TAJOL - LETAK JAWATAN ATAU DI PECAT?


RELA @ PAKSA ??


Ketua Pembangkang DUN Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak dalam pertemuan bersama UMNO Bahagian Parit petang kelmarin.

Tajol dilaporkan mengambil tanggungjawab berikutan tindakan ADUN Bota meninggalkan UMNO dan menyertai PKR serta kekalahan BN Perak dalam PRU12. Surat perletakan jawatannya telah diserahkan kepada DS Najib pada jam 4.30 petang Isnin lalu - Berita Harian.

Walau bagaimana pun kedudukan sebenar Tajol hanya akan diputuskan dalam MT UMNO malam nanti - Najib.

Akhbar-akhbar harian milik UMNO menggunakan perkataan 'meletak jawatan' untuk menggambarkan suasana tenang UMNO menghadapi kes YB Nasarudin keluar parti menyertai PKR. Sebaliknya, sumber dalaman UMNO memberitahu sebenarnya Tajol diarahkan supaya melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kerana kegagalannya mengesan dan mengelakkan insiden lompat parti tersebut. Kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO Perak menggunakan perkataan 'Tajol dipecat' ketika mengulas perkembangan ini.

Kumpulan 11 yang menghangatkan politik dalaman UMNO Perak satu ketika dulu dikatakan memainkan peranan utama disebalik pemecatan Tajol. Selain itu, golongan muda dan pelapis kepimpinan UMNO Negeri dan Bahagian yang bercita-cita mendapat tempat sebagai calon PRU13 turut memperbesar-besarkan kelemahan Tajol. Mereka dikatakan mendapat arahan daripada calon paling berpotensi bagi mengisi jawatan nombor 1 UMNO Perak iaitu Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kepimpinan Tajol telah dipertikaikan sejak lama sebelum PRU12 oleh kumpulan 11 yang bertapak dalam UMNO sejak kepimpinan Tan Sri Ramli Ngah Talib. Tajol juga tidak disenangi oleh Raja Tingkat 4 yang sedang bergelut untuk pertandingan Ketua Pemuda UMNO Mac depan. Khairy dilaporkan 'murka' apabila Pergerakan Pemuda UMNO Perak mengeluarkan kenyataan 'berdiri teguh' di belakang Mukhriz Mahathir untuk pemilihan itu. Tajol dipersalahkan oleh kem Khairy kerana gagal berperanan untuk mengikat sokongan Pemuda Perak kepada Khairy. Oleh itu kabinet Khairy di Perak tidak melepaskan peluang untuk menghukum Tajol di kesempatan kes YB Nasarudin ini.

Rakan-rakan rapat Tajol juga menasihatkannya supaya menerima pemecatan itu dengan rela berdasarkan keyakinan mereka kepada maklumat yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 2 lagi ADUN UMNO Perak akan mengikut jejak YB Nasarudin apabila tiba masa sesuai. Selain daripada 2 ADUN tersebut, semua ADUN yang gagal dalam pertandingan merebut atau mempertahankan jawatan Ketua Bahagian dilihat sangat berpotensi mengambil langkah yang sama. Jika lompatan baru berlaku lagi maka Tajol akan berdepan dengan risiko pertanggungjawaban yang lebih besar.

Comments :

1
muraisenja said...
on 

nak tunggu cerita seterusnya yg lebih panas dan sensasi..... tq... info yg terhangat :)

Post a Comment

 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini