Showing posts with label seruan khas. Show all posts
Showing posts with label seruan khas. Show all posts

Selesaikan Segera Panas Di Permatang Pauh

Sehari dua ini politik dalaman PR agak panas. Nik Abduh mencetuskan kontroversi lanjutan bagi isu muzakarah-muqabalah-unity government. Lebih serabut ialah keputusan PAS Kawasan Permatang Pauh yang nak bertanding di Penanti. Ketua DPP Pulau Pinang menambahkan lagi kehangatan itu dengan kenyataannya hari ini.

Sebenarnya kita dah ada banyak sangat isu yang perlu ditangani. Krisis Perak semakin memuncak menjelang 7 Mei. Selangor juga sedang diserang secara senyap. Kehangatan pencalonan menjelang Muktamar PAS sedang diusik dan diadu-domba oleh media UMNO untuk menimbulkan perpecahan. Dan banyak lagi.

Bagi kes Permatang Pauh, pertama sekali secara peribadi aku tak bersetuju dengan keputusan dan tindakan PAS Kawasan itu dan Ketua DPP negeri. Itu hak aku. Aku tak tahu apa yang mendasari keputusan PAS Permatang Pauh yang dikatakan 'kehendak akar umbi' itu. Aku juga hormati hak masing-masing sama ada individu atau organisasi untuk berpendirian macam mana sekalipun. Tetapi aku tetap gunakan hak aku untuk tidak menyokong dan tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan yang dah berlaku setakat hari ini.

Aku tak peduli sangat soal UMNO-BN yang pasti akan menggunakan isu ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan berusaha melemahkan pertahanan kita. Mereka tak akan berjaya kalau kita pantas menjernihkan suasana dan kembali fokus kepada matlamat yang disepakati bersama.

Adat berbeza prinsip dan fahaman memang akan bertembung di sana dan di sini walau pun secara resminya ada jalinan muafakat. PAS-PKR-DAP akan tetap ada perbezaan dalam pelbagai perkara walau pun telah memeterai persepakatan. BN yang sudah tua itu pun masih berbalah antara sesama parti komponen dalam banyak hal.

Tugas dan tanggungjawab kita ialah menguruskan perbezaan itu sambil mengiktiraf hakikat kewujudannya. Fokus kita mestilah kepada kesamaan prinsip dan matlamat yang menghubungkan kita setakat ini. Kita mesti kaya tolak ansur. Kita wajib waras tentang nilai hormat-menghormati. Kita mesti benar-benar sedar realiti 'bersama dalam berbeza'. Kalau hal ini dapat kita uruskan, hayat PR akan lebih panjang sehingga insyaAllah kita akan mendapat mandat rakyat untuk memimpin kerajaan pusat. Kalau kita gagal memahami dan menjiwai persamaan dan perbezaan ini, UMNO-BN akan terus berkuasa untuk merompak harta negara.

Aku bersama rakan-rakan di kawasan aku pernah melalui pengalaman yang hampir sama dengan kes Permatang Pauh. Cuma tak ramai yang tahu kerana di kawasan aku tak ada nama besar dalam politik. Yang ada hanya 'kucin tanah', kata kawan-kawan aku.

Pada tahun 1999 PAS dan PKR (waktu itu PKN) sama-sama menuntut untuk bertanding di satu kerusi DUN di kawasan aku. Aku orang PAS. Tentulah aku mahu PAS bertanding. Waktu itu ada 19 cawangan PAS di DUN kami dengan ahli seramai 1732 orang. DUN kami ada 20 Daerah Mengundi. Kira-kira 'ngam'lah imbangan jumlah cawangan dengan jumlah Daerah Mengundi. PKN ada 7 cawangan dengan keahlian lebih kurang 250 orang. PAS ada 11 markaz. PKN ada 1. PAS dah sedia ada jentera pilihanraya hingga ke peringkat UPU. PKN pun ada jentera tapi tak berapa kelihatan. Bagi aku sebagai ahli PAS dan dengan fakta-fakta cawangan, keahlian, markaz dan jentera itu, tentulah aku berhak menyuarakan pendirian bahawa PAS lebih layak bertanding.

Di pihak PKN, mereka juga ada pelbagai hujah tentang kelayakan mereka yang dikatakan mengatasi keupayaan PAS. Kami sama-sama mendesak pemimpin parti peringkat negeri dan pusat supaya mempertahankan hak untuk bertanding. Aku mengutus tak kurang 5 surat resmi ke peringkat negeri dan pusat termasuk kepada Setiausaha Agung PAS dan Presiden keADILan. Ketua PKN Bahagian pun berulangkali menemui Presiden mereka untuk maksud yang sama.

Tapi selepas semua hujah dan ayat yang pedas, marah dan berbau ugutan, semua surat yang aku utuskan diakhiri dengan perenggan ini:

Besarlah harapan kami agar hasrat yang ditegaskan di dalam surat ini mendapat pertimbangan dan kelulusan Tuan (atau Puan) bersama seluruh Jawatankuasa PAS Pusat (atau seluruh ahli MPT keADILan) dengan kadar segera. Walau bagaimana pun pihak kami akan menerima sebarang keputusan resmi yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti.
Akhirnya BA (Barisan Alternatif) memutuskan PAS bertanding. Aku bersyukur dan seronok. keADILan Bahagian memboikot gerak kerja pilihanraya DUN kami. Seluruh jentera keADILan Bahagian berhijrah menjalankan kerja-kerja pilihanraya di satu kawasan Parlimen di selatan negeri Perak. Aku dan rakan-rakan PAS Kawasan menerima hakikat boikot itu dengan lapang dada.

Selepas pilihanraya kami terus berhubung seperti biasa walau pun ada rasa kekok. Menjelang pilihanraya umum tahun 2004, PAS dan PKR sekali lagi menuntut hak bertanding seperti lima tahun sebelumnya. Berbincang, berhujah dan mengutus surat ke peringkat tertinggi. Akhirnya BA memutuskan PKR bertanding. Walau pun sedih dan terkilan, mesyuarat AJK PAS Kawasan memutuskan secara resmi untuk menggerakkan sepenuhnya jentera yang ada. Bilik-bilik gerakan PAS beroperasi sepenuhnya. Petugas-petugas PAS melaksanakan semua tugasan bersama petugas PKR. Namun sebahagian ahli PAS merajuk. Tak bekerja tetapi tetap keluar mengundi PKR. Hukum keluar mengundi PKR sebagai rakan dalam pakatan BA diinsafi dengan baik oleh ahli-ahli PAS yang merajuk itu. Alhamdulillah.

Menjelang pilihanraya umum tahun 2008, tiada lagi perselisihan. PKR memberi laluan sepenuhnya kepada PAS. Berkebetulan dengan gelombang tsunami yang melanda politik negara, kami kalah tetapi hanya dengan kekurangan 14 undi. Sedih kerana kalah tetapi semakin yakin untuk menghadapi PRU13.

Berbalik kepada isu Permatang Pauh, aku mohon semua pihak berjiwa besar menginsafi matlamat perjuangan yang telah disepakati bersama. Masalah memang lumrah namun ayuh kita selesaikannya. Kehebatan gerak-kerja kita terletak pada kebijaksanaan mengurus masalah.

PAS Kawasan Permatang Pauh perlu beralah. Aku faham desakan dan tekanan daripada ahli-ahli dan cawangan-cawangan kerana kami pun pernah mengalaminya. Aku faham penegasan tentang kekuatan jentera dan lain-lain yang berkaitan dengan pilihanraya. Aku faham tentang kebimbangan dan persepsi yang bercelaru terhadap satu dua kes YB PKR. Aku faham.

Tetapi itu semua tidaklah lebih besar atau lebih penting daripada Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kita bukan setakat nak menang di Penanti atau Permatang Pauh tetapi nak menawan Malaysia. Kita sedang berada di landasan yang betul ke arah itu. Mengekalkan pendirian seperti yang heboh diperkatakan setakat hari ini, hanya akan meruntuhkan binaan politik baru Malaysia yang hampir siap.

PAS Pusat perlu cepat, pantas, segera, laju, tak berlengah dan tak bertangguh mencari penyelesaian terbaik. Turunlah ke Permatang Pauh. Kalau perlu semua pemimpin-pemimpin besar turun ke Permatang Pauh, ayuh turun segera. Berjumpa dan dengarilah luahan ahli-ahli. Kita bukan UMNO yang berkasta Brahma dan Paria. Pemimpin kita tentulah mahu mencontohi RasuluLlah yang sama berselemoih dengan prebet mengorek parit dalam perang Khandak.

Aku yakin ahli-ahli PAS Permatang Pauh boleh berlapang dada kalau pemimpin-pemimpin besar sudi mencemar darjat turun bersembang dan menerangkan keperluan kekal dengan setiakawan PR.

Kepada rakan-rakan dalam PKR, aku mohon sudilah kiranya rakan-rakan sekelian membantu untuk meredakan kekecohan ini. Please jangan simbah petrol kepada api yang masih kecil. Perbezaan pendapat seperti kes ini memang telah biasa berlaku antara kita. Contohnya seperti kisah yang aku ceritakan di pertengahan tulisan ini. Kalau kita saling mendabik dada, alamat binasa. Yang panas bukannya semua. InsyaAllah kebanyakan kita dalam PR sudah semakin dewasa memahami keperluan politik masakini. Masalah ini boleh diselesaikan. Dalam tegas mempertahankan hak, pelihara dan berjaga-jagalah di mana-mana yang patut. Kan kita sama-sama manusia. Masing-masing ada kelebihan dan ada kekurangan.

Jom pastikan Dr. Mansor Othman menang di Penanti !!!!!!!

Baca Sepenuhnya..

Seruan Khas Keprihatinan Bangsa Melayu

Melayu Bukit Gantang ditakdirkan jadi penting. Maruah bangsa Melayu hari ini dan besok lusa yang panjang, bergantung harap pada penentuan sikap orang Melayu Bukit Gantang 7 April ini. Semua bangsa sedang menilai. Seluruh dunia sedang memerhati. Persoalan tentang maruah Melayu akan terjawab minggu depan.

Maruah bangsa bukan terletak pada kuasa yang dipegang seribu tahun tetapi pada keadilan walau hanya berkuasa satu hari. Maruah bangsa bukan terletak pada riuh rendah kemenangan tetapi pada kejujuran yang menempatkannya di atas podium penganugerahan. Maruah bangsa bukan terletak pada lagak gaya kebangsawanan tetapi pada kesaksamaan yang dikecapi oleh semua rakyat jelata. Susah senang bersama. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maruah bangsa bukan terletak pada gah menghunus keris tetapi pada kebijaksanaan mengukir senyum meramaikan kawan.

Gelanggang 7 April bukan sekadar pertembungan PR-BN, atau PAS-UMNO, atau Nizar-Ismail. Taruhannya bukan sekadar maruah diri atau maruah parti. Hadiahnya bukan setakat satu kerusi di dewan rakyat yang berhawa dingin. Keputusan pengundian itu bukan milik orang Bukit Gantang sahaja tetapi milik orang Perlis sampai ke Sabah, bahkan milik semua pencinta keadilan seantero dunia. Tapi penentunya ialah orang Melayu Bukit Gantang.

Dari awal kempen hingga kini UMNO memainkan lagu bangsa. Orang Melayu cuba diyakinkan maruah bangsa sedang tercalar. Penyebabnya ialah Pakatan Rakyat. Melayu PAS dan Melayu PKR diperdaya hingga sanggup bersekongkol dengan Cina DAP. Matlamat DAP ialah menamatkan ketuanan bangsa Melayu. DAP juga bercita-cita meruntuhkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Lirik lagu yang didendangkan oleh UMNO ialah PR derhaka dan gadai hak bangsa Melayu. Iramanya merdu tetapi liriknya low class. Namun orang Melayu yang kurang membaca dan kurang mengkaji mudah digula-gula.

Oleh itu orang Melayu yang tahu lagi arif akan hal sebenar mesti tampil melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kefahaman tentang isu ini. UMNO telah lama menggunakan helah maruah bangsa untuk menipu orang Melayu, sedangkan tercorotnya bangsa Melayu hari ini adalah angkara mereka. Tidak memadai kalau usaha membongkar penipuan UMNO itu hanya dilaksanakan oleh pemimpin dan petugas parti politik PAS dan PKR. Orang Melayu yang tahu tetapi tidak aktif berpolitik perlu turut sama menyumbang bakti. Penglibatan itu boleh dilakukan dengan cara dan kaedah masing-masing. Kalau kita biarkan orang Melayu terus ditipu oleh UMNO, lambat laun bangsa Melayu akan punah ranah. Melayu yang bakal musnah itu bukan hanya Melayu UMNO tetapi juga Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu tak berparti. Na'uuzubiLlah.

Asal tahu dan arif, orang Melayu Bukit Gantang dan orang Melayu di mana saja tak kira PAS atau PKR atau tak berparti bertanggungjawab menyedarkan pengundi Bukit Gantang tentang realiti maruah bangsa. Setiap orang sayangkan bangsanya. Melayu PAS dan Melayu PKR juga sayangkan bangsa Melayu. Berkawan dengan Cina dan India DAP atau PKR tidak bermakna mengenepikan kepentingan bangsa. Melayu UMNO pun berkawan dengan Cina MCA, India MIC dan bangsa lain yang menganggotai 13 parti lain dalam BN. Tak ada salahnya berkawan dengan bangsa lain. Pertahankan hak bangsa sendiri dan hormati hak semua bangsa lain.

Persoalannya, benarkah UMNO mempertahankan hak bangsa Melayu? Benarkah UMNO berusaha gigih membangunkan pencapaian bangsa Melayu? Benarkah UMNO berjaya meningkatkan martabat dan maruah bangsa Melayu?

Yang tahu lagi arif pasti sedar betapa UMNO bohong. Bangsa Melayu yang dipimpin oleh UMNO bukan setakat kalah bahkan kalah teruk dalam segala bidang berbanding bangsa lain. Fakta, angka, statistik, dokumen dan bukti kegagalan serta pengkhianatan UMNO terhadap bangsa Melayu terlalu banyak. Semua itu perlu diberitahu kepada semua orang Melayu Bukit Gantang dan di mana saja.

Petugas PAS dan PKR telah dan sedang berusaha sedaya mungkin untuk menyalurkan maklumat ini. Namun kemampuan yang ada amat terhad. Tidak semua pengundi Melayu dapat ditemui oleh petugas-petugas parti. Maka seluruh anak bangsa di dalam dan di luar Bukit Gantang perlu membantu. Kunjungi atau hubungilah sanak saudara atau rakan taulan yang mengundi di Bukit Gantang. Mungkin usaha penerangan oleh yang tak pakai lencana parti lebih disenangi dan lebih berkesan. Jom kita sama-sama membantu!

Kalau UMNO-BN menang pada 7 April ini, jadah malangnya ialah pada bangsa Melayu. Menang di Bukit Gantang akan mengisyaratkan bahawa orang Melayu boleh terus ditipu. Menang akan menjadikan UMNO lebih berani merompak harta negara dengan seribu satu komisyen dan anugerah projek kepada proxy dan kroni. Menang akan memberikan lebih keyakinan kepada UMNO bahawa orang Melayu tak kesah tentang bermacam skandal dan jenayah pemimpin UMNO. Menang bererti orang Melayu tak marah amalan rasuah yang jadi rukun pengurusan UMNO.

Kalau itu berlaku, akibatnya bangsa Melayu akan hilang maruah. Usaha memajukan anak bangsa akan kekal terencat. Harta negara akan habis dilahap oleh segelintir penguasa. Bangsa lain di seluruh dunia tak kan hormat Melayu yang mengizinkan perasuah dan penerima rasuah terus berkuasa.

Ayuh bangsa Melayu! Kunjungi dan hubungi keluarga dan rakan di Bukit Gantang. Ajak mereka mengundi maruah bangsa. Seru mereka mengundi cita-cita pentadbiran bersih tanpa rasuah. Pujuk mereka supaya menolak gerombolan penuh skandal dan jenayah. Undilah Pakatan Rakyat!

Baca Sepenuhnya..
 

Komen Pengunjung Terkini