Kita dah menang di Kuala Terengganu. Majoriti 2631 adalah kejayaan besar kerana pilihanraya ini adalah pilihanraya kecil dan kita kalah semasa pilihanraya umum yang lalu. Tahniah kepada 32883 pengundi PAS - Pakatan Rakyat. Merekalah pemenang utama. Tahniah kepada petugas-petugas tempatan kerana kerja-kerja sebenar yang telah lama mereka laksanakan di kawasan Parlimen KT. Tahniah juga kepada petugas-petugas Pakatan Rakyat dari seluruh pelosok negara kerana bantuan tenaga mereka melengkapkan kekuatan jentera Pakatan Rakyat. Tahniah!
Ramai pemimpin dan penganalisis politik menjadikan PRK Kuala Terengganu sebagai kayu ukur keupayaan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan momentum kehendak politik rakyat malaysia pasca PRU12. Mac 2008 adalah gelombang pertama. PRK Permatang Pauh menjadi ujian ketahanan pertama yang akhirnya menjadi gelombang kedua yang bergaya. PRK Kuala Terengganu adalah ujian kedua dan penentu sebenar kebolehlangsungan langkah Pakatan Rakyat menuju ke Putra Jaya. Kini riuh diperkatakan bahawa isyarat sudah cukup jelas. Pakatan Rakyat akan sampai ke Putra Jaya.
Ramai pemimpin politik sudah meramalkan Pakatan Rakyat akan mendapat mandat di Bumi Kenyalang dalam pilihanraya negeri yang mungkin diadakan pada 2010. Dikatakan pemimpin politik Sarawak hanya menunggu keputusan PRK Kuala Terengganu untuk membuat keputusan akhir dan muktamad tentang rakan pilihan mereka di peringkat nasional sama ada BN atau PR. Kuala Terengganu mengisyaratkan PR, maka rakyat Sarawak akan bersama Pakatan Rakyat.
Sifir ini ada logiknya. Ia juga boleh dikira menepati teori-teori sains politik yang diperakui umum dan diterima pakai secara akademik. Sejarah politik dunia juga boleh mengesahkan kebenaran analisis dan rumusan ini. Mudah-mudahan menjadi kenyataan.
Di sebalik keyakinan yang semakin memuncak ini, Pakatan Rakyat perlu realistik dan kritis terhadap diri sendiri. Kekuatan sokongan yang dikira berdasarkan angka undi yang diperolehi perlu diimbangi dengan benar-benar menyedari angka undi yang masih dimiliki oleh BN.
Bagi kes Kuala Terengganu, BN masih menjadi pilihan 30252 pengundi. Angka ini bukan kecil. Dalam keadaan barah UMNO-BN sudah bernanah dan membusuk, masih ada lebih 30 ribu warga Kuala Terengganu yang tetap setia kepada parti berpenyakit itu. Dalam keadaan kempen dan gerak kerja politik serta pelaksanaan tugasan pilihanraya kita yang semakin canggih dan tersusun, masih ada lebih 30 ribu warga Kuala Terengganu yang tidak terpanggil untuk bersama dengan cita-cita kita. Kenapa?
UMNO-BN tidak akan berdiam diri. Mereka pasti akan mengusahakan seribu satu langkah dan strategi untuk memenangi pilihanraya-pilihanraya yang akan datang. Mereka tak akan peduli sama ada strategi dan cara baru itu halal atau haram. Mereka telah membuktikan kesediaan mereka melanggar apa jua undang-undang atau prinsip keadilan demi mendapatkan atau mengekalkan kuasa. Mereka tak boleh hidup tanpa kuasa politik. By hook or by crook mereka akan mengusahakannya. Inilah cabaran yang perlu diinsafi oleh Pakatan Rakyat.
Dari satu sudut, politik adalah seni memenangi hati manusia. Tak kenal maka tak cinta namun dah kenal pun masih belum tentu berputek rasa kasih. Pakatan Rakyat perlu tampil sebagai seorang pemuda yang tampan bergaya berharta bijak bestari berbudi bahasa dan mesra atau sebagai dara sunti yang bersopan santun menawan hidung mancung bak seludang pipi pauh dilayang bibir merah merekah bak delima sejuk mata memandang dan berketurunan orang baik-baik.
Setakat ini Pakatan Rakyat belum sampai ke piawai "mencari cinta" ini. Secara perbandingan, Pakatan Rakyat memang terlalu jauh eloknya berbanding UMNO-BN. Kewibawaan Kerajaan PAS-Pakatan Rakyat negeri Kelantan diakui kawan dan lawan, lokal dan global. Keprihatinan dan keadilan empat kerajaan baru Pakatan Rakyat (Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah) memang umpama langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan zaman pemerintahan BN sebelum ini. Namun masalahnya ialah rakyat tidak dapat melihatnya secara terang. Rakyat tak tahu apa yang telah berubah. Rakyat tak nampak pun beza kehidupan di zaman PR ini berbanding zaman BN dulu. Tambahan pula media yang sentiasa dapat diakses oleh rakyat iaitu radio/tv yang semuanya tiga suku dan akhbar yang meloya lagi hairan itu penuh dengan fitnah dan putar belit yang menggambarkan kerajaan PR macam najis.
Maka Pakatan Rakyat perlu lebih fokus untuk mendepani cabaran dan halangan yang dahsyat ini. Pakatan Rakyat perlu meningkatkan kekuatan penerangan dengan mengambil kira mekanisme, teknik dan strategi yang sentiasa semakin baik. Kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu lebih fokus kepada projek dan program yang melibatkan rakyat ramai. Keutamaan mestilah diberikan kepada projek dan program yang memberikan kesan langsung kepada kualiti hidup majoriti rakyat. Kita wajib menyedari bahawa penentuan sikap politik rakyat adalah sangat berkait dengan perkara yang melibatkan taraf hidup, kerjaya dan pendapatan (RM).
Pemimpin parti (PKR-DAP-PAS) di peringkat pusat dan negeri perlu kerap berfikir sebagai ahli di peringkat cawangan atau sebagai rakyat biasa di kampung dan pinggir bandar yang hidup serba tak cukup dan tersepit. Pemimpin yang terlibat langsung dengan kerajaan (MB/KM, Exco, Adun, Pengarah GLC, Ahli Majlis PBT dan lain-lain) perlu lebih banyak berfikir tentang rakyat bawahan yang lebih ramai berbanding usahawan dan konglomerat besar yang tak berapa kerat bilangannya. Jangan terjangkit penyakit UMNO-BN yang kepala mereka hanya terkenangkan yang mega dan hyper sahaja. Jangan terharamjadah dengan syndrom 'syok sendiri' dan penyakit kembang jubur menjaja berulangkali satu dua kerja atau kebaikan yang dibuat. Biar orang lain yang menyebut kebaikan atau hasil kerja kita dalam keadaan kita pun tak mengharapkan ia disebut. Tak payahlah kita sendiri yang terkembang hidung menceritakannya.
Secara jujur dan bertanggungjawab, ayuh kita selidiki dan senaraikan perubahan, penambahbaikan dan kemajuan yang telah berlaku di kampung-kampung sejak kita mengambil tanggungjawab pada Mac 2008.
Butiran ini adalah hasil siasatan dan kajian sebenar yang dibuat di sebuah kampung dalam kawasan Parlimen Beruas, Perak : .... sepanjang 10 bulan PR mentadbir negeri Perak - 7 orang telah menerima bantuan khas ketika harga minyak dunia melambung menjelang pertengahan tahun 2008 dengan nilai bantuan RM100 setiap seorang (sekali sahaja) - 5 orang telah menerima bantuan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri dengan purata RM80 seorang (sekali sahaja) - 1 orang telah menerima bantuan untuk pendaftaran dan pemasangan bekalan air LAP bernilai RM1000 - jalan masuk ke Sekolah Agama Rakyat yang sering tenggelam telah ditambak dengan batu kerikil (tanpa diturap tar) sepanjang 160 meter menggunakan wang sumbangan orang ramai (bukan peruntukan kerajaan) - 2 orang pelajar telah dapat bantuan kemasukan ke IPTA bernilai RM1000 setiap seorang - 16 orang (miskin dan yatim) telah menerima bantuan menjelang Hari Raya Aidil Fitri bernilai RM50 setiap seorang menggunakan wang sumbangan orang ramai (bukan peruntukan kerajaan) .... itulah saja .... sedangkan .... golongan belia kerap bertanya peruntukan untuk aktiviti sukan dan kursus-kursus kemahiran - golongan dewasa berumur 30an dan 40an sering bertanya peruntukan bantuan atau pinjaman untuk aktiviti keusahawan atau peningkatan kualiti kerjaya - golongan wanita juga dah hampir jemu bertanya tentang program pembangunan kekeluargaan dan keusahawanan seperti TEKUN, Amanah Ikhtiar, KPW dan lain-lain yang pernah dibuat oleh kerajaan dulu - aktivis masyarakat semakin sinis bertanya bilakah akan dilaksanakan projek-projek baru kemudahan awam untuk masyarakat kampung .... JAWABANnya .... entahlah!
Maka ke mana arah kita selepas kemenangan manis Kuala Terengganu? .... Putra Jaya? .... insyaallah .... jika kita serius berpolitik untuk kesejahteraan rakyat. Jika kita benar-benar berfikir dan berusaha untuk kebajikan rakyat. Jika kita sungguh-sungguh prihatin tentang keperluan rakyat. Jika kita pro-aktif menyelesaikan masalah rakyat. Jika kita tak terlepas pandang keperitan hidup rakyat. Jika kita kreatif membuka jalan dan peluang untuk rakyat meningkatkan pendapatan isi rumah. Jika kita benar-benar tahu merencana dan mengurus pembangunan dan kemajuan yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Jika kita tidak terlalu sibuk dengan balak dan lombong untuk kawan-kawan kita dan penyamun-penyamun lama. Jika kita tak terlalu sibuk dengan state land dan forest reserve yang boleh dipohon oleh anak-pinak dan rakan taulan kita. Jika kita tidak terlalu excited dengan kedudukan dan pangkat sebagai orang besar dan orang penting dalam kerajaan dan parti. Jika kita tidak serupa dengan perangai bodoh sombong dan mentaliti penyamun tarbus UMNO/BN .... insyaallah kita ke Putra Jaya selepas PRU13 nanti.
Kalau kita melangkah lembab, berminda bengap dan bersikap pelahap .... Kuala Terengganu hanyalah secebis mimpi sebelum mati.
BUNG&ISTERI BELA DIRI
-
*PEMBEBASAN BATAL, BUNG DAN ISTERI BELA DIRI*
*MAHKAMAH TINGGI BUAT SILAP ???*
*Hakim Mohamed Zaini Mazlan menyatakan Mahkamah Tinggi telah membuat ...
4 days ago
Lepas Kuala Terengganu......lihat kembali dunia kita What A wonderful world
Minta maaf beb.....baru belajor link
What a wonderful world