Showing posts with label MB Nizar. Show all posts
Showing posts with label MB Nizar. Show all posts

DRAMA RAMPASAN KUASA - DARI PENA DS NIZAR - Siri 2

sambungan daripada DRAMA RAMPASAN KUASA - DARI PENA DS NIZAR - Siri 1

iv. Bila DUN dibubarkan, rakyat akan lihat bahawa Tuanku cukup adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sekaligus rakyat akan menjulang dan menghormati institusi Istana kerana mengembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula. Ini Keadilan yang kita laung-laungkan.


v. Saya ajak DYMM Tuanku Sultan meredhai dan bersyukur atas anugerah Ilahi dalam sambutan Jubli Perak dengan Allah SWT memanjangkan usia DYMM Tuanku hingga ke 82 tahun. Saya seru agar merealisasikan kesyukuran atas nikmat ini dengan mengembalikan hak rakyat serta pengampunan dari Allah SWT.

vi. Saya nyatakan dengan jelas jika Tuanku bubarkan DUN, rakyat akan turut bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada Tuanku dan rakyat akan menjulang institusi Istana.

vii. Disebaliknya saya nyatakan bahawa jika hak rakyat ini tidak diberi (dengan tidak membubarkan DUN) maka dikhuatiri rakyat akan menghina dan hilang hormat kepada institusi DiRaja dan Tuanku sendiri.

viii. Saya zahirkan kepada DYMM Tuanku dimanakah maruah kerajaan UMNO BN dengan mengambil 3 orang wakil rakyat (Jamaluddin, Kapten Osman dan Hee) sebagai penyokong mereka semata-mata hendakkan simple majoriti, yang mana 2 daripada mereka (Jamaluddin dan Osman) telah dituduh oleh pimpinan UMNO terdahulu dari itu sebagai mengambil rasuah meluluskan projek perumahan di Perak Tengah bernilai RM180juta dan menerima habuan serta sedekah seks (yang mana projek tersebut tidak wujudpun!, sengaja diada-adakan oleh pihak BPR -kini SPRM- pusat untuk mejatuhkan kerajaan PR). Kedua mereka akan menghadapi perbicaraan di mahkamah pada 10 Feb 2009. Saya juga katakan kepada DYMM Sultan seandainya pertuduhan keatas mereka lekat, maka apa akan terjadi kepada kerajaan itu kelak. Dan jika pertuduhan itu digugurkan oleh mahkamah, sudah tentu rakyat jelata akan melihat sebagai campurtangan pihak Istana dan ini akan mencemarkan imej dan kedaulatan Istana.

ix. Saya beri maklum bahawa jika dibubarkan DUN Perak, seluruh institusi Istana di Malaysia pasti akan mendapat penghormatan tertinggi di kacamata rakyat jelata dan masyarakat dunia dalam dan luar negeri akan turut menghormati DYMM Tuanku. Kekebalan dan kekuasaan DiRaja telah lama dirobek dan cuba dihapuskan oleh UMNO sewaktu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Semua institusi kesultanan di Malaysia akan mendapat imej baik dek keputusan bijak dan arif oleh Tuanku.

x. Saya sebut secara verbatim kata-kata DYMM dalam sebuah buku yang Tuanku hadiahkan kepada saya sewaktu menjawat jawatan MB pada bulan Mac 2008 dahulu. Buku berjodol "Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance" (Selected essays and speeches,by HRH Sultan Azlan Shah, edited by Professor Dato' Seri Visu Sinnadurai, tahun 2004, saya bacakan kepada Tuanku berbunyi, "under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di Pertuan Agong would not withold his consent to a request for the dissolution of Parliament. His role is purely formal".

Selepas saya baca ayat tersebut sepatah demi sepatah, maka dengan penuh takzim dan lembut ungkap, saya merayu agar Tuanku berpegang dan mengotakan kata-kata Tuanku tersebut. Bahkan saya sebut bahawa buku tersebut dan kata-kata Tuanku di dalamnya menjadi rujukan penghakiman semua negara Commonwealth sebagai suatu peradaban undang-undang yang luhur.

xi. Saya mengingatkan kepada DYMM Tuanku bahawa banyak negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran yang dahulunya ada institusi DiRaja, namun apabila keputusan Istana berpihak kepada mana-mana kumpulan dan mengenepikan kehendak hak rakyat, maka kini institusi tersebut telah hilang.

xii. Saya merayu bahawa pada ucapan sambutan Jubli Perak pada 3 Feb 2009, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, ucapan Tuanku, ucapan Raja Muda dan juga ucapan saya telah menitik beratkan soal keadilan, hak rakyat dan good governance. Siaran tersebut telah dibuat liputan langsung oleh TV Bernama dan akhirnya saya dengan penuh rendah diri dengan Nama Allah, memohon kepada DYMM Tuanku agar di bubarkan DUN Perak.

Sebaik-baik sahaja habis saya sebut perkara diatas, DYMM Tuanku telah mengangkat sedikit wajahnya dan melihat saya sambil bertitah " Saya tidak akan bubarkan DUN dan MB kena letak jawatan".

Dengan spontan saya terus mengangkat sembah keampunan seraya berkata, "Ampun Tuanku, patik pohon sembah derhaka".

DYMM Tuanku bangun meninggalkan majlis dan seperti biasa, saya bersalam dengan Tuanku sambil mencium tangan Tuanku dan beredar bersama LA. ( Perbualan saya dengan LA selepas insiden ini akan saya lakarkan sedikit masa lagi).

Maka bermulalah suatu cetusan krisis perlembagaan (Constitutional Crisis) yang amat menyedihkan sehingga kini. Kesemuanya ini berlaku oleh kerana kebiadaban UMNO-BN pimpinan Najib Altantuya memperkakaskan SPR yang enggan mengisytiharkan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering dan seterusnya rampasan kuasa ikut pintu belakang oleh Najib Altantuya pimpinan UMNO BN. Ini tindakan tidak bermoral UMNO yang merampas hak rakyat.
Kini kenyataan-kenyatan dari pimpinan UMNO yang menyanggah dan mengecam hebat tindakan jahat Najib Altantuya membuat rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, seperti dari Tengku Razaleigh, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan ramai pakar perlembagaan seperti Dr. Abd Aziz Bari dari UIAM, menyatakan bahawa saya masih MB yang sah di segi undang-undang dan kes seperti ini pernah terjadi kepada Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana almarhum Sultan tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi (bapa YB Tajul Rosli). Tuanku terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan. Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak. Krisis ini berpanjangan ...........

........ diambil daripada blog Dato' Seri Hj. Mohammad Nizar - kamparinn.blogspot.com

Baca Sepenuhnya..

DRAMA RAMPASAN KUASA - DARI PENA DS NIZAR - siri 1

.... berikut adalah kronologi detik-detik rampasan kuasa yang dicatat sendiri oleh YAB Dato' Seri Mohammad Nizar .... -

...................... Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan kerana lama meninggalkan saudara tanpa kemaskini halaman ini. Situasi semasa memerlukan saya sepenuh masa menangani beberapa permasalahan akibat rampasan kuasa (coup d'etat) oleh UMNO BN pada 5 februari 2009.

Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Altantuya mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb 2009 untuk merompak hak rakyat melalui pintu belakang.

Pada 2 Feb 2009 (Isnin) , saya mengadap DYMM Sultan Perak di Istana Kinta bagi mempersembahkan 2 pucuk salinan surat perletakan jawatan YB Jamaluddin(Behrang) dan YB Osman (Changkat Jering) bertarikh 30 Jan 2009, dan surat dari YDP Dewan (Speaker - YB Sivakumar) kepada SPR memohon dilaksanakan pilihanraya kecil kedua-dua DUN tersebut.


Ketika itu UMNO-BN di ketuai oleh Najib altantuya masih dalam proses memerangkap beberapa wakil rakyat PR khususnya YB Dato' Nasaruddin (ADUN Bota yang telah menyeberang ke PKR) pada 25 Jan 2009, dan ADUN Jelapang YB Hee Yit Fong.


Perhubungan dengan YB Jamaluddin dan YB Osman telah terputus mulai 26 Jan 2009. Keluarga dan orang terdekat termasuk ketua umum PKR (DSAI) juga gagal menghubungi dua ADUN tersebut. Hanya setelah surat perletakan jawatan dikemukakan barulah mereka berdua muncul bersama Najib Altantuya.

Semasa kemelut itu juga YB Dato' Nasaruddin (Bota) dilapurkan hilang dibawa oleh 2 orang ADUN UMNO yang kononnya mereka diarah menjemput YB Dato' Nasa bertemu Raja Muda. Dia akur dengan pelawaan palsu tersebut dan bersetuju bersama kedua-dua ADUN UMNO itu menaiki kenderaan pacuan empat roda dan terus hilang entah kemana. Khabarnya Dato' Nasa dilarikan kepada dakapan Najib Altantuya . Dilapurkan oleh isteri YB Dato' Nasa, Datin Umi bahawa suaminya hilang mengikut dua orang ADUN UMNO pergi bertemu Raja Muda tetapi rupa-rupanya untuk dibelutkan oleh umno agar YB Dato' Nasa kembali semula kepada UMNO-BN walaupun telah bersumpah di khalayak ramai 10000-15000 orang pengundi Bota pada 30 Jan 2009 untuk tidak akan berganjak dan kembali kepada UMNO.
Pertemuan YB Dato Nasa dengan saya di pejabat MB pada 29 Jan 2009 bersama ahli-ahli Exco dan pimpinan PKR Perak juga menjanjikan perkara yang sama. Bila ditanya oleh warga media adakah YB Dato' Nasa akan kembali kepada UMNO oleh kerana pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada Najib Altantuya, namun jawab YB Dato Nasa "InsyaAllah, tidak".

Ketika itu kedapatan YB Hee dari Jelapang juga turut lesap dan putus hubungan, sehingga YAB ketua Menteri Pulau Pinang selaku SU Agong DAP memberi amaran mana-mana ADUN DAP yang putus hubungan dalam tempoh 24 jam di kira telah meletak jawatan.


Ketika itu, keputusan SPR pula menafikan hak dan permohonan YB Speaker untuk diadakan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering. Maka tiada pilihanraya kecil. Ini pun atas desakan dan campur tangan UMNO-BN mengarahkan pengerusi SPR yang baru dilantik (tetapi diberi amaran kerana bertanggungjawab tersungkurnya UMNO-BN di Kuala Terengganu ) untuk jangan diadakan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering. (Bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Fasal 113).


Maka pada 4 Feb 2009, selaku MB serta ketua DUN, saya mengadap DYMM memohon perkenan agar dibubarkan DUN Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak, membuat pilihanraya baru dan secara sahnya memilih kerajaan baru. DYMM Sultan menyatakan akan mengkaji dan menghubungi saya kemudian. Saya akur.


Keesokan harinya, 5 Feb 2009 (khamis) jam 10.00 pagi saya bersama-sama YAB PM Pak Lah berada di Bagan Serai merasmikan majlis pertanian penanaman padi seluas sekitar 200 ekar secara moden oleh Sime Darby. Namun keseluruhan berita telah digelapkan walaupun ada liputan media meluas. Jam 11.45 pagi saya menerima perintah DYMM Sultan untuk mengadap di Istana Kinta. Maka saya memohon laluan dari YAB PM dan terus menuju Istana . Sesampainya di Istana, DYMM Sultan telah sedia menanti bersama Penasihat Undang-Undang Negeri (LA).
Saya terus angkat sembah dan duduk (cukup luar biasa sebab yang biasa apabila dititah atau mohon mengadap, sayalah yang akan menunggu DYMM Sultan didalam bilik khas).

DYMM menyatakan kepada saya:-


1. Kesemua 27 ADUN BN telah dipanggil mengadap dan setuju terus dengan BN.


2. Adun Bota (YB dato' Nasa) telah bersetuju kembali kepada UMNO-BN.


3. Ketiga ADUN (Behrang, Changkat Jering dan Jelapang) juga telah dipanggil mengadap dan bersetuju keluar PR dan menjadi ahli Bebas serta menyokong BN, menjadikan 31 orang. (28 +3).


4. Maka sekarang BN ada majoriti dan PR cuma ada 28 ADUN.


Saya sudah terlintas dihati yang sesuatu yang 'tak kena' akan terjadi, makanya saya mohon mencelah dari DYMM Sultan dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengutarakan hujah dan point berikut:-


i. Saya hanya memohon perkenan kebawah DYMM Tuanku untuk dibubarkan DUN Perak dalam hak dan kuasa yang dianugerahkan kepada saya sebagai MB dan ketua DUN.


ii. Kembalikanlah hak rakyat untuk memilih kerajaan baru yang sah dan kuat.

iii. Saya mahu mendaulat dan memartabatkan institusi Istana sebagai institusi ulung dan teragung di
kacamata rakyat.

........ bersambung ................ ( tunggu sebentar. terganggu kerana ada panggilan dari Insp. Fauzi dari Bteam IPD Ipoh. saya kena mengadap. ) InsyaAllah saya akan sambung lagi ....

- kamparinn.blogspot.com -


Baca Sepenuhnya..

RAHSIA MB BACA SURAH DHUHAA

Petang tadi YAB Dato' Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin memanggil sidang media dan memaklumkan 4 perkembangan terkini krisis rampasan kuasa di Perak.

1 - Dato' Seri MB sendiri akan menjadi plaintif bagi kes yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur besok memohon mahkamah mengisytiharkan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Perak.

2 - Semua kenderaan resmi MB dan Exco akan diserahkan kepada kerajaan (yang sah) untuk disimpan sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung kes yang akan difailkan besok. Sepanjang tempoh itu, MB dan Exco akan menggunakan kenderaan peribadi masing-masing untuk menjalankan tugas resmi kerajaan.

3 - Dato' Seri MB sedang mengenalpasti kediaman untuk penginapan keluarganya selepas menyerahkan kediaman resmi MB dalam masa tujuh hingga sepuluh hari lagi. Tindakan berpindah daripada kediaman resmi itu diambil sebagai menghormati proses semakan mahkamah berhubung status kerajaan Pakatan Rakyat yang akan difailkan besok.

4 - Pemimpin Pakatan Rakyat termasuk YAB Dato' Seri Hj. Nizar akan menghadiri majlis sambutan jubli perak DYMM Sultan Azlan Shah yang dijadualkan pada 14 Februari di Istana Iskandariah Bukit Chandan Kuala Kangsar. Kehadiran itu adalah bukti junjung kasih Pakatan Rakyat ke bawah DYMM Tuanku Sultan.

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak juga tiada kena mengena dengan khabar angin perhimpunan rakyat di Kuala Kangsar yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas (sms) sejak dua hari lalu.

YAB Dato' Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar dan semua Exco kerajaan negeri akan terus berkhidmat sebagai sebuah kerajaan yang sah dalam semua urusan yang tiada halangan.

Sementara itu ketika sesi rakaman video, YAB Dato' Seri Hj. Nizar memulakan kenyataannya dengan membacakan ayat-ayat Al-Quran dari Surah Dhuhaa. Berikut adalah terjemahan surah itu:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

(1) Demi waktu Dhuhaa. (2) Dan malam apabila ia sunyi sepi. (3) (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). (4) Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. (5) Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha (berpuas hati). (6) Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan? (7) Dan dipatinya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? (8) Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? (9) Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. (10) Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. (11) Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Apa rahsianya?

Baca Sepenuhnya..
 

Komen Pengunjung Terkini