Kempen BN 1 April - Sama Saja

UMNO berkempen pada hari ketiga (Rabu) dengan terus mengapi-apikan sentimen perkauman yang terlalu merbahaya. Ayat kempen UMNO - Orang Melayu mesti undi UMNO untuk menyelamatkan bangsa. Bangsa Melayu dalam keadaan bahaya kerana kaum Cina semakin hampir mengambil alih kuasa. Walau pun PAS yang bertanding melawan UMNO itu dianggotai oleh orang Melayu tetapi parti itu telah dapat diperalatkan oleh kaum Cina (DAP). 11 bulan orang PAS jadi Menteri Besar Perak, habis khazanah negeri diserahkan kepada kaum Cina. Sepanjang mengetuai kerajaan negeri, MB Nizar hanya menjalankan apa yang dikehendaki oleh Ngeh dan Nga. MB PAS itu tak ada kuasa apa-apa pun. Semuanya diputuskan oleh DAP.

Lagi ayat kempen UMNO - Parti Cina (DAP) memang anti bangsa Melayu. Mereka mewarisi perjuangan Parti Komunis. Mereka bukan saja anti Melayu malah anti Islam. Aqidah umat Islam bangsa Melayu dalam bahaya. Kalau bangsa Melayu biarkan UMNO kalah, negara ini akan dipenuhi babi, arak dan judi.

Agenda DAP ialah menghapuskan ketuanan Melayu. Mereka juga mahu jadikan Malaysia sebuah negara republik. Institusi Raja-Raja Melayu akan dikuburkan. PAS juga telah dipengaruhi oleh DAP sehingga sanggup menderhaka kepada Raja. Nizar patut diusir dari negeri ini kerana sanggup menderhaka kepada Sultan. Orang PAS tergamak baring atas jalan menghalang laluan Sultan dan kerabat DiRaja. Orang PAS tergamak melontar batu dan kayu ke arah kenderaan Sultan dan kerabat baginda.

Lagi ayat kempen UMNO - PAS semakin menyimpang dari ajaran Islam. Mereka menipu orang Melayu dengan memperalatkan ayat Quran. Demi kuasa, mereka sanggup menggadai prinsip yang dilaungkan sekian lama. DAP menentang hudud, tapi PAS masih sanggup bersekongkol dengan parti kafir harbi itu. Apabila orang PAS jadi Menteri Besar, kaum Cina kafir harbi lebih banyak dapat kemudahan. Sekolah Cina dapat macam-macam bantuan. Sekolah Agama (Islam) tak dapat pun. Babi semakin banyak. Kedai judi tak berkurang pun. Arak terus boleh dijual di mana-mana pun. PAS hanya menipu orang Melayu. Islam jadi alat semata-mata.

PAS tipu orang Melayu. Mereka kata orang Melayu lebih banyak dapat tanah. Mereka kata Sekolah Agama pun dapat seribu ekar tanah. Bila orang Melayu minta bukti, PAS tak dapat tunjukkan. Memang sah mereka menipu!

Lagi ayat UMNO - Pakatan Rakyat tak mahu terima hakikat mereka dah hilang kuasa di Perak. UMNO tidak merampas kuasa. UMNO ambil alih kerajaan Perak mengikut lunas demokrasi. Tiga orang wakil rakyat mereka datang menyokong BN. Mereka hilang majoriti. Bila majoriti bertukar tangan, Sultan laksanakan tanggungjawab baginda melantik MB baru yang ada sokongan majoriti. Itu kehendak undang-undang tubuh. Semua pihak perlu patuh kepada undang-undang. Malangnya Pakatan Rakyat tak mahu menerima hakikat kekalahan mereka.

Mereka terlalu tamak kuasa bahkan sebenarnya gila kuasa. Sepuluh bulan lebih mereka berkuasa tetapi tak buat apa-apa pun untuk pembangunan negeri. Kebajikan rakyat diabaikan. Tetapi bila hilang kuasa mereka marah. Masa berkuasa mereka hanya mementingkan diri. Bagi projek pada kroni. Mereka pun rasuah juga. Sebab itulah mereka memberontak apabila hilang kuasa.

Selain daripada isu seperti di atas, UMNO juga memutar fakta peristiwa di Masjid Simpang dengan menegaskan betapa DS Nizar memang menceroboh majlis BN. DS Nizar didakwa merancang peristiwa itu dengan kerjasama imam dan beberapa orang ahli kariah. Dakwaan 'rampasan' majlis itu dijadikan bukti kesombongan calon PAS hinggakan sanggup mencemar kesucian masjid.

PAS-PR perlu menangkis serangan kempen UMNO ini dengan hujah balas dan penerangan yang berfakta dan mudah difahami. Isu besar seperti pengkhianatan terhadap bangsa perlu dijawab dengan sempurna dan menyeluruh. Isu kecil seperti peristiwa di masjid Simpang cukup diulas selayang pandang dengan fakta butiran peristiwa. Ia tidak perlu diulas panjang lebar dan tak perlu dijadikan sebab untuk menyerang dengan keras.

Pengundi Melayu juga perlu diyakinkan tentang komitmen PAS pada prinsip perjuangan Islam yang didukung selama ini. PAS perlu memberi penjelasan ampuh betapa prinsip itu tidak pernah berubah. Jalinan kerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat merupakan langkah yang dibenarkan oleh perlembagaan parti dan bertepatan dengan ajaran agama. Sebelum ini pun, PAS sentiasa bekerjasama dengan pihak lain sejak awal penubuhannya termasuk berpakat dengan UMNO-BN pada tahun tujuh puluhan. Bersahabat dengan individu atau kumpulan yang mahu menegakkan keadilan adalah amalan Rasulullah tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa. Definisi kafir harbi dari sumber muktabar perlu dihebahkan kepada orang Melayu.

PAS juga patut menceritakan semangat setiakawan DAP yang berlaku sepanjang tempoh bersama mentadbir negeri Perak. Hebahkan cerita sebenar betapa rakan-rakan daripada DAP lebih prihatin tentang nasib orang Melayu berbanding pemimpin UMNO. Ceritakan kisah-kisah benar sepanjang mentadbir Perak, betapa pemimpin DAP berbangsa Cina yang tidak rasuah dan tidak mengenyangkan kroni adalah terlalu jauh lebih baik daripada pemimpin UMNO berbangsa Melayu yang korup dan rendah akhlak. Fahamkan orang Melayu tentang proses membuat keputusan dalam mengurus negeri. Kebanyakan mereka tidak tahu prosedur mesyuarat MMK. Mereka tidak tahu kewujudan SUK dan LA dalam mesyuarat MMK. Mereka tidak tahu kelulusan berkaitan tanah mesti melibatkan jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan. Mereka tidak tahu keputusan mesyuarat MMK mesti dipersembahkan kepada Tuanku Sultan untuk ditandatangani. Orang Melayu perlu difahamkan betapa isu gadai hak Melayu dan gadai tanah kepada bangsa Cina adalah fitnah yang dirancang secara halus oleh UMNO untuk menipu orang Melayu dengan tujuan memenangi undi orang Melayu. Ia juga digunakan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu agar menghalalkan rampasan kuasa.

PAS-PR perlu memperhalusi rentak cerita tentang krisis rampasan kuasa. Isu undang-undang dan perlembagaan patut dibentangkan ke pengetahuan orang Melayu, tetapi kurang sesuai kalau terlalu panjang perinciannya sehingga rumit untuk dihadam. Kebetulan pula perbezaan tafsiran dari sudut perundangan tentang isu itu masih bertarung di kamar mahkamah. Maka ulaslah secara berpada.

( Orang Melayu kaya peribahasa, bidalan dan bahasa kiasan. Orang Melayu halus berseni jiwanya. Orang Melayu hebat emosinya. Jika jiwa seni itu tersentuh, emosi Melayu mampu bangkit jadi sentimen. Asal bermula emosi dan sentimen itu, orang Melayu tidak mengenal hujung perjalanan. Tiada nokhtah yang upaya menghentikan langkah orang Melayu )

Oleh itu PAS-PR perlu cuba menggarap isu rampasan kuasa dengan pelbagai kaedah dan gaya. Orang Melayu tidak gemar laungan cabaran. Orang Melayu tidak berkenan rentak tawa menghina. Orang Melayu tidak selesa dengan gaya menepuk dada. Orang Melayu mudah marah tetapi tak suka mendengar orang lain marah-marah.

Maka PAS-PR perlu membina simpati. Jiwa Melayu mudah sentimental. Melayu suka membela. Kalau nyata di fikiran mereka bahawa PR dianiaya, pasti mereka sanggup bergolok bergadai bersama mempertahankannya. Kalau terkesan di jiwa mereka betapa kerajaan PR yang ditumbangkan itu adalah kerajaan yang baik dan berjasa, pasti mereka sanggup bangkit meletakkan kerajaan itu kembali ditempatnya.

Orang Melayu setia pada harapan. Kalau mereka yakin ada harapan indah yang hanya mampu dicapai andai Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan, nescaya mereka tidak ragu melakukan apa saja demi harapan itu. Sejarah merekodkan orang Melayu sanggup mati memperjuangkan harapan yang diyakini. Sejarah setia mereka bukan hanya pada Raja tetapi juga pada pemimpin-pemimpin yang berjaya membuktikan sinar harapan. UMNO dapat bertahan lama hanya dengan tawaran harapan yang palsu dan kosong. Kalau dengan harapan yang tipu itu pun UMNO boleh meraih sokongan, tentulah harapan sebenar yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat lebih mampu meraih kesetiaan.

Maka PAS-PR perlu membina harapan. Rekod kerja cemerlang sepanjang tempoh singkat mengurus negeri Perak mesti dibentangkan kepada orang Melayu. Biar mereka tahu dengan faham yang mendalam. Zaman ini adalah zaman fakta dan angka. Oleh itu bentangkan fakta pencapaian dengan angka yang jelas. Zaman ini semua orang Melayu mampu jadi hakim. Oleh itu kemukakan fakta dan angka dengan bukti yang lengkap. Jangan cakap kosong bermodalkan air liur semata-mata. Orang Melayu perlu diyakinkan bahawa kemakmuran dan kesaksamaan yang telah bermula, kini jadi kabur setelah UMNO merampas kuasa. Harapan kemakmuran itu hanya boleh kembali terang jika Pakatan Rakyat diberi mandat.

Comments :

0 comments to “Kempen BN 1 April - Sama Saja”

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini