Keputusan PRK Bagan Pinang





Baca Sepenuhnya..

Insiden Jam 2 pagi 11 Oktober - UMNO Kerah Remaja Jadi Samseng



foto asal oleh UmmiAnni dan blog Cenangau

Insiden berdarah hampir berlaku berhampiran bilik gerakan PAS/PR tidak jauh daripada PD Marina Resort awal pagi ini. Kekecohan kecil bermula dengan tindakan biadap seorang daripada remaja skuad baju hitam dengan armband merah ditengah-tengah kumpulan petugas dan penyokong PAS. Keadaan menjadi tegang apabila skuad samseng UMNO itu dikerah beramai-ramai menyerbu bilik gerakan PAS dengan dakwaan bahawa seorang ahli mereka telah dicederakan oleh penyokong PAS.


Pasukan polis yang berada di tempat kejadian untuk mententeramkan keadaan turut diasak oleh kumpulan besar skuad remaja itu. Dua orang blogger yang terperangkap dalam kesesakan akibat insiden itu telah mendengar kata-kata bersifat menghasut yang diucapkan oleh petugas-petugas UMNO dewasa.

Antara kata-kata itu ialah, "Asak je! Jangan takut, polis sebelah kita!" Walaubagaimana pun, cubaan skuad remaja itu untuk bertempur dengan penyokong PR dapat dihentikan oleh pihak polis setelah remaja-remaja samseng itu mengasak benteng pasukan polis beberapa meter sehingga sangat hampir dengan kedudukan penyokong-penyokong PR.

Team PerakExpress yang turut terperangkap dalam kesesakan jalanraya di tempat kejadian dapat melihat puluhan remaja bermotosikal skuad baju hitam dengan armband merah bergerak kembali ke bilik gerakan UMNO berdekatan. Kebanyakan remaja tersebut adalah dalam lingkungan usia belasan tahun dan awal dua puluhan. Dipercayai sebahagian besar mereka masih bersekolah.

Baca Sepenuhnya..

Isa Samad Yakin Pengundi Setia UMNO Boleh Terima Perasuah

Saat akhir kempen Bagan Pinang malam ini, Isa Samad menyuarakan keyakinannya bahawa pengundi-pengundi setia UMNO tak kesah dengan isu rasuah yang dikaitkan dengan dirinya. Sumber bilik gerakan utama jentera pilihanraya BN memberitahu bahawa Isa optimis menang selesa kerana pengundi-pengundi setia UMNO merupakan golongan yang paling banyak mendapat manfaat daripada amalan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO termasuk dirinya.

Hal itu menyebabkan isu rasuah yang dijadikan antara bahan kempen utama Pakatan Rakyat tidak memberikan apa-apa kesan kepada kesediaan pengundi tradisi UMNO untuk memberikan undi kepada Isa.

Menurut sumber berkenaan, Isa Samad malah ketawa besar apabila diajukan soalan berkenaan kemungkinan kesan isu rasuah dirinya di kalangan pengundi tegar UMNO.

Menurutnya, "Bodohlah orang UMNO kalau benci rasuah. Kalau pemimpin tak rasuah, macam mana nak suap penyokong-penyokong kat bawah. Orang besar UMNO terima rasuah sebab nak rasuahkan orang UMNO Bahagian dan Cawangan. Pemimpin rasuah, penyokong pun rasuah. Kenapa pula penyokong nak marah pemimpin rasuah?"

Baca Sepenuhnya..

Selamatkah Mat Hassan Kalau Isa Samad Menang PRK N31?

Isa Samad belum menang dan belum kalah. Saudara kembar Dr. Gan itu mungkin menang dan mungkin kalah. Tunggulah awal malam besok. Seluruh dunia akan tahu Isa Samad menang atau kalah.

Tak banyak isu kalau Isa kalah. Zulkefly jadi wakil rakyat. BN terus mentadbir Negeri Sembilan. Mat Hassan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa. PAS/PR berkenduri kesyukuran sampai musim cuti sekolah. Isa Samad uruskan bisnesnya bersama sanak saudara dan saudara kembarnya. Awal tahun depan semua orang tak ingat lagi tentang Bagan Pinang.

Kalau Isa Samad menang?

Kalau Isa menang, senario politik Negeri Sembilan akan meriah dengan percaturan-percaturan baru. Politik dalaman UMNO Negeri Sembilan akan meriah dengan congak dan pencak baru. Dr. Gan boleh bersiap-siap dengan seratus proposal projek baru. Wakil-wakil rakyat UMNO akan menghitung strategi baru untuk masa depan politik masing-masing. Pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian boleh menyusun langkah baru untuk mendapat tempat di peringkat perhubungan negeri dan kerajaan negeri. Macam-macam baru.

Isa Samad taklah sehebat mana. Kalau dia betul-betul hebat, sudah tentu dia dapat menyelamatkan diri daripada tindakan Lembaga Disiplin UMNO. Kerana tak cukup hebatlah dia tersingkir daripada kerusi top five UMNO dan terpaksa akur meninggalkan kabinet Malaysia dengan penuh aib.

Tetapi badi sial itu macam dah berakhir. Dalam keadaan terbuang sebagai sampah yang busuk itu dia dapat kembali ke pentas di saat yang sangat istimewa. Pemilihan calon bagi pilihanraya kecil bukannya perkara kecil. Tak kesah sangat kalau UMNO kurang teliti menetapkan calon bagi pilihanraya umum kerana semua orang di seluruh negara sibuk dengan kawasan masing-masing. Tak ada siapa yang nak ambil pusing sama ada sesuai atau tak sesuai calon di kawasan lain apatah lagi di negeri lain.

Bila Isa terpilih sebagai calon pilihanraya kecil Bagan Pinang maka ia adalah perkara besar. Ada sebab yang besar dan penting di sebalik keputusan itu. Tak mungkin Najib dan penasihat-penasihatnya memberi laluan kepada Isa kerana alasan-alasan kecil.

Hanya ada dua kebarangkalian sebab yang membawa kepada terpilihnya Isa. Pertama, kerana Najib amat memerlukan Isa untuk matlamat-matlamat bersaiz raksaksa di peringkat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan. Kedua, kerana Najib terpaksa membuat keputusan itu disebabkan bahaya yang boleh menimpa dirinya (Najib) kalau Isa tidak dipilih. Dengan kata lain, Najib diugut dengan ugutan besar yang tak mampu dirunding lagi. Mungkin bukan Isa sendiri yang mengugut tetapi soal siapa yang mengugut itu tak penting. Pokoknya, Isa mesti dipilih sebagai calon. By hook or by crook.

Sama ada kerana matlamat Najib atau ugutan Isa, kemenangan mantan MB itu pasti akan diikuti dengan perkembangan-perkembangan yang memberikan kesan besar kepada politik UMNO Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Isa Samad mengetuai UMNO dan Kerajaan Negeri Sembilan selama 22 tahun. Dia lebih mengenali asam garam dan sepak terajang politik dalaman UMNO Negeri Sembilan. Dia lebih kenal hati budi dan serakah pemimpin-pemimpin UMNO semua Bahagian di Negeri Sembilan. Isa umpama pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang politik jahat dan rasuah mazhab UMNO sedangkan Mat Hassan baru lulus Diploma.

Menasabahkah Isa Samad sekadar nak jadi ADUN Bagan Pinang dan berkhidmat untuk penduduk Teluk Kemang sahaja? Menasabahkah Isa boleh duduk dengan patuh dan taat sebagai seorang Exco dalam Kerajaan Negeri yang diketuai Mat Hassan? Logikkah taikun-taikun besar yang seangkatan dengan Dr. Gan akan melepaskan peluang yang telah terbuka sedikit pintunya? … dan peluang itu akan hanya confirmed jika Isa ada kuasa yang sama macam dulu.

Datuk I dan Datuk Y sedang menghitung minit-minit terakhir menjelang bermulanya operasi Projek Corus A yang akan bergerak pantas sebaik saja Isa Samad diisytiharkan menang pilihanraya kecil N31. Kalau menang.

Tak pasti siapa yang mahukan supaya projek itu mesti segera dan tidak bertangguh sama ada Isa sendiri atau Najib. Ia masih misteri. Yang tidak misteri lagi ialah Projek Corus A telah tersedia. Terperinci dan tiada belas kesihan. Step 1 hingga 6 telah pun terlaksana. Step 7 akan dilaksanakan seawal pagi 12 Oktober kalau Isa menang. Kalau menang. Ia akan meluncur laju sehingga step 24 sebagai garisan penamat. BB akan tersenyum puas.

Sempurnanya Projek Corus A termasuklah rancangan pembangunan hartanah berbillion RM yang akan melengkapkan mimpi saudara kembar Isa. Nilai akan mengilai nyaring.

Sedih juga kerana Mat Hassan tak tau apa-apa. Memanglah kebimbangan itu ada. Sedikit sebanyak rentak tari gerombolan Isa Samad dapat dikesan oleh panglima-panglima Mat Hassan. Pokok bergoyang. Tak kan lah tak ada angin. Tetapi Mat Hassan belum cukup pintar menjejak Projek Corus A. Mungkin terdengar namanya, namun isinya tak dapat dikesan.

Kalau nak tahu, tanyalah Datuk I dan Datuk Y. Tapi tanya saja tak cukup. Nilainya sangat besar. Kalau berbaloi maskahwinnya, mungkin Datuk-Datuk berdua boleh pertimbangkan.

Kesian Mat Hassan.

Baca Sepenuhnya..

Temubual Eksklusif Bersama Profesor RAYAU

"Den tak kona (kenal) sapo-sapo pun oghang bosa parti. Susah la sikit den nak koba bondo-bondo mustahak yang den peghati. Den donga tiap-tiap tongah malam ado meeting bincang strategi. Kalau abang ado cable ngan oghang bosa yang nyusun strategi tu, tolong la kobakan kek dioghang. Mustahak ni bang. Nayo yo bobelanjo bosar. Ghiuh ghondah becheghito ateh postas ceramah. Aleh-aleh BN yang monang!"

Kenyataan ini menyebabkan penulis terasa bertanggungjawab untuk menyusun semula temubual yang sangat eksklusif antara penulis dengan sekumpulan kutu rayau yang PRIHATIN petang tadi. Penulis tak sanggup menggelarkan mereka sebagai kutu rayau walau pun itulah gelaran yang mereka sendiri nyatakan. Bagi penulis, mereka lebih sesuai dinamakan sebagai Profesor-Profesor Rayau.

Harapan penulis agar bahan-bahan temubual ini dibaca oleh pengundi N31, petugas-petugas kempen PR dan 'oghang bosa' parti yang mencatur strategi.

Entahlah berapa ramai pengundi pos yang menunaikan tanggungjawab. Pokoknya, mereka telah selesai mengundi. Yang paling penting untuk diambil kira ialah hampir keseluruhan pengundi pos adalah pengundi Melayu.

Secara kasar jumlah mereka adalah lebih daripada 4 ribu orang. Angka itu mewakili lebih daripada 30 peratus pengundi keseluruhan. Berdasarkan rekod keluar mengundi PRU12, logik jika dianggarkan undi pos kali ini masih pada angka melebihi 4 ribu.

ISU 1

Oleh kerana proses pengundian pengundi pos telah selesai maka kempen 30 jam terakhir ini hanya melibatkan kira-kira 6000-7000 pengundi biasa. Separuh daripada jumlah ini adalah pengundi Melayu manakala separuh lagi merupakan bukan Melayu. Dua pertiga pengundi bukan Melayu adalah kaum India dan hanya satu pertiga sahaja pengundi kaum Tionghua.

Apa pun dakwaan dan laungan keyakinan BN tentang sokongan pengundi Tionghua, realitinya ialah lebih 70 peratus daripada mereka hampir pasti mengundi PAS/PR. Jika malam ini dan besok PR turun padang dengan lebih menyeluruh bertemu pengundi kaum Tionghua, dipercayai undi mereka untuk PAS/PR mampu mencecah 80 peratus.

Cabaran besar bagi Pakatan Rakyat ialah keputusan akhir kemahuan pengundi kaum India. Dalam PRU12, pengundi kaum India Bagan Pinang 'angkat kapal' beramai-ramai mengundi PAS/PR. Kejutan itu diambil perhatian oleh BN sepanjang tempoh 18 bulan selepas PRU12 dengan pelbagai pendekatan khusus untuk mengembalikan sokongan pengundi kaum India itu. Tumpuan mereka sejak kekosongan kerusi N31 ini juga banyak bertumpu kepada komuniti India selain 'rasuah tradisi' kepada pengundi Melayu.

Ada petanda bahawa sebahagian pengundi kaum India yang mengundi PAS/PR pada PRU12 dulu telah pun beralih angin kepada BN berikutan pemberian pelbagai bantuan dan janji-janji berkaitan kepentingan mereka. Walaubagaimana pun peralihan itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Mereka juga sangat tahu kuasa undi yang ada ditangan mereka.

Memanglah agak terlambat jika bermula malam ini nak direncana dan digerakkan pendekatan khusus yang terperinci untuk memaut hati pengundi kaum India ini. Namun begitu sesuatu yang serius dan benar-benar fokus perlu dilakukan oleh PAS/PR terhadap mereka. Jika tidak, bencanalah yang akan menimpa.

"Den tak tau lah cam mano oghang bosa fikir. Tapi Den yakin kito buleh dapek sokongan India ni kalau kito ceghito botul-botul hipokrit nyo UMNO ni. Dioghang tu parti 'bapak perkauman'. One Malaysia konon. One apo eh. One poket ado la."

"Den ado tejumpo risalah. Kalau tak silap Den, risalah PKR. Gambar oghang UMNO pijak kepalo lombu maso demonstrasi bantah kuil Hindu kek Selangor tu. Kalau dapek risalah tu dibagi pado pengundi India tak ado kecuali soghang pun, Den ghaso ado kosan eh."



"Kalau buleh, modify siket lagi. Biar jadi lagi power. Dapek ngan bahaso Tamil lagi cantik. Abang nak pecayo tak pecayo tepulang la. Den beghani gerenti. Habih India undi PAS."



ISU 2

"Maap le bang. Abang Melayu, Den pun Melayu. Tapi Melayu melampau-lampau tongong eh. Yang ado otak tak beghapo oghang. Yang itu yo la yang mahu mengundi PAS/PR."

"Dopan mato UMNO menipu. Hipokrit. Tapi Melayu ni tak nampak-nampak yo. Bangang botul."

"Dijajo eh meghato dunio kato PAS guno ugamo untuk kepentingan politik. Disughuh kito jangan cakap politik kek masjid sughau. Kek sekolah. Tak nampak ko seminggu ni? Meghato masjid UMNO buek program kempen. Kek sekolah ugamo pun buek. Bukan eh setakat kempen, siap boghi rasuah lagi. Melenggang makcik-makcik ngan budak-budak balik daghi masjid bawak beg soghang satu. Munafiq tul UMNO ni. Dah la calon pun calon rasuah."

"Tapi bang ... Kito kato UMNO rasuah, Isa Rasuah ... Melayu bangang ni tak do eh mahu soda (sedar). Kalau dapek kito pahamkan Melayu ni ... pemimpin bosa dioghang ... pemimpin UMNO tu ... memang dah hukumkan Melayu-Melayu yang sokong UMNO ni bangso bodoh. Bangso sonang kono tipu. Tu la pasal yang dioghang yakin buleh boghi rasuah kek Melayu. Kalau Melayu soda pemimpin UMNO kato Melayu bodoh. Sumbek mulut buleh la dicucuk ditaghik hidung. Sughuh undi UMNO ... undi. Kalau Melayu paham camtu, ado harapan dioghang bonci kek UMNO."

"Tolong la bang. Kobakan kek oghang-oghang bosa kito tu. Caghi la jalan, cam mano nak buek. Tak kan tak ado cagho eh."

"Setakat ceramah tak cukup bang. Den tengok UMNO lagi advance tughun rumah ke rumah. Kito memang la susah sikit nak buek cam dioghang. Tapi tak kan nak biar yo. Den ghaso, risalah boleh settle hal ni. Tapi ayat kono la botul-botul power."

"Yang paling mustahak risalah tu kono dipastikan sampai ke tangan pengundi. Jangan ditabur tak tontu pasal. Tak yah la kito tughun beghamai-ghamai poi ghumah oghang. Banyak yang takut. Tapi kalau ado risalah, dioghang baco. Dioghang buleh teghimo, buleh timbang hujjah kito. Yang tak buleh eh ... kito buek rombongan poi ghumah dioghang."

.... bersambung

Baca Sepenuhnya..

Rayuan Tok Guru Kepada Pengundi Bagan Pinang


'Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, kamu akan melihat manusia memasuki Agama Allah dengan berbondong-bondong (tanpa mengira bangsa dan bahasa).'
....... Surah An-Nasr - Ayat 1 dan 2

Mari kita sama-sama panjatkan seribu satu kesyukuran kepada Pencipta langit dan bumi kerana dengan izin dan restuNya dapatlah juga saya berkongsi sama menumpahkan sedikit rasa hati.

Pilihanraya amat berkaitan dengan agama, keadilan dan tanggungjawab setiap rakyat dan sistem demokrasi. Ia menyentuh hak warganegara. Ia ada kaitan dengan dosa pahala dan mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya. Pilihanraya adalah medan pemilihan pemimpin yang bakal kita angkat sebagai penggubal dan pemantau undang-undang sama ada di parlimen atau negeri. Selaku wakil rakyat, segala bentuk kebajikan, sakit dan mati, susah dan senang, juga segala aduan dan masalah kita sepatutnya diberi perhatian oleh wakil rakyat.

Dalam konteks inilah amat pentingnya kita memilih wakil rakyat yang memahami masalah serta prihatin terhadap kebajikan kita selaku pengundi.

Pemilihan saudara Zulkefly Mohamad Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sebagai calon PAS dikira cukup cucuk untuk meneruskan khidmat amal ini. Selaku seorang muda yang telah diuji kecekapan dan ketabahannya untuk memimpin PAS Negeri, dalam usia 44 tahun beliau diyakini mampu mencabar calon yang ditampilkan oleh UMNO/BN. Tidak syak lagi beliau adalah seorang yang bertenaga untuk menyaingi UMNO di kerusi N31. Tanpa perlu diulas, semua orang sudah tahu betapa terdesaknya UMNO sehingga masih mengambil calon yang telah terbukti mempunyai rekod yang cemar dari segi amalan politik wang. Ini disahkan sendiri melalui Lembaga Disiplin UMNO yang telah mengambil tindakan tatatertib ke atas pelbagai amalan salah laku yang melibatkan beliau.

Sebenarnya saya amat terkilan dengan sikap 'double standard' yang diamalkan oleh UMNO dalam hujah mempertahankan pemilihan calon ini. Mereka mendabik dada kononnya mereka mematuhi kehendak 'grass root'. Anehnya sewaktu merampas Kerajaan Negeri Perak yang sah, mereka telah dengan terang-terangan menafikan kehendak dan perasaan akar umbi yang telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat.

Buat 5000 pengundi yang berada di kem-kem tentera saya mohon berpesan supaya jangan takut untuk menyatakan pendirian. Gunakanlah hak-hak demokrasi tuan-tuan dengan cermat. Inilah masa terbaik untuk menunjukkan sikap gagah perwira dengan penuh istiqomah dan keberanian. Pada saya, sikap Presiden UMNO yang tidak semena-mena membangkit-bangkitkan soal kenaikan gaji dan kemudahan perumahan bagi tentera di Port Dickson di hari perisytiharan calon adalah sesuatu yang tidak sihat. Sudah tentu perisytiharan ini akan disusuli dengan pelbagai janji berupa halwa, madu dan susu untuk tujuan-tujuan pancingan.

Kepada pengundi luar yang berada di perantauan, baliklah dan mengundilah dengan penuh amanah pada 11 Oktober 2009. Inilah satu-satunya senjata dan hak kita sebagai rakyat Malaysia dalam negara demokrasi. Tentukan undi tuan puan akan memulihkan corak dan rupa bentuk keadilan dan memperbaiki wajah demokrasi demi masa depan negara. Mari kita keluar untuk menyatakan keyakinan dan sokongan kita kepada saudara Zulkefly wakil PAS/PR yang tidak berbelah bagi. Dengan sepangkah undi, mari kita tolak kezaliman.

Ini bukan soal kalah menang dalam gelanggang politik semata-mata tetapi lebih mustahak dari itu, ia adalah perjuangan untuk mencari keredhaan Allah dan mendapat pahala di akhirat kelak. Bahkan ia sekaligus kesempatan untuk mengembalikan demokrasi ke pangkuan rakyat.

Sudah 7 kali pilihanraya kecil diadakan di Semenanjung dan kita telah memenangi ketujuh-tujuhnya. Mari kita ulangi kemenangan buat kali ke-8 pada 22 Syawal ini. Kita perlu panjangkan gema takbir Hari Raya yang berbunyi "Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar... Walillahilhamdu."

UNDILAH PAS, SELAMATKAN NEGARA

Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan

Baca Sepenuhnya..

Bingkisan Khas Untuk Pengundi Bagan Pinang


PRK N31 Bagan Pinang Ahad ini bukan urusan eksklusif pengundi dan penduduk dalam kawasan DUN Bagan Pinang sahaja. Bukan juga terhad hanya kepada sebuah negeri bernama Negeri Sembilan. Bahkan pengundian 11 Oktober 2009 ini sesungguh-sungguhnya adalah urusan sebuah negara Malaysia. Satu DUN ini sama penting dengan satu Pilihanraya Umum melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

Keputusan PRK ini akan menjadi penentu kepada rentak dan langkah politik nasional selepas beberapa perubahan dan anjakan berikutan isyarat besar yang ditunjukkan oleh pengundi semasa PRU12.

Penyataan sikap dan protes yang disuarakan oleh pengundi pada 8 Mac 2008 telah berjaya mengejutkan UMNO/BN daripada lena yang panjang sejak merdeka. Setidak-tidaknya kita telah berjaya membawa UMNO/BN ke pentas-pentas sidang media untuk mengakui kesilapan dan keterlanjuran mengabaikan hak dan kepentingan rakyat.

Sepanjang enam bulan pertama selepas PRU12, pemimpin BN riuh rendah mengumumkan langkah-langkah mengkaji semula pendekatan politik mereka. Baru terasa mahu mendahulukan rakyat. Integriti diperkatakan di merata ceruk. ‘Mesra rakyat’ dijaja seluruh pelusuk kampung.

Namun begitu, roh kebendaan yang telah berdarah daging dengan nyawa dan jasad UMNO/BN menyebabkan kejutan PRU12 itu belum cukup untuk membuatkan mereka bertaubat nasuha.

Pelbagai pendekatan dan slogan yang serba baru itu masih bersifat kosmetik, palsu, pura-pura dan lakonan untuk mengendurkan protes rakyat. Ia tidak berpaksikan keinsafan untuk mengendurkan ketamakan diri atau kemahuan untuk memakmurkan rakyat. Pendekatan baru itu cuma umpan untuk melunakkan hati dan melekakan rakyat. Slogan baru itu cuma topeng untuk menyembunyikan serakah yang masih membara.

Kalau rakyat memberikan isyarat baru bahawa mereka telah memaafkan UMNO/BN dan mengiktiraf gaya baru yang dilakonkan itu maka UMNO/BN akan kembali ke landasan asal. Rompak harta negara. Rampas hak rakyat. Kekang kebebasan.

Oleh itu, jangan jadikan Bagan Pinang sebagai isyarat untuk membolehkan UMNO/BN mematikan proses kematangan berpolitik yang berteras ‘tanggungjawab’ dan ‘prihatin’ yang baru melangkah ini.

TERUSKAN ISYARAT PRU12!

Isyarat PRU12 diikuti 8 PRK selepas Mac 2008 perlu diteruskan di Bagan Pinang. Kemenangan PR (kekalahan BN) Ahad ini akan membantu kesempurnaan proses kematangan politik Malaysia. Bagan Pinang bukan hanya milik 14 ribu pengundi berdaftar N31 sahaja bahkan ia adalah permata berharga milik seluruh rakyat Malaysia yang mencitakan kemakmuran yang adil saksama.

11 Oktober bukan tarikh pertempuran Zulkefly dengan Isa. PRK ini bukan gelanggang adu nasib hanya antara PAS dengan UMNO sebagai pesaing politik parti. Bukan juga medan uji PR dengan BN sekadar untuk menilai populariti.

Pertembungan Ahad ini adalah pertembungan antara nafsu dengan kesedaran. Di satu pihak ialah kapitalis penguasa BN yang mahu mengekalkan kuasa demi keinginan yang tak pernah puas manakala di satu pihak lagi ialah gelombang kebangkitan rakyat yang tak rela kekayaan negara terus dirompak dan hak rakyat terus dicabul.

BN belum jatuh. Keputusan PRU12 hanya satu pukulan kuat terhadap BN. Mereka terkejut. Berikutan itu, banyak pengakuan insaf telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin besar BN (khususnya UMNO) tentang kesilapan yang telah dilakukan sepanjang setengah abad mentadbir negara. Tetapi semua pengakuan itu cuma reaksi bersifat strategi untuk memulihkan imej. Jatidiri masih sama. Hala tuju pun kekal sama. Seni penampilan berubah namun perangai tetap yang itu juga.

Selama 19 bulan sejak selepas Mac 2008, BN kelihatan berubah sedikit. Pendekatan mereka dalam hal mengambil berat kebajikan rakyat kelihatan ada gaya baru. Ada peningkatan dalam hal kesediaan mendengar dan menerima rintihan rakyat. Tiba-tiba boleh pula mereka menambah beberapa peruntukan jenis baru untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. ISA pun sedia dikaji semula.

Walau pun BN masyhur dengan langkah dan program kosmetik, namun setidak-tidaknya landaan tsunami PRU12 berjaya memaksa mereka untuk tidak terus memekakkan telinga terhadap suara rakyat.

Tetapi awas! Semua anjakan dan perubahan yang nampak berlaku itu sebenarnya tidak datang dari rasa insaf atas kesalahan yang telah dilakukan. Keprihatinan itu dilakonkan sekadar untuk bertindak sebagai ‘penyerap hentakan’ bagi mengendurkan gelombang kebangkitan rakyat.

Mereka belum sungguh-sungguh mahu berubah!

Skandal komisen kapal selam terus ditutup bersama-sama matinya Altantunya. Hanya Sirul dan Azilah yang didakwa dan disabitkan kesalahan sedangkan kedua-duanya tak pernah ada apa-apa urusan dengan anak Shaaribuu itu. Siapa yang mengarahkan mereka membunuh Altantunya? Siapa yang loloskan bom C4 kepada mereka?

Penjenayah skandal PKFZ yang menelan billion RM wang rakyat terus dilindungi. Mereka jatuhkan kerajaan PR Perak dengan mengugut dan merasuah wakil rakyat. Beng Hock mati kerana bersungguhnya BN nak membuktikan penyalahgunaan RM2500 peruntukan ADUN Selangor sedangkan Khir Toyo lepas bebas dengan istana puluhan juta ringgitnya. Rasuah wang dan rasuah projek mee segera turun mencurah-curah di lapan PRK sebelum ini. SPRM terus buta. SPRM ditunggang semahu-mahunya. Dan banyak lagi kalau nak disenaraikan bukti BN masih dengan tabiat lama mereka.

Oleh itu isyarat rakyat melalui peti undi mesti diteruskan. PRU12 belum cukup mengajar mereka erti tanggungjawab. Lapan PRK berkeputusan 7-1 yang tak memihak kepada mereka juga belum cukup menyedarkan mereka.

Bagan Pinang perlu meneruskan gelombang suara rakyat ini.

Baca Sepenuhnya..
 

Blog Pilihan

Komen Pengunjung Terkini