Semua orang berdebar-debar menunggu tarikh 7 Mei. Jadi ke tak jadi? DS Nizar dah bagi isyarat bahawa yang terbaik ialah tangguhkan sidang sehingga mahkamah selesai memutuskan siapa MB yang sah. Speaker V. Sivakumar dah pun menulis surat memohon agar DYMM Sultan menitahkan penangguhan sidang. Masa ada dua hari saja lagi iaitu hari ini dan besok (5 dan 6 Mei) untuk Tuanku membuat keputusan dan menitahkan penangguhan. Kalau titah itu tak kunjung tiba maka terpaksalah sidang diadakan juga.
Bagaimana jadinya nanti sidang itu? Terasa takut untuk membayangkan kekecohan yang mungkin timbul.
Berjayakah Speaker V. Sivakumar sampai dan masuk ke dewan persidangan?
Berjayakah semua ADUN Pakatan Rakyat sampai dan masuk ke dewan persidangan?
Kalau YB V. Sivakumar dapat menjalankan tugasnya sebagai Speaker, apakah ketetapan olehnya tentang kedudukan kerusi di dalam dewan? Siapa yang akan dibenarkan duduk di kerusi Menteri Besar? Apakah ADUN BN atau ADUN PR yang akan dibenarkan duduk di bahagian kerajaan? Siapa yang akan menyerahkan perutusan kerajaan kepada Tuanku Sultan untuk dibaca oleh baginda? Apakah Jamaludin, Osman dan Hee akan dibenarkan masuk dan berperanan sebagai ADUN?
Kalau Speaker memutuskan semua persoalan di atas berpihak kepada PR, apakah ADUN BN akan berdiam diri? Kalau ADUN BN membantah dan mencabar Speaker, apakah mereka akan dikenakan tindakan pengusiran daripada dewan? Mungkinkah berlaku kekecohan sehingga ke tahap pergaduhan fizikal antara ADUN BN dan PR?
Apakah usul pemecatan Speaker yang dikemukakan oleh DS Zambry akan diterima oleh YB Sivakumar untuk dibentang dan diundi? Setakat ini peguam-peguam PR bertegas bahawa Speaker berkuasa untuk menerima atau menolak sesuatu usul yang dikemukakan oleh ahli dewan. Sebaliknya peguam-peguam BN bertegas bahawa usul yang dikemukakan dengan notis kepada Setiausaha DUN tidak kurang 14 hari dari tarikh sidang 'mesti' diterima oleh Speaker. Maksudnya, Speaker tidak berhak menolak usul itu. Mana satu yang betul?
Menjelang sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu, Speaker telah memecat Abdullah Antong daripada jawatan Setiausaha DUN dan melantik Ustaz Misbahul Munir Masduki menggantikannya. Minggu lalu sekali lagi Speaker memecat atau mengulang-maklum pemecatan Abdullah Antong. Tetapi semua proses ke arah sidang 7 Mei masih diuruskan oleh Abdullah termasuk menandatangani notis panggilan sidang dan menerima notis usul pemecatan Speaker. Sahkah tindakan Abdullah itu? Kalau dikatakan sah bermakna pemecatan yang dibuat oleh Speaker tidak sah. Perlantikan Ustaz Misbahul Munir sebagai Setiausaha Dewan juga tidak sah. Benarkah begitu? Kalau tindakan Speaker memecat Abdullah itu sah, dan perlantikan Ustaz Misbah juga sah, maka semua urusan yang dibuat oleh Abdullah berkaitan dengan sidang 7 Mei adalah tidak sah. Kalau Ustaz Misbah adalah Setiausaha Dewan yang sah, maka dia sepatutnya menjalankan tugas dalam sidang Khamis ini. Abdullah tak boleh berperanan dalam sidang itu bahkan tak boleh masuk ke dalam dewan kecuali dibenarkan oleh Speaker untuk tugas atau hal yang lain. Bolehkah keadaan ini berlaku?
Khabarnya rakyat jelata akan hadir beramai-ramai ke Ipoh pada 7 Mei. Polis telah pun mengeluarkan ancaman tindakan terhadap sebarang aktiviti yang boleh disifatkan sebagai perhimpunan haram. Diberitakan di merata laman web dan blog bahawa rakyat akan turun berbaju hitam dari seluruh pelosok negara untuk memberi isyarat bagi pemulihan demokrasi khasnya di negeri Perak dan Malaysia amnya. Seperti puluhan kali rakyat keluar beramai-ramai sebelum ini, misi rakyat ialah perhimpunan aman. Tetapi BN tentu menghebohkannya sebagai menggugat ketenteraman awam. Sekatan jalanraya akan dibuat di merata laluan masuk ke bandaraya Ipoh terutama laluan berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri. Pasukan FRU akan mengepung bangunan itu dan bersedia di merata tempat untuk menyuraikan perhimpunan.
Apakah gas pemedih mata akan memenuhi ruang udara bandaraya Ipoh Khamis ini. Apakah air kimia akan dipancutkan semahu-mahunya oleh water canon yang siap sedia menerima arahan? Apakah beberapa puluh orang atau beberapa ratus orang akan mendiami lokap polis pada hari itu?
Di sebalik laporan polis yang dibuat oleh DS Zambry berkenaan isu bomoh, rakyat sebenarnya amat maklum tentang budaya 'pakai bomoh' dalam politik UMNO. DS Zambry boleh laungkan sejuta kali penafian tapi orang UMNO merata kampung hanya tersenyum sumbing. Di peringkat cawangan dan bahagian pun UMNO berlawan guna kaedah mistik dan ghaib, apatah lagi di peringkat yang lebih atas. Kalau tidak kerana UMNO, dah lama 'institusi perbomohan hajat politik' berkubur. Makhluk politik UMNO bukan setakat gunakan khidmat bomoh local bahkan bomoh global. Bomoh Indonesia dilanggan oleh ramai ahli politik UMNO. Bomoh Siam tak ketinggalan. Ada juga yang mendapatkan khidmat bomoh di negara India. DS Zambry mungkin akan kata ini satu lagi fitnah. Terpulanglah.
Katakan berita oleh YB Khalil Idham Lim itu betul. Apa akan jadi kalau hantu dan jembalang yang diprogramkan oleh bomoh itu benar-benar berkesan? Apakah tak semena-mena semua ADUN PR akan layu dan bodoh lalu akur kepada semua yang dihajati oleh BN? Atau kalau targetnya hanya YB Sivakumar, apakah Speaker yang dilihat tegas dan berani itu tiba-tiba dengan lemah lembut menjemput DS Zambri duduk di kerusi Menteri Besar? Dan Exco BN pun dilayan begitu? Dan ADUN BN termasuk 3 ADUN lompat pun dipersilakan dengan segala hormatnya duduk di kerusi pihak kerajaan? Dengan tegasnya pula YB Sivakumar mengarahkan DS Nizar dan semua ADUN PR duduk di kerusi pihak pembangkang?
Akhir sekali YB Sivakumar pun dengan senang hati meminta Abdullah Antong membaca usul pemecatan Speaker dan usul melantik Speaker Baru untuk dibentang dan diundi. Lalu sahlah Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru. Begitukah yang akan terjadi?
Katakan pula segala senyonyong sepeneh bomoh power yang dilanggan oleh UMNO itu tiba-tiba berhadapan dengan perkenan Allah SWT terhadap doa yang dipohon oleh sekelian pemimpin dan penyokong PR yang berhimpun bermunajat dan solat hajat malam besok dan subuh lusa. Tak semena-mena dalam Titah Peresmian DiRaja, Tuanku Sultan bertitah, "Hari ini beta mahu kemelut yang tak berkesudahan di negeri ini diselesaikan. Beta titahkan supaya persidangan dewan hari ini meluluskan ketetapan pembubaran DUN supaya pilihanraya negeri dapat diadakan. Pihak mana yang menang dalam pilihanraya itu nanti akan beta perkenankan untuk menjadi kerajaan negeri Perak yang baru. Selepas itu jangan ada pertikaian lagi seperti yang telah berlaku sekarang ini".
apa sudah jadi madani!?
-
*SUAMI MATI KERANA MEMPERJUANGKAN KEDAULATAN NEGARA!?*
*WALAUPUN SUAMI BERJASA, *
*UNDANG-UNDANG TETAP UNDANG-UNDANG*!?
*BELUM ADA PINPINAN SABAH YANG ...
4 days ago
Tentunya kuasa Allah mendahului segala-galanya....
percaya pada qada' dan qadar..sama2 kita solat hajat agar kebenaran terbukti di depan mata.. - Neo
Hadiah yang tak seberapa untuk semua pejuang pada 7 Mei nanti...
Rakyat pakai baju hitam,
Hadirkan diri untuk membuat bantahan,
Kerana negeri ini dirampas orang,
Hapuskan yang batil tegak kebenaran,
Kita lawan....KERAJAAN HARAM PUAK GEROMBOLAN...
Gas pemedih mata atau air pancutan,
Itu semua tidak kami hairan,
Demi negeri in kami tetap berjuang,
Biarpun nyawa jadi taruhan,
Kita lawan....KERAJAAN HARAM PUAK GEROMBOLAN...
Zambri mamak menteri besar haram,
Main hentam supaya DUN bersidang,
Kalau betul kau anak jantan,
Bubar DUN kita tengok siapa yang menang,
Kita lawan...KERAJAAN HARAM PUAK GEROMBOLAN...
7 Mei akan menjadi ingatan,
Bukan sengaja untuk menetang,
Kami rakyat menuntut keadilan,
Kerajaan haram pasti akan dijatuhkan,
Kita lawan...KERAJAAN HARAM PUAK GEROMBOLAN...
Doa selamat kami panjatkan,
Kepada semua rakyat yang berjuang,
Semoga harapan ini Allah perkenankan,
Hapuskan yang batil tegak kebenaran,
Kita lawan...KERAJAAN HARAM PUAK GEROMBOLAN...
Ikhlas daripada: jiwa merdeka
Setuju dgm muraisenja,
Dan apa pun keputusan pada hari itu harap kita semua dapat menerimanya sbagai ketntuan yang telah ditetapkan oleh Allah.