Muktamar PAS Pusat kali ke 55 bermula hari ini. Setakat kelmarin Dewan-dewan Ulama', Pemuda dan Muslimat telah menyempurnakan muktamar tahunan masing-masing. Banyak perkara dah dibincang dan diputuskan. Ada perkara yang biasa saja dan ada yang panas. Memang begitulah lumrah bermuktamar sejak 54 kali sebelum ini.
Seluruh dunia sedang memerhatikan muktamar kali ini khususnya sidang utama yang bermula hari ini. Seluruh rakyat Malaysia rentas kaum silang agama juga prihatin dan penuh minat. Ahli dan penyokong parti-parti gabungan Pakatan Rakyat lebih hebat ambil berat. Ahli dan penyokong PAS teruja dalam cemas. Para perwakilan berdebar-debar untuk menunaikan tanggungjawab berbahas dan mengundi. Semua orang ternanti-nanti keputusan pemilihan saf kepimpinan parti yang akan diketahui besok.
UMNO juga tidak ketinggalan. Media arus perdana sibuk mengulas dan menganalisis pertandingan jawatan tertinggi PAS kali ini khususnya jawatan Timbalan Presiden. Tergambar ada pertembungan besar dalam PAS hari ini. Ada kem ulama' dan ada kem profesional, atau ulama' lawan erdogan. Akhbar online dan blog politik riuh rendah dengan kempen mengempen dan bongkar membongkar. Seolah-olah kelompok pemimpin PAS sedang bergaduh besar merebut kedudukan.
Semua orang atau semua pihak berhujah, mengkritik, memberi pandangan malah mencadangkan supaya undi orang itu atau ini. Sama ada disedari atau tidak, semua orang yang berhujah dalam isu kepimpinan PAS ini sedang memberitahu; "Aku tahu perkara sebenar, aku tahu apa yang telah dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu siapa yang sepatutnya diundi oleh perwakilan dan hujah akulah yang betul. Mana-mana hujah yang berlawanan dengan hujah aku adalah tidak betul belaka."
Antara hujah-hujah yang popular (kategori 1) ialah:
- PAS mestilah dipimpin oleh golongan ulama'.
- Kepimpinan PAS mestilah gandingan antara ulama' dan profesional.
- Kepimpinan PAS pasca PRU12 mestilah berimej rentas kaum dan silang agama.
- Kepimpinan PAS mestilah berimej aktivis yang 'merakyat'dan tahan uji.
- Ulama' perlu diprofesionalkan manakala profesional perlu diulama'kan.
- Pemimpin PAS mestilah dipilih dari kalangan yang pro Pakatan Rakyat.
Antara hujah-hujah popular (kategori 2) ialah:
- Pemimpin pro-muqabalah (dengan UMNO) perlu disingkirkan.
- Kepimpinan PAS perlu dianggotai oleh lebih ramai golongan profesional.
- Bukan ulama' tidak layak menduduki jawatan tertinggi PAS.
- Ulama' atau bukan ulama' sama saja. Yang penting ialah kualiti kepimpinan.
Antara hujah-hujah popular (kategori 3 - panas!) ialah:
- Ustaz Nasharudin Mat Isa pro kerjasama PAS-UMNO.
- Ustaz Nasharudin Mat Isa menipu ketika isu pertemuan dengan pemimpin UMNO.
- TG Hadi Awang bertentangan pendapat dengan TG Nik Abdul Aziz.
- Dato' Husam Musa cemar lumrah pertandingan dalam PAS kerana berkempen berlebihan.
- TG Nik Aziz sokong kumpulan Erdogan.
Antara hujah-hujah popular (kategori 4 - terbakar!) ialah:
- TG Hadi Awang juga pro kerjasama dengan UMNO.
- TG Hadi Awang patut berundur kerana lemah daya fikir dalam hal strategi.
- Ustaz Nasharudin hidup mewah ala UMNO.
- Dato' Husam sombong, ada skandal, membayar blogger upahan dan gelojoh jawatan.
- UMNO sokong Ustaz Nasharudin.
Sebahagian pengulas malah melabelkan pemimpin-pemimpin PAS dengan perkataan yang amat buruk dan lucah termasuk babi, dungu, bengap, bahalol, lembab dan mati pucuk.
Dari satu sudut, ruang mengulas dan mengkritik yang terbuka luas di era teknologi ICT ini amat mendewasakan pentas politik tanahair. Parti dan pemimpin politik terdedah kepada pemantauan dan kritikan semua pihak. Hampir tiada lagi maklumat yang boleh dirahsiakan. Kesilapan pasti mengundang padah.
Forum maya sejuta panel 24 jam sehari sepanjang masa mungkin membuka ruang kepada perwakilan memperincikan sebab terbaik sebelum menentukan nama yang akan diundi.
Dari satu sudut yang lain keghairahan mengulas dan berhujah ini mungkin juga membuka peluang kepada UMNO untuk mengenalpasti kelemahan Pakatan Rakyat secara terperinci. Memang kita tidak mahu mendiamkan kesalahan atau kelemahan yang berlaku dalam parti-parti (PR) kita. Kita tegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Kita serius dengan prinsip keterbukaan. Kita bukan yes man membabi buta kepada pemimpin-pemimpin parti kita. Namun kita ada musuh yang sentiasa menunggu peluang. Profesionalisme tempur politik dan pemikiran strategik menuntut pertimbangan untung-rugi dan penilaian kesesuaian senjata-medan.
Ketidakpuasan hati antara seorang dengan seorang yang lain adalah 'nature'. Apatah lagi dalam perkara yang besar seperti urusan kepimpinan rakyat. Perbezaan pendapat dan sudut pandangan juga adalah fitrah manusia. Bahkan dalam kehidupan haiwan yang satu spesis pun ada perbalahan dan pertikaian. Dalam satu perkara yang khusus, sejarah kemanusiaan membuktikan betapa persepsi, penilaian, pertimbangan dan pendirian manusia sentiasa tidak satu.
Oleh kerana itulah Islam mensyariatkan 'syura' sebagai platform pengurusan masyarakat, sebagai medan menemukan perbezaan dan merumuskan persepakatan. Satu keputusan syura bukanlah hasil persepsi dan pendirian asal yang sama di kalangan semua yang terlibat dalam proses itu. Ia cuma rumusan bagi pandangan dan penilaian yang berbeza.
Begitulah juga prinsip demokrasi. Walaupun syura dan demokrasi tidak sama namun dalam hal menguruskan perbezaan kedua-duanya mempunyai kehampiran. Semua orang atau semua pihak berhak mengemukakan pandangan dan penilaian masing-masing. Perbezaan diperinci dan dibincangkan untuk mencari titik persamaan atau mencari yang lebih baik. Akhirnya diputuskan satu kata sepakat. Keputusan itu berkuatkuasa.
Sama ada dalam sistem syura atau sistem demokrasi, pengurusan perbezaan sudut pandangan itu ada prosedur dan disiplinnya. Proses itu melibatkan seni komunikasi. Kualiti natijahnya sangat bergantung kepada komunikasi yang 'smart'.
Adakah kita berasa damai dan gembira jika anak-anak kita menguruskan perbezaan pandangan 'sesama mereka' dengan penggunaan perkataan babi, bodoh, dungu dan lembab? Apakah kita bahagia jika seorang anak kita menguruskan hujahnya dengan menelanjangkan kesilapan abang, kakak atau adiknya di depan khalayak ramai?
Barangkali perbandingan ini tidak tepat seratus peratus dengan dunia politik dan pengurusan masyarakat. Keluarga hanya sebuah unit masyarakat yang sangat kecil sedangkan kita membincangkan urusan masyarakat umum dan kepentingan yang jauh lebih besar. Namun begitu dalam banyak hal, kes kecil mampu menjadi asas kepada pemikiran berkaitan kes besar.
Penulis menyokong Dato' Husam Musa untuk jawatan Timbalan Presiden. Secara resmi, PAS Kawasan penulis juga mencalonkan Dato' Husam untuk jawatan itu dalam Mesyuarat Agong PAS Kawasan, April lalu. Tetapi penulis tidak sanggup menghentam Ustaz Nasharudin dengan bentuk hentaman yang penuh penghinaan. Sementelah terasa takut dengan butiran Fiqh Ad-Da'wa Wa Al-Baiyinat tentang urusan tuduhan dan pembuktian yang disyariatkan.
WaLlahu A'lam. Ini sekadar persepsi dan pandangan peribadi penulis. Tak mungkin penulis sentiasa 'betul' dalam semua perkara.
Agenda Kepimpinan Rakyat - Siapa Yang Betul?
cyberboron, Friday, June 05, 2009Swine Flu 7 Mei
cyberboron, Tuesday, May 05, 2009Semua orang berdebar-debar menunggu tarikh 7 Mei. Jadi ke tak jadi? DS Nizar dah bagi isyarat bahawa yang terbaik ialah tangguhkan sidang sehingga mahkamah selesai memutuskan siapa MB yang sah. Speaker V. Sivakumar dah pun menulis surat memohon agar DYMM Sultan menitahkan penangguhan sidang. Masa ada dua hari saja lagi iaitu hari ini dan besok (5 dan 6 Mei) untuk Tuanku membuat keputusan dan menitahkan penangguhan. Kalau titah itu tak kunjung tiba maka terpaksalah sidang diadakan juga.
Bagaimana jadinya nanti sidang itu? Terasa takut untuk membayangkan kekecohan yang mungkin timbul.
Berjayakah Speaker V. Sivakumar sampai dan masuk ke dewan persidangan?
Berjayakah semua ADUN Pakatan Rakyat sampai dan masuk ke dewan persidangan?
Kalau YB V. Sivakumar dapat menjalankan tugasnya sebagai Speaker, apakah ketetapan olehnya tentang kedudukan kerusi di dalam dewan? Siapa yang akan dibenarkan duduk di kerusi Menteri Besar? Apakah ADUN BN atau ADUN PR yang akan dibenarkan duduk di bahagian kerajaan? Siapa yang akan menyerahkan perutusan kerajaan kepada Tuanku Sultan untuk dibaca oleh baginda? Apakah Jamaludin, Osman dan Hee akan dibenarkan masuk dan berperanan sebagai ADUN?
Kalau Speaker memutuskan semua persoalan di atas berpihak kepada PR, apakah ADUN BN akan berdiam diri? Kalau ADUN BN membantah dan mencabar Speaker, apakah mereka akan dikenakan tindakan pengusiran daripada dewan? Mungkinkah berlaku kekecohan sehingga ke tahap pergaduhan fizikal antara ADUN BN dan PR?
Apakah usul pemecatan Speaker yang dikemukakan oleh DS Zambry akan diterima oleh YB Sivakumar untuk dibentang dan diundi? Setakat ini peguam-peguam PR bertegas bahawa Speaker berkuasa untuk menerima atau menolak sesuatu usul yang dikemukakan oleh ahli dewan. Sebaliknya peguam-peguam BN bertegas bahawa usul yang dikemukakan dengan notis kepada Setiausaha DUN tidak kurang 14 hari dari tarikh sidang 'mesti' diterima oleh Speaker. Maksudnya, Speaker tidak berhak menolak usul itu. Mana satu yang betul?
Menjelang sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu, Speaker telah memecat Abdullah Antong daripada jawatan Setiausaha DUN dan melantik Ustaz Misbahul Munir Masduki menggantikannya. Minggu lalu sekali lagi Speaker memecat atau mengulang-maklum pemecatan Abdullah Antong. Tetapi semua proses ke arah sidang 7 Mei masih diuruskan oleh Abdullah termasuk menandatangani notis panggilan sidang dan menerima notis usul pemecatan Speaker. Sahkah tindakan Abdullah itu? Kalau dikatakan sah bermakna pemecatan yang dibuat oleh Speaker tidak sah. Perlantikan Ustaz Misbahul Munir sebagai Setiausaha Dewan juga tidak sah. Benarkah begitu? Kalau tindakan Speaker memecat Abdullah itu sah, dan perlantikan Ustaz Misbah juga sah, maka semua urusan yang dibuat oleh Abdullah berkaitan dengan sidang 7 Mei adalah tidak sah. Kalau Ustaz Misbah adalah Setiausaha Dewan yang sah, maka dia sepatutnya menjalankan tugas dalam sidang Khamis ini. Abdullah tak boleh berperanan dalam sidang itu bahkan tak boleh masuk ke dalam dewan kecuali dibenarkan oleh Speaker untuk tugas atau hal yang lain. Bolehkah keadaan ini berlaku?
Khabarnya rakyat jelata akan hadir beramai-ramai ke Ipoh pada 7 Mei. Polis telah pun mengeluarkan ancaman tindakan terhadap sebarang aktiviti yang boleh disifatkan sebagai perhimpunan haram. Diberitakan di merata laman web dan blog bahawa rakyat akan turun berbaju hitam dari seluruh pelosok negara untuk memberi isyarat bagi pemulihan demokrasi khasnya di negeri Perak dan Malaysia amnya. Seperti puluhan kali rakyat keluar beramai-ramai sebelum ini, misi rakyat ialah perhimpunan aman. Tetapi BN tentu menghebohkannya sebagai menggugat ketenteraman awam. Sekatan jalanraya akan dibuat di merata laluan masuk ke bandaraya Ipoh terutama laluan berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri. Pasukan FRU akan mengepung bangunan itu dan bersedia di merata tempat untuk menyuraikan perhimpunan.
Apakah gas pemedih mata akan memenuhi ruang udara bandaraya Ipoh Khamis ini. Apakah air kimia akan dipancutkan semahu-mahunya oleh water canon yang siap sedia menerima arahan? Apakah beberapa puluh orang atau beberapa ratus orang akan mendiami lokap polis pada hari itu?
Di sebalik laporan polis yang dibuat oleh DS Zambry berkenaan isu bomoh, rakyat sebenarnya amat maklum tentang budaya 'pakai bomoh' dalam politik UMNO. DS Zambry boleh laungkan sejuta kali penafian tapi orang UMNO merata kampung hanya tersenyum sumbing. Di peringkat cawangan dan bahagian pun UMNO berlawan guna kaedah mistik dan ghaib, apatah lagi di peringkat yang lebih atas. Kalau tidak kerana UMNO, dah lama 'institusi perbomohan hajat politik' berkubur. Makhluk politik UMNO bukan setakat gunakan khidmat bomoh local bahkan bomoh global. Bomoh Indonesia dilanggan oleh ramai ahli politik UMNO. Bomoh Siam tak ketinggalan. Ada juga yang mendapatkan khidmat bomoh di negara India. DS Zambry mungkin akan kata ini satu lagi fitnah. Terpulanglah.
Katakan berita oleh YB Khalil Idham Lim itu betul. Apa akan jadi kalau hantu dan jembalang yang diprogramkan oleh bomoh itu benar-benar berkesan? Apakah tak semena-mena semua ADUN PR akan layu dan bodoh lalu akur kepada semua yang dihajati oleh BN? Atau kalau targetnya hanya YB Sivakumar, apakah Speaker yang dilihat tegas dan berani itu tiba-tiba dengan lemah lembut menjemput DS Zambri duduk di kerusi Menteri Besar? Dan Exco BN pun dilayan begitu? Dan ADUN BN termasuk 3 ADUN lompat pun dipersilakan dengan segala hormatnya duduk di kerusi pihak kerajaan? Dengan tegasnya pula YB Sivakumar mengarahkan DS Nizar dan semua ADUN PR duduk di kerusi pihak pembangkang?
Akhir sekali YB Sivakumar pun dengan senang hati meminta Abdullah Antong membaca usul pemecatan Speaker dan usul melantik Speaker Baru untuk dibentang dan diundi. Lalu sahlah Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru. Begitukah yang akan terjadi?
Katakan pula segala senyonyong sepeneh bomoh power yang dilanggan oleh UMNO itu tiba-tiba berhadapan dengan perkenan Allah SWT terhadap doa yang dipohon oleh sekelian pemimpin dan penyokong PR yang berhimpun bermunajat dan solat hajat malam besok dan subuh lusa. Tak semena-mena dalam Titah Peresmian DiRaja, Tuanku Sultan bertitah, "Hari ini beta mahu kemelut yang tak berkesudahan di negeri ini diselesaikan. Beta titahkan supaya persidangan dewan hari ini meluluskan ketetapan pembubaran DUN supaya pilihanraya negeri dapat diadakan. Pihak mana yang menang dalam pilihanraya itu nanti akan beta perkenankan untuk menjadi kerajaan negeri Perak yang baru. Selepas itu jangan ada pertikaian lagi seperti yang telah berlaku sekarang ini".
Selesaikan Segera Panas Di Permatang Pauh
cyberboron, Wednesday, April 29, 2009Sehari dua ini politik dalaman PR agak panas. Nik Abduh mencetuskan kontroversi lanjutan bagi isu muzakarah-muqabalah-unity government. Lebih serabut ialah keputusan PAS Kawasan Permatang Pauh yang nak bertanding di Penanti. Ketua DPP Pulau Pinang menambahkan lagi kehangatan itu dengan kenyataannya hari ini.
Sebenarnya kita dah ada banyak sangat isu yang perlu ditangani. Krisis Perak semakin memuncak menjelang 7 Mei. Selangor juga sedang diserang secara senyap. Kehangatan pencalonan menjelang Muktamar PAS sedang diusik dan diadu-domba oleh media UMNO untuk menimbulkan perpecahan. Dan banyak lagi.
Bagi kes Permatang Pauh, pertama sekali secara peribadi aku tak bersetuju dengan keputusan dan tindakan PAS Kawasan itu dan Ketua DPP negeri. Itu hak aku. Aku tak tahu apa yang mendasari keputusan PAS Permatang Pauh yang dikatakan 'kehendak akar umbi' itu. Aku juga hormati hak masing-masing sama ada individu atau organisasi untuk berpendirian macam mana sekalipun. Tetapi aku tetap gunakan hak aku untuk tidak menyokong dan tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan yang dah berlaku setakat hari ini.
Aku tak peduli sangat soal UMNO-BN yang pasti akan menggunakan isu ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan berusaha melemahkan pertahanan kita. Mereka tak akan berjaya kalau kita pantas menjernihkan suasana dan kembali fokus kepada matlamat yang disepakati bersama.
Adat berbeza prinsip dan fahaman memang akan bertembung di sana dan di sini walau pun secara resminya ada jalinan muafakat. PAS-PKR-DAP akan tetap ada perbezaan dalam pelbagai perkara walau pun telah memeterai persepakatan. BN yang sudah tua itu pun masih berbalah antara sesama parti komponen dalam banyak hal.
Tugas dan tanggungjawab kita ialah menguruskan perbezaan itu sambil mengiktiraf hakikat kewujudannya. Fokus kita mestilah kepada kesamaan prinsip dan matlamat yang menghubungkan kita setakat ini. Kita mesti kaya tolak ansur. Kita wajib waras tentang nilai hormat-menghormati. Kita mesti benar-benar sedar realiti 'bersama dalam berbeza'. Kalau hal ini dapat kita uruskan, hayat PR akan lebih panjang sehingga insyaAllah kita akan mendapat mandat rakyat untuk memimpin kerajaan pusat. Kalau kita gagal memahami dan menjiwai persamaan dan perbezaan ini, UMNO-BN akan terus berkuasa untuk merompak harta negara.
Aku bersama rakan-rakan di kawasan aku pernah melalui pengalaman yang hampir sama dengan kes Permatang Pauh. Cuma tak ramai yang tahu kerana di kawasan aku tak ada nama besar dalam politik. Yang ada hanya 'kucin tanah', kata kawan-kawan aku.
Pada tahun 1999 PAS dan PKR (waktu itu PKN) sama-sama menuntut untuk bertanding di satu kerusi DUN di kawasan aku. Aku orang PAS. Tentulah aku mahu PAS bertanding. Waktu itu ada 19 cawangan PAS di DUN kami dengan ahli seramai 1732 orang. DUN kami ada 20 Daerah Mengundi. Kira-kira 'ngam'lah imbangan jumlah cawangan dengan jumlah Daerah Mengundi. PKN ada 7 cawangan dengan keahlian lebih kurang 250 orang. PAS ada 11 markaz. PKN ada 1. PAS dah sedia ada jentera pilihanraya hingga ke peringkat UPU. PKN pun ada jentera tapi tak berapa kelihatan. Bagi aku sebagai ahli PAS dan dengan fakta-fakta cawangan, keahlian, markaz dan jentera itu, tentulah aku berhak menyuarakan pendirian bahawa PAS lebih layak bertanding.
Di pihak PKN, mereka juga ada pelbagai hujah tentang kelayakan mereka yang dikatakan mengatasi keupayaan PAS. Kami sama-sama mendesak pemimpin parti peringkat negeri dan pusat supaya mempertahankan hak untuk bertanding. Aku mengutus tak kurang 5 surat resmi ke peringkat negeri dan pusat termasuk kepada Setiausaha Agung PAS dan Presiden keADILan. Ketua PKN Bahagian pun berulangkali menemui Presiden mereka untuk maksud yang sama.
Tapi selepas semua hujah dan ayat yang pedas, marah dan berbau ugutan, semua surat yang aku utuskan diakhiri dengan perenggan ini:Besarlah harapan kami agar hasrat yang ditegaskan di dalam surat ini mendapat pertimbangan dan kelulusan Tuan (atau Puan) bersama seluruh Jawatankuasa PAS Pusat (atau seluruh ahli MPT keADILan) dengan kadar segera. Walau bagaimana pun pihak kami akan menerima sebarang keputusan resmi yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti.
Akhirnya BA (Barisan Alternatif) memutuskan PAS bertanding. Aku bersyukur dan seronok. keADILan Bahagian memboikot gerak kerja pilihanraya DUN kami. Seluruh jentera keADILan Bahagian berhijrah menjalankan kerja-kerja pilihanraya di satu kawasan Parlimen di selatan negeri Perak. Aku dan rakan-rakan PAS Kawasan menerima hakikat boikot itu dengan lapang dada.
Selepas pilihanraya kami terus berhubung seperti biasa walau pun ada rasa kekok. Menjelang pilihanraya umum tahun 2004, PAS dan PKR sekali lagi menuntut hak bertanding seperti lima tahun sebelumnya. Berbincang, berhujah dan mengutus surat ke peringkat tertinggi. Akhirnya BA memutuskan PKR bertanding. Walau pun sedih dan terkilan, mesyuarat AJK PAS Kawasan memutuskan secara resmi untuk menggerakkan sepenuhnya jentera yang ada. Bilik-bilik gerakan PAS beroperasi sepenuhnya. Petugas-petugas PAS melaksanakan semua tugasan bersama petugas PKR. Namun sebahagian ahli PAS merajuk. Tak bekerja tetapi tetap keluar mengundi PKR. Hukum keluar mengundi PKR sebagai rakan dalam pakatan BA diinsafi dengan baik oleh ahli-ahli PAS yang merajuk itu. Alhamdulillah.
Menjelang pilihanraya umum tahun 2008, tiada lagi perselisihan. PKR memberi laluan sepenuhnya kepada PAS. Berkebetulan dengan gelombang tsunami yang melanda politik negara, kami kalah tetapi hanya dengan kekurangan 14 undi. Sedih kerana kalah tetapi semakin yakin untuk menghadapi PRU13.
Berbalik kepada isu Permatang Pauh, aku mohon semua pihak berjiwa besar menginsafi matlamat perjuangan yang telah disepakati bersama. Masalah memang lumrah namun ayuh kita selesaikannya. Kehebatan gerak-kerja kita terletak pada kebijaksanaan mengurus masalah.
PAS Kawasan Permatang Pauh perlu beralah. Aku faham desakan dan tekanan daripada ahli-ahli dan cawangan-cawangan kerana kami pun pernah mengalaminya. Aku faham penegasan tentang kekuatan jentera dan lain-lain yang berkaitan dengan pilihanraya. Aku faham tentang kebimbangan dan persepsi yang bercelaru terhadap satu dua kes YB PKR. Aku faham.
Tetapi itu semua tidaklah lebih besar atau lebih penting daripada Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kita bukan setakat nak menang di Penanti atau Permatang Pauh tetapi nak menawan Malaysia. Kita sedang berada di landasan yang betul ke arah itu. Mengekalkan pendirian seperti yang heboh diperkatakan setakat hari ini, hanya akan meruntuhkan binaan politik baru Malaysia yang hampir siap.
PAS Pusat perlu cepat, pantas, segera, laju, tak berlengah dan tak bertangguh mencari penyelesaian terbaik. Turunlah ke Permatang Pauh. Kalau perlu semua pemimpin-pemimpin besar turun ke Permatang Pauh, ayuh turun segera. Berjumpa dan dengarilah luahan ahli-ahli. Kita bukan UMNO yang berkasta Brahma dan Paria. Pemimpin kita tentulah mahu mencontohi RasuluLlah yang sama berselemoih dengan prebet mengorek parit dalam perang Khandak.
Aku yakin ahli-ahli PAS Permatang Pauh boleh berlapang dada kalau pemimpin-pemimpin besar sudi mencemar darjat turun bersembang dan menerangkan keperluan kekal dengan setiakawan PR.
Kepada rakan-rakan dalam PKR, aku mohon sudilah kiranya rakan-rakan sekelian membantu untuk meredakan kekecohan ini. Please jangan simbah petrol kepada api yang masih kecil. Perbezaan pendapat seperti kes ini memang telah biasa berlaku antara kita. Contohnya seperti kisah yang aku ceritakan di pertengahan tulisan ini. Kalau kita saling mendabik dada, alamat binasa. Yang panas bukannya semua. InsyaAllah kebanyakan kita dalam PR sudah semakin dewasa memahami keperluan politik masakini. Masalah ini boleh diselesaikan. Dalam tegas mempertahankan hak, pelihara dan berjaga-jagalah di mana-mana yang patut. Kan kita sama-sama manusia. Masing-masing ada kelebihan dan ada kekurangan.
Jom pastikan Dr. Mansor Othman menang di Penanti !!!!!!!
Panas Menjelang Sidang DUN 7 Mei
cyberboron, Monday, April 27, 2009Sebelas hari menjelang sidang DUN Perak beberapa peristiwa panas dan ganas akan mengambil tempat dalam catatan sejarah. UMNO akan lakukan apa saja untuk mempertahankan kuasa yang dirampas dua bulan lalu. Pakatan Rakyat juga akan bertarung habis-habisan untuk menyekat kemelampauan UMNO-BN.
Hee Yit Foong kini menjalani sessi kaunseling dan motivasi khas untuk berperanan sebaik mungkin mengendalikan sidang DUN 7 Mei. Exco Kanan (haram) kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengasuh Hee sedang berusaha meyakinkan Timbalan Speaker itu. Hee masih serba salah, tetapi exco kanan itu gigih berusaha. Selepas tampil bersama Jamaludin dan Osman mengisytiharkan keluar parti pada 4 Februari lalu, Hee berjaya dinasihati oleh exco itu agar tetap pendirian.
Kalau Hee Yit Foong mengendalikan sidang DUN, kemana perginya Sivakumar ketika sidang itu nanti? Pokoknya, Sivakumar mesti tidak hadir. Soal bagaimana memastikan ketidakhadiran Sivakumar sedang dipertimbangkan semasak-masaknya oleh kerajaan rampasan kuasa.
Pilihan pertama ialah menangkap Sivakumar. Setakat ini ada banyak laporan polis telah dibuat terhadapnya. Dia boleh ditangkap bila-bila masa dan ditahan reman selama seminggu. Kalau dia ditahan antara tarikh 1 hingga 6 Mei, sidang DUN pada 7 Mei akan dikendalikan oleh Hee secara sah. Sebaik saja sidang bermula, UMNO boleh mengusulkan pemecatan Sivakumar dan mencadangkan Hee atau Nasarudin sebagai Speaker baru. Usul itu akan menang dengan 29 menyokong dan 27 menentang.
Pilihan kedua ialah memujuk Sivakumar seperti pujuk-tawar-ugut yang dibuat terhadap 4 pelompat sedia ada. UMNO tak perlu bimbangkan apa-apa risiko undang-undang kerana semua jabatan/agensi/suruhanjaya penguatkuasaan undang-undang telah menyembah taat setia.
Pilihan ketiga ialah menghilangkan Sivakumar seperti di awal kes 3 pelompat daripada PR menjelang rampasan kuasa tempohari. Pilihan keempat ialah menguzurkan Sivakumar dengan cara menghilangkan upaya fizikalnya untuk hadir ke sidang DUN. Kalau Sivakumar sakit teruk atau cedera teruk pada saat-saat akhir menjelang 7 Mei, sudah tentu dia tak dapat menghadiri sidang.
Namun begitu UMNO masih mengkaji secara serius kesan tindakan yang akan dibuat itu. Setakat ini belum terjumpa kaedah yang meyakinkan untuk mempositifkan persepsi rakyat akibat langkah meng'ghaib'kan Speaker itu. Sama ada jangka pendek atau jangka panjang, kelihatannya UMNO tetap rugi. Penyokong PR akan semakin marah dan benci. Sebahagian pengundi atas pagar akan beralih simpati kepada PR. Begitulah report yang dikemukakan oleh sekelian mata dan telinga UMNO di seluruh pelosok negara.
Tapi UMNO tak ada banyak pilihan. Kalau Sivakumar mengendalikan Sidang, UMNO akan berdepan dengan bermacam-macam risiko. PR ada ruang yang cukup luas untuk menguasai sidang. Tiga pelompat yang asal boleh diusir dari dewan. Tujuh pesalah gantung boleh dihalau oleh Speaker dengan alasan yang lain pula. Yang tinggal hanya 21 ADUN BN berbanding 27 ADUN PR (tak termasuk Speaker). Ketika itu kalau nak bubarkan DUN, Pakatan Rakyat boleh mengusulkannya. Kalau nak sabitkan mana-mana ADUN BN atas apa-apa kesalahan lalu dihukum gantung macam Gobind Singh, PR boleh melakukannya. Jawabnya lingkup bahanalah UMNO.
Oleh itu by hook or by crook Sivakumar mesti tiada dalam sidang DUN 7 Mei.
Panas Di Bukit Gantang
cyberboron, Monday, April 06, 2009Blog ini terpaksa off satu hari sejak kelmarin. Aku ada misi besar yang perlu diselesaikan dalam masa 24 jam bermula petang kelmarin. Misi dah selesai. Dalam posting ini aku rangkumkan semua maklumat dan cerita yang aku dapat sepanjang 32 jam di luar Stesen Maya 1.
1. Bukit Gantang Penuh Sesak 2. Kedudukan Masih 50-50 3. PR Perlu Peka Dan Pantas - Che' Det Datang Hari ini 4. Mufti Harussani Tolong Kempen Jangan Undi PAS 5. UMNO Lapor Pada Polis - Nga Kor Ming Hina Islam Sebab Baca Ayat Quran 6. Jangan Hanya Tangkis Serangan - Kita Juga Mesti Menyerang!
1. Bukit Gantang Penuh Sesak
Kawasan Parlimen Bukit Gantang penuh sesak. Penyokong PR dan BN dari seluruh pelosok negara membanjiri kawasan ini. Hotel dan rumah tumpangan di Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh tak ada lagi yang kosong. Jalan jammed, terutama dari arah Trong ke Changkat Jering. Hampir waktu maghrib tadi kenderaan bersusun dari traffic light plaza tol Changkat Jering hingga ke pekan Trong. Dari Sungai Tinggi nak ke Taiping, aku terpaksa patah balik ke Beruas, memandu ke Manong dan Kuala Kangsar, masuk high-way ke utara, tak keluar di Changkat Jering, tapi terus ke tol Taiping Utara. Singgah di majlis Jamuan DAP di Taman Kota Jaya. Ramainya manusia! Alhamdulillah sekarang dah lapor diri di Stesen Maya 1.
2. Kedudukan Masih 50-50
Kedudukan kecenderungan pengundi masih bercampur-campur kalau ikut istilah bursa saham. Macam biasa, kedua-dua pihak mengaku sedang mendahului.
BN yakin penuh telah dapat sokongan pengundi Melayu. Antara 65 ke 75 peratus. Pengundi Cina dan India terus di asak dengan pengumuman peruntukan itu dan ini. Macam-macam ada! Petang tadi sebuah sekolah Cina dapat cek RM 1 juta untuk membina dan membaik pulih beberapa bangunan sekolah tu. Pengundi India di Simpang Halt dah dijanjikan penyelesaian masalah hak milik tanah yang diduduki sejak berpuluh tahun. Pengundi Cina Pulau Pasir Hitam dijanjikan bekalan air dan elektrik yang lebih sempurna. Majlis makan malam bersama pengundi Cina yang dihadiri Muhyidin Yasin mendapat sambutan boleh tahan. Mencecah angka ribu walau pun dalam hujan lebat.
Sumber bilik gerakan utama BN memberitahu sokongan pengundi bukan Melayu dah meningkat daripada sekitar 25% sebelum penamaan calon ke angka 30-35% hari ini. Kenyataan resmi jurucakap BN menyebutkan angka 40-50%.
Kedua-dua pihak meramalkan peratus keluar mengundi ialah antara 75-80% iaitu antara 41,603 hingga 44,377.
Jumlah Pengundi : 55,471
Melayu : 35,105 ... kalau 75-80% keluar mengundi, angkanya 26,329 - 28,084.
Bukan Melayu : 20,366 ... kalau 75-80% keluar mengundi, angkanya 15,275 - 16,293.
Kalau BN dapat 65-75% undi Melayu, angkanya 17,114 - 19,747 atau 18,255 - 21,063.
Kalau BN dapat 30-35% undi Bukan Melayu, angkanya 4,583 - 5,346 atau 4,888 - 5,703.
Kalau dijumlahkan angka paling kecil daripada 4 pilihan itu iaitu 17,114 undi Melayu dan 4,583 undi bukan Melayu, BN memperolehi 21,697 daripada 41,603 undi atau 52.15%. Keputusannya BN menang.
PAS-PR juga yakin menang. Sumber memberitahu PR telah mendapat sokongan 35% pengundi Melayu dan 80% pengundi bukan Melayu. Kalau digunakan angka yang sama seperti di atas, PR memperolehi 9,215 undi Melayu dan 12,220 undi bukan Melayu. Jumlahnya 21,435 daripada 41,603 undi atau 51.52%. Keputusannya PAS-PR menang.
Sumber itu juga memberitahu sokongan pengundi Melayu boleh meningkat kepada 40% dalam masa 24 jam terakhir. Peningkatan itu akan menambah majoriti kemenangan atau menyerap peralihan keluar 4-5% sokongan bukan Melayu di saat akhir.
Aku tak mahu komen apa-apa berkenaan dakwaan kedua-dua pihak ini. Masing-masing ada kaedah pengiraan sendiri. Dan biasanya masing-masing suka menyedapkan hati sendiri. Yang diumumkan biasanya lain daripada yang ada dalam file.
Aku menilai dari sudut pandang diri aku sebagai blogger, bersama rakan-rakan blogger yang lain. Antara sesama blogger pun ada perbezaan penilaian. Aku dengan penilaian aku sebagai blogger yang berdiri di atas hak peribadi aku dan dalam masa yang sama sebagai penyokong Pakatan Rakyat. Pembaca juga berhak untuk ada pandangan dan penilaian masing-masing. Terpulang.
Bagi aku belum ada pihak (sama ada PR atau BN) yang layak berasa selesa dengan keadaan terkini di hari terakhir berkempen ini. Kedudukan masih samar-samar berlegar di angka 50-50. Pergerakan turun naik masih berlaku antara 46:54 ke 54:46 di kedua-dua kem. 8% daripada jumlah yang dijangka keluar mengundi menjadi penentu kemenangan. Secara logiknya 3200-3600 pengundi penentu ini ialah kumpulan pengundi atas pagar. Pihak yang berjaya mendapat sokongan atau simpati daripada kumpulan ini akan muncul sebagai pemenang 7 April.
Sebagai penyokong PR, aku mengharapkan PR menang. Tapi sehingga malam ini aku masih belum percaya PR boleh menang. Bila aku kata begitu, bukanlah bermaksud BN gerenti menang. Maksud aku petunjuk kemenangan tidak jelas ke mana-mana pun. Aku perlu tegaskan begini supaya BPN tak eksploit analisis aku ini untuk menghebahkan kononnya BloggersNetwork@Perak dah mengaku PR kalah.
3. PR Perlu Peka Dan Pantas - Che' Det Datang Hari Ini
Aku harap semua rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dapat bertindak betul, pantas dan berhati-hati sepanjang hari dan malam ini (6 April) sehingga besok (7 April). Pemimpin-pemimpin jentera parti mesti fokus kepada keperluan sebenar. Petugas-petugas parti di peringkat UPU mesti all-out mengikat kecenderungan pengundi atas pagar. Jentera di peringkat lokaliti mesti selesai mengatur urusan pengundian ahli dan penyokong setia yang digerakkan secara sistematik pada hari mengundi. Ahli-ahli parti yang bukan jentera resmi mesti membantu dengan cara menziarahi atau menghubungi keluarga dan rakan kategori atas pagar. Sentuhan hubungan yang asli itu lebih berkesan daripada semua pendekatan kempen yang lain.
Hari ini dijadualkan Che' Det akan turun berkempen di Bukit Gantang. Aku tak risau kedatangan orang tua itu dari sudut upayanya mengalih arah sokongan antara parti. Dia tak mampu mengubah pendirian penyokong Pakatan Rakyat. Tetapi sentuhan black magic mantan diktator itu ada kemungkinan meredakan ketegangan dalaman UMNO Bukit Gantang. Setakat ini protes senyap kem Ketua UMNO Bahagian masih membara. Empayar Dato' Rosli Husin masih sukar untuk memberi laluan kemenangan kepada Ismail Saffian. Kemenangan Ismail bererti masa depan yang sukar dan tak menentu bagi Rosli. PR nampaknya tak cukup bijaksana memanipulasi keadaan itu. Hari ini Najib mengutuskan sifunya untuk menamatkan protes senyap ketumbukan Rosli. Kalau pujukan dan gorengan itu berhasil, UMNO akan dapat bonus berharga.
PR tak wajar memandang remeh kepada apa pun yang berlaku. Che' Det memang hebat kuntaunya. Mungkin ada petua-petua baru yang akan dibisikkan kepada jentera UMNO dalam pertemuan-pertemuan tertutup hari ini. Hujan duit akan turun dengan lebih lebat hari ini dan malam nanti. Risalah-risalah maut akan sampai kepada pengundi pada waktu petang dan malam nanti. Bahan tipu dan fitnah itu perlu dicounter dalam tempoh singkat. Kalau lambat bertindak balas, nahas padahnya.
4. Mufti Harussani Tolong Kempen Jangan Undi PAS
Kelmarin Harussani dah turun ke gelanggang. Walau pun tubuh badannya tak ada di Bukit Gantang tetapi suaranya dah sampai. Sehari suntuk Radio Perak menyiarkan kenyataannya bahawa mengundi tak ada kena mengena dengan syurga dan neraka. Belitan UMNO simple saja ... (kononnya) PAS kata, undi PAS boleh masuk syurga. PAS kata jangan undi BN sebab boleh membawa ke neraka. Harussani beri penjelasan ... undi tak ada kena mengena dengan syurga neraka. Jangan peralatkan agama untuk meraih undi. Jangan peralatkan ayat Quran untuk kepentingan politik ... seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak ... parti politik tertentu. Manusia tak boleh menghukum siapa yang masuk syurga dan masuk neraka. Yang berhak menghukum hanyalah Allah.
Kita mungkin menganggap kenyataan mufti itu bukan isu besar. Kita mungkin menganggap kenyataan itu perkara biasa. Memang itulah taktik UMNO sejak dulu. Kita mungkin bersangka taktik lapok itu tak memberi kesan. Penyokong kita tak akan terpengaruh dengan kenyataan basi itu. Tetapi, itu cuma persepsi kita. Yang penting sekarang ialah persepsi kumpulan atas pagar. Walau pun mereka tidak mudah dipengaruhi, namun kebarangkaliannya tetap ada.
Perkara sebenar mesti disampaikan kepada pengundi. Mereka mesti difahamkan bahawa kita tak pernah menghukum siapa yang layak ke syurga atau ke neraka. Tok guru dan penceramah kita hanya mengingatkan tentang syurga dan neraka secara umum. Kalau ada yang specific pun, peringatan itu masih merujuk kepada maksud asal ayat Quran atau Hadith Rasulullah. Tidak pernah kita menuding kepada mana-mana parti atau individu secara khusus. Itulah yang sebenarnya berlaku.
Tok guru dan penceramah kita membaca ayat tentang perintah berlaku adil dan jangan melakukan kezaliman. Kita membaca ayat yang memberi amaran kepada pelaku kezaliman. Orang zalim tempatnya di neraka. Itu hukuman Allah, bukan hukuman kita. Kita juga membaca ayat larangan cenderung kepada kezaliman. Ayat Allah menghukumkan dengan jelas bahawa orang yang cenderung kepada kezaliman akan disambar oleh api neraka. Itu hukuman Allah, bukan hukuman kita. UMNO melakukan kezaliman. Mereka mengurung manusia tanpa bicara (ISA). Mereka beri rasuah dan terima rasuah. Mereka menindas rakyat yang tak sealiran dengan mereka. Dan macam-macam lagi. Semua itu namanya zalim. Allah mengharamkan kezaliman. Allah telah menetapkan dalam Quran bahawa orang zalim akan masuk neraka. Kita baca ayat itu. Kita terangkan ayat Allah. Kita tak kata UMNO masuk neraka. Kita cuma mengingatkan apa yang Allah firmankan. Jangan buat zalim. Orang zalim akan masuk neraka. Kita cuma mengingatkan ISA itu zalim. Rasuah itu zalim. Menindas itu zalim. Orang zalim akan masuk neraka. Kalau UMNO berasa peringatan itu terkena batang hidung mereka, itu hak mereka. Pokoknya PAS atau Pakatan Rakyat tidak pernah menghukumkan UMNO mesti masuk neraka. Begitulah juga sebaliknya dalam hal masuk syurga.
5. UMNO Lapor Pada Polis - Nga Kor Ming Hina Islam Sebab Baca Ayat Quran
UMNO juga dah buat report (polis) berkenaan pemimpin DAP (non-muslim) membaca ayat Quran dalam ucapan dan ceramah mereka. UMNO marah kononnya perbuatan itu mencemarkan kesucian Al-Quran. Al-Fadhil ulama' UMNO pun bermadah bahawa orang kafir tidak dibolehkan membaca ayat Quran. Pemimpin DAP dituduh mempermainkan kitab suci umat Islam. Pemimpin PAS dan PKR beragama Islam dituduh merelakan Quran dihina dan dipermainkan.
Dari sudut benar atau salah, memanglah UMNO salah. Mereka hanya membuktikan kebodohan apabila membangkitkan isu ini. Tetapi dari sudut kesannya kepada pengundi Bukit Gantang, kita tak boleh pandang remeh. Orang Melayu ada ketikanya amat sensitif tentang maruah agama. UMNO yang tak pernah peduli tentang agama itu sentiasa licik menggunakan isu agama untuk membunuh imej pihak lawan. PAS ditakuti dan dibenci oleh pengundi non-muslim sejak dulu kerana UMNO berjaya melekatkan imej agama yang ganas dan kolot kepada PAS. Alhamdulilah penipuan UMNO itu beransur terbongkar kebelakangan ini. Sembahyang dua imam, amanat Hj. Hadi, taliban dan anti kemajuan adalah contoh eksploitasi isu agama yang berjaya mengukuhkan UMNO.
Oleh itu PR khususnya PAS tidak wajar terlalu defensif. Isu DAP baca ayat Quran ini perlu difahamkan secepat mungkin dalam tempoh satu hari yang terakhir ini.
Pemimpin DAP yang membaca ayat Quran itu, juga membacakan terjemahannya yang betul seperti teks terjemahan yang asal. Mereka membaca ayat-ayat itu secara serius dan dengan maksud yang nyata. Bukan secara bermain-main atau dengan gaya memperolok-olokkannya. Tiada nas Quran atau Hadith yang melarang non-muslim membaca ayat Quran. Logiknya pun, kalau mereka ditegah membaca Al-Quran maka bagaimana kita nak menyeru mereka kepada Islam sedangkan sumber utama Islam ialah Al-Quran. Umar Al-khattab membuat keputusan memeluk Islam setelah dia membaca ayat Quran surah Taha di rumah adiknya. Ketua Biro Penyelidikan Majlis Gereja Sedunia, Garry Miller memeluk Islam setelah bertahun-tahun membaca dan mengkaji ayat Al-Quran. Sekarang dia adalah pendakwah yang aktif dengan nama baru Abdul Ahad Omar. Beribu-ribu pelajar non-muslim di sekolah menengah negara ini belajar mata pelajaran Pendidikan Islam sehingga ramai yang lulus cemerlang A1 bagi subjek Pendidikan Islam SPM. Pelajar-pelajar itu belajar Al-Quran dan membacanya selama bertahun-tahun. Mengapa kerajaan UMNO tidak menghalang mereka?
Sebenarnya UMNO hanya cuba menggunakan isu ini untuk mengelirukan pengundi atas pagar. Mereka cuba menyemai perasaan membela kesucian Al-Quran secara songsang. Al-Quran memang suci. Kesucian Al-Quran wajib dipertahankan. Perlakuan mempermainkan Al-Quran mesti ditentang habis-habisan. Hampir semua umat Islam akan terguris hati jika Al-Quran diperolok-olokkan. Maka UMNO pun cuba memesongkan fakta peristiwa pemimpin DAP membaca ayat Quran itu. UMNO cuba menggambarkan perlakuan pemimpin DAP itu sebagai tindakan menghina Quran. UMNO cuba membentuk persepsi bahawa PAS bacul kerana membiarkan non-muslim mempermainkan ayat Allah.
Kita mesti beritahu pengundi tentang fakta sebenar peristiwa ini. Pemimpin DAP baca ayat yang sebenar. Pemimpin DAP baca terjemahan yang sebenar. Pemimpin DAP mengaplikasi maksud ayat-ayat yang dibaca itu secara bertepatan dengan maksud yang sebenar. Maka tak ada apa-apa yang salah.
Kita mesti beritahu pengundi bahawa kita tidak berhak menghalang non-muslim membaca ayat Quran selagi ia bukan bertujuan mempermain atau memperolokkannya. Kita perlu betulkan persepsi pengundi tentang Quran, Islam dan dakwah. Bantulah pengundi sehingga mereka dapat melihat betapa dakwah Islam mestilah berkait dan bersumberkan Al-Quran. Apabila non-muslim yang berkawan dengan kita sudah mula mahu membaca Al-Quran, itu merupakan antara kejayaan awal dakwah kita. Maka sepatutnya kita bersyukur apabila mereka tampil dikhalayak ramai membacakan ayat Quran. Mudah-mudahan lambat laun mereka akan menerima hidayah untuk menjadi muslim.
Kita juga mesti fahamkan pengundi bahawa yang menolak Al-Quran ialah UMNO. Islam UMNO sebagai sebuah kerajaan hanyalah Islam syiar. Islam mereka hanya pada masjid dan sekolah agama. Islam mereka hanya pada pejabat agama dan tengok anak bulan. Islam mereka hanyalah pada pusat Islam dan pusat pungutan zakat. Islam mereka hanyalah pada sambutan maulidur rasul dan sambutan maal hijrah.
UMNO tak peduli pada halal haram yang ada dalam Quran. UMNO mempersetankan ayat Quran tentang aurat. UMNO tak pedulikan ayat Quran tentang riba dan rasuah. UMNO menghina ayat Quran tentang hudud dan qisas. UMNO memandang sinis ayat Quran tentang tarbiah dan tazkirah. UMNO mempersendakan ayat Quran tentang khilafah. UMNO mentertawakan ayat Quran tentang siasah dan daulah. Pendek kata, UMNO memusuhi Al-Quran. Kitab suci itu adalah musuh UMNO.
6. Jangan Hanya Tangkis Serangan - Kita Juga Mesti Menyerang!
Setakat ini kedua-dua pihak saling serang menyerang. UMNO dengan isu derhaka dan boneka. PR dengan isu rampasan kuasa dan hak rakyat. Sehari dua ini serangan terhadap peribadi calon juga mula beredar. Serangan terhadap peribadi DS Nizar kurang berhasil. Ismail Saffian dibelasah teruk dengan isu Danok dan isu-isu salah laku seks yang menggemparkan.
UMNO dipercayai akan melakukan serangan besar di hari terakhir ini. Mungkin ada pendedahan baru yang telah atau sedang direka-cipta oleh pemikir-pemikir strategi mereka. Mungkin ada provokasi besar untuk memerangkap emosi atau sentimen jentera dan petugas PR. Kita mesti cukup bersedia untuk menyerap kemungkinan-kemungkinan itu. Sejarah UMNO sepanjang setengah abad berpilihanraya, penuh dengan kejutan serangan saat akhir yang dahsyat. Mereka tidak pernah takut pada Tuhan untuk menipu dan memfitnah. Awas!
PR mesti menyerang juga. Kita tidak boleh hanya mengukuhkan perisai. Kita juga perlu mengebom dan melancarkan peluru berpandu. Gunakan peluru Tuya sebaik mungkin. Big Momma The Pontianak mesti di pentaskan besar-besaran. Yang nyata dan yang tersembunyi di sebalik rampasan kuasa perlu didedahkan kepada pengundi. Manfaatkan isu rasuah sebaik mungkin. Kalau cukup bukti, paparkan dengan terperinci puluhan drama XXX The Boya calon BN. Kalau ada bukti, beritahu pengundi tentang pengalaman calon BN sebagai duta sulit Malaysia ke Danok di Selatan Thailand.
Kalau kita juga menyerang, BN akan kelam kabut nak menangkisnya. Mungkin tidak sempat menyerang kita. Serangggggggggggggg!
UMNO Karang Khutbah Jumaat Yang Sesat !
cyberboron, Friday, April 03, 2009"Sungguh mengejutkan !", kata beberapa orang kawan. Aku tak terkejut langsung. Apa nak diherankan kalau UMNO buat khutbah Jumaat. Tak ada apa yang pelik bila UMNO poskan khutbah tu kepada semua imam masjid kawasan Bukit Gantang untuk dibaca hari ini.
"Mengejutkan, kerana UMNO selalu kata jangan politikkan masjid", kata kawan aku. Bagi aku, memang tak terkejut langsung. UMNO sejak dulu sampai sekarang tak pernah bikin serupa cakap. Maka apa nak heran. UMNO marah orang PAS cakap politik dalam masjid sebab diorang tak cukup ustaz nak dihantar mengajar di semua masjid-masjid. Ada sorang dua ustaz UMNO yang cuba bercakap politik, akhirnya lari lintang pukang sebab tak boleh nak jawab hujah jemaah mengaji. Sekali atau dua kali datang mengajar boleh la kelentong pusin pi pusin mai nak kenen-kenen jemaah supaya sokong UMNO. Lepas dua kali tu, habislah modal.
Sejak hari Rabu 31 Mac, semua imam masjid dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang mula menerima teks khutbah jumaat untuk dibaca hari ini. Aku berharap sangat teks itu dibaca oleh mana-mana tok khatib yang rabun. Rupa-rupanya semua tok khatib celik belaka. Setakat 8 masjid yang dipantau, khutbah itu tidak dibaca.
Oleh kerana khutbah itu tak sampai ke telinga jemaah Jumaat hari ini, aku rasa elok juga kertas kotor itu dimuatkan di sini untuk tatapan sekelian muslimin.






Khutbah karangan UMNO ini nyata songsang dan sesat. (Maap, kasor sikit). Ayat Allah yang suci cuba dikotorkan oleh UMNO. Ia dimulakan dengan ayat 59 Surah An-Nisa' yang memang popular di mulut tetapi dijahili oleh akal orang UMNO.
Maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya. "
Baca ayat ini tak jadi kesalahan, malah disuruh. Terjemahannya jelas memerintahkan ketaatan kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Taat pada Allah dan Rasul adalah muktamad secara mutlak. Taat kepada pemimpin tidak mutlak. Ayat ini menyatakan secara terang tentang taat mutlak dan taat bersyarat itu. Sebelum kedua-dua perkataan Allah dan Rasul, ada perkataan 'taatlah olehmu' (athii'uu) tetapi perkataan itu tidak hadir pada perkataan ulil amri. Disitulah perbezaan di antara mentaati Allah/Rasul dan ketaatan kepada pemimpin.
Apa syarat mentaati pemimpin? Syaratnya, pemimpin itu mestilah memimpin berpandukan Kitab Allah dan sunnah Rasul. Pemimpin wajib menegakkan semua perintah/larangan Allah dan Rasul. Pemimpin wajib mentadbir dengan sistem yang dinyatakan di dalam Kitab dan disunnahkan secara praktik oleh Rasul. Amanah Allah mesti ditunaikan. Sistem yang diturunkan oleh Allah mesti ditegakkan.
Jika begitu halnya pemimpin yang ada, maka wajiblah rakyat mentaatinya. Menentang pemimpin itu adalah berdosa. Memberontak terhadap pemimpin itu adalah derhaka. Penderhaka kepada pemimpin itu dinamakan 'bughah'. Hukumnya boleh sampai ke peringkat hilang nyawa.
Jika pemimpin tidak memimpin berpandukan Kitab dan Sunnah maka hilanglah kelayakannya untuk ditaati secara wajib. Bahkan wajib diusahakan supaya pemimpin itu kembali kepada Kitab dan Sunnah atau ditukar dengan pemimpin lain yang mahu menegakkan perintah Allah.
Sabda Rasul SAW, (mafhumnya), "Tiada ketaatan kepada makhluk pada melanggar perintah Khaliq". Maksudnya tidak boleh taat kepada pemimpin yang melakukan maksiat kepada Allah. Tidak boleh taat kepada pemimpin yang tidak mendaulatkan perintah dan larangan Allah. Jangan taat kepada pemimpin yang tidak adil. Jangan taat kepada pemimpin yang zalim. Jangan taat kepada pemimpin yang rasuah. Jangan taat kepada pemimpin yang menyemarakkan perkara haram. Jangan taat kepada pemimpin yang merompak khazanah negara.
Bagaimana dengan UMNO dan pemimpin UMNO? Adakah UMNO memimpin negara ini dengan berpandukan Kitab dan Sunnah? Adakah UMNO yang berdarah daging dengan amalan rasuah itu menepati ciri pemimpin untuk ditaati. Adakah pemimpin UMNO yang hidup senang lenang dengan harta rakyat itu layak ditaati? Jauh panggang dari api!
Kesesatan paling jijik dalam khutbah agama hadhari ciptaan UMNO itu ialah penyalahgunaan Hadith Rasul SAW "hubbul watan minal iman" yang bermaksud "cintakan tanahair adalah sebahagian dari iman".
Petikan teks khutbah UMNO:
" Hadith ini mengajar tentang erti keimanan. Iman bukan hanya sembahyang dan puasa tetapi sifat patriotik terhadap negara juga adalah sebahagian dari iman. Negara kita pernah dijajah sejak tahun 1511 lagi. Portugis .. Belanda .. Inggeris .. Jepun. Semuanya telah dihalau dari bumi tanahair kita melalui semangat patriotik dan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpin Melayu kita. Itulah jasa mereka. Itulah jihad mereka. Perkara ini telah dipertegaskan oleh Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamudin Tun Husein Onn baru-baru ini bahawa sejarah telah menyaksikan hanya pemimpin-pemimpin UMNOlah sahaja yang bertungkus lumus memerdekakan tanahair kita. Oleh itu mari kita terus memperteguhkan perjuangan Melayu dengan menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung ini. "
Demikianlah UMNO menipu dan terus menipu. Hadith itu menerangkan tanggungjawab warga sebuah negara (watan) untuk mempertahankan kedaulatan negaranya daripada pencerobohan atau penjajahan asing. Tetapi ia tiada kaitan dengan tanggungjawab mempertahankan kerajaan UMNO. Pemerintahan UMNO sama saja dengan pemerintahan penjajah bahkan dalam beberapa aspek UMNO lebih teruk dari penjajah.
UMNO cuba lagi memperbodohkan orang Melayu. Kononnya hanya pemimpin UMNO sahaja yang bertungkus lumus memerdekakan tanahair. Kesian UMNO. Mereka tak sedar bahawa rakyat Malaysia sudah tahu siapa yang sebenarnya memperjuangkan kemerdekaan tanahair. UMNO abad 21 cuba menyembunyikan fakta sejarah tentang Hizbul Muslimin, PKMM, API, AWAS dan beberapa pertubuhan lain yang merupakan pejuang sebenar kemerdekaan negara. Mereka menyangka orang Melayu tak tahu bahawa UMNO adalah anak didik penjajah. Pemimpin-pemimpin UMNO sebelum merdeka adalah pegawai dan kakitangan kerajaan penjajah. Orang lain yang memugar, menanam dan membaja. UMNO muncul disaat hasilnya sedia untuk dituai. Memang gerombolan perampas!
Tetapi, terima kasih UMNO! Khutbah yang meloyakan itu cukup sempurna sebagai bahan fikir untuk pengundi Bukit Gantang. Kalau dibacakan tengahari tadi, tentu ada bahan ketawa yang menarik bagi sekelian jemaah untuk dibualkan sehari dua. Aku bersimpati kepada UMNO kerana tak ada tok khatib yang sudi membacanya. UMNO membuktikan kebebalan terlampau. Melayu UMNO totok mungkin ketawa puas membaca khutbah ini. Melayu PAS dan Melayu PKR senyum lega bila UMNO mendedahkan kedangkalan sendiri. Pengundi atas pagar terus geleng kepala melihat kerenah UMNO. Alhamdulillah!
Baca Sepenuhnya..
Jom Bantu Polis - Edarkan Banner & Poster "JANGAN SEBUT ALTANTUYA"
cyberboron, Tuesday, March 31, 2009
Hamid Albar @ KDN mengeluarkan larangan menyebut isu Altantunya Shaaribuu dan isu rampasan kuasa negeri Perak dalam kempen 3 pilihanraya kecil yang sedang berjalan.
Rata-rata petugas Pakatan Rakyat di peringkat akar umbi berterima kasih kepada Hamid Albar kerana mengeluarkan larangan itu. Ia memudahkan usaha memahamkan pengundi tentang kedua-dua isu tersebut. Tindakan itu juga diulas oleh pengundi atas pagar sebagai pengesahan rasa takut UMNO terhadap kebenaran fakta kedua-dua kes.
Sebahagian daripada mereka mencadangkan supaya dibuat banner dan poster berkenaan larangan itu. Antara ayat yang dicadangkan ialah:
JANGAN SEBUT ALTANTUNYA DALAM KEMPEN - Menteri Dalam Negeri
SEBUT ALTANTUNYA ADALAH SATU KESALAHAN - KDN
SESIAPA YANG MENYEBUT ISU ALTANTUNYA AKAN DIKENAKAN TINDAKAN - Hamid Albar @ KDN
Baca Sepenuhnya..
2 BERITA PANAS : NIZAR JADI IMAM ZAMBRY & ADUN DAP DITANGKAP
cyberboron, Monday, March 30, 2009Berita Panas #1
Jam 8.30 malam, Stesen Maya 1 menerima sms daripada jemaah maghrib Masjid Simpang memberitahu Dato' Seri Nizar dijemput oleh imam bertugas untuk menjadi imam solat Maghrib. Di antara makmum dalam saf pertama ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin, Dato' Zambry Kadir dan calon BN Ismail Sapian.
Petugas Stesen Maya 1 kemudiannya memeriksa jadual aktiviti Dato' Seri Nizar yang diberikan oleh pegawai khasnya dua hari yang lalu. DS Nizar memang dijadualkan hadir ke Masjid Simpang untuk solat Maghrib dan menyampaikan tazkirah pada 29 Mac.
Jam 11.30 malam Kulup Sakah memuatkan karikatur menarik tentang kisah ini di dalam blognya kulupsakah.blogspot.com dengan tajuk 'calon BN doakan kemenangan PR?'
Sejurus kemudian Stesen Maya 1 menerima email memberitahu kisah itu telah diterbitkan dalam sebuah akhbar online utama lidah UMNO dengan tajuk 'Nizar cuba rampas majlis BN : Zambry'.
Berikutan itu Stesen Maya 1 menghubungi dan menemubual 3 orang penduduk yang bersama-sama menunaikan solat Maghrib di masjid tersebut untuk mendapatkan gambaran lengkap peristiwa itu. Butiran temu bual adalah seperti berikut:
1. DS Nizar memang dijadualkan hadir solat Maghrib dan menyampaikan tazkirah.
2. Tiga pemimpin UMNO tersebut lebih dulu sampai ke masjid.
3. DS Nizar tiba ketika azan sedang berkumandang.
4. Selesai azan, imam masjid menjemput DS Nizar mengimamkan solat.
5. DS Nizar mengimamkan solat dan tiga pemimpin UMNO berada dalam saf pertama.
6. Selepas selesai solat, imam menjemput DS Nizar untuk menyampaikan tazkirah.
7. Seorang yang bersongkok hitam tinggi membantah dan menghalang DS Nizar.
8. DS Nizar membatalkan tazkirahnya sebelum sempat bermula.
9. Majlis bacaan Yaasin dimulakan.
10. DS Nizar dan 3 pemimpin UMNO tersebut turut serta.
11. Selepas selesai majlis, DS Nizar bersalam dengan 3 pemimpin UMNO itu.
12. Ketika itu Dr. Zambry Kadir meluahkan rasa marahnya kepada DS Nizar.
13. DS Nizar tidak membalas kemarahan Dr. Zambry.
14. Jemaah yang hadir tersenyum dan ada yang menggeleng-gelengkan kepala.
15. DS Nizar meninggalkan masjid untuk menghadiri majlis lain.
Selepas tengah malam, DS Nizar sendiri menulis kisah itu di dalam blognya kamparinn.blogspot.com seperti berikut:
Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana maklumlah mengirakan kerenah pindah randah dan naik turu mahkamah Tinggi KL dan Persekutuan, Putrajaya. Pohon sembah derkaha!
Hari penamaan calun PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan sedikit huru hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama pimpinan PAS lain memasuki pintu pagar dewan perbanadaran Taiping jam 8.45pagi.
Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Simpang, saya diminta oleh imam Tuan Hj Hisham untuk mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju. Sewaktu masuk kemasjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin Yasin, Timb Presiden UMNO, dato Zambry Kader , calun Ismail Saffian dan ramai lagi pimpinan UMNO pusat dan negeri juga ada bersama. Pimpinan UMNO berada disaf pertama.
Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat "wa'tasimu bihablillahi jamiian, walaa tafarraqu.... " dan rakaat kedua surah Al-kaafirun.
Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma'mum termasuk pimpinan tinggi UMNO.
UMNO menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam impot, Hj Jama'iy namanya. Habis solat, imam Hj Hashim bangun dan berucap dihadapan dgn menyebut nama pimpinan UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Zambry. Nama saya juga disebut dan diraikan.
Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan memberi Tafsir ayat Quran yang saya baca pada rakaat pertama solat maghrib sebentar tadi.
Namun beberapa pimpinan UMNO setempat telah protes termasuk penasihat masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan mengarah supaya terus adakan majlis baca yaasin, berlaku sedikit komosi (commotion). Saya mengelak bagi memelihara suasana.
Habis baca yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya , kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi. katanya lagi dengan nada kuat dan marah, "jika mahu jadi imam saya bolih jadi imam, jika nak tafsir saya bolih tafsir". Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain . Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan menyaksikan adegan kelakar dan "ajaib" tersebut dan ramai makmum mengiringi saya sewaktu meninggalkan masjid. Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.
Berita Panas #2
Laman blog LKS melaporkan:
Just before 11 pm last night (Sunday), DAP Perak State Assemblyman for Tebing Tinggi, Ong Boon Piaw was arrested at the Chin Woo Hall, Ipoh for the production of a DVD on the internationally-famous “Democracy Tree” - shortly after the launching and the public viewing of the DVD.
He has been taken to the Pekan Baru police station in Ipoh for the police arrest formalities.
Latest example of the increasing intolerance towards fundamental liberties like freedom of speech, thought and expression in Najib’s Malaysia!Prof. Dr. Hj. Hamirdin Ithnin mengulas penangkapan ini di dalam blognya hamirdin.blogspot.com dengan tajuk ADUN DAP DITANGKAP KERANA PORNOGRAPHTREE:
Blog Lim Kit Siang memberitakan ADUN DAP kena tankap dek polis kerana buat video pokok.
Pemimpin BN jadi pelakon pornografi pun tak kena tangkap, malah dapat pegang jawatan tinggi lagi. Ini lah demokrasi setail baru.
Yang menjijikkan!
Stesen Maya 1 menyerahkan kepada pembaca untuk menilai suratan dan siratan kedua-dua berita panas ini.
Baca Sepenuhnya..
POLIS + UMNO = PR MENANG INSYAALLAH!
cyberboron, Thursday, March 19, 2009UMNO mengerahkan lebih kurang 500 anggota polis + FRU untuk menghalang ceramah DSAI dan DS Nizar di Simpang, Taiping malam ini. Di celah-celah orang ramai mungkin ada ratusan lagi polis cawangan khas yang bertugas. Bukit Gantang jadi medan perang. Bukan perang politik demokrasi, tetapi perang bersenjata.
Foto (dari blog Cina Islam) ini membuktikan UMNO memang dah tak siuman!



Polis tidak meluluskan permit dan mengeluarkan kenyataan melarang ceramah itu berserta ugutan yang menyeramkan. Rakyat dilarang hadir. Duduk diam-diam kat rumah. Jangan dengar apa yang pemimpin Pakatan Rakyat ceritakan. Kalau nak tau perkembangan negara, tonton TV dan baca Utusan Malaysia atau Berita Harian.
Malaysia dah jadi negara polis, atau negara yang diperintah oleh junta tentera. UMNO boleh cakap apa saja dan di mana saja. Atas jalanraya pun boleh. Polis pasti jaga keselamatan majlis UMNO. Kalau perlu tutup jalan untuk memudahkan laluan ke majlis anjuran UMNO, sehari lebih awal pun polis boleh pasang pengadang.
Tapi bagus juga. Buruk kelaku UMNO + polis ini menguntungkan Pakatan Rakyat. Penyokong PR jadi semakin meluat terhadap UMNO. Tak mungkin UMNO dapat mengubah stand politik penyokong PR walau dengan pujukan dan janji manis yang sehebat mana pun. Sedikit demi sedikit warga Malaysia yang tak sokong mana-mana parti, mula bersimpati pada PR.
Manusia ada akal dan ada jiwa. Tambahan pula maklumat mudah diperolehi melalui pelbagai sumber walau pun disekat dengan bermacam cara. Manusia boleh menilai. Manusia nampak majlis ceramah yang UMNO anjurkan. Bila PR dihalang menganjurkan majlis ceramah, manusia mampu menghukum dengan pantas siapa betul siapa salah.
Majlis ceramah umpama sidang mahkamah. Rakyat jadi hakim. UMNO dan PR umpama plaintif dan defendan bagi kes sivil atau umpama pendakwa dan OKT bagi kes jenayah. Yang takut ke mahkamah ialah pihak yang percaya akan kalah atau orang yang memang bersalah.
Majlis ceramah juga umpama senjata untuk perlawanan mengadu kekuatan. UMNO dan PR umpama dua orang yang nak masuk ke gelanggang silat. UMNO pegang sebilah keris, PR pun hunus sebilah keris. Bila UMNO usahakan supaya hanya dia sahaja guna keris dan PR tak boleh, maka tahulah sekelian orang bahawa UMNO memang pondan tua.
Manusia ada akal dan jiwa. Terima kasih UMNO + polis = pondan tua!
SIDANG DUN 3 MAC : MUKTAMAD SAH atau RUJUK KE MAHKAMAH!
cyberboron, Monday, March 02, 2009..... di petik dari blog setpol MB halal .....
Najib menyatakan bahawa:
1. sidang DUN Perak yang dipanggil oleh Speaker pada 3 hb. Mac TIDAK BOLEH diadakan,
2. dan TIDAK SAH sekiranya diadakan juga.
Najib mula ambil berat soal SAH atau TIDAK SAH sesuatu perkara dengan merujuk kepada Perlembagaan. Sebelum ini dia tidak menghiraukan SAH atau TIDAK SAH perlantikan Zambry sebagai MB Perak dalam keadaan MB yang sedia ada masih memegang jawatan secara SAH.
Hj Nizar dilantik oleh Tuanku, dan Tuanku tidak ada kuasa melucutkan jawatannya setelah dilantik. Jawatan Hj Nizar sebagai MB akan terlucut hanya apabila:
1. DUN dibubarkan,
2. dia meletak jawatan,
3. dia hilang majoriti dalam DUN melalui usul undi tidak percaya di DUN,
4. dia hilang kelayakan sebagai ADUN.
Semua proses tersebut tidak berlaku ke atas Hj Nizar. Ini bermakna beliau masih sah sebagai MB Kerajaan Negeri Perak sehingga sekarang.
Krisis Ghazali Jawi Vs Sultan Idris Shah pada tahun 1974 membuktikan kebenaran tafsiran ini. Pemuda UMNO ketika itu dengan lantang menyatakan kepada Tuanku bahawa Sultan mempunyai kuasa melantik MB, tetapi tidak ada kuasa melucutkan jawatan MB.
Najib memberi alasan sidang DUN tidak boleh diadakan kerana kes kesahihan kerajaan BN masih dalam perbicaraan di mahkamah. Kalau itu alasannya, maka sepatutnya:
1. Zambry tidak boleh menjalankan tugas sebagai MB,
2. Zambry tidak boleh menggunakan semua kemudahan sebagai MB,
3. Zambry tidak boleh menerima apa-apa elaun sebagai MB.
..... kerana kesahihan Zambry juga sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sepatutnya, selama menunggu kes tersebut diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, yang lebih berhak sebagai MB bagi mengurus tadbir negeri Perak ialah Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin.
Semalam, Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong mengatakan bahawa Sidang Tergempar DUN Perak TIDAK SAH diadakan kerana tidak mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.
Nampaknya ada dua sebab yang berbeza.
1. Najib kata tidak sah kerana kesahihan kerajaan masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
2. Abdullah Antong kata tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Tuanku.
Sebenarnya kedua-dua kenyataan itu tidak betul.
Tindakan Speaker Sivakumar dan kenyataannya mengenai asas tindakan itu adalah betul kerana begitulah kuasa Speaker yang sebenar. Mungkin ada pelbagai tafsiran tentang kuasa Speaker, tetapi menurut Fasal 89 Perintah-Perintah Tetap DUN Perak:
1. keputusan Speaker berkenaan sebarang tafsiran mana-mana Perintah-Perintah Tetap ini,
2. atau keputusannya berkenaan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu,
..... ADALAH MUKTAMAD ..... dan Speaker dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara ini.
Kesimpulannya, sidang tergempar DUN pada 3hb Mac ini adalah SAH dan MUKTAMAD. Tiada pihak lain yang boleh mempertikaikannya. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh merujuk kes itu ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan tafsiran yang sebenar.
Najib dan UMNO juga telah mempertikaikan tindakan Speaker melalui Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN, mengantung kehadiran Zambry dan Exconya ke sidang DUN selama 18 dan 12 bulan, tetapi sehingga sekarang mereka tidak berani mengheret Sivakumar ke mahkamah. Langkah mereka menghadapi isu itu hanya dengan cara mengheret polis dan SPRM untuk mengugut Speaker melalui siasatan salah guna kuasa.
Nampaknya, krisis perlembagaan dan politik Perak akan terus berpanjangan jika tiada langkah penuh insaf semua pihak. Jalan terbaik menyelesaikannya ialah Tuanku Sultan memperkenankan pembubaran DUN supaya rakyat dapat memilih semula kerajaan baru menerajui negeri Perak, sama ada yang berkuasa itu nanti Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.
APA ISU SEBENAR DI PERAK?
cyberboron, Monday, February 23, 2009
Di atas kertas, kerajaan negeri Perak telah bertukar daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional. Saman DS Nizar di mahkamah tinggi baru bermula. Speaker V Sivakumar bersama Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN telah memutuskan penggantungan Dato' Dr. Zambry dan enam Exco pilihannya. Lapan belas dan dua belas bulan tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Pemuda UMNO telah membuat laporan Polis dan laporan kepada SPRM menuntut supaya Speaker disiasat kerana salahguna kuasa. DS Nizar sudah berangkat meninggalkan kediaman resmi MB manakala Dato' Dr. Zambry telah pun masuk pejabat MB dan selesai mengadakan mesyuarat Exco kali pertama. Judicial review terhadap keputusan aneh SPR menolak perisytiharan kekosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering masih di mahkamah untuk tempoh yang tak dapat nak dijangka.
Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian sebagai Kerajaan Negeri Perak yang sah. Dato' Dr. Zambry juga berulangkali menyebut bahawa perlantikannya sebagai MB oleh DYMM Sultan adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kini ada dua Menteri Besar Perak dalam satu masa. Logiknya, keadaan itu memang tak logik.
Kumpulan awal sembilan demostran Kuala Kangsar telah ditangkap, direman, dan diikat jamin sementara menunggu sebutan kes dan perbicaraan di mahkamah. Kumpulan kedua menyusul seramai tiga orang. Ditangkap di rumah masing-masing, direman dan diikat jamin. Sebutan kes yang dijadualkan pada 20 Februari telah ditangguhkan ke 20 Mac kerana pendakwa masih belum menyerahkan fail pendakwaan ke mahkamah. Dua aktivis PKR dan dua orang bloggers ditangkap dan akan didakwa di bawah akta mesin cetak.
Lebih seratus laporan polis dibuat di seluruh negara oleh UMNO dan persatuan Melayu yang bercirikan UMNO menuntut siasatan dan tindakan pihak berkuasa ke atas DS Nizar, Karpal Singh dan beberapa nama di pihak Pakatan Rakyat kerana menderhaka dan menghina Sultan Perak. Demostrasi halal juga diadakan di merata tempat oleh UMNO dan persatuan yang ada kaitan dengan UMNO, berlatarkan pembelaan hak dan ketuanan Melayu serta Kedaulatan Raja-Raja.
Pemimpin Pakatan Rakyat turun padang hampir setiap hari bertemu orang ramai dan memberikan penerangan tentang isu ini. Istilah rampasan kuasa, kerajaan kudeta, coup de'tat, konspirasi Najib dan bermacam-macam istilah lain berkumandang saban hari. Beberapa nama tiba-tiba menjadi popular termasuk Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim (SUK), Dato' Ahmad Kamal Md Shahid (Penasihat Undang-Undang Negeri), Dato' Seri Panglima Mohd Annuar Zaini (Ahli Dewan Negara Perak) dan Dato' Abd Rahim Mohamad Nor (Setiausaha Sulit DYMM Sultan). Empat nama besar ini dikaitkan sebagai penggerak utama konspirasi rampasan kuasa arahan Najib dan Zahid.
TV, radio dan akhbar perdana yang dikuasai UMNO riuh rendah memainkan isu ini dengan gegak gempita yang memang diramalkan. DS Anwar diperlecehkan dengan misi 916 yang bertukar arah. Karpal pengkhianat negara. DS Nizar penderhaka Raja. Pakatan Rakyat menuju kehancuran. Rakyat telah sedar dan bergerak kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Bukit Selambau dan Bukit Gantang menghangatkan suasana, diikuti Bukit Lanjan yang tiba-tiba muncul menambah luka kepada episod duka. SPRM tumpang sekaki mengintai populariti untuk anugerah taat setia kepada UMNO dengan kes Tan Sri Khalid Ibrahim. Tiga kontena fail kes Khir Toyo hilang dicuri toyol. Selang sehari menyusul kisah yang lebih bogel daripada Elizabeth Wong apabila anakanda kepada Pesuruhjaya SPRM ditangkap di Australia kerana koleksi bahan lucah kanak-kanak bawah umur. Drama ini jadi semakin 'heavy'.
Berbalik kepada krisis di Perak, apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang tersirat disebalik yang tersurat? Besar sangatkah isunya? Berat sangatkah kesnya? Rumit sangatkah krisisnya?
Sebenarnya ini hanyalah fenomena biasa di pentas politik. Gelombang yang lebih besar pernah berlaku sebelum ini seperti Tragedi 13 Mei serta krisis perlembagaan 1983 dan 1993 yang menelanjang dan menghenyak Raja-Raja. Kemudian berlaku ledakan reformasi menyusuli pemecatan DS Anwar daripada kerajaan dan UMNO. Cuma kes bagi krisis terbaru ini adalah kali pertama dalam sejarah Perak. Mungkin kerana itu rakyat merasakannya sebagai suatu yang sangat besar.
Sebagaimana Pakatan Rakyat mahu menumbangkan BN, begitulah juga BN, sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menumbangkan Pakatan Rakyat. Sementelah BN ada senjata yang lebih baik dan lebih banyak untuk menyakiti PR, maka lebih mudahlah misi mereka. Pakatan Rakyat negeri Perak hanya ada seorang MB dan 10 Exco bersama dua setiausaha MB dan dua belas pegawai khas MB/Exco. Dalam kerajaan itu UMNO ada Dato' SUK, Dato' LA, Dato' SU Sulit Sultan, Dato' Panglima Annuar Zaini, pengarah-pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan dan sebahagian besar DO yang bertuankan Barisan Nasional. UMNO juga ada TV, radio dan akhbar harian yang taat setia 24 jam 365 hari setahun melaksanakan segala kehendak dan cita-cita politik mereka. UMNO juga ada Polis, SB, BTN, JASA, KEMAS, FRU, SPR, SPRM dan semua jentera pelaksana/penguatkuasa yang gerak mereka berpada hanya dengan satu petikan jari pemimpin UMNO. Itulah realiti politik Malaysia. Pakatan Rakyat umpama pasukan bolasepak Sekolah Kebangsaan Pangkor yang nak bertarung dengan Manchester United FC.
Isunya cuma BN mahu ambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. By hook or by crook matlamat itu mesti dicapai. Apa jua peluang yang terbuka mesti dimanfaatkan. Kesempatan yang datang tidak harus dilepaskan. Tajol telah usahakan di peringkat awal selepas PRU12 tetapi gagal. Waktu itu Harussani sudah berperanan namun PAS gagal dipujuk. Wang berjuta tidak dipandang oleh YB Pakatan Rakyat.
Pada 20 Ogos 2008, SPRM (ketika itu masih BPR) berjaya melaksanakan tugas memerangkap dua Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak melalui petugas veteran yang bernama Imran. Kejayaan itu adalah aset besar BN untuk meneruskan misi mengambil alih kuasa. Ugutan dan tawaran bersilih ganti datang kepada dua Exco itu. Kalau tak sokong BN, mereka akan disabitkan bersalah di mahkamah dan hilang segala-galanya. Kalau mahu ikut BN, kes mahkamah boleh dirunding penyelesaiannya. Dalam kes bunuh Altantuya, Razak Baginda lagi boleh dibebaskan tanpa bicara, inikan pula kes kecil terima rasuah yang tidak diminta. Selajutnya, Jamaludin dan Osman cuma perlu buka akaun bank di Singapura atau di mana saja asalkan luar negara. Beres.
SPRM telah berjaya menukarkan nisbah kerusi DUN antara BN dan PR daripada 28:31 kepada 30:29. Kedudukan itu sudah cukup untuk BN membentuk kerajaan dengan kelebihan satu kerusi, namun keadaan akan lebih selesa jika kelebihan kerusi itu ditambah satu atau dua lagi. Hee Yit Foong telah menyediakan dirinya untuk jadi sasaran BN sejak awal lagi apabila dia memprotes partinya dalam banyak perkara, daripada tuntutan kerusi exco untuk wanita hingga kepada isu Camry yang tidak diperuntukkan kepada Timbalan Speaker. Kisah pertembungan pendapat yang berlarutan antara Hee dengan Ngeh menambahkan leleh liur BN terhadap OKU itu. BN tidak pernah berhenti mengasak dengan pujuk dan ancam.
Hee menukar nisbah kerusi DUN Perak kepada (BN)31:28(PR) dalam senyap dan tersembunyi. Ngeh dan Nga berjaya diyakinkan bahawa Hee tidak hilang seperti yang dihebohkan. Telefon tak diangkat hanya kerana Hee terlupa membawanya ketika keluar rumah menziarahi kakaknya. Hee tetap bersama DAP! Begitulah skrip mantap yang dibangunkan oleh BN.
Dalam riuh rendah misteri kehilangan tiga ADUN itu, tiba-tiba Dato' Nasa Bota muncul mengejut masuk PKR. Kedudukan kembali (BN)30:29(PR). Guruh yang berdentum di langit menyebabkan Pakatan Rakyat menterbalikkan tempayan untuk menakung hujan yang bakal turun. Malangnya angin yang kuat telah membawa awan berhujan di tempat lain. Ada teori yang menyatakan bahawa Dato' Nasa juga sebahagian dari skrip Dato' Najib. Keterujaan pada hijrah Dato' Nasa melekakan perhatian Pakatan Rakyat terhadap tiga sejoli yang sedang diandam oleh jin beragas BN. Analisis lain mengaitkan SPRM sekali lagi sebagai penyelamat BN. Bapak si lucah di SPRM itu dengan pantas menyediakan fail untuk memasung Dato' Nasa dengan pertuduhan rasuah. Maka Dato' Nasa pun surrender tanpa mempedulikan kekecewaan Datin Umi. Score-board bertukar kembali ke angka (BN)31:28(PR).
Ketika itu Speaker DUN telah memaklumkan kekosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering kepada SPR. Ada surat perletakan jawatan yang telah ditandatangani semasa pembentukan kerajaan pada bulan Mac 2008. Dari segala sudut undang-undang, surat itu sah tetapi SPR terpaksa akur kepada kemahuan bos politiknya iaitu BN lalu mengumumkan tiada pilihanraya kecil di dua kawasan itu. Pakatan Rakyat terjerat lagi.
Pilihan terakhir ialah membubarkan DUN dan mengembalikan kepada rakyat untuk memberikan mandat baru yang lebih jelas, sama ada kepada PR atau kembali kepada BN. DS Nizar mengadap mohon perkenan. Tuanku Sultan bertempoh hingga esok hari. Petang hari yang sama, Najib mengumumkan BN akan membentuk kerajaan di Perak dalam sidang media yang dihadiri tiga sejoli dan Dato' Nasa.
Detik inilah bermulanya krisis. Kecelaruan yang rumit untuk difahami dan sukar dijangkau oleh andaian, analisis dan jangkaan. PR dengan hak dan maruahnya. BN dengan kehendak dan budayanya. Sultan dengan daulat dan survivalnya. Rumit dan celaru.
Krisis boleh dielakkan jika Tuanku Sultan perkenankan permohonan DS Nizar untuk membubarkan DUN. Tamatlah pertikaian tentang siapa yang ada majoriti dalam DUN. Keputusan pilihanraya menentukan sama ada rakyat mahukan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Tuanku selamat daripada 'sembah derhaka' dan sebarang tohmahan. Tiada himpunan di Bukit Chandan. Tiada saman di mahkamah. Tiada demonstrasi UMNO di seluruh negara. Tiada ungkitan sejarah derhaka. Tiada ugutan peliru hidup. Tiada dan tiada.
Misteri krisis ini berlegar di istana. Seluruh dunia tahu kehebatan Tuanku Sultan dan Raja Muda dengan latarbelakang undang-undang dan sains politik peringkat tertinggi dalam kerjaya dan pendidikan. Terasa mustahil keputusan tidak memperkenankan pembubaran DUN dan memperkenankan perlantikan MB baru itu muncul dari pertimbangan normal kedua-dua payung negeri itu. Lalu timbullah pelbagai andaian dan tanggapan.
Rakyat tidak pelik tentang perangai dan budaya UMNO. Sepak terajang politik UMNO sudah ditonton selama lebih 50 tahun. Rakyat sudah khatam malah menghafal strategi dan taktik politik UMNO yang serba boleh itu. Sesama sendiri di dalam UMNO itu pun mereka bercakaran, berbunuhan, rasuah dan saling menjatuhkan maka tentulah lebih dahsyat lagi percaturan mereka dalam perang melawan musuh.
Yang pelik ialah keputusan istana. Keganjilan itu merangsang seribu siasatan oleh rakyat serta mengundang pelbagai tanggapan dan tuduhan. Persepsi negatif yang pertama ialah ugutan Najib berkaitan seorang puteri Tuanku yang menguasai Gamuda. Menyusul kemudiannya tuduhan yang lebih dahsyat iaitu ugutan menyingkirkan Raja Nazrin sebagai bakal Sultan. Ugutan itu dikaitkan dengan kononnya Tuanku sendiri dinaikkan ke takhta melalui rencana Dr. Mahathir walau pun sebenarnya tidak berhak ke atas takhta. Rakyat diberitahu rupanya bonda Tuanku Sultan tidak berdarah raja, maka hak bersinggahsana di takhta sepatutnya berpindah kepada waris yang lain. Begitu juga dengan Permisuri Bainun yang juga bukan berdarah raja. Maka Raja Nazrin kononnya tiadalah berhak bergelar Raja Muda namun mantan Perdana Menteri menyusun segalanya dengan sempurna sehingga tiada siapa berani mempertikaikannya. Najib umpama mengacukan pistol ke kepala Tuanku dan berkata "sama ada Tuanku mengikut apa yang patek mahu atau Raja Nazrin tidak akan menaiki takhta". Dipetik daripada artikel Accept Najib Or Lose The Throne (DI SINI).
Pelbagai dakwaan yang berlegar di mulut rakyat sekarang ini memang sukar dipercayai dan tidak dapat disahkan ketulenannya, namun keganjilan titah dan perkenan istana telah mengundang semua bualan itu. Jika benar begitu maka malanglah bumi tercinta ini dan hancurlah nasib seluruh warganya di tangan Najib dan UMNO yang durjana. Jika bukan begitu siratannya maka apalah agaknya yang tersemat di minda Tuanku?
Terdapat juga analisis yang merumuskan bahawa drama berat ini adalah cara Tuanku nak mengajar Najib dan UMNOnya. Lantaran itulah Tuanku berpesan kepada DS Nizar dengan membacakan ayat Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Allah bersama dengan hambanya yang sabar". Kegelojohan UMNO perlu ditangani dengan teliti dan sempurna. Menentang UMNO secara terbuka memang bahaya. Risikonya terlalu besar berdasarkan rekod kesanggupan UMNO menderhakai Raja tanpa sedikit pun rasa hormat dan belas. UMNO ada pengalaman dan kemahiran memanipulasi semua jentera kerajaan dan seluruh rakyat bangkit menentang istana bermula daripada perderhakaan Dato' Onn Jaafar hingga kepada penderhakaan Abdullah Badawi, Idris Jusoh dan Shahidan Kasim. Juaranya sudah tentulah Mahathir Mohamad dengan kejayaan melucutkan immuniti sekelian Raja-Raja melalui pindaan perlembagaan.
Analisis itu meyakini kebijaksanaan Tuanku Sultan sementelah kepakaran Tuanku adalah di bidang perundangan. Tuanku amat arif betapa UMNO yang kepingin sangat untuk berkuasa itu, tak akan aman dengan perkenan yang dipaksakan itu. Tuanku tahu sempadan kuasanya berhubung lantik dan lucut memanda Menteri Besar negerinya. Oleh kerana UMNO itu jenis bantah yang tak boleh ditegah maka Tuanku turuti dahulu kemahuan mereka. Tuanku arif betapa DS Nizar boleh membawa kes ini ke mahkamah tanpa melibatkan istana. UMNO perlu jawab dan pertahankan diri tanpa boleh bersandar kepada Tuanku lagi. Tuanku juga amat arif peruntukan Undang-Undang Tubuh tentang Speaker. UMNO terlupa hal itu kerana kemaruk yang tak tertahan lagi. Biarkan ... biarkan! Biar UMNO layari ombak ganas dan lautan bergelora yang mereka sendiri menempahnya. Tuanku akan tersenyum puas di jendela istana. Kalau UMNO masih mahu bicara soal maruah, mereka akan merafak sembah mohon perkenan agar dipulangkan mandat ini kepada rakyat jelata. Pohon Tuanku membubarkan DUN.
Krisis ini besar tetapi isunya sedikit saja. Puncanya UMNO tamak kuasa. Tongkat bernama kuasa itu telah berjasa kepada mereka berpuluh tahun lamanya. Dengan kuasa, mereka boleh hidup senang lenang menjarah harta negara dan kederat rakyat. Hilang kuasa menjadikan mereka tak keruan gila. Itulah puncanya.
Pertikaian yang menjadi nyawa krisis ini juga sedikit saja. Perdebatan dan rujukan ke mahkamah hanya berkaitan Fasal 16(6), 16(7), 18(2)(a), 18(2)(b), 36A(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.
Krisis ini akan panjang tempohnya jika UMNO terus angkuh terhadap undang-undang dan takut kepada undi rakyat. Jika UMNO memang jantan dan percaya sokongan rakyat masih gagah bersama mereka, ayuh bubarkan DUN dan turun bertarung di gelanggang. Kalau jantan!
ZAMBRY BAKAL PECAH REKOD NIZAR
cyberboron, Wednesday, February 18, 2009Petang ini (18 Februari 2009) semua syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan besar berikutan beratus ribu sms beredar di udara berhubung krisis kuasa di Perak. Antara perkembangan yang dimaklum, ditanya dan diulas ialah:
1. MB Barisan Nasional Perak, Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir dan 6 Exco BN digantung daripada menghadiri sidang DUN oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang dipengerusikan oleh Speaker DUN, YB Sivakumar (DAP - Tronoh). Ketika posting ini ditulis, berita TV9 turut melaporkan perkembangan ini.
2. ADUN Bota, YB Dato' Nasarudin Hashim akan meletak jawatan sebagai ADUN kerana tekanan daripada keluarga dan pengundi DUN Bota.
3. ADUN Jelapang yang juga Timbalan Speaker DUN, YB Hee Yit Foong kini berada di Hong Kong dan sedang menguruskan perletakan jawatannya sebagai ADUN. Langkah itu diambil kerana desakan yang 'dahsyat' oleh pelbagai pihak termasuk keluarga terdekatnya. Ibu YB Hee dikatakan tidak boleh pergi ke pasar untuk membeli barangan keperluan harian kerana akan dicerca oleh semua yang mengenalinya.
4. ADUN Kubu Gajah, Dato' Raja Ahmad Zainudin tidak akan menyokong BN jika berlaku sebarang pengundian dalam sidang DUN kerana tidak berpuas hati dengan kabinet negeri yang dibentuk oleh Dr. Zambry.
5. ADUN Behrang dan Changkat Jering, YB Jamaludin Mohd Radzi dan YB Kapten Osman Jailu tidak akan menghadiri sidang DUN kerana tidak sanggup berhadapan dengan bekas rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat.
6. Kekuatan undi BN di sidang DUN Perak yang terkini hanya tinggal 20 undi sahaja setelah ditolak MB Zambry, 6 Exco pilihannya dan 4 ADUN lompat. Jumlah itu menjadikan kewujudan kerajaan BN pimpinan Zambry sebagai mustahil dapat diteruskan.
7. Rombongan BN Perak mengadap DYTM Raja Muda memohon perkenan untuk membubarkan DUN dan memberi laluan kepada pilihanraya negeri Perak.
8. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahman Menjerit Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang dikatakan terlibat langsung dengan penulisan skrip filem rampasan kuasa baru-baru ini kerap dilihat membeli Panadol Acti Fast dan Panadol Soluble.
Semua perkembangan yang rancak berlegar di mulut rakyat negeri Perak ini belum dapat disahkan kecuali penggantungan Zambry dan Exco BN oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN petang tadi. Panel peguam UMNO diberitakan akan berbincang malam ini bagi mengenalpasti ruang yang ada untuk mencabar keputusan penggantungan itu di mahkamah.
Sementara itu sebahagian pemimpin UMNO negeri dan pusat mengesyorkan supaya Zambry memohon perkenan pembubaran DUN atau DYMM Tuanku Sultan memperkenankan permohonan asal oleh YAB Dato' Seri Nizar. Syor ini dikemukakan berikutan UMNO seakan tiada jalan keluar untuk menyelamatkan kerajaan 'misteri' yang ditubuhkan pada 6 Februari lalu.
Jika pembubaran DUN berlaku dalam masa terdekat maka Dato' Dr. Zambry bin Abdul Kadir akan mencatat sejarah sebagai Menteri Besar yang paling pendek tempoh perkhidmatannya di Perak. Tahniah!
SIAPA GADAI TANAH KERAJAAN & TANAH REZAB MELAYU?
cyberboron, Saturday, February 14, 2009
Fakta 1
Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Perak dianggotai oleh Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Ahli-Ahli Exco.
Tiga pegawai kanan kerajaan yang menganggotai MMK adalah pegawai yang cukup berpengalaman sebagai Ex-Officio. Mereka berperanan membimbing dan menasihati Ahli MMK supaya tidak membuat keputusan yang melanggar atau bercanggah dengan perundangan negara dan negeri.
Oleh itu semua keputusan yang dibuat adalah melalui proses menyeluruh dan merujuk kepada ketiga-tiga pegawai kanan kerajaan itu.
Fakta 2
Permohonan hal ehwal tanah, hasil bumi, perlombongan, pelaburan dan lain-lain yang berkenaan, adalah dirujuk kepada Ketua Jabatan Teknikal Negeri untuk siasatan dan cadangan. Ketua-ketua jabatan ini akan menasihati MMK dalam membuat keputusan.
Fakta 3
Setiap kali sebelum mesyuarat Exco, semua kertas baru untuk kelulusan atau penolakan sebarang permohonan, akan dipersembahkan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak atau DYTM Raja Muda Perak.
Setiap keputusan mesyuarat Exco juga dipersembahkan kepada DYMM Sultan atau DYTM Raja Muda berserta minit mesyuarat.
Oleh itu semua fitnah mengenai Pakatan Rakyat 'gadai tanah kerajaan' kepada bangsa Cina adalah tidak berasas. Tuduhan itu hanya menunjukkan kecetekan pengetahuan individu yang melemparkan tuduhan itu sendiri.
Dengan keanggotaan tiga Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan penglibatan langsung semua Ketua Jabatan Teknikal Negeri maka setiap keputusan mesyuarat Exco adalah menepati kehendak undang-undang negara dan negeri secara menyeluruh.
Melalui prosedur sembah maklum untuk perkenan DYMM Sultan atau DYTM Raja Muda bagi semua kertas untuk kelulusan atau penolakan permohonan tanah, serta prosedur rujukan kepada semua Ketua Jabatan Teknikal Negeri untuk siasatan dan cadangan berhubung permohonan mana-mana tanah, maka fitnah 'gadai tanah' itu tidak berasas langsung.
Komitmen kepada undang-undang dan ketelusan proses kelulusan/penolakan itu juga dikukuhkan dengan prosedur sembah maklum keputusan berserta minit mesyuarat Exco ke bawah DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda.
Fakta 4
'Gadai tanah' kepada orang asing dan kepada kaum Cina melibatkan tanah kerajaan termasuk banyak tanah 'rezab Melayu' adalah jenayah kerajaan UMNO/BN selama berpuluh-puluh tahun. Singapura adalah tragedi gadaian terhebat oleh UMNO yang berlarutan hingga terpadamnya Pulau Batu Putih daripada peta Malaysia. Kehilangan Melayu di Pulau Pinang, sebahagian Pulau Langkawi dan sebahagian Pulau Pangkor juga adalah 'jasa' kebijaksanaan khianat Melayu jenis UMNO. Selain itu ratusan ribu ekar tanah rezab Melayu di merata ceruk tanahair turut menjadi mangsa 'mati pucuk' jiwa Melayu pemimpin UMNO.
Fakta 5
Senarai sebahagian rekod kebaculan kerajaan UMNO menggadaikan tanah kerajaan dan tanah rezab Melayu ke tangan gergasi perniagaan kaum Cina dan syarikat asing:
i. 2,000 ekar tanah kerajaan di Lekir dalam daerah Manjung diberikan kepada gergasi perniagaan milik tauke Cina (KLK).
ii. 5,000 ekar tanah rezab Melayu di Beruas dalam daerah Manjung diserahkan kepada syarikat milik warga asing (United Plantation).
iii. 1,500 ekar tanah kerajaan di Bandar Baru Kampar diberikan kepada MCA untuk pembinaan kampus UTAR.
iv. 12,000 ekar tanah kerajaan di Cold Stream Bikam Bidor diberikan kepada pengusaha pertanian kaum Cina.
v. 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong di Padang Rengas dalam daerah Kuala Kangsar diserahkan kepada YTL oleh kerajaan UMNO.
vi. Ratusan kes lain melibatkan keluasan sederhana dan ribuan kes melibatkan keluasan kecil di seluruh negeri Perak telah tergadai sepanjang 50 tahun UMNO menguasai Perak.
Fakta 6
Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak berjaya menghentikan skandal 'gadai tanah' kerajaan di beberapa lokasi komersial di Ipoh, Taiping, Bidor, Kinta dan Perak Tengah yang dijanjikan oleh pemimpin UMNO kepada taikun-taikun besar Cina menjelang pilihanraya umum 2008 kerana sebab-sebab yang mencurigakan. Kerajaan Pakatan Rakyat menghalang rancangan itu sebaik sahaja mendapat mandat pada pertengahan Mac 2008.
Fakta 7
Ketetapan memberikan hak milik selama-lamanya kepada penduduk Kampung Baru (bangsa Cina), Kampung Tersusun (bangsa Melayu dan India) dan Kampung Adat (orang Asli) adalah janji PAS dalam manifesto untuk pilihanraya ke12. BUKAN janji DAP!
Fakta 8
Kampung Baru - bangsa Cina - 47,000 hak milik
Kampung Tersusun - bangsa Melayu - 102,000 hak milik
ulangan tulis : ( CINA 47,000 -//- 102,000 MELAYU )
Dengan pemberian hak milik selama-lamanya kepada penduduk Kampung Baru ini, Kerajaan negeri Perak akan memperolehi tambahan revenue kerana kenaikan kadar premium tanah tersebut. Anggaran bayaran premium yang akan diperolehi oleh kerajaan ialah antara RM300 juta - RM450 juta.
Nilaian tanah itu juga akan meningkat kepada RM1.6 billion di pasaran. Dengan status hak milik selama-lamanya itu, pemilik boleh mendapatkan pembiayaan yang tinggi jumlahnya daripada institusi kewangan dengan mencagarkan tanah tersebut. Hal ini akan merangsang pembangunan penempatan yang lebih sempurna di Kampung Baru dan merancakkan aktiviti ekonomi.
FIKIR - FAHAM - SEBAR !
(artikel asal di blog ilham najmi )

