ada wujud kes prima facie untuk membolehkan ia didengar oleh mahkamah atau sebaliknya".

DS Nizar diwakili oleh Peguam Kanan Hj. Sulaiman Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Kamaluddin Md Said mewakili Jabatan Peguam Negara. Dr. Zambry diwakili oleh Cecil Abraham dan Sunil Abraham.

Berikutan keputusan itu Hakim mengarahkan supaya Hj. Sulaiman Abdullah menyerahkan butiran permohonan dan dokumentasi kepada Cecil Abraham pada hari Selasa ini dan menetapkan hari Rabu (3.30 petang) untuk pengurusan kes.

DS Nizar memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah serta memohon injunksi melarang Dr. Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

DS Nizar juga memohon bagi mendapatkan tafsiran Perkara XVI (6) UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri Perak berkenaan status kekosongan jawatan Menteri Besar dalam empat keadaan;

  1. Menteri Besar telah menasihatkan Sultan supaya membubarkan DUN,
  2. Pembubaran DUN tidak berlaku,
  3. Tiada usul undi tidak percaya terhadapnya dalam persidangan DUN,
  4. Dia tidak meletak jawatan.

Hj. Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita bahawa soal DS Nizar derhaka kepada Sultan Perak tidak timbul sama sekali kerana dia tidak pernah mempersoalkan kuasa Sultan. Saman yang sedang didengar oleh mahkamah sekarang ini adalah di antara DS Nizar dan Dr. Zambry.

Comments :

0 comments to “Mahkamah Putuskan Nizar Boleh Cabar Kesahihan Zambry”

Post a Comment

 

Komen Pengunjung Terkini