Showing posts with label strategi. Show all posts
Showing posts with label strategi. Show all posts

Temubual Eksklusif Bersama Profesor RAYAU

"Den tak kona (kenal) sapo-sapo pun oghang bosa parti. Susah la sikit den nak koba bondo-bondo mustahak yang den peghati. Den donga tiap-tiap tongah malam ado meeting bincang strategi. Kalau abang ado cable ngan oghang bosa yang nyusun strategi tu, tolong la kobakan kek dioghang. Mustahak ni bang. Nayo yo bobelanjo bosar. Ghiuh ghondah becheghito ateh postas ceramah. Aleh-aleh BN yang monang!"

Kenyataan ini menyebabkan penulis terasa bertanggungjawab untuk menyusun semula temubual yang sangat eksklusif antara penulis dengan sekumpulan kutu rayau yang PRIHATIN petang tadi. Penulis tak sanggup menggelarkan mereka sebagai kutu rayau walau pun itulah gelaran yang mereka sendiri nyatakan. Bagi penulis, mereka lebih sesuai dinamakan sebagai Profesor-Profesor Rayau.

Harapan penulis agar bahan-bahan temubual ini dibaca oleh pengundi N31, petugas-petugas kempen PR dan 'oghang bosa' parti yang mencatur strategi.

Entahlah berapa ramai pengundi pos yang menunaikan tanggungjawab. Pokoknya, mereka telah selesai mengundi. Yang paling penting untuk diambil kira ialah hampir keseluruhan pengundi pos adalah pengundi Melayu.

Secara kasar jumlah mereka adalah lebih daripada 4 ribu orang. Angka itu mewakili lebih daripada 30 peratus pengundi keseluruhan. Berdasarkan rekod keluar mengundi PRU12, logik jika dianggarkan undi pos kali ini masih pada angka melebihi 4 ribu.

ISU 1

Oleh kerana proses pengundian pengundi pos telah selesai maka kempen 30 jam terakhir ini hanya melibatkan kira-kira 6000-7000 pengundi biasa. Separuh daripada jumlah ini adalah pengundi Melayu manakala separuh lagi merupakan bukan Melayu. Dua pertiga pengundi bukan Melayu adalah kaum India dan hanya satu pertiga sahaja pengundi kaum Tionghua.

Apa pun dakwaan dan laungan keyakinan BN tentang sokongan pengundi Tionghua, realitinya ialah lebih 70 peratus daripada mereka hampir pasti mengundi PAS/PR. Jika malam ini dan besok PR turun padang dengan lebih menyeluruh bertemu pengundi kaum Tionghua, dipercayai undi mereka untuk PAS/PR mampu mencecah 80 peratus.

Cabaran besar bagi Pakatan Rakyat ialah keputusan akhir kemahuan pengundi kaum India. Dalam PRU12, pengundi kaum India Bagan Pinang 'angkat kapal' beramai-ramai mengundi PAS/PR. Kejutan itu diambil perhatian oleh BN sepanjang tempoh 18 bulan selepas PRU12 dengan pelbagai pendekatan khusus untuk mengembalikan sokongan pengundi kaum India itu. Tumpuan mereka sejak kekosongan kerusi N31 ini juga banyak bertumpu kepada komuniti India selain 'rasuah tradisi' kepada pengundi Melayu.

Ada petanda bahawa sebahagian pengundi kaum India yang mengundi PAS/PR pada PRU12 dulu telah pun beralih angin kepada BN berikutan pemberian pelbagai bantuan dan janji-janji berkaitan kepentingan mereka. Walaubagaimana pun peralihan itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Mereka juga sangat tahu kuasa undi yang ada ditangan mereka.

Memanglah agak terlambat jika bermula malam ini nak direncana dan digerakkan pendekatan khusus yang terperinci untuk memaut hati pengundi kaum India ini. Namun begitu sesuatu yang serius dan benar-benar fokus perlu dilakukan oleh PAS/PR terhadap mereka. Jika tidak, bencanalah yang akan menimpa.

"Den tak tau lah cam mano oghang bosa fikir. Tapi Den yakin kito buleh dapek sokongan India ni kalau kito ceghito botul-botul hipokrit nyo UMNO ni. Dioghang tu parti 'bapak perkauman'. One Malaysia konon. One apo eh. One poket ado la."

"Den ado tejumpo risalah. Kalau tak silap Den, risalah PKR. Gambar oghang UMNO pijak kepalo lombu maso demonstrasi bantah kuil Hindu kek Selangor tu. Kalau dapek risalah tu dibagi pado pengundi India tak ado kecuali soghang pun, Den ghaso ado kosan eh."



"Kalau buleh, modify siket lagi. Biar jadi lagi power. Dapek ngan bahaso Tamil lagi cantik. Abang nak pecayo tak pecayo tepulang la. Den beghani gerenti. Habih India undi PAS."



ISU 2

"Maap le bang. Abang Melayu, Den pun Melayu. Tapi Melayu melampau-lampau tongong eh. Yang ado otak tak beghapo oghang. Yang itu yo la yang mahu mengundi PAS/PR."

"Dopan mato UMNO menipu. Hipokrit. Tapi Melayu ni tak nampak-nampak yo. Bangang botul."

"Dijajo eh meghato dunio kato PAS guno ugamo untuk kepentingan politik. Disughuh kito jangan cakap politik kek masjid sughau. Kek sekolah. Tak nampak ko seminggu ni? Meghato masjid UMNO buek program kempen. Kek sekolah ugamo pun buek. Bukan eh setakat kempen, siap boghi rasuah lagi. Melenggang makcik-makcik ngan budak-budak balik daghi masjid bawak beg soghang satu. Munafiq tul UMNO ni. Dah la calon pun calon rasuah."

"Tapi bang ... Kito kato UMNO rasuah, Isa Rasuah ... Melayu bangang ni tak do eh mahu soda (sedar). Kalau dapek kito pahamkan Melayu ni ... pemimpin bosa dioghang ... pemimpin UMNO tu ... memang dah hukumkan Melayu-Melayu yang sokong UMNO ni bangso bodoh. Bangso sonang kono tipu. Tu la pasal yang dioghang yakin buleh boghi rasuah kek Melayu. Kalau Melayu soda pemimpin UMNO kato Melayu bodoh. Sumbek mulut buleh la dicucuk ditaghik hidung. Sughuh undi UMNO ... undi. Kalau Melayu paham camtu, ado harapan dioghang bonci kek UMNO."

"Tolong la bang. Kobakan kek oghang-oghang bosa kito tu. Caghi la jalan, cam mano nak buek. Tak kan tak ado cagho eh."

"Setakat ceramah tak cukup bang. Den tengok UMNO lagi advance tughun rumah ke rumah. Kito memang la susah sikit nak buek cam dioghang. Tapi tak kan nak biar yo. Den ghaso, risalah boleh settle hal ni. Tapi ayat kono la botul-botul power."

"Yang paling mustahak risalah tu kono dipastikan sampai ke tangan pengundi. Jangan ditabur tak tontu pasal. Tak yah la kito tughun beghamai-ghamai poi ghumah oghang. Banyak yang takut. Tapi kalau ado risalah, dioghang baco. Dioghang buleh teghimo, buleh timbang hujjah kito. Yang tak buleh eh ... kito buek rombongan poi ghumah dioghang."

.... bersambung

Baca Sepenuhnya..

Awas! UMNO Tak Pernah Pedulikan Undang-Undang.

Setakat pagi ini rakyat telah menang. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang kelmarin sangat bermakna kepada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Hak kemenangan Pakatan Rakyat dikembalikan oleh mahkamah setelah 3 bulan disamun oleh UMNO-BN. Rakyat patut gembira. DS Nizar dan Pakatan Rakyat layak meraikan kejayaan ini.

Namun begitu ada satu fakta yang wajar diinsafi oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat iaitu UMNO tak pernah pedulikan undang-undang. UMNO bukan jenis yang tahu menghormati undang-undang. Kalau mereka berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pasti mereka tidak sanggup merampas kuasa secara tidak halal seperti yang disabitkan dimahkamah kelmarin. Kalau mereka menjunjung perlembagaan dan undang-undang, pasti mereka tidak tergamak melakukan drama kotor penyingkiran Speaker DUN pada 7 Mei.

Sepanjang sejarah kewujudan UMNO, parti itu telah terbukti tegak berkuasa dengan cara mengkhianati prinsip undang-undang dan melanggar suratan undang-undang. UMNO mengekalkan kuasa dengan tipu helah dan ketidakadilan dalam pelaksanaan sistem demokrasi. UMNO mengugut dan menafikan hak rakyat yang tidak menyokong parti mereka. UMNO hidup dan berkembang dengan amalan rasuah kecil dan besar. UMNO menggubal pelbagai akta dan enakmen bermotif politik untuk menyekat kebebasan rakyat yang tidak sependapat dengan mereka. UMNO memaksa dan menghaiwankan pihak berkuasa keselamatan untuk menakut-nakutkan dan menghalang gerakan rakyat yang bangkin memprotes kezaliman mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO sudah biasa dengan konspirasi dan fitnah untuk menjatuhkan sesama mereka apatah lagi untuk memusnahkan parti lawan. UMNO ada sejarah membunuh untuk maksud survival politik dan kebendaan.

Dengan segala kebejatan dan kerosakan nilai yang dihidapi oleh UMNO itu, rakyat seharusnya tidak terlalu teruja dengan keputusan mahkamah kelmarin. Pakatan Rakyat patut mengambil iktibar daripada kisah Dato' Nasarudin Hashim pada penghujung Januari lalu. UMNO memang pintar bermain sendiwara. Dalam kita berseronok suka menyambut penghijrahan Dato' Nasa ke rumah kita, UMNO licik menyempurnakan operasi menjerat tiga ADUN kita ke sebelah sana. Belum sempat kita menghabiskan aturcara kegembiraan menyambut Dato' Nasa, UMNO selesai merampas kuasa yang baru 10 bulan dimandatkan oleh rakyat.

Ketika Najib mengumumkan tiga ADUN kita telah beralih menyokong BN, pemimpin PR Perak dengan yakinnya memberitahu penyokong PR bahawa permohonan pembubaran DUN pasti diperkenankan oleh Tuanku Sultan. DUN tetap akan dibubarkan besok. Tak mungkin Tuanku tidak memperkenankannya berdasarkan tafsiran dan semangat undang-undang tubuh. Akhirnya apa yang terjadi?

Ungkitan ini bukan bermaksud mempertikaikan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin PR dan peguam-peguam yang dirujuk oleh PR tetapi sebagai bahan fikir untuk berhati-hati terhadap seribu kemungkinan langkah UMNO besok lusa. Kita percaya pemimpin dan peguam kita menyuarakan keyakinan berdasarkan prinsip dan semangat undang-undang yang sebenar. Malangnya UMNO bukan jenis manusia yang hormat dan menjunjung undang-undang. Oleh itu kita seharusnya berfikir tentang kemungkinan langkah mereka dari sudut pandang mereka selaku pelanggar undang-undang itu.

Menjelang persidangan DUN 7 Mei, pemimpin dan ahli undang-undang PR yakin bahawa UMNO tak akan dapat menafikan hak dan kuasa YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Kita juga diyakinkan bahawa Speaker akan berjaya menggagalkan hasrat UMNO untuk memecat Sivakumar dan menggantikan Ganesan di kerusi itu melalui kuasa menerima atau menolak sesuatu usul yang ada pada Sivakumar. Akhirnya apa yang terjadi?

Kita menilai dari sudut proses dan prosedur yang biasa. Kita menganalisis undang-undang dari sudut tafsiran dan penguatkuasaannya yang biasa. Malangnya UMNO sudah biasa melakukan perkara-perkara yang luar biasa. UMNO jaguh melanggar proses dan prosedur resmi. UMNO juara memutarbelit peruntukan undang-undang untuk maksud politik dan pengekalan kuasa.

Oleh itu pemimpin dan pencatur langkah PR perlu menganalisis dan merumuskan andaian langkah-langkah UMNO dari sudut yang luar biasa dan di luar kerangka proses dan prosedur undang-undang yang biasa itu. PR perlu ada plan biasa dan plan luar biasa.

Berikutan keputusan mahkamah kelmarin, DS Nizar telah pun mengadakan mesyuarat exco tengah malam tadi dan membuat beberapa keputusan penting termasuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri (Rahman Hashim) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (Kamal Md Shahid) berkuatkuasa serta merta. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar surat memohon perkenan menghadap DYTM Raja Muda untuk menerangkan keputusan mahkamah serta memohon perkenan pembubaran DUN.

Sebelum itu Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa UMNO akan mengambil tindakan segera memfailkan rayuan di mahkamah terhadap keputusan kelmarin. Najib berkata "kita akan selesaikan masalah ini". Apabila ditanya apakah usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, Najib menjawab "langkah pertama ialah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, then we'll make it from there."

Kenyataan pengarah utama rampasan kuasa ini wajib dikaji dengan penuh waspada. Najib pasti sedia melakukan apa saja demi maruahnya sebagai PM yang baru berusia sebulan. Najib juga telah membuktikan kekuatannya memekakkan telinga terhadap semua serangan termasuk serangan mega seperti isu Altantunya. Kelicikan strategi Najib tak boleh dipandang sebelah mata.

Zambry juga telah mengeluarkan kenyataan untuk memohon perintah mahkamah bagi menghalang atau menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengembalikan hak DS Nizar sebagai Menteri Besar. Malam tadi Tv3 telah memulakan langkah mewajarkan sidang tergempar DUN untuk prosiding usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar sebagai MB. Dalam siaran Buletin Utama, Peguam UMNO, Shafie Abdullah memperincikan fakta-fakta palsu untuk meyakinkan penonton tentang keabsahan penyingkiran Speaker Sivakumar dan keabsahan perlantikan Ganesan sebagai Speaker DUN yang baru. Kesimpulannya, Ganesan berhak memanggil Sidang Tergempar DUN untuk prosiding 'vote of no confidence' terhadap DS Nizar. Laman-laman blog pro-UMNO juga telah mewar-warkan kemungkinan sidang tergempar itu pada hari khamis ini atau satu tarikh terdekat selepas khamis.

Dalam sidang media di kediaman DS Nizar tengah malam tadi, pemimpin-pemimpin PR dengan tegas menyatakan perlantikan Ganesan sebagai Speaker adalah tidak sah. Oleh itu Sivakumar masih Speaker yang sah. Jika sidang DUN mahu diadakan, permohonan perkenan mengadakan sidang itu hanya boleh dikemukakan oleh DS Nizar sebagai MB yang sah. Notis panggilan sidang mesti dikeluarkan dan ditandatangani oleh YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Jika BN mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB DS Nizar, mereka hendaklah mengemukakan usul itu ke pejabat Setiausaha DUN tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker Sivakumar setelah permohonan perkenan mengadakan sidang itu dikemukakan oleh DS Nizar kepada DYMM Sultan. Dan Speaker Sivakumar berkuasa untuk menerima atau menolak usul yang dikemukakan itu. Itu kata kita.

Sebaliknya UMNO tetap bertegas bahawa perlantikan Ganesan adalah sah. Speaker Ganesan juga berhak memanggil sidang tergempar DUN tanpa permohonan perkenan daripada DYMM Sultan kerana sidang 7 Mei hanya ditangguhkan (adjourned) dan bukannya diberhentikan (prorogued). Ganesan sudah tentu akan menerima usul yang dikemukakan oleh UMNO dan akhirnya BN pasti berjaya menyingkirkan DS Nizar daripada kerusi MB dengan kelebihan 3 undi (31-28). Itu kata UMNO-BN.

Masing-masing ada hujah. Hujah PR berdasarkan keputusan mahkamah kelmarin dan berdasarkan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang sebenar. Hujah UMNO-BN jelas menghina keputusan mahkamah dan melanggar Undang-Undang Tubuh. Tetapi UMNO sentiasa yakin setiap kali melanggar undang-undang. UMNO juga berupaya menghaiwankan pelbagai pihak untuk mencapai kehendak politik mereka. Mereka dah biasa mengugut hakim. Mereka pakar mengerahkan pasukan keselamatan untuk menghalang langkah PR. Mereka adalah jelmaan mafia.

Oleh itu pemimpin-pemimpin dan pencatur strategi PR wajib mengambil perhatian terhadap segala kemungkinan yang bakal dihadapi besok lusa.

Penyokong PR boleh bergembira tetapi jangan terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi petang kelmarin. Bersiap sedialah untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya negeri jika DUN dibubarkan.

Terima kasih Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim!

Baca Sepenuhnya..

Pakatan Rakyat Perak Perlu Fokus

Yang dah berlaku telah pun berlaku. Tak ada apa yang boleh mengubahnya. Mulanya Jamaludin dan Osman diperangkap. Kemudian dua pelacur politik itu diugut dan diumpan. Seterusnya mereka di'ghaib'kan sehingga muncul bersama Hee Yit Foong di majlis Najib Altantunya pada 4 Februari. Besoknya DS Nizar dititah meletak jawatan. Sehari kemudian Zambry angkat sumpah jadi MB (haram).

Selepas itu Speaker isytihar kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang kosong. Tetapi SPR tolak perisytiharan itu dan tak mahu adakan pilihanraya kecil. 18 Februari, Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN menggantung Zambri dan enam exco haramnya. Zambry digantung 18 bulan dan enam exco haramnya digantung 12 bulan. Sepanjang tempoh itu mereka tak boleh hadir ke sidang DUN. Akhirnya mahkamah putuskan Jamal, Osman dan Hee masih sah sebagai ADUN. Mahkamah juga berikan deklarasi Speaker tak boleh gantung Zambry dan enam exco haramnya.

Saman DS Nizar terhadap Zambry belum diputuskan oleh mahkamah. Setakat ini ditangguhkan keputusannya ke hari Isnin 11 Mei. Kalau keputusannya berpihak kepada Zambry, pasti DS Nizar akan rayu kes itu ke mahkamah lebih tinggi. Kalau berpihak kepada DS Nizar, Zambry juga pasti bawa kes itu ke mahkamah lebih tinggi.

Besok lusa hampir pasti PR akan saman Zambry atau Ganesan atau Rahman Hashim atau Abdullah Antong atau mungkin saman semua sekali. Semua pihak sama ada PR atau UMNO akan turun naik mahkamah berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun.

Tak banyak yang boleh diharapkan daripada mahkamah. Sejarah mahkamah selama dua dekad terakhir sejak Mahathir jadi raja Malaysia, hampir tak ada yang menguntungkan parti lawan BN.

Mahu tak mahu Pakatan Rakyat terpaksa juga membawa semua kes pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh UMNO-BN untuk dihakimi oleh mahkamah. Kalau tak disaman dan tak dibawa ke mahkamah, UMNO-BN akan lebih melampau. Sekurang-kurangnya UMNO-BN tak dibiarkan bersenang lenang mencabul undang-undang sesuka hati mereka. Walau pun mereka sentiasa dapat mengugut dan menekan institusi kehakiman namun ada ketikanya hakim-hakim tiada ruang langsung untuk menghalalkan kebiadaban UMNO-BN yang tertentu. PR perlu terus ke mahkamah walau pun 'harap ada, percaya tiada'. Mudah-mudahan akan tiba masanya terdetik rasa tanggungjawab di hati hakim-hakim.

Khabarnya Pakatan Rakyat akan meneruskan road-show ke merata ceruk negeri Perak untuk menerangkan peristiwa hitam sidang DUN 7 Mei. Cerita bagaimana UMNO-BN merampas jawatan Speaker akan diterangkan kepada rakyat. Kisah kebiadaban Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Dewan yang dah dipecat, Bentara Dewan dan sekelian haiwan-haiwan yang bersekongkol menghalalkan plan UMNO-BN akan didedahkan sepenuhnya. Rakyat akan mempelajari Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perintah-Perintah Tetap DUN dengan lebih mendalam.

Memang Pakatan Rakyat tak banyak pilihan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat. Setiap hari media arus perdana yang dikawal sepenuhnya oleh UMNO-BN sentiasa memutar fakta untuk menggambarkan PR salah dan jahat. Tindakan UMNO-BN semua betul dan baik. Harakah, Suara Keadilan dan Roket amat terhad pengedarannya kerana disyaratkan jualannya hanya kepada ahli. Maklumat yang melimpah ruah di ruang cyber hanya diakses oleh tak sampai dua tiga peratus rakyat Malaysia. Mahu tak mahu terpaksalah juga pemimpin-pemimpin PR turun padang berceramah.

Teruskan menghimpit UMNO-BN di mahkamah. Teruskan berceramah dari Parit Buntar ke Hutan Melintang di sepanjang pantai barat dan dari Pengkalan Hulu ke Behrang di sepanjang tepian Banjaran Titiwangsa. Teruskan!

Tetapi Pakatan Rakyat jangan hilang fokus. Selain mahkamah dan ceramah ada banyak lagi tugas yang perlu digerakkan dengan sempurna sekiranya PR serius mahu menguburkan UMNO-BN di negeri Perak. UMNO-BN yang dikatakan sedang nazak itu sebenarnya masih ada banyak senjata bahkan mungkin ada nyawa yang disimpan di bank nyawa. Oleh kerana tiada yang haram di sisi mereka maka percaturan kita tak boleh diasaskan kepada perkiraan undang-undang yang tersurat sahaja. Mereka tidak pernah menjunjung 'fair-play' dalam perlawanan di gelanggang politik ini. Walau pun tidak dibentes, mereka sentiasa merebahkan badan di kotak penalti untuk mendapatkan gol percuma. Mereka dah terbiasa menujah buku lali dan tumit pemain kita tanpa disedari oleh pengadil perlawanan. Bahkan mereka tak segan silu merasuah pengadil dan pemain kita. Selain itu hampir di setiap perlawanan mereka mengupah tok pawang menjampi tiang gol. Macam mana kita nak menang?

PR perlu fokus kepada semua keperluan untuk memenangi pertembungan sebenar dengan UMNO-BN. Gelanggang yang sebenar ialah pilihanraya. PR perlu menang pilihanraya dengan kelebihan kerusi yang selesa. Kemenangan yang bermakna ialah memperolehi majoriti dua pertiga dalam DUN. Bagi negeri Perak dua pertiga ialah 40 kerusi. Lebih sempurna kalau ada lebihan empat lima kerusi daripada angka minima 40 itu. PR wajar ada misi yang jelas untuk memenangi antara 43 hingga 45 kerusi dalam PRU13.

Misi 43-45 kerusi bukanlah perkara mustahil. Selain daripada 31 kerusi yang dimenangi dalam PRU12, ada 10 kerusi lagi yang berpotensi untuk dimenangi oleh PR iaitu kawasan-kawasan yang dimenangi oleh BN dengan majoriti di bawah seribu undi. Turut boleh diusahakan ialah 4 kerusi yang dimenangi oleh BN dengan majoriti antara 1000 ke 1500. Jika 31 kerusi asal dapat dikekalkan dan 10 kerusi (majoriti bawah 1000) dapat ditawan, PR sudah memiliki majoriti dua pertiga. Kalau 4 kerusi (majoriti 1000-1500) lagi dapat juga dimenangi, PR selesa di depan dengan 45 kerusi. Ada rakan-rakan yang sinis apabila dikemukakan angka-angka seperti ini. Hujah mereka, "bermain angka memang mudah, tetapi bukan senang nak buat." Ya, kenyataan itu betul. Tetapi berpolitik tanpa matematik dan angka adalah sia-sia dan buang masa.

Tugas kita ialah 'buat' dan 'laksana'. Nak buat rumah perlu ada plan. Nak bentuk kerajaan pun kena ada plan. Plan pilihanraya tak boleh lari daripada perkiraan angka. Kalau tak ada perkiraan angka yang asas seperti contoh ini maka kita tak akan sampai ke mana. Dari angka yang asas itu kita patut bergerak kepada perincian yang lebih spesifik dan terarah. Dengan perincian itu kita akan dapat melihat keperluan yang menyeluruh. Setelah dikenalpasti semua keperluan, kita boleh menyusun kadar kepentingannya supaya tugasan terlaksana mengikut keutamaan. Apabila keutamaan telah jelas, langkah kita akan teratur dan bermakna. Fokus kita betul dan tepat. Keberkesanannya dapat diukur dan dinilai. Penambahbaikan dapat dilakukan. Peluru sampai tepat ke sasaran. Tenaga tidak sia-sia. Akhirnya insyaAllah berjaya.

Teruskan langkah ke mahkamah. Teruskan pidato di pentas ceramah. Tetapi jangan salah perkiraan dan jangan silap andaian.

Rakyat bukan saja perlu maklumat. Mereka perlukan pembelaan dalam urusan hidup seharian. Mereka gembira kalau dijadikan kawan. Mereka teruja kalau dipandu dibimbing dalam hal menceriakan taraf hidup keluarga. Mereka amat terhutang budi kalau anak cucu dan kerabat mereka disantuni di saat gembira apatah lagi di kala duka. Kalau mereka dah jadi sahabat kita, kalau mereka dah teruja dengan keprihatinan kita dan kalau mereka terhutang budi kepada kita, apa pun maklumat yang kita sampaikan pasti lebih mudah disambut, difikir dan diterima.

PR perlu fokus membangunkan program, projek dan aktiviti yang menjurus kepada pembentukan hubungan langsung dengan masyarakat dalam konteks ini. Jika ahli dan penyokong PR berjaya menjalin ikatan emosi dengan rakan dan keluarga terdekat dalam maksud 'keprihatinan' ini nescaya misi 'angka' dalam gerak kerja pilihanraya akan lebih mudah dicapai.

Masa masih ada. Laluan masih terbentang luas. Daya masih gagah. Kepakaran masih jenuh. Semangat tak pernah luntur. Cuma fokus saja perlu betul.

Baca Sepenuhnya..
 

Komen Pengunjung Terkini