Mampukah PR Mengalahkan UMNO-BN?

Sejak lama dulu hinggalah sekarang soalan ini sentiasa diulang tanya oleh ramai orang. Apabila PAS, DAP, S'46, APU, PKN, PKR, BA atau PR menewaskan UMNO-BN di satu dua kawasan dalam pilihanraya, soalan itu tenggelam seketika. Apabila UMNO-BN ditewaskan dalam perbicaraan kes dimahkamah, soalan itu hilang sekejap. Apabila UMNO menang lagi sama ada dalam pilihanraya atau di mahkamah, ramai yang kembali bertanya "mampukah kita menewaskan UMNO-BN?"

Hakikatnya tiadalah yang mustahil di alam ini. Namrud, Firaun, kaum 'Ad, kaum Thamud, kerajaan Rum, kerajaan Farsi dan Soviet Union adalah antara contoh kekuatan dan kuasa yang kelihatan hampir mustahil untuk ditumbangkan. Namun akhirnya kuasa itu tewas juga.

Apalah sangat UMNO jika dibandingkan dengan kekuatan kuasa-kuasa kejahatan itu berbanding pihak yang bangkit menentang. Kelebihan UMNO cuma teknik dan teknologi kezaliman yang lebih moden berbanding kuasa kejahatan zaman silam itu.

Berbalik kepada pertembungan terkini antara UMNO-BN dan rakyat negeri Perak, mampukah rakyat mendapat kemenangan di kamar mahkamah?

Mahkamah Rayuan akan mendengar kes yang dibawa oleh DS Nizar pada hari Isnin 18 Mei ini. Kalau hakim berbaik budi seperti ketika menerima permohonan Zambry maka dapatlah perbicaraan disegerakan. Kes Zambry selesai didengar dan diputuskan dalam masa dua jam. Mungkinkah kes DS Nizar juga boleh selesai dalam tempoh masa yang sesingkat itu? Wallahu' a'lam.

Kalau DS Nizar berjaya mendapatkan perintah mengenepikan keputusan mahkamah 12 Mei, Zambry akan meninggalkan pejabat MB sekali lagi. Tetapi berapa jam sahaja DS Nizar boleh berada sekali lagi dalam pejabat MB? Zambry pasti akan failkan rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Sehingga keputusan yang paling akhir dalam sistem kehakiman Malaysia itu, UMNO-BN dipercayai ada seribu jalan untuk menghalalkan MB haram berumahtangga di pejabat MB. Amat menakjubkan pula kalau keputusan yang paling akhir itu berpihak kepada DS Nizar. Kalau benar berlaku begitu, maka sungguhlah Malaysia telah berubah.

Pendapat dan perasaan yang paling popular ialah DS Nizar akhirnya akan kalah. Zambry menang. UMNO-BN menang. Sepanjang menjajah Malaysia, UMNO-BN telah membuktikan kemampuan mereka dalam menentukan semua kehendak mereka tercapai. Rekod kejahatan UMNO-BN itu masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana parti dalam dunia.

Maka apakah ada harapan bagi rakyat Malaysia untuk bebas daripada pemerintahan authoritarian dictatorship UMNO-BN yang dah berusia 52 tahun?

Sekali lagi elok diingatkan bahawa tiada yang mustahil. UMNO-BN boleh dikalahkan. Mereka bukan Tuhan. Mereka hanya manusia biasa sama seperti Namrud, Firaun, Napoleon Bonaparte, Mussolini, Gorbachev, Shah Iran, Ion Antonescu dan Marcos.

Persoalannya ialah bagaimana untuk menewaskan mereka?

Setakat ini rakyat tak ada banyak pilihan. Perlawanan dari sudut perundangan hanya boleh berlaku di mahkamah. Maka apabila ada kes yang bersifat perundangan, mahu tidak mahu terpaksalah juga rakyat merujuk ke mahkamah seperti kes-kes yang melibatkan krisis politik di negeri Perak. Walaupun dalam keadaan 'harap ada, percaya tiada', rakyat terpaksa juga mengheret UMNO-BN ke mahkamah. Mudah-mudahan akan sampai masanya hati yang arif hakim-hakim akan terdetik untuk mendaulatkan undang-undang.

Selain daripada mahkamah, jalan yang masih ada ialah pilihanraya. Itu pun dalam keadaan serba tidak adil. Dari sudut undang-undang pilihanraya sehingga kepada kesaksamaan hak berkempen, semuanya berat sebelah. UMNO-BN juga telah membuktikan kesanggupan mereka memanipulasi semua jentera kerajaan untuk tujuan menang pilihanraya. Pengundi hantu terus wujud walaupun mereka sejuta kali menafikannya. UMNO-BN boleh menang besar di kawasan yang ada penempatan tentera. Polis sibuk menjadi mata, telinga, kaki dan tangan UMNO-BN dalam keadaan penjenayah bermaharajalela di merata pelosok negara.

Tetapi setakat ini kita masih mampu menang di beberapa kawasan bahkan semakin memberangsangkan ketika PRU12 sehingga berjaya membentuk kerajaan di lima buah negeri. Majoriti dua pertiga BN di Parlimen pun dapat dinafikan buat kali yang pertama.

Realiti ini memungkinkan lambat laun rakyat akan berjaya menumbangkan paksi kejahatan Malaysia yang bernama UMNO-BN itu.

Selain daripada dua cara ini mungkin ada yang terfikir bahawa rakyat perlu bangkit dengan lebih agresif seperti kebangkitan di Iran, Filipina, Indonesia dan Thailand. Namun sebenarnya realiti Malaysia agak jauh berbeza daripada negara-negara revolusi itu. Persekitaran Malaysia unik dan tersendiri. Yang paling pasti ialah gerakan ke arah itu akan dipatahkan dengan pantas oleh UMNO-BN. Mereka adalah pakar membendung kebangkitan fizikal. Kalau ada yang berani bersuara sepatah dua mengajak rakyat ke jalanraya atau ke Putra Jaya, usia suara itu tak akan lama. Kem Kemunting dan pagar besi penjara akan menyambut yang empunya suara.

Ada yang mengherdik kenyataan seperti ini sebagai pengecut, bacul dan pondan. Namun inilah realiti. Majoriti rakyat Malaysia belum cukup berani menanggung risiko bergurau senda dengan penjara atau bermain-main dengan nyawa. Walaupun rakyat sama-sama melaungkan "kalau takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan" (pinjam kata-kata DSAI), namun risiko yang disanggupi oleh rakyat Malaysia hanya terbatas pada saiz yang kecil dan sederhana. Mungkin kerana sejarah dan persekitaran semasa yang unik dan tersendiri itu.

Sementara kesanggupan itu belum lahir, pilihan yang ada hanya mahkamah dan pilihanraya. Sementelah mahkamah kelihatan tidak mesra rakyat maka tinggal hanya satu cara yang ada iaitu pilihanraya. Memang pilihanraya bukanlah kaedah yang boleh menjamin kemenangan rakyat tetapi setakat hari ini hanya itulah satu-satunya kaedah yang boleh dilagang dan dicuba.

Maka rakyat perlu serius dalam urusan pilihanraya. Pakatan Rakyat perlu very smart dalam hal pilihanraya. Gelanggang pilihanraya adalah gelanggang taktikal dan strategi. Gelanggang pilihanraya adalah gelanggang isu dan propaganda. Gelanggang pilihanraya adalah gelanggang jiwa, minda dan persepsi.

Rangkalah taktik dan strategi terbaik. Uruslah isu dengan sempurna. Sentuhlah jiwa dan minda pengundi supaya persepsi positif dan negatif mereka terarah ke tempat yang betul.

Pengurusan seni pilihanraya adalah pengurusan yang complicated dan mencabar. Ia bukan medan retorik dan bombastik. Ia bukan medan angan-angan dan percaturan syok sendiri. Ia bukan gelanggang ajaib atau medan jampi mentera. Ia bukan medan tempur peluru tabur. Ia bukan gelanggang 'sembang pandai'. Ia bukan medan teori dan andaian. Ia bukan medan tunjuk dan tuding. Ia bukan medan suruh dan perintah semata-mata.

Pemimpin wajib merakyat. Rakyat wajib memimpin. Yang banyak teori ayuh turun ke gelanggang. Menonton dari atas grand stand tak sama dengan berlari dan menggelecek di atas padang. Kalau anda nampak yang ini tak betul yang itu tak tepat, dipersilakan turun ke lapangan. Bukan sekadar untuk tunjukkan yang mana tak betul dan tak tepat, tetapi tunjukkan bagaimana yang betul dan bagaimana yang tepat. Bukan sekadar tunjukkan, tetapi buat yang betul dan tepat itu untuk dilihat, difahami dan dicontohi oleh rakan-rakan yang telah lama berada di atas padang di dalam gelanggang.

Rakyat mampu menewaskan UMNO-BN!

Comments :

7 comments to “Mampukah PR Mengalahkan UMNO-BN?”
Anonymous said...
on 

tq bro...kupasan yg sgt merangsangkan

Pak Oncu said...
on 

Tuan, yang pasti nya rakyat di perbanggang dan di perbodohkan oleh pemimpin pemimpin UBN,,,,,,,,

Anonymous said...
on 

SENANGJE MENEWASKAN, SIAR KAN GAMBAR TULIN ORIGINAL "ALTANUYA-SAMA-NAJIB-RAZAK" SAYA DIPAHAMKAN SEBELUM NI SI BIJAN DAH SOGOK HABIS ORG2 YG MEMPUNYAI GAMBAR ITU! SO SOALAN SKARANG HANYA ORG LUAR(ORG NEGARA LAIN SAHAJA DPT TOLONG)....

golokperak said...
on 

Kalau mengikut ramalan PAK KAMAL CAPATI tak mungkin PR menang semula di Perak. Dia kata "dulu kami nak protes dato,cucuh sikit saja disini,rupa rupanya kawan dilain pun cucuh juga habih satu negeri terbakar,tapi sayang disini tak terbakar habih,menang lagi orang tua tu, tapi lain kali kami tak buat dah.Ingat aku saja pikiaq macam tu rupanya ramai macam aku."

Anonymous said...
on 

i love this such article.....
bernas

Anonymous said...
on 

Tahap pemikiran politik Pak Kamal Capati cuma tahap cipan, IQ rendah dan dungu. Cuma sesuai sekitar 25 tahun yang lampau. So kalau kau orang percaya pada teori khurafatnya... kau orang samelah macam dia. Rujuk fakta dan angka keputusan pilihan raya di DUN Pantai Remis, Peng Baru and Parlimen Beruas.
Orang UMNO cuma marah kat Hamdi ketika itu...tapi undi BN juga....

BR said...
on 

biaq den turun la... poning na org bn... biar den ajar depa mane yg botul..

Post a Comment

 

Komen Pengunjung Terkini